Gerakan Islam masih mendokong pelbagai jenis pemikiran dan bermacam ragam uslub implimentasi. Ada yang menganggap terjun ke dalam kancah politik sebagai suatu aib yang perlu dihindarkan. Mereka membayangkan tarbiyah adalah suatu proses yang terpisah daripada realiti kehidupan yang mencukupi sekiranya dilaksanakan dengan hanya duduk di dalam sebuah ruangan sambil mendengar penjelasan daripada ustaz atau duduk membaca kitab. Hal ini juga berlaku kepada gerakan-gerakan yang menahan diri daripada politik dan beranggapan bahawa politik itu permainan syaitan yang tidak sesuai untuk orang beriman. Mereka tidak berfikir sama sekali bahawa tindakan ini akan membantu pemerintah zalim mendokong sekularisme dan anti Islam secara tidak langsung.
Mereka juga berusaha menguasai dan mendominasi pemikiran orang lain. Mereka merendahkan pendapat kelompok lain. Mereka mendakwa kelompok-kelompok itu telah mengeksploitasi agama untuk kepentingan politik yang sama sekali tidak layak untuk ahli-ahli ibadat dan juga orang Islam yang rabbani.
Kebangkitan Islam
Kebangkitan Islam membawa maksud Islam berdiri dalam kehidupan sebagai sebuah risalah kebebasan dan keadilan. Kebangkitan Islam tidak berdiri di luar garisan realiti, tetapi terus masuk ke dalamnya dan terus menyelaminya sehingga mencapai pemikiran serta pemahaman yang sempurna hingga tiada ruang bagi pemikiran asing. Sehingga manusia tidak hanya tenggelam dalam hal-hal yang bersifat metafizik da melupakan alam nyata. Tidak hanya beribadah dan melupakan muamalah. Tidak menumpukan kepada ruh semata-mata dan melupakan hal-hal yang bersifat material. Juga tidak hanya memberi komitmen dalam pembangunan insan hingga melupakan komponen kehidupan yang lain seperti politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Permasalahan ini berlaku kerana adanya pendapat yang mengatakan agama dan politik itu adalah dua perkara yang terpisah serta berbeza. Bagi mereka, agama mengatur hubungan antara manusia dengan Allah dan politik mengatur hubungan sesama manusia sahaja.
Hinggakan terdapat ulama yang mengajar ilmu agama tertumpu pada bab taharah dan jinayah sahaja. Di sinilah gerakan Islam muncul menyeru perlaksanaan Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Ibadah berkait rapat dengan kehidupan dan kehidupan pula berkait rapat dengan politik. Seruan-seruan ibadah terutamanya kalimah Allahu Akbar telah berubah menjadi inspirasi politik yang menghubungkan hamba dengan Allah dan menghubungkan hamba dengan kehidupan. Inilah dasarnya seorang muslim dapat mengembalikan kepercayaan dirinya kerana ia sudah menaruh sepenuh kepercayaannya kepada Islam. Namun, ia tidak boleh memisahkan diri daripada masyarakat yang mengelilingi hidupnya.
Sebagaimana penguasa yang gerun dengan kebangkitan gerakan Islam, begitulah juga perasaan yang dialami oleh golongan yang beraliran fikiran tradisional. Para penguasa akan menekan pergerakan pejuang Islam manakala golongan tradisional akan menguji dengan fitnah dan ejekan sehingga menimbulkan keraguan kepada penyokong gerakan Islam. Akhirnya akan terserlahlah golongan tradisional rupanya punya gelombang yang sama dengan penguasa zalim.
Kesimpulan
Kebangkitan Islam telah berjaya mencipta potensi dan mampu menerjah masuk melalui jendela politik. Seterusnya, Islam lah yang akan menjadi penyelesaian permasalahan umat secara bebas dan adil. Perkataan 'politik' yang dimaksudkan bukan bererti mengabaikan aspek intelektual, spiritual dan ibadah. Tetapi semuanya bergerak bersama yang keseluruhannya akan membentuk keperibadian muslim haraki rabbani yang seimbang.
