Saturday, December 31, 2011

Penipuan

Dek kerana bergurau dengan anak, bingkai cermin mata saya patah dan tidak boleh dipakai lagi. Sekali lagi, terpaksalah saya mengorek duit simpanan saya untuk membeli bingkai cermin mata yang baru. Saya telah menempah bingkai cermin mata yang baru di salah sebuah kedai optik di pasar raya Seremban 2. Setelah bingkai siap dipasang bersama kanta, jurujual tersebut telah memberi saya voucer sebanyak 10% daripada harga cermin mata tersebut.

"Dengan syarat encik hendaklah membeli cermin mata atau cermin mata hitam yang berharga RM 200 ke atas."

Saya hanya tersenyum sinis. Sungguh tidak ikhlas mereka menghargai pelanggan. Voucer diberi dengan bersyarat dan semestinya voucer tersebut bernilai kurang daripada RM 200. Ini bukan taktik baru peniaga. Sudah berbagai bentuk promosi yang menarik hati pernah mereka lakukan. Jika para pelanggan ingin menggunakan voucer tersebut, mereka tetap terpaksa mengeluarkan sedikit wang untuk mendapatkan barang yang mereka ingini. Pendek kata, peniaga akan tetap mendapat pendapatan walaupun voucer dikeluarkan. Antara contoh lain yang pernah saya saksikan ialah dengan mewar-warkan diskaun sehingga 70%. Rupanya diskaun yang tinggi tersebut hanya untuk stokin, garfu dan pelbagai barang murah. Barangan yang mahal seperti cadar tilam, perkakas dapur dan pakaian berjenama hanya diberi diskaun 5-10% sahaja.

Aneh, mengapa peniaga suka menipu pelanggan bagi mendapatkan keuntungan ataupun pendapatan. Lebih aneh, pengguna masih terus tertipu dengan tawaran para peniaga yang jelas kelihatan cuba mengaut keuntungan sebenarnya. Contoh lain pula ialah dengan memberi kemudahan kepada pelanggan untuk membuat bayaran ansuran. Sudah tentu bayaran ansuran ini dikenakan interest ataupun riba. Dalam kata lain, pengguna sebenarnya membayar harga barang tersebut lebih tinggi daripada harga pasaran tanpa mereka sedari. Misalan mudah ialah harga sebuah kamera digital ialah RM 1,200.00. Tetapi jika pelanggan tidak mampu, mereka boleh membuat bayaran ansuran hanya sebanyak RM150.00 sebulan. Jika dihitung, pelanggan tersebut akhirnya membayar RM 1,800.00 untuk kamera digital tersebut.

Terlalu banyak penipuan ataupun lebih tepat lagi pemerdayaan kepada pelanggan yang berlaku di tanah air ini. Saya akhiri dengan contoh kedai makanan segera yang meletakkan beban cukai kerajaan dan kos gaji pekerja ke atas pelanggan. Walhal, harga makanan segera itu sendiri sudah cukup mahal dan menguntungkan mereka. Itu pun masih ada pelanggan yang setia mengunjungi restoran tersebut...termasuklah saya.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Wednesday, December 28, 2011

Membangun Kesedaran Wajib Membebaskan Tanah Air Islam

Memperhebatkan kesedaran sentimen wajibnya membebaskan tanah air Islam daripada semua penguasaan asing adalah salah satu pilar perjuangan politik bagi sesebuah gerakan Islam. Bermula dengan wilayah yang kecil hinggalah ke seluruh tanah air Islam yang besar dan luas. Yusuf Qardhawi berkata,

"Perkataan pertama saya dengar dari Imam Hasan Al Banna di Thanta ialah: Tanah air Islam paling luas adalah dari lautan ke lautan, dari pantai ke lautan Atlantik, dari Indonesia dan sekitarnya di timur hingga Maghribi di Barat."

Melalui pemahaman ini, umat Islam akan memahami tanah air Islam merangkumi setiap inci seluruh alam ini. Tidak terlakluk negara di mana kita bermastautin sahaja. Juga tidak tertakluk kepada negara yang majoriti penduduknya beragama Islam sahaja. Daripada pemahaman ini, Ikhwanul Muslimin memperjuangkan tuntutan kemerdekaan daripada penjajah seperti mengusir Inggeris di Mesir dan Sudan. Dalam berbagai muktamar, as syahid menerangkan tujuan-tujuan, memberikan cadangan kepada pemerintah di seluruh dunia, dan memboikot ekonomi penjajah dalam menterjemah perjuangan tersebut. Maka lahirlah kata-kata masyhur "Hidup terhormat atau mati syahid" yang sering dilaungkan oleh mana-mana gerakan Islam ketika ini.

Antara kata-kata terkemuka Hasan Al Banna ialah:

"Akan kami tonjolkan kepada rakyat fatwa-fatwa daripada Ibnu Hazm yang disembunyikan daripada kitab-kitab bahawa musuh yang musyrik itu seluruhnya adalah najis. Tidak boleh menyentuh mereka dan tidak boleh berinteraksi dengan mereka..."Sesungguhnya kaum musyrikin itu najis" (At Taubah:28)"

Hasan Al Banna juga menyeru kepada seluruh penduduk Lembah Nil supaya membaca doa qunut nazilah di setiap solat jahriyah (yang dibaca lantang) memohon kepada Allah memberi jalan keluar daripada penjajahan musyrikin. Seruan tersebut mencontohi sunnah Ar Rasul SAW ketika kaum musyrikin menyerang orang Islam agar Allah memberi kekuatan kepada mereka yang masih lemah. Malah, Hasan Al Banna pernah menulis dalam majalah Ikhwanul Muslimin dengan tajuk 'Qunut' yang disertakan dalil-dalil daripada sejumlah hadis shahih tentang sunnah qunut ketika umat Islam lemah dengan harapan Allah akan membalas kejahatan musyrikin yang menyerang mereka. Kemudian Al Banna mengatakan:

"Jika demikian halnya, maka sudah menjadi keharusan bagi umat dan para tokoh Islam di Lembah Nil untuk kembali kepada Allah agar Dia mengangkat bencana daripada mereka dengan melakukan qunut di setiap solat setelah bangun rukuk rakaat terakhir. Sudah waktunya kita memohon dengan penuh pengharapan kepada Allah melalui qunut.

Ya Allah, Tuhan semesta alam. Yang memberi keamanan pada orang-orang yang takut. Yang menghinakan orang-orang yang sombong. Yang menghancurkan orang-orang yang berbuat semena-mena. Terimalah doa dan permohonan kami. Jawablah seruan kami. Berikanlah hak kami. Kembalikanlah kebebasan dan kemerdekaan kepada kami. Ya Allah, sesungguhnya mereka para perompak dari bangsa Inggeris telah menjajah negeri kami, dan merampas hak kami, dengan semena-mena dan banyak melakukan kerosakan di atas tanah air kami. Ya Allah, balaslah tipu daya mereka atas kami, tumpulkanlah serangan mereka, pecah belahlah perhimpunan mereka, tumpaskanlah mereka, para pendokongnya dan yang menolong mereka. Timpakanlah atas mereka azab dari Yang Maha Perkasa dan Maha Kuasa. Ya Allah, anugerahkanlah wilayah kerosakan kepada mereka, sebarkanlah kehancuran kepada mereka, hinakanlah negara mereka, hilangkanlah penguasaan mereka daripada bumiMu, dan jangan biarkan mereka mempunyai jalan untuk menimpakan kesulitan terhadap satupun umat beriman. Ameen. Selawat dan salam yang tak terhingga atas pemimpin kami, Muhammad, kepada keluarganya dan para sahabatnya".

Seruan kepada kemerdekaan yang dilaungkan oleh as syahid berjaya menggerunkan Inggeris yang mula membayangkan kebangkitan rakyat Mesir untuk menumbangkan mereka. Untuk menghadapi serangan dan tipu helah British, Ikhwanul Muslimin telah mempersiapkan terlebih dahulu ahli-ahlinya dengan prinsip aqidah yang positif. British sentiasa mencari ruang untuk memecah belahkan perpaduan dan kebangkitan gerakan Islam yang menyahut seruan kemerdekaan. Namun, helah penjajah tidak boleh diselindungkan lagi apabila mereka terpaksa bermesyuarat di kem tentera Faid pada tahun 1948 melibatkan delegasi British, Amerika Syarikat dan Perancis meminta Perdana Menteri Mesir ketika itu, Nuqrashi Pasha (dari Parti As Sa'dy) membubarkan gerakan Ikhwanul Muslimin dan menghumban para aktivisnya ke dalam penjara. Inilah hasil daripada proses tarbiyah yang sempurna.

Biarpun mereka disibukkan dengan perjuangan pembebasan tanah air, mereka tetap tidak lupa akan perjuangan menentang Zionis yang ingin merampas tanah Palestin. Berbagai usaha dilakukan bagi meraih perhatian umat Islam khususnya dan seluruh dunia umumnya akan situasi yang terjadi di Palestin. Forum, seminar, diskusi, bahkan demonstrasi juga telah dianjurkan oleh Ikhwanul Muslimin bagi memberi kesedaran kepada seluruh manusia tentang perjuangan menentang Zionis. Malah, dalam majalah Ikhwanul Muslimin turut disisipkan edisi khas yang membahaskan isu di Palestin. Majalah Al Ikhwan ketika di tahun 1930an sarat dengan kupasan isu Palestin terutamanya apabila sambutan Israk Mikraj semakin hampir. Begitulah betapa seriusnya Hasan Al Banna memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin yang terus dihambat oleh Zionis. Apa yang mengecewakan ialah respon daripada Perdana Menteri Mesir ketika itu apabila ditanya tentang kondisi di Palestin dengan jawapan yang tanpa rasa serba salah menyatakan beliau adalah Perdana Menteri Mesir dan bukannya Perdana Menteri Palestin.

Saban hari tanpa lelah, as syahid berterusan mengingatkan ummah akan pentingnya perjuangan di Palestin. Risalah-risalahnya semuanya berkait dengan jihad yang mulia di sisi Allah seperti "Seni Kematian" dan "Berhembuslah Wahai Angin Syurga". Apabila semangat para ikhwan semakin membara dan kelihatan sudah bersedia, hasil daripada tarbiyah yang jitu dan berterusan, barulah as syahid membunyikan wisel pemula jihad di Palestin. Ketika itu, berbondong-bondong pemuda ikhwan tampil menyerahkan jiwa dan raga menuju ke medan jihad. Tidak ketinggalakan juga sejumlah warga emas dan orang-orang tua yang mendaftarkan diri sebagai mujahid di pejabat cawangan Ikhwanul Muslimin. Tentera inilah yang paling digeruni oleh Zionis berbanding tentera nasionalis Mesir dan Jordan. Apakah yang menakutkan Zionis? Tentera Ikhwanul Muslimin mara kerana ingin mati sedangkan mereka bersenjata kerana mahu mempertahankan nyawa.

Biarpun pertempuran di Palestin begitu sengit, Ikhwanul Muslimin tidak sekali-kali mengabaikan nasib saudara mereka di negara lain seperti di Syria, Lebanon, Tunisia, dan Semenanjung Arab. Pejabat Ikhwanul Muslimin bahkan pernah menjadi tempat tumpangan para negarawan yang merancang untuk menewaskan penjajah. Malah, Ikhwanul Muslimin pernah membantu rakyat Indonesia berjuang mendapatkan kemerdekaan daripada Belanda. Ikhwan menganggap permasalahan kaum muslimin adalah sebahagian daripada masalah mereka walau dari mana pun mereka datang. Mereka hidupkan perasaan itu dalam bentuk pemikiran dan perasaan sesuai dengan kondisi mereka yang terbatas.

Tulisan ini dicedok daripada buku bertajuk Tarbiyah Politik Hasan Al Banna karangan Syeikh Dr. Yusuf Al Qaradhawi.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Wednesday, December 21, 2011

Cik Arah pula yang pergi...

Siti Zaharah bt Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai Cik Arah merupakan anak yang ketujuh daripada 10 orang adik beradik. Ibu saya pula merupakan anak yang keenam. Ini menjadikan hubungan antara ibu saya dan Cik Arah amat rapat dan istimewa. Antara 10 beradik tersebut, yang menetap lama di Seremban ialah kakak ibu saya, ibu saya sendiri dan Cik Arah. Yang lainnya pernah bermastautin di negeri lain dan hanya kebelakangan ini sahaja baru kembali menetap di Seremban. Ketika nenek pulang ke rahmatullah, Cik Arah adalah antara 5 orang beradik yang sedang bercuti di Australia ketika itu. Memang terserlah kesedihan di wajah Cik Arah kerana tidak sempat berada di sisi nenek ketika ia pulang ke rahmatullah. Beliau hanya sempat menatap wajah nenek yang sudah dikafankan dan sedang menunggu untuk disolatkan.

Cik Arah lahir pada 24 Mac 1961. Tempat lahirnya saya kurang pasti kerana datuk saya sering berpindah randah ketika bertugas sebagai anggota polis hutan. Contohnya, ibu saya lahir di Kuala Lumpur, adik lelakinya pula ada yang lahir di Changloon, Kedah. Adik yang bongsu pula lahir di Linggi, N.Sembilan. Cik Arah memulakan kerjaya sebagai seorang kerani di Kuala Lumpur. Kemudian beliau berpindah ke Seremban dan bertugas di Jabatan Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau dipindahkan ke Sek. Keb Puteri, Seremban. Pada tahun 1999, beliau telah bercuti panjang untuk menjaga dua pupu saya yang sedang berpantang di UK. Di sana, beliau telah bertemu jodoh dengan seorang lelaki berbangsa Algeria. Beliau sempat pulang ke tanah air untuk menyerahkan surat perletakan jawatan dan mendapatkan restu daripada adik beradik dan nenek saya. Ketika beliau berkahwin, tiada seorang ahli keluarga melainkan dua pupu saya sahaja yang menghadiri walimah tersebut. Ini kerana, jarak ke UK terlalu jauh dan memerlukan sumber kewangan yang tinggi. Namun jodoh mereka hanya bertahan selama 3 tahun sahaja tanpa zuriat kerana suaminya pulang ke rahmatullah akibat penyakit pneumonia. Ringkasnya, tiada siapa antara saudara mara kami yang dapat berjumpa dengan arwah suami Cik Arah melainkan gambar foto sahaja. Sekitar tahun 2007, Cik Arah dan dua pupu saya pulang ke Malaysia 'for good'.

Sejak daripada itu, Cik Arah menetap bersama nenek dan sekali sekala menumpang di rumah adik beradiknya atas ajakan mereka. Cik Arah juga tidak bekerja. Saya sendiri tidak pasti mengapa beliau tidak berminat untuk bekerja. Pertengahan tahun ini, kesihatan Cik Arah mula merosot dan akhirnya beliau menghembuskan nafasnya tepat tiga minggu selepas pemergian bondanya. Cik Arah amat rapat dengan anak-anak buahnya yang sebaya dengan saya. Ini kerana ketika kami masih kecil, umurnya masih di awal 20an. Tambahan pula ketika itu beliau belum berkahwin (Cik Arah berkahwin ketika umur mencecah 38 tahun). Anak-anak buahnya yang lahir selepas beliau mendirikan rumah tangga tidak begitu rapat dengannya. Ketika saya masih sekolah, ibu saya tidak membenarkan kami menaiki bas untuk ke mana-mana. Alasannya kerana tidak mahu kami terdedah dengan budaya yang tidak sihat. Cik Arah amat memahami perasaan kami yang sangat menginginkan pengalaman menaiki bas. Kerap kali juga Cik Arah menawarkan diri untuk menemankan kami menaiki bas pulang ke kampung di Linggi. Cik Arah juga pernah menemankan kami menaiki bas ke Kuala Lumpur. Malah saya sempat merasa pengalaman menaiki bas mini yang sudah ditamatkan perkhidmatannya bersama Cik Arah. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila ialah Cik Arah membawa kami melihat kehidupan penagih dadah di Jalan Chow Kit.

Ketika itu saya masih tadika lagi. Cik Arah dan adik lelakinya (Cik Adam) menemankan kami (saya dan adik perempuan) ke The Mall di Kuala Lumpur. Dari stesen bas menuju ke The Mall, jalan yang terdekat ialah melalui Jalan Chow Kit. Saya berkeras untuk melihat sendiri bagaimana rupa dan kehidupan penagih dadah di Chow Kit. Akhirnya Cik Arah dan Cik Adam mengalah. Setelah melihat sendiri kehidupan penagih dadah, saya merasa takut dan berazam tidak akan mendekati dadah langsung.

Pada 14 Disember, Cik Arah telah meminta ibu saya untuk dihantar ke Senawang Specialist Hospital untuk mendapatkan rawatan. Ketika itu keadaan Cik Arah sudah terlalu uzur. Beliau tidak larat untuk berjalan kerana semput. Malah bercakap pun beliau tersenggut-senggut kerana tidak cukup nafas. Pada awalnya, Cik Arah enggan pergi mendapatkan rawatan di hospital. Setelah dipujuk oleh adik perempuan saya yang mendapatkan rujukan daripada isteri saya terlebih dahulu, akhirnya beliau bersetuju untuk ke hospital.

Tepat jam 5.30 petang, 18 Disember 2011 bersamaan hari Ahad, saya telah menerima panggilan daripada ibu saya.

"Along, mak call Cik Arah 2-3 kali tapi dia tak angkat. Kamu boleh pegi tengok dia sekejap tak? Mak jauh ni".

"Boleh, jap lagi along drop by. Dia kat wad mana?"

Sejak Cik Arah dimasukkan ke wad, saya tidak dibenarkan oleh ibu saya menziarahinya kerana virus yang dihinggapi oleh Cik Arah amat kuat. Ibu saya khuatir jika virus tersebut akan dibawa ke rumah dan boleh membahayakan anak-anak saya.

"Wad 323. Sebelum masuk tu pakai mask tau".

"Insya Allah".

Selesai menunaikan solat Asar, saya terus menuju ke hospital yang jaraknya hanya 2 km sahaja dari rumah saya. Petang itu saya agak lewat menunaikan solat Asar kerana keletihan setelah pulang membawa anak-anak dan isteri melawat Pusat Sains Negara. Tepat jam 6 petang saya tiba di pintu bilik wad Cik Arah. Terdapat notis meminta setiap pelawat memakai mask dan sarung tangan getah sebelum memasuki bilik tersebut ditampal di pintu. Selesai memakai mask dan sarung tangan getah, saya mengetuk pintu dan memberi salam. Kelihatan Cik Arah sedang duduk di atas katil sambil bernafas menggunakan gas oksigen. Beliau kelihatan semakin pulih. Keadaan sebelum ini lebih teruk kerana beliau tidak mampu untuk bercakap. Kali ini, beliau dapat berbual dengan saya tanpa masalah.

"Takde orang jaga acik ke?"

"Hari ni takde sebab semua orang ada hal. Mak Lang kena jaga cucu sebab menantu dia pergi kursus. Cik Adam pergi kenduri sepupu isteri dia kat Penang".

Sayu juga saya melihat Cik Arah di wad tanpa berteman. Saya memandang ke luar tingkap memerhati kenderaan yang lalu lalang. Diam membisu kerana tidak punya topik untuk berbincang. Saya juga faham keadaan orang yang sedang sakit. Mereka lebih suka berehat daripada menerima tetamu.

"Acik nak makan? Along boleh tolong."

"Takpela, jap lagi acik makan."

"Acik, dah 6.30 ni. Along balik dulu ye. Nak uruskan anak-anak kat umah. Along doakan acik cepat sembuh. Acik makan ubat ye."

"Insya Allah."

"Kalau ada pape, call along tau. Acik ada nombor along tak?"

"Ada rasanya"

Untuk menyedapkan hati, saya membuat panggilan ke telefon bimbit Cik Arah. Terpampang nama saya di skrin telefon bimbit Cik Arah.

"Ok cik, assalamualaikum."

Tanpa saya duga, itulah dialog terakhir saya bersama Cik Arah. Saya segera meninggalkan wad menuju ke kereta. Sejurus melabuhkan punggung di kerusi pemandu, saya terus menghantar sms kepada ibu menceritakan keadaan kesihatan Cik Arah yang semakin pulih. Setelah menguruskan anak-anak, saya mandi dan menunaikan solat Maghrib. Setelah itu saya menyidai pakaian yang baru dibasuh selepas Maghrib tadi. Sedang asyik menyidai pakaian, isteri saya memanggil saya.

"Ayang, mak call minta saya ke hospital tengok Cik Arah".

"Ha??? Nape?"

"Mak kata keadaan dia makin teruk. Mak minta saya tengok-tengokkan keadaan Cik Arah. Mak on the way ke hospital."

"Ok, pape nanti sms saya."

Saya setia memegang BlackBerry saya menunggu sms daripada isteri. Anak-anak saya biarkan bermain dengan permainan. Ketika itu jam menunjukkan pukul 9.30 malam. Lebih kurang 30 minit kemudian, BlackBerry saya berbunyi menandakan sms masuk.

"Cik Arah tengah nazak. BP dia 80/20."

"Dia sedar tak?."

"Dah tak sedar."

"Saya datang sekarang dengan anak-anak."

Saya menjadi tidak keruan. Segera saya dokong Nawfal dan Nu'man berlari-lari mengejar saya di belakang.

"Kita nak pegi mana?" soal Nu'man.

"Jumpa ummi kat spital."

Nu'man terkasima sebentar.

"Nawfal, cepat. Kita nak jumpa ummi kat spital." jerit Nu'man.

Nawfal dengan puting di mulut terkedek-kedek mendapatkan saya untuk ikut serta ke hospital. Keadaan saya ketika itu memang tidak terurus. Dengan Nawfal yang saya kendong dan Nu'man yang berlari anak-anak di belakang saya, seolah saya kelihatan seperti orang kehilangan isteri. Sampai di wad, saya terus menyerahkan kedua-dua hero saya kepada isteri.

"Macam mana keadaan acik?."

"Takpelah, ayang masuk tengok"

Setelah memakai mask dan sarung tangan getah, saya menolak pintu wad untuk menjengok Cik Arah. Kelihatan Cik Adam sedang membaca surah yasin bersama isterinya. Mak Lang pula sedang mengusap-ngusap dahi dan rambut Cik Arah. Cik Arah kelihatan bertarung dengan sakaratul maut. Nafasnya mencungap-cungap dan matanya memandang tepat ke suatu arah tanpa mempedulikan saudara mara yang mengelilinginya. Mata saya terasa pedih dan tak tertahan untuk mengalirkan air mata. Ini kali kedua saya menyaksikan orang yang saya sayangi nazak di depan mata. Lebih menyedihkan saya tidak mampu berbuat apa-apa untuk menolong mereka. Hanya mampu menyaksikan azab mereka mengharungi sakaratul maut.

Hampir 4 jam bersabung nyawa, akhirnya Cik Arah menghembuskan nafas yang terakhir. Hati saya terasa bagai dicarik-carik. Saya menyaksikan mata Cik Arah perlahan-lahan mengecil dan tertutup. Nafasnya yang awalnya kencang akhirnya semakin perlahan dan berhenti terus. Saya gagal mengawal diri. Beberapa orang saudara lelaki terpaksa menenangkan saya. Saya mencangkung termenung. Semua kenangan bersama Cik Arah menghantui benak fikiran saya. Saya hanya mampu menundukkan pandangan menahan kesedihan. Saya terus menghantar sms kepada isteri tentang pemergian Cik Arah. Isteri saya telah pulang awal kerana anak-anak saya sudah mengamuk kerana mengantuk. Saya pulang lewat malam itu. Melayan perasaan dan cuba menerima ketentuan takdir Ilahi. Berat untuk saya menerima suratan ini. Saya sempat menemani ayah membuat laporan kematian di Balai Polis Paroi. Malam tersebut saya hanya dapat melelapkan mata sekitar jam 4 pagi.

Setelah selesai menunaikan solat subuh, saya segera keluar membeli sarapan. Selesai sarapan, saya menghantar Nawfal ke rumah babysitter. Nu'man pula berkejar mengikut adik perempuan saya ke masjid untuk menemani jenazah Cik Arah. Setelah menghantar Nawfal yang masih mengantuk, saya segera ke kedai seven eleven untuk membuat salinan fotokopi sijil kematian Cik Arah. Kemudian, saya terus ke masjid dan sanak saudara semakin ramai tiba untuk menziarahi jenazah. Adik lelaki saya sudah pun sampai dari Rawang. Beliau kelihatan termenung. Adik bongsu saya pula teresak-esak menangis kerana tidak sempat menziarahi Cik Arah sebelum dipanggil Ilahi. Sekitar jam 9 pagi, jenazah disolatkan dan dibawa ke perkuburan. Alhamdulillah saya diberi kesempatan untuk mengambus tanah kubur Cik Arah. Tika talkin dibacakan, air mata saya mengalir dengan begitu deras sekali. Terus saya tergambar wajah Cik Arah menghadapi sakaratul maut. Kematian adalah suatu perkara yang tidak boleh dibuat main-main. Ia pasti dan tiada ruang untuk kita berpatah semula. Selangkah ke alam barzakh, selamanya pintu dunia tertutup untuk kita. Biarpun ada yang mempertikaikan talkin adalah bid'ah, namun tak dinafikan ia adalah satu peringatan yang berguna buat kita yang masih hidup. Amat malang bagi mereka yang mendengar talkin tetapi tidak terasa insaf atau mengalirkan air mata.

Sebelum pulang ke rumah, saya sempat merenung ke arah kubur Cik Arah. Saya pernah menyimpan niat yang saya rahsiakan daripada sesiapa. Niat tersebut, jika ibu bapa saya dijemput Ilahi sebelum Cik Arah, saya akan menjaga Cik Arah sehingga nyawanya diambil. Selama ini pun, Cik Arah selalu menetap bersama ibu saya atas ajakan ibu saya sendiri. Mereka berdua amat rapat. Bila terkenangkan niat tersebut, air mata saya bergenang semula. Niat saya tak tercapai.

Esoknya saya ke pejabat seperti biasa. Bila bersendirian di dalam LRT, saya terkenangkan semula Cik Arah. Air mata saya dilepaskan begitu sahaja. Sungguh tak tertahan sedih rasanya. Seharian saya tidak punya semangat untuk berkerja. Bila melayari facebook, kesemua adik beradik dan sepupu saya statusnya adalah berkenaan pemergian Cik Arah. Mereka semua merasa kehilangan Cik Arah. Cik Arah amat istimewa bagi kami. Kami sepupu sepapat lebih suka meluahkan perasaan kepadanya kerana Cik Arah adalah seorang pendengar yang baik. Saya membuat keputusan untuk berjumpa kaunselor pada petang tersebut. Petang tersebut saya habiskan masa bersama kaunselor dengan harapan semangat saya pulih semula. Saya sempat menghantar sms kepada isteri untuk memberitahu yang saya pulang lewat hari ini.

Saya pulang ke rumah sekitar jam 5.45 petang. Dalam LRT saya merenung jauh ke kota Kuala Lumpur yang sedang hujang lebat. Ya, di sanalah tempat pertama Cik Arah mencari rezeki. Allahummaghfirlaha warhamha...

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Tuesday, December 13, 2011

Gerakan Islam Menghadapi Cabaran Politik

Islam dan Politik

Gerakan Islam masih mendokong pelbagai jenis pemikiran dan bermacam ragam uslub implimentasi. Ada yang menganggap terjun ke dalam kancah politik sebagai suatu aib yang perlu dihindarkan. Mereka membayangkan tarbiyah adalah suatu proses yang terpisah daripada realiti kehidupan yang mencukupi sekiranya dilaksanakan dengan hanya duduk di dalam sebuah ruangan sambil mendengar penjelasan daripada ustaz atau duduk membaca kitab. Hal ini juga berlaku kepada gerakan-gerakan yang menahan diri daripada politik dan beranggapan bahawa politik itu permainan syaitan yang tidak sesuai untuk orang beriman. Mereka tidak berfikir sama sekali bahawa tindakan ini akan membantu pemerintah zalim mendokong sekularisme dan anti Islam secara tidak langsung.

Mereka juga berusaha menguasai dan mendominasi pemikiran orang lain. Mereka merendahkan pendapat kelompok lain. Mereka mendakwa kelompok-kelompok itu telah mengeksploitasi agama untuk kepentingan politik yang sama sekali tidak layak untuk ahli-ahli ibadat dan juga orang Islam yang rabbani.


Kebangkitan Islam

Kebangkitan Islam membawa maksud Islam berdiri dalam kehidupan sebagai sebuah risalah kebebasan dan keadilan. Kebangkitan Islam tidak berdiri di luar garisan realiti, tetapi terus masuk ke dalamnya dan terus menyelaminya sehingga mencapai pemikiran serta pemahaman yang sempurna hingga tiada ruang bagi pemikiran asing. Sehingga manusia tidak hanya tenggelam dalam hal-hal yang bersifat metafizik da melupakan alam nyata. Tidak hanya beribadah dan melupakan muamalah. Tidak menumpukan kepada ruh semata-mata dan melupakan hal-hal yang bersifat material. Juga tidak hanya memberi komitmen dalam pembangunan insan hingga melupakan komponen kehidupan yang lain seperti politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Permasalahan ini berlaku kerana adanya pendapat yang mengatakan agama dan politik itu adalah dua perkara yang terpisah serta berbeza. Bagi mereka, agama mengatur hubungan antara manusia dengan Allah dan politik mengatur hubungan sesama manusia sahaja.

Hinggakan terdapat ulama yang mengajar ilmu agama tertumpu pada bab taharah dan jinayah sahaja. Di sinilah gerakan Islam muncul menyeru perlaksanaan Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Ibadah berkait rapat dengan kehidupan dan kehidupan pula berkait rapat dengan politik. Seruan-seruan ibadah terutamanya kalimah Allahu Akbar telah berubah menjadi inspirasi politik yang menghubungkan hamba dengan Allah dan menghubungkan hamba dengan kehidupan. Inilah dasarnya seorang muslim dapat mengembalikan kepercayaan dirinya kerana ia sudah menaruh sepenuh kepercayaannya kepada Islam. Namun, ia tidak boleh memisahkan diri daripada masyarakat yang mengelilingi hidupnya.

Sebagaimana penguasa yang gerun dengan kebangkitan gerakan Islam, begitulah juga perasaan yang dialami oleh golongan yang beraliran fikiran tradisional. Para penguasa akan menekan pergerakan pejuang Islam manakala golongan tradisional akan menguji dengan fitnah dan ejekan sehingga menimbulkan keraguan kepada penyokong gerakan Islam. Akhirnya akan terserlahlah golongan tradisional rupanya punya gelombang yang sama dengan penguasa zalim.


Kesimpulan

Kebangkitan Islam telah berjaya mencipta potensi dan mampu menerjah masuk melalui jendela politik. Seterusnya, Islam lah yang akan menjadi penyelesaian permasalahan umat secara bebas dan adil. Perkataan 'politik' yang dimaksudkan bukan bererti mengabaikan aspek intelektual, spiritual dan ibadah. Tetapi semuanya bergerak bersama yang keseluruhannya akan membentuk keperibadian muslim haraki rabbani yang seimbang.


Kita dan Politik

Imam Hasan Al Banna telah menjawab pelbagai tuduhan yang ditujukan kepada Ikhwanul Muslimin (IM) seperti mendakwa mereka adalah politikus dan dakwah mereka adalah dakwah politik. Juga menuduh IM punya agenda sendiri di sebalik seruan dakwah mereka. Hasan Al Banna menjawab,

"Wahai kaum kami, sesungguhnya kami menyeru kamu kepada Islam. Kepada ajaran hukum hakam Islam. Kalau menurut kamu perkara itu adalah politik, maka inilah politik kami. Dan jika kamu menyebutnya politik, maka katakanlah apa sahaja yang kamu suka kerana sebutan itu tidak akan merugikan kami, ketika hakikat menjadi jelas dan tujuan sebenarnya terungkap.

Dan jika ada yang bertanya, kepada apakah kamu menyeru? Katakanlah kami menyeru kepada Islam yang dibawa oleh Rasulullah dan pemerintahan adalah sebahagian daripada Islam. Kebebasan adalah salah satu kewajibannya. Kalau kamu mengatakan perkara ini politik maka katakanlah inilah Islam dan kami tidak mengenal pemisahan-pemisahan ini."

Hassan Al Banna juga menjelaskan bahawa tidak sempurna keislaman seseorang muslim kecuali dia memiliki pandangan yang jauh ke depan mengenai keadaan umatnya dan memberikan perhatian yang besar terhadap agenda ummah.


Pandangan Politik Islam

Ada pihak yang telah berusaha mengkaji kaedah Islam sebagai sistem pemerintahan dan terikat dengan pengalaman generasi pertama Islam sebagai sebuah model eksperimen yang sempurna dan syarie tanpa menilai tabiat eksperimen tersebut. Tanpa melihat keadaan politik, sosial dan sejarahnya. Kita sebenarnya amat memerlukan sebuah format teori berpolitik yang lengkap dan komprehensif serta boleh diteliti dan dinilai oleh semua orang. Pada sudut yang lain, ia tetap merujuk kepada pengalaman sejarah dan nilai-nilai agung serta pengalaman-pengalaman berharga yg ada di dalamnya.


Prinsip-prinsip Umum Politik Islam

Pandangan politik Islam mesti berlandaskan beberapa prinsip umum seperti kebebasan, persamaan, keadilan, penguasaan hukum serta komitmen terhadap prinsip-prinsip pemilihan pemimpin negara sebagai pelaksana hukum, penjaga deen dan pelindung masyarakat. Masyarakat berhak menasihati, memperbetulkan, bahkan menyingkirkan sekiranya perlu. Sistem mestilah berpihak di atas musyawarah yang keputusannya mesti dipatuhi oleh pemimpin.

Sistem politik Islam mestilah memiliki gambaran yang jelas mengenai bagaimana bentuk kebebasan politik, aktiviti politik, parti-parti politik, pembangkang, kebebasan akhbar, posisi wanita, sistem sosial dan ekonomi, pembahagian kekayaan serta kebebasan perundangan.

Bagaimana mungkin masyarakat akan mendokong suatu idea yang masih samar dan kabur. Di sinilah para pemikir Islam dipanggil untuk terlibat secara aktif dalam menyusun dan memilih sistem politik Islam yang sesuai dengan umat ISlam dan peradaban, sejarah serta aqidah yang agung.


Tarbiyah Siasah (Pendidikan Politik)

Kita tidak akan menggunakan definisi-definisi yang berasal daripada idea-idea pemikiran sekular atau yang lain. Kita akan membentuk pemahaman baru yang sesuai dengan prinsip-prinsip kita. Kita menegaskan bahawa:

"Tarbiyah siasah atau pendidikan politik itu adalah pembentukan dan pengembangan keperibadian politik yang sesuai dengan wawasan politik yang sebenarnya. Pembentukan dan pengembangan kesedaran politik sehingga individu itu berkesedaran dan mampu dengan sendirinya menumbuhkan kesedaran tersebut. Pembentukan serta pengembangan kemampuan untuk terlibat di dalam politik sehingga individu itu dapat berperanan dengan efektif di dalam berbagai permasalahan masyarakat secara umum. Juga berperanan dalam berbagai bentuk penglibatan yang akan mengarah kepada perubahan kondisi yang lebih baik".

Ciri-ciri Tarbiyah Siyasiah



  1. Bertujuan untuk membentuk dan mengembangkan (tawajjuhat) orientasi-orientasi politik yang merangkumi nilai-nilai, keyakinan, aliran dan kecenderungan politik. Hal ini membolehkan individu itu berkesedaran terhadap berbagai sikap politik dan isu-isu tempatan, serantau mahupun antarabangsa. Berkesedaran juga terhadap apa-apa yang boleh memampukannya untuk turut berperanan di dalam proses politik dengan sedar dan efektif khususnya di dalam kehidupan berpolitik masyarakat dan kehidupan sosial.

  2. Bertujuan membentuk kader yang kritis dan mampu berdialog secara membina di samping mampu melakukan kerja-kerja yang boleh membawa kepada perubahan ke arah yang lebih baik. Oleh itu, tarbiyah ini tidak akan berjalan di dalam lingkungan yang tidak ada kebebasan berpendapat, mengkritik dan berdialog.

  3. Tarbiyah siyasiah adalah proses yang berlaku seumur hidup. Tidak terbatas oleh usia, taraf pendidikan atau golongan tertentu sahaja. Ini kerana politik adalah masalah setiap warganegara dan merupakan ciri khas manusia.

  4. Tidak terbatas kepada sekolah atau keluarga sahaja, tetapi melibatkan institusi rasmi dan tidak rasmi, parti-parti, akhbar-akbar dan sebagainya. Uslubnya tidak terbatas pada doktrin langsung sahaja, tetapi mencakupi kaedah tidak langsung seperti pembelajaran, memberikan pemahaman dan mentaklid. Memberikan pemahaman politik secara langsung, menyediakan kaedah praktikal di lapangan dan latihan sebenar politik yang membolehkan seseorang itu mendapat pengalaman-pengalaman politik serta dapat mengembangkan potensi-potensinya.

  5. Terdiri daripada asas-asas aqidah, sosial dan tentunya asas-asas politik.

Daripada penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa tarbiyah siyasiah memiliki tiga dimensi utama iaitu:



  • Dimensi prinsip dan asas-asas pemikiran yang membentuk wawasan politik sama ada secara langsung atau tidak.

  • Dimensi tujuan yang ingin dicapai iaitu: peribadi, politik, kesedaran politik dan penglibatan di dalam politik.

  • Dimensi institusi-institusi dan uslub-uslub yang digunakan untuk merealisasikan objektif-objektif tersebut.


Objektif Tarbiyah Siyasiah



  1. Pembentukan dan pengembangan peribadi politik

  2. Pembentukan kesedaran politik

  3. Pembentukan kemampuan penglibatan di dalam politik

Peribadi politik yang dimaksudkan adalah seperti berikut:



  • Perasaan politik yang meliputi komitmen dan loyaliti (wala') politik yang dibentuk oleh individu

  • Norma dan prinsip-prinsip dasar yang berkaitan dengan politik secara langsung atau tidak langsung

  • Pengetahuan, pemahaman dan penilaian politik

Kesedaran politik pula bermaksud:



  • Pengamatan yang menyeluruh terhadap berbagai peristiwa

  • Pemahaman yang mendalam

  • Menyedari sepenuhnya tanggungjawab

  • Memiliki keinginan untuk mengasingkan diri sehingga dapat melepaskan segala belenggu dalam menghadapi berbagai permasalahan masyarakat.

Penglibatan politik boleh berlaku melalui kegiatan-kegiatan yang akan menentukan matlamat bersama masyarakat. Kajian, bacaan dan pengetahuan umum perlu ditingkatkan sehingga mengetahui masalah-masalah masyarakat.



Institusi-institusi Tarbiyah Siyasiah



  • Keluarga

  • Sekolah

  • Parti dan kelompok politik

  • Media massa dan media informasi

Perbahasan ini dipetik daripada buku bertajuk "Gerakan Islam Menongkah Cabaran", karangan Mustafa Muhammad Tahan dari Lebanon


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Wednesday, November 30, 2011

Masuk hospital semula

Hujan mula turun setelah jenazah nenek tiba di Masjid Kg. Permatang Pasir, Linggi. Memang mengharukan apabila melihat 4 beradik yang terus menyingkatkat percutian mereka di Australia pulang menatap jenazah bonda yang mereka cintai. Dalam hujan juga kami menuju ke permakaman yang terletak hanya 100 meter dari masjid tempat jenazah disembahyangkan. Saya tidak menunggu lama di perkuburan kerana batuk saya semakin teruk. Tambah dengan kedinginan hujan yang membuatkan batuk saya tidak henti-henti. Sakit sudah mula menjalar dari dada ke pinggang pula. Setelah kubur dikambug semula, saya terus bergerak menuju ke kereta tanpa menunggu talqin bermula. Setiba di rumah arwah nenek, saya meminta isteri menyiapkan barang untuk pulang ke Seremban. Selesai solat maghrib, saya dihantar ke hospital oleh adik saya. Saya bersendirian menuju ke tempat kecemasan untuk melaporkan diri setelah meminta untuk discaj pada hari sebelumnya.

Malam tersebut saya ditempatkan di wad 315, Seremban Specialist Hospital (KPJ Seremban). Kahak dan air kencing saya diambil untuk dihantar ke makmal. Keesokannya, x-ray diambil pada bahagian dada saya. Saya masih lagi diberikan nebulizer untuk membantu paru-paru saya bernafas dengan lebih lancar. Tidak dinafikan saya mula merasa bosan duduk di wad hospital. Kebetulan, adik perempuan saya baru melahirkan anak perempuan di wad bawah pada hari tersebut. Saya luangkan sedikit masa menziarahi adik perempuan saya dan bayinya. Namun, saya tidak berasa selesa untuk berada lama di wad adik saya kerana khuatir akan mendapat jangkitan kuman daripada saya pula. Doktor baru mengesahkan saya menghidap bronchitis. Lebih mengejutkan saya juga menghidap pneumonia. Memang di luar jangkaan. Saya terpaksa bermalam sekali lagi di wad kerana terpaksa menjalani ultra sound scan. Menurut doktor, beliau mengesyaki terdapat kuman di hati saya kerana terdapat bacaan enzim yang sangat tinggi dalam keputusan ujian darah saya. Saya memohon kebenaran untuk bermalam di rumah kerana sudah terlalu bosan duduk di wad. Kerinduan kepada anak-anak juga menyebabkan saya mahu segera keluar dari wad ini. Doktor memberi kebenaran dan tanpa berlengah lagi saya terus meninggalkan hospital selesai solat maghrib.

"Encik datang semula jam 8 pagi ya"

Saya hanya mengangguk sambil tersenyum. Malam tersebut saya sempat melayan kerenah anak-anak sebelum melelapkan mata. Satu malam tanpa kehadiran anak-anak janggal sungguh rasanya. Keesokan pagi saya kembali ke hospital dengan memandu sendirian. Saya tiba seawal jam 7 pagi. Saya menonton berita sambil menunggu ketibaan doktor. Dek sibuk melayan anak sampai saya terlupa menonton berita malam tadi. Doktor hanya tiba sekitar jam 9 pagi.

"Ultra sound scan awak saya dah schedule pukul 12 tengahari"

"Bukan waktu pagi?"

Doktor hanya menggeleng kepala sambil tersenyum. Waduh, perut saya sudah lapar kerana tidak menyantap makanan sejak jam 8 malam tadi. Saya setia menunggu giliran sehingga ke jam 12 tengahari. Ketika scan dilakukan, doktor terjumpa beberapa ketulan batu kecil di dalam hempedu saya. Mungkin lemak katanya. Saya bertanya semula adakah ia berbahaya. Doktor hanya menjawab soalan tersebut hanya boleh dijawab oleh doktor saya. Bidang beliau hanyalah radiologi sahaja. Saya kembali semula ke wad dalam keadaan gusar. Badan saya dipenuhi penyakit rupanya. Saya menunggu ketibaan doktor untuk mendapatkan laporan kesihatan saya. Malangnya doktor tidak hadir, hanya jururawat yang menerangkan status kesihatan saya. Itupun ada beberapa soalan yang gagal dijawab oleh jururawat tersebut.

Seperti biasa, saya diberikan gas nebulizer dan dibenarkan keluar wad sekitar 2 petang. Saya terus menjemput anak-anak dari rumah mertua. Saya sempat melelapkan mata sebelum membawa mereka pulang ke rumah. Di rumah, isteri sudah pun tiba dari tempat kerja. Beliau terus mencari-cari laporan kesihatan saya. Terbeliak juga matanya. Saya mengerutkan kening.

"Kenapa?"

"Kalau ikut result ni, ayang dah lama ada pneumonia. Mungkin pneumonia tu hilang sendiri. Tapi nisbah ni sangat tinggi"

"Maksudnya?"

"Maksudnya kuman tu tengah aktif membiak"

Aduhai, semakin pening saya dibuatnya...



"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Perginya nenek...

"Kong kong kong", batukku masih belum menampakkan tanda-tanda akan kebah. Sudah 3 minggu ianya berlarutan. Bermula dengan demam, disusuli dengan selsema dan diikuti dengan batuk. Namun yang menghilang hanya demam dan selsema. Batuk masih kekal setia. Dua botol ubat batuk sudah habis ditelan. Saya bertanya kepada isteri sama ada perlu saya ke hospital pakar untuk mendapatkan rawatan lanjutan. Isteri saya bersetuju kerana batuk saya semakin teruk. Malah sakitnya sudah merebak ke dada dan pinggang. Tidak pernah saya rasakan batuk yang seazab ini.

Waktu masih awal lagi. Rancangan saya ialah ke hospital KPJ pada waktu pagi. Jangkaan saya rawatan akan selesai sementelah waktu tengahari. Justeru, saya boleh terus menuju ke Kolej Matrikulasi N.Sembilan di Kuala Pilah untuk bertemu anak usrah di sana. Sudah 3 minggu tidak bertemu mereka gara-gara minggu peperiksaan dan cuti semester. Rindu benar rasanya hendak bertemu mereka. Saya terus memandu ke KPJ sekitar jam 9 pagi. Tiba di pintu kecemasan pada jam 9.30 pagi dan terus diberikan rawatan. Beberapa soalan diajukan untuk mengetahui susur galur batuk saya. Sudah berapa lama? Berkahak atau tidak? Apa warna kahak? Malah, kaki saya juga diperiksa. Mungkin untuk melihat tanda-tanda tibi agaknya. Aneh.

Setelah soalan habis ditanya, darah saya pula diambil untuk dihantar ke makmal. Seterusnya, saya diberikan 'nebulizer' untuk melancarkan pernafasan saya. Berbentuk cecair dan dialirkan melalui tong gas oksigen. Saya perlu menyedutnya dengan menggunakan 'topeng' mirip seperti penyelam skuba. Sedikit rasa lega saya rasai pada dada yang awalnya terasa sempit.

"Ting"...Saya mengerling ke arah Blackberry yang saya letakkan di atas meja. Bunyi tersebut memang khas saya letakkan sebagai mesej daripada isteri saya sahaja.

"Nenek sdg tenat kat spital. BP 50/20"

Serta merta anak mata saya membuntang. Saya perlu segera keluar dari KPJ menuju ke Hospital Tuanku Jaafar. BP 50/20 terlalu rendah dan boleh hilang sedar pada bila-bila masa.

"Nurse...nurse...", saya mula menjerit tak tentu hala.

"Saya kena keluar sekarang. Nenek saya sedang tenat".

Jururawat kelihatan serba salah. Terus dia menuju ke arah doktor meminta pandangan. Doktor hanya mengangguk tanda setuju.

"Nanti encik datang sini semula bila dah selesai".

"OK, insya Allah", tanpa memandang ke arah jururawat, saya terus menghantar SMS kepada isteri supaya tunggu di rumah kerana saya akan menjemputnya. Isteri saya membalas dia sudah pun dalam perjalanan untuk menjemput saya. Sambil menunggu ketibaan isteri, saya menghantar SMS kepada anak usrah yang perjumpaan tengahari tersebut terpaksa dibatalkan. Diri saya mula dibelenggu rasa bersalah. Malam tadi ada terlintas di hati ingin melawat nenek di rumah makcik saya. Melihat isteri yang keletihan dan anak-anak yang sudah termanggu mengantuk, saya membatalkan niat saya. Tambahan pula, pakcik saya ada memaklumkan yang kesihatan nenek semakin pulih. Sebelum ini, nenek telah dimasukkan ke hospital kerana pendarahan usus.

Sejurus kereta isteri tiba di pintu masuk hospital, saya terus melompat masuk. Hati tidak tenteram dan dada semakin sesak. Saya menghantar SMS kepada sepupu saya bertanyakan wad nenek. Jawapan yang diterima, nenek ditempatkan di zon kecemasan. Tiba di hospital, saya terus turun dari kereta sementara isteri saya mencari parkir yang berdekatan. Kelihatan makcik dan pakcik saya sedang menunggu di luar zon merah sambil membaca surah yasin. Mak kelihatan sedang berbual dengan sepupu perempuan saya. Abah pula ke surau bersolat hajat. Saya bertanya kepada mak di mana nenek. Mak hanya memberitahu nenek di dalam zon merah dan kami tidak dibenarkan masuk. Saya mula tidak keruan. Ini bukan petanda baik.

Saya bertanya kepada sepupu lelaki saya apa yang terjadi kepada nenek. Katanya, ketika waktu Subuh, makcik yang menjaga nenek saya masuk ke bilik nenek untuk membantunya mengambil wudhuk. Nenek sudah tidak berdaya untuk berjalan kerana faktor usia yang sudah mencecah 80 tahun. Apabila suis lampu ditekan, makcik saya terkejut tak terkata. Darah mengalir dengan banyaknya dari kain nenek memenuhi bilik. Malah menembusi tilam. Makcik saya segera menelefon anaknya yang sulong untuk menghantar nenek ke hospital. Oleh kerana jaraknya agak jauh, makcik saya juga menelefon hospital untuk mendapatkan khidmat ambulans. Dari situ, nenek ditempatkan di zon merah hinggalah sekarang.

"Cik Adam dah tahu?" saya bertanya kepada mak. Mak menjawab yang sepupu lelaki saya telah menelefon pakcik saya bernama Adam di Australia tentang keadaan nenek. Kira-kira seminggu sebelum itu, pakcik saya bernama Baharudin telah menawarkan tiket penerbangan kepada adik beradik ibu saya untuk bercuti di Perth, Australia. Antara yang bersetuju menerima pelawaan tersebut adalah adik ibu saya yang bernama Adam dan empat orang lagi adik beradik. Ibu saya mempunyai 10 orang adik beradik. Yang masih hidup hanya 9 orang. Ketika nenek nazak, hanya ada ibu saya, 2 orang kakaknya (salah seorangnya sempat pulang dari Australia beberapa hari lebih awal) dan seorang abangnya sahaja yang berada di sisi nenek. Saya bertanya kepada ibu saya adakah Pakcik Adam mengetahui hal ini kerana itulah anak kesayangan nenek saya.



Kira-kira sejam kemudian, keluar seorang doktor ingin berjumpa dengan anak-anak nenek. Masing-masing kelihatan pucat lesi. Apakah nenek sudah tiada? Doktor memberitahu keadaan nenek mula menampakkan perubahan yang baik. BP telah meningkat kepada 90/60. Terdapat sedikit kuning pada mata nenek. Doktor sendiri tidak pasti mengapa nenek boleh terkena jangkitan kuning. Doktor mula membenarkan waris untuk menziarahi nenek di zon merah. Namun terhad seorang setiap masa. Saya sempat bersendirian dengan nenek. Itulah kali terakhir saya menatap wajah nenek dalam keadaan beliau masih sedar. Itulah kali terakhir nenek bersuara pada saya. Namun perkataannya tidak jelas kerana beliau tidak mampu membuka mulut. Saya hanya mengangguk sahaja. Oleh kerana masih ramai sepupu dan menantu nenek yang ingin menatap nenek, saya membataskan masa hanya selama 3 minit sahaja. Sebelum meninggalkan nenek, salah seorang doktor bertanya adakah saya anak nenek. Saya menjawab saya adalah cucu nenek. Namun, saya boleh mengagak yang doktor perlukan waris yang mempunyai latar belakang bidang perubatan. Dengan pantas saya menyambut yang isteri saya adalah seorang doktor jika perlukan bantuannya. Doktor tersebut tersenyum lega mendengar kata-kata saya.



"Ya boleh juga"


Saya segera menuju ke arah isteri saya dan memintanya masuk ke dalam zon merah. Kira-kira hampir seminit doktor tersebut menyoal isteri saya, isteri saya segera keluar mencari makcik saya mengetahui sejarah kesihatan nenek saya. Isteri saya dan makcik berjalan pantas menuju ke zon merah. Kesemua waris yang hadir kelihatan cemas. Jam sudah menunjukkan pukul 2.45 petang. Nenek sudah berada di dalam zon merah sejak jam 7 pagi tadi. Lebih 7 jam beliau bersabung nyawa. Tidak lama kemudian isteri saya dan makcik keluar dari zon merah dengan wajah yang sugul. Doktor memberitahu isteri saya ahli keluarga mempunyai pilihan sama ada nenek diberi bantuan pernafasan melalui mesin atau membiarkan beliau meninggal secara perlahan-lahan. Kesemua adik beradik ibu saya tidak mampu untuk berfikir ketika itu. Semuanya menyerahkan kepada isteri saya untuk membuat keputusan kerana dia lebih arif dalam bidang perubatan. Isteri saya membuat keputusan untuk membantu nenek berjuang melawan maut. Bantuan mesin pernafasan. Itulah jawapan isteri saya kepada doktor dengan yakin. Isteri saya dan makcik menyusul doktor untuk masuk menjenguk nenek. Tidak sampai seminit, isteri saya dan makcik keluar semula.



Isteri saya kelihatan cemas, manakala makcik saya pula sudah mula menangis. Nenek sudah tidak sedarkan diri. Doktor yang merawat nenek keluar bertemu kami sekeluarga. Katanya nenek sudah tidak sedarkan diri dan CPR akan diberi selama 30 minit. Isteri saya terus memandang ke arah saya. Dengan wajah yang sedih, isteri saya menggelengkan kepala. Saya faham maksudnya. Mengikut pengalamannya, jika tidak sedarkan diri dan CPR dilakukan selama 30 minit, peluang untuk hidup amat tipis. Terus kami sekeluarga mengalirkan air mata. Kelihatan beberapa orang doktor bergilir-gilir melakukan CPR kepada nenek. Kami pasrah dan hanya menunggu masa doktor mengumumkan kematian nenek. Ketika itu, saya masih belum menunaikan solat Zohor lagi. Saya segera menuju ke surau berdekatan untuk menunaikan tanggungjawab. Dalam keadaan sayu dan penuh pengharapan, saya berdoa kepada Allah supaya dipanjangkan umur nenek. Lumrah alam menunjukkan nenek sudah tiada harapan lagi. Tetapi saya tetap ingat yang menjayakan harapan adalah Pencipta alam.



Selesai menunaikan solat, saya menuju ke zon merah semula. Isteri saya memberitahu yang ahli keluarga telah sepakat untuk meminta doktor memberhentikan CPR selepas 15 minit mencuba. Kali ini kami benar-benar menunggu pengumuman daripada doktor sahaja. Kami semua dibenarkan untuk menziarahi nenek buat kali terakhir. Ternyata nenek sudah tidak sedarkan diri dan denyutan jantungnya sangat perlahan. Kira-kira jam 3.15 petang, doktor mengisytiharkan nenek sudah meninggal dunia. Kami pasrah dan telah pun bersedia menerima berita tersebut. Nenek memang seorang pejuang. 8 jam lamanya nenek bertarung nyawa sebelum tewas.



Pada saya, nenek seorang individu yang sangat baik. Sepanjang 29 tahun hidup bersamanya, saya tidak pernah mendengar nenek meninggikan suara kepada anak mahupun cucunya. Kerana itulah pemergiannya amat kami rasai. Nenek punya keluarga yang besar. Beliau mendirikan rumah tangga seawal usia 17 tahun. Punya 10 orang anak. Anak keduanya meninggal ketika berusia 22 tahun kerana leukimia. Ditambah lagi dengan 15 cucu lelaki dan 13 cucu perempuan. Cicitnya pula seramai 13 orang. Memang meriah tak terkata tatkala menyambut hari raya. Terus terang saya katakan saya bukanlah cucu yang paling rapat dengan nenek. Tetapi saya sangat menyayangi nenek. Saya bukan jenis individu yang suka meraih perhatian. Ada antara sepupu saya yang memiliki keistimewaan tersendiri. Ini menyebabkan nenek menyayangi mereka lebih sedikit daripada yang lain. Dan saya tidak pernah kisah dengan hal tersebut kerana saya tahu nenek tetap menyayangi kesemua cucunya. Ada antara sepupu saya merupakan anak kacuk dengan warga Australia. Wajah mereka yang cantik dan menarik menjadi tarikan kepada nenek. Jarang pulang ke tanah air juga menjadi punca mengapa nenek melebihkan mereka. Ada juga cucu-cucu yang sangat rajin berbanding kami semua. Anak Mak Tam dididik rajin berkemas dan menjaga kebersihan, termasuklah anak-anak lelaki. Setiap kali kenduri, merekalah yang paling rajin membantu. Ini juga menyebabkan nenek kasihkan mereka.

Kini nenek sudah tenang di alam barzakh. Rumahnya di kampung sunyi tak berpenghuni. Saya hanya sempat merenung rumah lama itu sebelum pulang ke Seremban. Terlalu banyak kenangan di zaman kanak-kanak di sini. Sebuah lagi rumah kampung yang unik akan menyembah ke bumi. Alangkah sedihnya rasa di hati.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

An Nu'man bin Muqarrin Al Muzani

Kabilah Muzainah membuat penempatan mereka berhampiran Yathrib. Kampung mereka berada di pertengahan jalan Madinah dan Makkah. Pada suatu malam, ketua kaum itu, An Nu'man bin Muqarrin berhimpun bersama adik beradiknya dan juga syuyukh kabilah di tempat perkumpulan mereka.

"Wahai kaumku, Demi Allah! Kita tidak mengetahui mengenai Muhammad melainkan yang baik belaka. Kita juga tidak dengar mengenai seruannya melainkan seruan rahmat, kebaikan dan keadilan. Kenapalah kita masih berlengah sedangkan orang lain bersegera menemuinya?"

Ketika itu kaum Muzainah baru mendapat berita tentang penghijrahan Rasulullah ke Madinah.

"Saya telah berazam untuk pergi menemuinya pada pagi esok. Sesiapa yang ingin bersama saya, hendaklah dia membuat persiapan".

Kata-kata Nu'man itu tepat menyentuh lubuk hati kaumnya. Menjelang waktu pagi, beliau dapat 10 saudaranya dan 400 pahlawan Muzainah telah pun siap untuk bersama beliau menuju ke Yathrib. Tujuan mereka adalah untuk bertemu Rasulullah dan memeluk agama Islam. Cuma Nu'man berasa malu untuk berangkat tanpa membawa hadiah untuk diberikan kepada baginda. Kemarau yang mereka hadapi telah memusnahkan tanaman dan ternakan. Beliau hanya dapat mengumpulkan beberapa anak kambing dan dipersembahkan kepada baginda.

Yathrib gempar dan bergegar dengan kegembiraan keislaman Bani Muzainah. Tidak pernah berlaku dalam mana-mana rumah Arab sebelum itu, 11 bersaudara daripada seorang ayah dan 400 pahlawan memeluk Islam secara serentak. Rasulullah terlalu gembira dengan keislaman Nu'man. Allah SWT telah menerima pemberiannya yang sedikit itu dan menurunkan ayat mengenainya.

"Dan sebahagian dari orang-orang Arab itu ada yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan memandang apa yang mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal bakti (yang mendampingkan) di sisi Allah dan sebagai (satu jalan untuk mendapat) doa daripada Rasulullah (yang membawa rahmat kepada mereka). Ketahuilah, sesungguhnya apa yang mereka dermakan itu adalah menjadi amal bakti bagi mereka (yang mendampingkan mereka kepada Allah). Allah akan masukkan mereka ke dalam rahmatNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampung, lagi Maha Mengasihani" (At Taubah: 99)

Sebelum peperangan al Qadisiyyah meletus, Sa'ad bin Abi Waqqas telah menghantar utusan kepada Kisra Yazdajurd yang diketuai oleh An Nu'man bin Muqarrin. Kisra bertanya kepada rombongan tersebut mengapa mereka datang dan mahu menyerang Parsi. Kisra menyangka tentera Islam mahu menyerang Parsi kerana selama ini Parsi tidak menunjukkan kekuatannya yang sebenar. Kisra dengan angkuhnya menyatakan Parsi tidak mahu menggunakan kekerasan ke atas tentera Islam. Nu'man menjawab setelah dimulai dengan kata-kata memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah,

"Allah telah merahmati kami dengan mengutuskan kepada kami seorang Rasul. Baginda telah menunjuk dan memerintahkan kami melakukan kebaikan. Baginda juga mengajar kami mengenali kejahatan dan melarangnya. Baginda juga telah berjanji kepada kami, jika kami menerima seruannya, Allah akan memberi kebaikan di dunia dan di akhirat kepada kami. Dalam masa sekejap sahaja, Allah telah menukarkan kesempitan kami menjadi luas, kehinaan menjadi mulia, permusuhan menjadi persaudaraan dan kasih sayang. Baginda memerintahkan kami supaya mengajak manusia kepada agama yang membawa kebaikan kepada mereka. Dan agar kami memulakannya dengan mereka yang berdekatan. Oleh itu, kami mengajak kamu masuk ke dalam agama kami. Ia sebuah agama yang menghukum baik kesemua perkara baik dan menggalakkannya. Ia juga menghukum buruk kesemua perkara buruk dan menegahnya.

Agama ini mengeluarkan penganutnya dari kegelapan dan kezaliman kufur kepada cahaya dan keadilan iman. Jika kamu menerima seruan kami kepada Islam, kami akan tinggalkan kitab Allah kepada kamu. Kemudian kami tugaskan kamu melaksanakannya dengan kamu berhukum dengan hukum hakamnya. Setelah itu, kami pulang meninggalkan kamu dengan urusan kamu. Jika kamu enggan memeluk Islam, kami akan mengambil jizyah daripada kamu dan melindungi kamu. Jika kamu enggan membayar jizyah, maka kami akan memerangi kamu."

Mendengar kata-kata An Nu'man, kemarahan Yazdajurd menjadi menyala-nyala. Beliau lantas menengking,

"Sesungguhnya beta tidak mengetahui suatu bangsa pun di muka bumi ini yang lebih sengsara dan sedikit bilangannya daripada kamu. Tiada bangsa yang sangat kuat berpecah dan teruk keadaannya berbanding kamu. Kami dulunya menyerahkan urusan kamu kepada para pegawai tadbir di perbatasan. Mereka mendapatkan kepatuhan kamu untuk kami."

Kemudian beliau mengendurkan sedikit suaranya yang keras,

"Jika kamu datang ke sini kerana keperluan hidup, kami akan bekalkan makanan asasi kepada kamu sehinggalah negeri kamu kembali subur. Kami berikan juga pakaian kepada pemimpin dan pemuka kaum kamu. Dan seterusnya kami lantik seorang raja mewakili pihak kami yang bersikap lembut kepada kamu."

Namun utusan Islam tetap berkeras dengan ajakan Islam kepada bangsa Parsi. Yazdajurd semakin marah,

"Jika bukan kerana para utusan tidak dibenarkan untuk dibunuh, nescaya beta telah bunuh kamu"

"Bangun semua. Tiada habuan untuk kamu di sisiku. Beritahu panglima kamu, beta akan utuskan Rustum kepadanya. Dia akan menguburkan kamu semua di dalam parit al Qadisiyyah", ujarnya lagi.

Kemudian Kisra bertitah untuk dibawakan sebeban tanah. Beliau dengan angkuhnya mengarahkan tanah tersebut dipikul oleh orang yang paling mulia di kalangan utusan tentera Islam tersebut. 'Asim bin Umar telah memikul beban tanah tersebut keluar dari kota Parsi tersebut dengan penuh keyakinan yang kota itu akan jatuh ke tangan kekuasaan Islam. Maka berlakulah Perang Qadisiyah dan parit tersebut dipenuhi dengan bangkai mayat tentera Parsi.

Pun begitu, tentera Parsi tidak berdiam diri dan telah menghantar seramai 150 ribu tentera untuk membalas dendam atas kekalahan dalam Perang Qadisiyah. Saidina Umar al Khattab maklum akan bilangan tentera Parsi yang akan menggempur pasukan Islam. Beliau berhajat untuk turut serta dalam peperangan kali ini. Walau bagaimanapun, para sahabat tidak bersetuju beliau turut serta demi menjaga kepimpinan di Madinah. Lalu Saidina Umar mengutuskan orang yang lebih tangkas daripada tombak untuk memimpin bala tentera, iaitu An Nu'man bin Muqarrin.

"Daripada hamba Allah, Umar bin al Khattab kepada An Nu'man bin Muqarrin.
Amma ba'du!

Sampai kepada saya berita, tentera a'jam (Parsi) yang ramai telah berkumpul di bandar Nahawand untuk menyerang kamu. Oleh itu, apabila surat saya ini sampai kepadamu, bertolaklah bersama tentera Islam untuk menentang mereka dengan perintah Allah, pertolongan dan kemenangan daripadaNya. Janganlah kamu menempatkan tentera Islam di kawasan yang kasar dan tidak rata. Kamu akan menyakiti mereka. Sesungguhnya seorang lelaki Islam lebih saya kasihi daripada 100 ribu dinar. Salam sejahtera ke atas kamu."

Nu'man telah menghantar pasukan pengintip untuk meninjau keadaan jalan yang akan dilalui. Apabila menghampiri Nahawand, kuda mereka terhenti. Mereka cuba mendorong kuda mereka untuk maju, tetapi tidak berhasil. Mereka turun dari kuda dan mendapati serpihan besi seperti kepala paku terpacak di tapak kaki kuda mereka. Rupa-rupanya tentera Parsi telah menabur duri-duri besi di semua jalan yang menuju ke Nahawand. Mereka mahu menghalang tentera Islam daripada sampai ke bandar tersebut.

Nu'man mengarahkan tentera Islam supaya tidak berganjak. Mereka diarahkan menyalakan api pada waktu malam supaya dapat dilihat musuh. Pada masa yang sama mereka juga diarahkan supaya nampak takut dan gerun kepada musuh. Ini bertujuan supaya tentera Parsi merasa yakin dan menyerang tentera Islam terlebih dahulu. Apabila musuh menyerang tentera Islam terlebih dahulu, paku-paku yang ditabur akan dibersihkan. Ini akan memudahkan tentera Islam berperang tanpa sebarang gangguan. Umpanannya menjadi dan sekali lagi tentera Islam mencapai kejayaan.

Sebelum peperangan meletus, Nu'man berpesan kepada tenteranya yang beliau akan bertakbir sebanyak 3 kali sebagai tanda peperangan akan bermula. Apabila laungan takbir pertama berkumandang, tentera Islam hendaklah bersiap sedia. Laungan takbir kedua menandakan tentera Islam hendaklah memegang senjata masing-masing. Laungan takbir terakhir bermakna serangan ke atas musuh bermula. Ramai jiwa yang terkorban. Darah membasahi medan peperangan. Ini menyebabkan kuda An Nu'man bin Muqarrin tergelincir lalu mati. Nu'man juga jatuh serta cedera parah dan akhirnya syahid. Saudaranya yang melihat tragedi itu terus mencapai panji dari jenazah Nu'man dan menutup jasadnya dengan kain supaya tidak diketahui oleh tentera Islam yang lain.

Kemenangan ini dinamakan Fathu al Futuh, iaitu ketua segala pembukaan (negara). Tatkala itu, tentera Islam tercari-cari di mana ketua panglima mereka. Maka tampillah saudara Nu'man dan menyingkap kain yang menutup satu jasad.

"Inilah ketua kamu, Allah telah menggembirakannya dengan kemenangan dan menyudahkan usianya dengan mati syahid".

Kisah ini dipetik dari buku bertajuk "Suwar min Hayaatis Sahaabah " - Gambaran Kehidupan Sahabat, tulisan Dr. Abdul Rahman Ra'fat al Basha


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Thursday, November 24, 2011

Tahniah semua...

Alhamdulillah, setelah lama tidak menulis, kini saya dianugerahkan Allah masa yang terluang sedikit untuk mencoret sedikit cetusan minda untuk dikongsi bersama. Tidak dinafikan juga perasaan malas yang sering melanda membuatkan jari saya terlalu berat untuk menaip di papan keyboard. Namun bagi saya, kepuasan menulis adalah satu nikmat yang pastinya saya syukuri. Jika tidak menulis dalam sebulan, hati saya akan merasa gelisah kerana tidak punya apa-apa untuk dikongsi bersama masyarakat di luar. Jika tidak berkongsi ilmu, sekurang-kurangnya saya dapat berkongsi perasaan saya. Salah satu perkara yang boleh menggembirakan saya adalah kejayaan pasukan bola sepak yang saya sanjungi. Sejak bulan lepas, hampir kesemua pasukan kegemaran saya mempamerkan aksi yang begitu cemerlang.

Bermula dengan kejayaan N.Sembilan menjulang Piala Malaysia buat kali ketiga dalam sejarah bola sepak, dituruti kejayaan Liverpool menewaskan Chelsea di Stamford Bridge dan akhir sekali kalungan pingat emas yang berjaya dituai oleh skuad Harimau Muda. Saya, juga seperti rata-rata pemerhati sukan bola sepak tanah air tidak meletak harapan yang tinggi kepada pasukan N.Sembilan untuk menjuarai piala kegilaan ramai tersebut. Semuanya adalah kerana prestasi yang kurang memberansangkan pasukan N.Sembilan dalam Liga Super serta rekod yang tidak begitu baik sepanjang pertemuan dengan pasukan Terengganu. Terengganu yang berbekalkan kemenangan ke atas Kelantan dan Selangor nyata nampak lebih yakin dan bersemangat untuk menjadi juara yang baru setelah tewas dalam aksi akhir Piala Malaysia sedekad yang lalu. Namun, beberapa hari sebelum perlawanan akhir berlangsung, mula kedengaran suara-suara sumbang yang merendah-rendahkan kemampuan pasukan N.Sembilan. Penyokong N.Sembilan juga ada yang berbuat demikian, namun bilangannya tidak ramai. Rata-rata penyokong N.Sembilan lebih suka menyebutkan keyakinan mereka untuk menang pada aksi final daripada mengutuk pasukan lawan. Mungkin orang pantai timur terlalu ghairah dengan kejayaan pasukan mereka layak ke final menyebabkan ada segelintir daripada mereka yang melampaui batas. Sejak dari itu, saya semakin yakin yang N.Sembilan pasti menang dalam perlawanan akhir nanti. Prinsip saya, sesiapa yang menganiaya pasti akan dianiaya akhirnya.

Saya hanya menyaksikan perlawanan final di kaca televisyen. Pada saya, mengapa dibazirkan bayaran bulanan pada Astro jika tidak menggunakannya? Namun, tiada salahnya bagi mereka yang menyaksikan perlawanan di stadium. Saya pasti mereka ke sana kerana sayangkan pasukan mereka dan tidak kurang juga untuk membantu kewangan persatuan bola sepak supaya sukan ini lebih maju setapak lagi. Babak separuh masa pertama bermula dengan baik. N.Sembilan kelihatan lebih mendominasi perlawanan dan beberapa cubaan hampir menerjah gawang gol. Babak separuh masa kedua pula berlangsung dengan hampir keseluruhan perlawanan dikuasai oleh Terengganu. Akhirnya gol yang ditunggu-tunggu muncul jua. Bezanya cuma gol tersebut dijaringkan oleh pemain Terengganu dan pemain N.Sembilan terkasima seketika. Hanya 3 pemain sahaja diperlukan untuk merobek gawang skuad Rusa.

Tiba ke minit 80, harapan semakin tipis. Terengganu menggandakan asakan dan serangan N.Sembilan nampak kurang menyengat. Tetapi, serangan yang kurang menyengat itulah yang menghangatkan suasana. Pemain sayap N.Sembilan yang cuba melorongkan bola kepada penyerang gagal disambar sesiapa dan menyebabkan penjaga gol Terengganu terkeliru sehingga membiarkan bola membolos gawang. Suasana di stadium kembali riuh dan penyokong N.Sembilan kembali bersemangat. Penyokong Terengganu mula menghangatkan keadaan. Ada yang memancarkan laser ke arah pemain N.Sembilan. Tidak kurang juga ada antara mereka yang membaling mercun. Lewat permainan, N.Sembilan menyumbat satu lagi gol yang bagi saya penuh dengan skil dan seni sukan bola sepak. Ketua pasukan N.Sembilan menyilang bola ke tengah kotak D dan disambut dengan sepakan gunting oleh penyerang N.Sembilan yang berasal dari Terengganu. Itulah pengakhirannya. Jelas pemain Terengganu kelihatan murung dan sedih. 10 tahun lamanya menunggu untuk beraksi di final dan akhirnya mereka pulang dengan pingat naib juara sahaja.

Ulasan saya, jelas kelihatan pemain Terengganu telah mengubah corak permainan mereka pada separuh masa kedua. Pada separuh masa pertama mereka lebih banyak menggunakan sayap untuk membawa bola masuk ke tengah kotak D. Menyedari hal ini, pemain tengah N.Sembilan turut turun membantu pertahanan bagi menutup ruang bola daripada sampai ke tengah kotak D. Malah dalam separuh masa pertama, pemain sayap N.Sembilan telah diturunkan sebagai wing back untuk menyekat kemaraan pemain sayap Terengganu. Jentera N.Sembilan pula banyak digerakkan oleh pemain tengah juga. Sejurus mendapat bola, pemain tengah akan menyimpan bola sebelum melorongkannya kepada wing back dan disilangkan ke tengah kotak D. Ini kerana kelebihan serangan N.Sembilan ialah menguasai bola tinggi. Penyerang N.Sembilan sangat mahir dengan tandukan untuk menjaringkan gol.

Babak separuh masa kedua melihatkan Terengganu mengubah taktik daripada menggunakan kelajuan pemain sayap kepada kelajuan penyerang. Taktik ini berhasil sehingga jaringan pertama tiba sekitar 15 minit babak kedua bermula. Bola banyak dilorongkan (thru pass) daripada tengah kepada penyerang. Hanya satu dua sentuhan dan terus dilorongkan kepada penyerang. Belum sempat N.Sembilan menyusun pertahanan mereka, serangan Terengganu sudah pun sampai ke hujung padang. Pun begitu, N.Sembilan tetap meneruskan taktik dan strategi mereka. Jurulatih seolah-olah merasa strateginya pasti akan menjadi biarpun tidak nampak langsung serangan N.Sembilan yang boleh menggugat penjaga gawang. Ternyata kesabaran membuahkan hasil. Terengganu leka menyerang sehingga pertahanan mereka pun ghairah naik ke atas. Kelalaian jelas menjadi sumbangan besar untuk N.Sembilan menjaringkan gol dan seterusnya mencipta kejayaan.

Itulah kegembiraan sementara bagi penyokong dan peminat pasukan N.Sembilan. Biarpun berjaya menggondol Piala Malaysia, ia belum cukup untuk menghalang bintang-bintang mereka daripada berhijrah ke pasukan lain untuk musim depan. N.Sembilan terpaksa bermula sekali lagi dengan pemain baru yang memerlukan masa untuk serasi sebelum menjadi gah semula. Kebijaksanaan jurulatih diharap mampu mencatur strategi yang ringkas namun boleh dilaksanakan dengan jayanya.



"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Monday, October 31, 2011

Ghazwah Bani Quraizah

Berlaku pada tahun kelima hijrah, tidak lama selepas berakhirnya Ghazwah Ahzab. Ketika saat-saat genting perang Ahzab berlaku, mereka membatalkan perjanjian bersama Rasulullah. Setelah berakhirnya perang Ahzab, Rasulullah merasakan kota Madinah mesti dibersihkan daripada anasir-anasir yang boleh membahayakan masa depan Islam. Al Bukhari meriwayatkan daripada Aisyah R.A bahawa apabila Rasulullah pulang dari Ghazwah Ahzab, baginda telah meletakkan senjata untuk mandi. Tatkala itu, datang Jibril menemui baginda dan berkata,





"Kamu telah meletakkan senjata? Demi Allah aku belum meletakkannya."





Baginda bertanya, "Di mana?"





Jibril menjawab, "Di sana". Seraya menunjuk ke arah Bani Quraizah.





Aishah berkata, "Maka Rasulullah keluar memerangi mereka."





Rasulullah mengarahkan seorang sahabat menyeru kepada para tentera supaya tidak menunaikan solat Asar kecuali setelah sampai di perkampungan Bani Quraizah. Kemudian baginda keluar bersama mereka. Panji-panji telah dibawa oleh Ali R.A. Tentera Islam yang menuju ke medan jihad berjumlah 3000 orang berserta 36 ekor kuda. Ketika Ali R.A. menghampiri kubu Bani Quraizah, dia telah mendengar mereka mengutuk Rasulullah dan isteri-isteri baginda. Beliau telah memberitahu kepada Rasulullah tentang hal tersebut dan melarang baginda daripada mendekati Bani Quraizah. Baginda menjawab, apabila Bani Quraizah melihat baginda, mereka tidak akan memperkata sesuatu yang buruk kerana sikap pura-pura dan mengampu mereka. Ternyata benar, apabila baginda mendekati mereka, mereka akan berpura-pura baik dengan Rasulullah.





Tentera Islam telah mengepung mereka selama 25 malam dan akhirnya mereka menyerah. Rasulullah telah memberikan amanah kepada Sa'ad bin Muaz, penghulu kaum Aus untuk mengadili mereka. Bani Quraizah merupakan sekutu kepada kaum Aus. Sa'ad telah menghukum pejuang-pejuang Bani Quraizah dibunuh, zuriat mereka dijadikan tawanan dan harta mereka dibahagi-bahagikan sesama tentera Islam. Dalam peperangan ini, turun ayat-ayat Al Quran yang menjelaskan pembelotan kaum Yahudi ke atas perjanjian dan sikap mereka yang tidak menolong orang Islam dalam perang Khandaq.





"Dan juga masa itu ialah masa segolongan di antara mereka berkata: "Wahai penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu baliklah". Dan sebahagian daripada mereka pula meminta izin kepada Nabi (hendak balik) sambil berkata: "Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan perlindungan", padahal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam). Dan kalaulah tempat-tempat kediaman mereka itu diserang oleh musuh dari segala penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling tadah menentang Islam, sudah tentu mereka akan melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi tentang itu melainkan sebentar sahaja. Padahal sesungguhnya mereka telah pun mengikat janji dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka tidak akan berpaling undur (dari medan perang yang mereka hadiri). Dan (ingatlah) janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang penyempurnaannya). Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja" (Al Ahzah: 13-16)





"Dan Dia menurunkan golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh itu, dari benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikanNya hati mereka dengan perasaan gerun. Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman); sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan. Dan Dia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka, dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Al Ahzab: 26-27)











"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Ghazwah Bani Nadhir

Bani Nadhir merupakan salah satu ras Yahudi yang tinggal berjiran dengan kota Madinah. Mereka juga adalah sekutu Khazraj. Mereka telah melanggar perjanjian Piagam Madinah yang telah dimeterai setelah Rasulullah diangkat menjadi pemimpin Madinah. Ketika Rasulullah berada di perkampungan Bani Nadhir, baginda telah bersandar ke dinding rumah kaum itu. Bani Nadhir telah merancang suatu pakatan jahat dengan cubaan melontar batu dari atas rumah tersebut ke arah baginda. Namun baginda menyedari rancangan tersebut, lantas baginda bingkas bangun seolah-olah baginda teringat akan suatu keperluan yang mesti dilaksanakan dengan segera. Baginda segera menuju ke Madinah dan mengutuskan Muhammad bin Maslamah kepada Bani Nadhir:

"Kamu hendaklah keluar dari negaraku. Jangan kamu tinggal bersama-samaku di sini. Kamu telah cuba belot."

Baginda memberi mereka tempoh selama 10 hari untuk meninggalkan kampung tersebut. Bani Nadhir bersiap untuk meninggalkan kampung tersebut sehinggalah datang utusan Abdullah bin Ubai. Abdullah bin Ubai melarang mereka meninggalkan kampung tersebut dan menawarkan 2000 orang pengikutnya untuk mempertahankan mereka. Lantas mereka mengubah fikiran mereka dan bertahan di dalam kubu mereka. Mereka menghantar utusan kepada Rasulullah menyatakan yang mereka enggan keluar daripada kampung tersebut dan akan bertahan di dalamnya.

Rasulullah menugaskan Ali bin Abi Talib untuk membawa panji Islam. Malangnya, bantuan kaum munafik tidak tiba seperti yang dijanjikan. Tentera Islam telah mengepung kampung tersebut tetapi mereka tetap bertahan dengan penuh sabar. Akhirnya Rasulullah menebang pohon-pohon kurma di keliling kampung tersebut. Ketika itulah mereka mula menyerah kalah dan berjanji untuk keluar dari kampung tersebut. Rasulullah mengizinkan mereka meninggalkan kampung tersebut dengan beberapa syarat. Syarat-syarat tersebut ialah mereka hendaklah keluar tanpa senjata dan hanya dibenarkan membawa harta yang mampu dibawa oleh seekor unta sahaja. Bani Nadhir telah merobohkan rumah mereka sebelum meninggalkan kampung tersebut kerana tidak mahu tentera Islam mengambil harta mereka. Rasulullah telah menjamin darah mereka terpelihara dan tidak akan tertumpah walau setitik. Sebahagian mereka menetap di Khaibar, 100 batu dari Madinah. Ada juga yang menetap di Jarsh, selatan Syam. Namun hanya dua orang sahaja yang terselamat.

Surah Al Hasyr diwahyukan berkenaan dengan peperangan tersebut. Antaranya firman Allah Ta'ala:

"Dialah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab - dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambillah pelajaran (daripada peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya. Dan kalaulah tidak kerana Allah telah menetapkan pengusiran (yang demikian buruknya) terhadap mereka, tentulah Dia akan menyeksa mereka di dunia; dan mereka pula akan beroleh azab seksa neraka pada hari akhirat kelak. (Mereka ditimpakan azab) yang demikian, kerana mereka menentang (perintah) Allah dan RasulNya. Dan (ingatlah), sesiapa yang menentang (perintah) Allah, maka sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya." (Al Hasyr: 2-4)

Seerah ini diambil daripada buku bertajuk "As seerah An Nabawiyyah: Duruus wa 'Ibr", tulisan Dr. Mustafa as Syibaie


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Thursday, October 27, 2011

Site visit di Sungai Karang

Di jeti Kampung Sungai Karang, Pontian, Johor


"Muhannad, awak tgk emel yg saya fwd dan arrange site visit"

"Baik bos", saya menjawab.


Lama rasanya saya tidak keluar out station. Asyik terperap dalam pejabat menyebabkan minda saya tidak berkembang. Di pejabat saya hanya menyemak design dan drawing sahaja. Jika di tapak, saya boleh melihat dan memahami kondisi projek dengan lebih realistik. Saya terus membalas emel daripada Jabatan Senggaraan Aset Johor Bahru dan meminta mereka menetapkan tarikh dan masa untuk site visit. Terus terang saya katakan, saya tidak pernah sampai ke kawasan yang dimaksudkan, Kampung Sungai Karang, Pontian. Paling hampir saya pernah sampai pun cuma di Bandar Pontian Kechil sahaja.


Keladak air parit yang bercampur dengan air sungai


Saya bertanya kepada rakan-rakan sepejabat yang berasal dari Johor berkenaan Kampung Sungai Karang. Jawab mereka, kawasan tersebut adalah berpaya dan perlu menaiki bot untuk ke menara talian atas. Yang lebih menggerunkan saya apabila mereka memberitahu saya pihak kontraktor pernah terjumpa bekas tapak kaki buaya. Seram sejuk saya mendengarnya. Seminggu kemudian saya berangkat ke Johor Bahru bersama seorang teman pejabat. Kami ke Johor Bahru dahulu kerana site visit hanya boleh dilakukan setelah mesyuarat kick off terlaksana. Saya bertolak dari Seremban jam 7 petang dan tiba di Johor Bahru sekitar jam 11 malam. Perjalanan menjadi 4 jam kerana kami singgah di Restoran Jejantas Ayer Keroh untuk menunaikan solat dan makan malam (termasuk window shopping di al Ikhsan hehe). Kami bercadang untuk bermalam di New York Hotel. Malangnya, hotel sudah pun penuh kerana terdapat pelancong luar negara yang bermalam di situ. Kami berpindah ke hotel yang lain (saya tidak ingat kerana sudah terlalu mengantuk) dan kesemua bilik juga sudah penuh ditempah. Akhirnya kami terpaksa bermalam di Thistle Hotel berhampiran Danga Bay. Tanpa mandi saya terus terbaring di atas katil dan tertidur sehingga masuk waktu subuh.


Menakutkan tak?


Keesokannya kami terus menuju ke pejabat TNB di Jalan Yahya Awal yang sekitar 5 minit sahaja daripada hotel tempat kami menginap. Kami diberi penerangan apa yang berlaku pada tapak menara di kampung tersebut. Didapati ada sebuah menara yang kakinya sudah tenggelam hampir 30 cm. Jabatan saya dikehendaki hadir untuk menilai sama ada keadaan menara tersebut kritikal ataupun tidak. Untuk ke lokasi, kami terpaksa ke Kampung Sungai Karang yang mengambil masa lebih sejam untuk tiba. Setelah itu kami perlu menaiki bot seawal jam 2 petang kerana itulah masa air pasang dan terus menuju ke menara tersebut. Pada awalnya bot kami mengalami masalah untuk dihidupkan. Bingung juga saya dibuatnya kerana saya perlu pulang ke Seremban pada malam itu juga. Alhamdulillah setelah 15 minit mencuba, enjin motobot berjaya dihidupkan. Ketika saya hendak turun dari jeti ke dalam bot, saya rasakan seolah saya sedang menggelongsor walhal saya tidak bergerak langsung. Rupa-rupanya papan di mana saya berpijak terjongket kerana pakunya sudah tercabut. Mujur rakan-rakan TNB sempat berpijak di atas papan yang berjongket tersebut. Kalau tidak, basah lencun bercampur bau air parit saya jadinya.


Air mula kelihatan bersih...semakin mendekati laut

Inilah kali pertama saya menaiki bot melalui kawasan hutan paya bakau. Sebelum ini saya hanya menaiki bot menyusuri sungai, tasik dan laut sahaja. Agak menyeramkan kerana hutan bakau yang tebal menyebabkan keadaan sekeliling nampak gelak. Tidak ubah seperti rancangan dokumentari National Geographic. Lebih kurang 15 minit kemudian barulah kami tiba di menara penghantaran yang mendap sebelah kakinya tersebut. Mendapan tersebut amat jelas kelihatan dan apabila diukur hampir mencecah 21 cm pergerakan tanah. Saya terus merakam gambar menara tersebut dan kawasan persekitaran sebagai rekod untuk saya sediakan laporan. Besar kemungkinan menara ini terpaksa diganti dengan menara yang baru di lokasi yang berhampiran


Setelah lebih sejam memeriksa keadaan menara, kami pulang semula ke jeti. Sepanjang sejam di menara tersebut kami cuba mencari mana-mana bahagian menara yang kelihatan bengkok. Terdapat 2-3 steel members yang kelihatan kritikal. Ketika dalam perjalanan pulang kami sempat memeriksa sebuah menara lain yang mengalami masalah tie beam patah. Kebanyakan tie beam yang masih elok terdapat kesan-kesan karat dari dalam. Ada kemungkinan air telah menyerap masuk ke dalam tie beam ini. Gambar diambil untuk direkodkan dan kami menyambung semula perjalanan pulang. Kami tiba di jeti sekitar pukul 4 petang. Kami terus ke pekan berdekatan untuk menikmati makan tengahari. Selesai makan tengahari, hujan turun dengan lebatnya. Ini menambahkan kebimbangan saya terhadap menara yang mendap tersebut. Khuatir juga hujan lebat boleh menyebabkan arus menjadi deras. Ini boleh merosakkan tie beam jika ianya sudah berkarat. Kami berhenti sebentar di RnR Machap untuk solat jamak Zohor dan Asar. Sementara menunggu hujan reda kami rehat sebentar sehinggalah masuk waktu Maghrib. Masuk sahaja waktu Maghrib, kami terus menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara jamak. Hujan masih belum reda. Namun, saya terpaksa balik ke Seremban malam ini juga. Kami meneruskan perjalanan dengan berhati-hati. Alhamdulillah kami tiba di Seremban sekitar 9.30 malam

Mendapan yang jelas kelihatan pada kaki kiri hadapan menara










Tie beam yang patah

Kesan karat jelas kelihatan dari dalam tie beam

Pulang ke jeti


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Monday, October 17, 2011

Terkenang la pulak...




Di belakang jejantas tersebut ialah Masjid Sultan Sulaiman. Asrama pelajar lelaki di sebelah kiri dan KISAS di sebelah kanan. Untuk ke sekolah, kami terpaksa menaiki jejantas. Gambar ini diambil setelah pulang daripada temuduga biasiswa Petronas ke universiti luar negara di KLCC (tahun 1999). Saya hanya berjaya mendapat biasiswa Petronas ke Universiti Teknologi Petronas sahaja.





Awal bulan ini saya telah diberi kesempatan untuk menghadiri kursus di Klang selama 2 hari. Apabila perkataan 'Klang' muncul, pastinya Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) adalah perkara pertama yang timbul di benak fikiran saya. Lazimnya apabila sesebuah tempat disebut, saya lebih mengingati fakta geografi dan sejarah berkenaan tempat tersebut. Namun begitu, hal ini berbeza dengan Klang, biarpun saya hanya sempat bermastautin di sana selama 2 tahun sahaja (1998-1999).




Seusai kursus, saya terus mengaktifkan GPS untuk mencari jalan menuju ke KISAS. Maklumlah, keadaan di Klang 12 tahun dahulu amat berbeza dengan sekarang. Sudah banyak bangunan baru dibina di sekitar bandar tersebut. Saat tiba di KISAS, saya terus membelok kenderaan ke Masjid Sultan Sulaiman yang terletak bersebelahan dengan asrama pelajar lelaki untuk menunaikan solat Zohor. Selesai menunaikan solat, saya mengambil masa sebentar untuk mengimbau kembali kenangan di masjid ini. KISAS merupakan sekolah angkat Sultan Selangor. Masjid Sultan Sulaiman pula merupakan masjid di raja Selangor. Di dalam kawasan masjid ini terdapat banyak makam sultan-sultan Selangor yang terdahulu beserta kaum kerabat mereka. Oleh itu, pelajar-pelajar KISAS sering diberi perhatian dan keistimewaan oleh pihak pentadbiran masjid. Kebiasaannya jika kami ingin bermalam di masjid, pihak pentadbiran tidak mempunyai sebarang halangan. Berbeza dengan orang awam yang terpaksa menulis surat untuk mendapatkan kebenaran terlebih dahulu. Saya masih ingat ketika berada di tingkatan 5, saya sering tidur di masjid kerana suasananya yang sunyi dan tenteram. Ini memudahkan saya untuk mengulang kaji pelajaran. Jika di asrama, agak sukar untuk saya menumpukan pelajaran kerana gangguan rakan-rakan yang biasanya tidur lebih lewat. Malah ketika hujung minggu di siang hari juga saya lebih gemar mengulang kaji pelajaran di masjid berbanding di kelas atau di asrama. Lazimnya saya hanya mengulang kaji dalam 2 jam dan selebihnya saya tertidur sehinggalah masuk waktu zohor. Maklumlah, kawasan yang senyap sunyi memang menggamit mata supaya dilelapkan.



Apa yang membuatkan KISAS begitu istimewa di hati saya berbanding sekolah-sekolah saya yang lain adalah disebabkan inilah tempat pertama saya mengenal tarbiah. Di sinilah juga saya mula mengenali usrah dan jamaah Ikhwanul Muslimin dengan lebih dekat. KISAS istimewa di sanubari saya bukan kerana status sekolah tersebut. Sebab itu, jika saya berjumpa dengan rakan-rakan dari KISAS yang tidak mendapat tarbiah, agak sukar bagi saya mengikut rentak mereka. Memang tidak dinafikan saya berasa seronok dapat berjumpa dengan mereka. Namun keseronokan tersebut hanya bertahan seketika sahaja kerana subjek yang memautkan hati kami hanyalah kenangan selama 2 tahun di KISAS. KISAS telah menjadi 'kilang' bagi melahirkan pendakwah sejak dekad 70an lagi (ketika itu dipanggil Kolej Islam Klang - KIK).


Setelah itu saya meninggalkan masjid menuju ke arah sekolah dan asrama. Namun keadaan tidak mengizinkan kerana terdapat majlis perkahwinan yang sedang berlangsung di dewan sekolah. Keadaan terlalu sesak dan saya mengambil keputusan untuk meninjau dari luar sahaja. Saya juga agak keberatan untuk memasuki kawasan asrama pelajar lelaki kerana kawalan keselamatan yang agak ketat. Ketika saya di KISAS dahulu, asrama kami tidak mempunyai pengawal keselamatan. Malah, tiada pagar yang mengelilingi asrama pun. Oleh itu, saya bebas ke masjid pada bila-bila masa yang saya sukai.





Saya mula mengenali tarbiah apabila guru fizik saya, Cikgu Wan Abdul Rahim yang juga merupakan sahabat ayah saya ketika menuntut di UK mengajak saya untuk bersama-sama dalam sof usrah yang beliau bawa. Ustaz Najib yang mengajar tingkatan enam juga sering membimbing kami. Pada hujung minggu, biasanya Cikgu Wan Abdul Rahim dan rakan-rakannya akan membawa kami ke bandar Klang untuk tujuan berusrah ataupun berdaurah bersama-sama pelajar Sekolah Menengah Islam Hira' dan abang-abang yang menuntut di IPT. Semestinya program-program seperti ini meluaskan ufuk pemikiran dan fikrah saya. Pergaulan dengan abang-abang IPT mematangkan saya dalam membuat keputusan.





Saya tidak menunggu lama untuk pulang ke Seremban. Cukuplah merenung ke arah sekolah dan asrama selama 5 minit untuk mengubat rindu yang lara. Tambahan pula saya juga amat merindukan isteri dan anak-anak yang sedang menunggu kepulangan saya. Wallahu a'lam.




"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Friday, September 30, 2011

Syeikh Muhammad al Ghazali

Syeikh Muhammad al Ghazali merupakan seorang mujahid Ikhwanul Muslimin yang sangat tinggi ilmu diniahnya. Beliau juga terkenal sebagai seorang yang berani menyatakan kebenaran. Diceritakan bahawa beliau pernah berkhutbah Jumaat di Masjid Amru al Ash. Dalam khutbah tersebut beliau telah menyerang undang-undang hukum keluarga dengan melabelkannya "Undang-undang Jihad-Sadat" kerana ketidak sesuaiannya dengan syariat Islam. Akibatnya beliau dilarang daripada berkhutbah lagi di beberapa buah masjid. Setelah itu beliau berhijrah ke Makkah dan mengajar di Universiti Al Malik Abdul Aziz.

Ketika pemerintahan Jamal Abdul Nasser, beliau telah dikritik oleh seorang pelukis kartun akhbar Al Ahram bernama Shalah Jahin. Pada hari Jumaat, syeikh telah menyerang Shalah Jahin melalui khutbahnya. Selesai solat, para jamaah melakukan demonstrasi besar-besaran di pejabat akhbar Al Ahram. Ada antara mereka yang melontar batu ke pejabat tersebut. Shalah Jahin berasa sangat takut dan lari melalui tingkap. Keesokannya akhbar tersebut telah meminta maaf kepada Syeikh Muhammad al Ghazali di halaman pertama surat khabar.

Syeikh Muhammad al Ghazali pernah dipenjarakan di At Thur pada tahun 1949 di zaman pemerintahan Raja Faruq. Beliau dipenjarakan sekali lagi di Tharrah pada zaman Jamal Abdul Nasser di tahun 1965. Setelah itu beliau berhijrah ke Arab Saudi dan memimpin majlis ilmiah di Universiti Amir Abdul Qadir al Jazairi al Islamiyah di semenanjung Tanah Arab selama 5 tahun. Jabatan terakhirnya di Mesir adalah sebagai wakil Menteri Perwakafan.

Beliau menggambarkan Imam Hasan Al Banna sebagai individu yang membangunkan ummah yang sedang tidur, mengembalikan umat Islam kepada Al Quran dan sunnah serta meluruskan kembali segala sesuatu yang telah bengkok pada masa lalu. Berkenaan Hasan al Hudhaibi pula, beliau gambarkan sebagai,

"Beliau tidak mengejar jawatan memimpin Ikhwanul Muslimin, tetapi Ikhwanul Muslimin yang bersungguh-sungguh mahukan beliau memimpin jamaah. Dia selalu memikul apa yang dibebankan kepadanya dengan teguh dan semangat. Tidak pernah mengeluh dan berputus asa. Walaupun beliau sudah tua, tetapi beliau tetap memiliki keimanan yang mendalam dan harapan yang tinggi. Sesungguhnya kesabarannyalah yang menjadikan beliau mengagungkan keimanan sehingga darjat beliau menjadi tinggi di sisiku. Kesusahan yang menimpa diri dan keluarganya tidak menjadikannya gentar untuk mengatakan kebenaran dalam segala perkara dan tidak menjauhkannya daripada manhaj jamaah islamiyah sejak awal sejarahnya. Saya selalu menemuinya setelah masa ujiannya berlalu untuk memperbaiki hubungan antara diri saya dan dirinya. Semoga Allah mengampuni kita semua."

Tentang Ustaz Umar at Tilmisani pula, beliau berkata,

"Pada tahun 1949, ketika kami dipenjarakan di At Thur bersama ribuan Ikhwanul Muslimin, setelah Imam Hasan Al Banna mati syahid, saya melihat ustaz dalam khalwatnya yang hening dan pandangannya yang sejahtera. Dia berjalan di atas pasir-pasir tahanan dalam keadaan cergas dan optimis. Menyuruh ahli Ikhwanul Muslimin agar bersabar dalam menjalani masa pengasingan dan kekerasan itu dengan sentiasa mengharapkan kebaikan di masa mendatang. Pada pandanganku, beliau adalah individu yang wajib dihormati. Di dunia dia digerakkan oleh rasa cinta dan perdamaian. Benci kepada kemunafikan dan akhlak tercela. Dia lebih memilih menyendiri dan tidak berputus asa. Tidak pernah terlintas di benaknya ingin dipuji. Dia sendirian dalam mengabdikan dirinya kepada Islam sehingga berkata, "Tahukan kamu bahawa ini adalah beban berat yang harus saya pikul walaupun saya sebenarnya menerima kerana terpaksa?" Saya jawab, "Ya saya tahu bahawa kamu tidak mencari nama, tidak meminta jabatan dan orang sepertimu layak mendapat perlindungan dan pertolongan Allah."

Imam Syeikh Abdul Halim Mahmud berkata tentangnya, "Kami tidak memiliki sesiapa kecuali Al Ghazali al Ahya' dan al Ihya'. Maksudnya adalah al Ghazali moden, iaitu Syeikh Al Ghazali dan al Ghazali Abu Hamid, penulis kita Ihya' Ulumuddin.

Syeikh al Ghazali mempunyai ramai murid dari seluruh pelusuk tanah arab. Dari Al Azhar di Mesir, Ummul Qura di Makkah, Fakulti Syariah di Qatar, dan Universiti Amir Abdul Qadir. Kini mereka adalah ulama' besar yang menjadi rujukan ummah seperti Dr. Yusuf al Qaradhawi (beliau pernah dipenjarakan bersama-sama Syeikh al Ghazali) dan Dr. Ahmad al Assal. Syeikh Muhammad al Ghazali telah menulis lebih daripada 60 buah buku dan sering menyampaikan khutbah di Universiti Al Azhar, Universiti Amru bin Ash, dan Universiti Mahmud. Buku-buku tersebut ada yang diterjemah ke dalam bahasa Inggeris, Turki, Parsi dan Indonesia.

Syeikh al Ghazali meninggal dunia di Riyadh pada 9 Mac 1996 ketika menyampaikan pengajian dalam sebuah seminar. Beliau dikebumikan di Baqi', Madinah

kisah ini diambil daripada buku bertajuk "Araftu al Ikhwah" - Ikhwanul Muslimin yang Aku Kenali tulisan Dr. Mahmud Jami'.


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)