Kita dan Politik
Imam Hasan Al Banna telah menjawab pelbagai tuduhan yang ditujukan kepada Ikhwanul Muslimin (IM) seperti mendakwa mereka adalah politikus dan dakwah mereka adalah dakwah politik. Juga menuduh IM punya agenda sendiri di sebalik seruan dakwah mereka. Hasan Al Banna menjawab,
"Wahai kaum kami, sesungguhnya kami menyeru kamu kepada Islam. Kepada ajaran hukum hakam Islam. Kalau menurut kamu perkara itu adalah politik, maka inilah politik kami. Dan jika kamu menyebutnya politik, maka katakanlah apa sahaja yang kamu suka kerana sebutan itu tidak akan merugikan kami, ketika hakikat menjadi jelas dan tujuan sebenarnya terungkap.
Dan jika ada yang bertanya, kepada apakah kamu menyeru? Katakanlah kami menyeru kepada Islam yang dibawa oleh Rasulullah dan pemerintahan adalah sebahagian daripada Islam. Kebebasan adalah salah satu kewajibannya. Kalau kamu mengatakan perkara ini politik maka katakanlah inilah Islam dan kami tidak mengenal pemisahan-pemisahan ini."
Hassan Al Banna juga menjelaskan bahawa tidak sempurna keislaman seseorang muslim kecuali dia memiliki pandangan yang jauh ke depan mengenai keadaan umatnya dan memberikan perhatian yang besar terhadap agenda ummah.
Pandangan Politik Islam
Ada pihak yang telah berusaha mengkaji kaedah Islam sebagai sistem pemerintahan dan terikat dengan pengalaman generasi pertama Islam sebagai sebuah model eksperimen yang sempurna dan syarie tanpa menilai tabiat eksperimen tersebut. Tanpa melihat keadaan politik, sosial dan sejarahnya. Kita sebenarnya amat memerlukan sebuah format teori berpolitik yang lengkap dan komprehensif serta boleh diteliti dan dinilai oleh semua orang. Pada sudut yang lain, ia tetap merujuk kepada pengalaman sejarah dan nilai-nilai agung serta pengalaman-pengalaman berharga yg ada di dalamnya.
Prinsip-prinsip Umum Politik Islam
Pandangan politik Islam mesti berlandaskan beberapa prinsip umum seperti kebebasan, persamaan, keadilan, penguasaan hukum serta komitmen terhadap prinsip-prinsip pemilihan pemimpin negara sebagai pelaksana hukum, penjaga deen dan pelindung masyarakat. Masyarakat berhak menasihati, memperbetulkan, bahkan menyingkirkan sekiranya perlu. Sistem mestilah berpihak di atas musyawarah yang keputusannya mesti dipatuhi oleh pemimpin.
Sistem politik Islam mestilah memiliki gambaran yang jelas mengenai bagaimana bentuk kebebasan politik, aktiviti politik, parti-parti politik, pembangkang, kebebasan akhbar, posisi wanita, sistem sosial dan ekonomi, pembahagian kekayaan serta kebebasan perundangan.
Bagaimana mungkin masyarakat akan mendokong suatu idea yang masih samar dan kabur. Di sinilah para pemikir Islam dipanggil untuk terlibat secara aktif dalam menyusun dan memilih sistem politik Islam yang sesuai dengan umat ISlam dan peradaban, sejarah serta aqidah yang agung.
Tarbiyah Siasah (Pendidikan Politik)
Kita tidak akan menggunakan definisi-definisi yang berasal daripada idea-idea pemikiran sekular atau yang lain. Kita akan membentuk pemahaman baru yang sesuai dengan prinsip-prinsip kita. Kita menegaskan bahawa:
"Tarbiyah siasah atau pendidikan politik itu adalah pembentukan dan pengembangan keperibadian politik yang sesuai dengan wawasan politik yang sebenarnya. Pembentukan dan pengembangan kesedaran politik sehingga individu itu berkesedaran dan mampu dengan sendirinya menumbuhkan kesedaran tersebut. Pembentukan serta pengembangan kemampuan untuk terlibat di dalam politik sehingga individu itu dapat berperanan dengan efektif di dalam berbagai permasalahan masyarakat secara umum. Juga berperanan dalam berbagai bentuk penglibatan yang akan mengarah kepada perubahan kondisi yang lebih baik".
Ciri-ciri Tarbiyah Siyasiah
- Bertujuan untuk membentuk dan mengembangkan (tawajjuhat) orientasi-orientasi politik yang merangkumi nilai-nilai, keyakinan, aliran dan kecenderungan politik. Hal ini membolehkan individu itu berkesedaran terhadap berbagai sikap politik dan isu-isu tempatan, serantau mahupun antarabangsa. Berkesedaran juga terhadap apa-apa yang boleh memampukannya untuk turut berperanan di dalam proses politik dengan sedar dan efektif khususnya di dalam kehidupan berpolitik masyarakat dan kehidupan sosial.
- Bertujuan membentuk kader yang kritis dan mampu berdialog secara membina di samping mampu melakukan kerja-kerja yang boleh membawa kepada perubahan ke arah yang lebih baik. Oleh itu, tarbiyah ini tidak akan berjalan di dalam lingkungan yang tidak ada kebebasan berpendapat, mengkritik dan berdialog.
- Tarbiyah siyasiah adalah proses yang berlaku seumur hidup. Tidak terbatas oleh usia, taraf pendidikan atau golongan tertentu sahaja. Ini kerana politik adalah masalah setiap warganegara dan merupakan ciri khas manusia.
- Tidak terbatas kepada sekolah atau keluarga sahaja, tetapi melibatkan institusi rasmi dan tidak rasmi, parti-parti, akhbar-akbar dan sebagainya. Uslubnya tidak terbatas pada doktrin langsung sahaja, tetapi mencakupi kaedah tidak langsung seperti pembelajaran, memberikan pemahaman dan mentaklid. Memberikan pemahaman politik secara langsung, menyediakan kaedah praktikal di lapangan dan latihan sebenar politik yang membolehkan seseorang itu mendapat pengalaman-pengalaman politik serta dapat mengembangkan potensi-potensinya.
- Terdiri daripada asas-asas aqidah, sosial dan tentunya asas-asas politik.
Daripada penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa tarbiyah siyasiah memiliki tiga dimensi utama iaitu:
- Dimensi prinsip dan asas-asas pemikiran yang membentuk wawasan politik sama ada secara langsung atau tidak.
- Dimensi tujuan yang ingin dicapai iaitu: peribadi, politik, kesedaran politik dan penglibatan di dalam politik.
- Dimensi institusi-institusi dan uslub-uslub yang digunakan untuk merealisasikan objektif-objektif tersebut.
Objektif Tarbiyah Siyasiah
- Pembentukan dan pengembangan peribadi politik
- Pembentukan kesedaran politik
- Pembentukan kemampuan penglibatan di dalam politik
Peribadi politik yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
- Perasaan politik yang meliputi komitmen dan loyaliti (wala') politik yang dibentuk oleh individu
- Norma dan prinsip-prinsip dasar yang berkaitan dengan politik secara langsung atau tidak langsung
- Pengetahuan, pemahaman dan penilaian politik
Kesedaran politik pula bermaksud:
- Pengamatan yang menyeluruh terhadap berbagai peristiwa
- Pemahaman yang mendalam
- Menyedari sepenuhnya tanggungjawab
- Memiliki keinginan untuk mengasingkan diri sehingga dapat melepaskan segala belenggu dalam menghadapi berbagai permasalahan masyarakat.
Penglibatan politik boleh berlaku melalui kegiatan-kegiatan yang akan menentukan matlamat bersama masyarakat. Kajian, bacaan dan pengetahuan umum perlu ditingkatkan sehingga mengetahui masalah-masalah masyarakat.
Institusi-institusi Tarbiyah Siyasiah
- Keluarga
- Sekolah
- Parti dan kelompok politik
- Media massa dan media informasi
Perbahasan ini dipetik daripada buku bertajuk "Gerakan Islam Menongkah Cabaran", karangan Mustafa Muhammad Tahan dari Lebanon
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment