Wednesday, July 18, 2012

Perang Salib ke Atas Dunia Islam

Antara pemimpin yang mula menganjurkan peperangan salib ialah:
  1. Pope Sylvester II (1002) - seruan tidak mendapat sambutan
  2. Pope Gregorius/Gregory VII (1075) - seorang Ortodoks di Byzantine yang berpusat di Konstantinople. Ketika itu, Ortodoks telah berpecah daripada Katholik yang berpusat di Rome. Penduduk Byzantine cuba memerangi orang Islam di Timur ketika Rome cuba mara di Andalus. Pope Gregorius VII ingin menghimpunkan dunia Kristian di sekelilingnya untuk menyerang umat Islam di Andalus. Namun Allah menyediakan Raja Al Murabithin di Maghribi, Yusuf bin Tasyfin untuk menghadapi mereka. Yusuf sendiri telah menyeberangi Sungai Az Ziqaq dan berjaya mengalahkan tentera Salib dalam peperangan Az Zallaqah pada tahun 479H.
  3. Pope Urban II (1095) - beliau telah menganjurkan persidangan umum pendeta agama di Clermont pada tahun 489H dan dihadiri seramai 300 orang perwakilan selama 10 hari bertujuan membebaskan Baitul Maqdis daripada kekuasaan Islam. Beliau telah menawarkan pengampunan dosa dan kesalahan kepada mereka yang menyertai Perang Salib. Beliau telah mempromosi propaganda ini dari sebuah negara ke negara yang lain.
Objektif Perang Salib
  1. Merasa terancam dengan keluasan kekuasaan Islam yang semakin mendekati selatan Perancis dan Itali.
  2. Menghalang penerimaan penduduk Eropah dan dunia Kristian terhadap Islam.
  3. Mendirikan koloni Salib di tengah dunia Islam.
Terdapat beberapa dakwaan yang menyatakan punca peperangan ini bukanlah atas faktor agama, tetapi atas faktor mendapatkan hasil kekayaan negara orang Islam. Dakwaan ini disangkal dengan pencerobohan kehormatan Masjidil Aqsa dan pembunuhan umat Islam di dalam masjid tersebut pada 2 Ramadhan 493H (1099M). Ternyata mereka mempromosikan peperangan ini bukan atas dasar ekonomi, tetapi atas dasar keagamaan. Sehinggakan ada sejarahwan mengatakan, "Kuda terbenam di dalam darah orang Islam sehingga ke paras dadanya". Seramai 70,000 umat Islam telah dibunuh dengan sewenangnya.

"Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu daripada agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian)". (Al Baqarah: 217)

Peperangan ini berlangsung selama dua kurun dan berakhir setelah kekalahan salib yang teruk dalam serangannya yang ketujuh. Panglimanya, Louis IX ditawan pada tahun 1254.

Pakatan Salib - Monggol

Kejatuhan Baghdad Tahun 656H

Tentera Salib berjaya menubuhkan pakatan dengan tentera Monggol dalam memerangi umat Islam. Monggol telah membunuh ramai umat Islam hinggalah mereka berjaya menembusi kota Baghdad. Khalifah ketika itu, Musta'shim juga dibunuh dengan kejam oleh mereka. Dikisahkan seorang lelaki muslim akan dipanggil bersama anak-anaknya ke perkuburan, lalu disembelih umpama kambing. Kekejaman ini berlangsung selama 40 hari dengan melibatkan kematian berjumlah kira-kira sejuta orang Islam.

Bukti Pakatan Salib dan Monggol
  1. Tentera Monggol tidak menyerang koloni Salib di Syam seperti di Anthokia, Yafa dan Acca.
  2. Pihak Salib telah menggunakan isteri Genghis Khan yang juga seorang Kristian daripada bangsa Tartar untuk menghasut beliau memerangi tentera Islam. Anak ketiga beliau yang merupakan penggantinya Ogtame (Ogotai) juga berkahwin dengan wanita Kristian.
  3. Hulagu Khan (cucu Genghis Khan) juga berkahwin dengan wanita Kristian. Isterinya telah menghasut beliau melakukan kekejaman ketika berjaya memasuki kota Baghdad dan Syam. Anak Hulagu, Tequdar membesar dalam agama Kristian sebelum memeluk Islam. Akibat tindakannya memeluk Islam, beliau telah dibunuh oleh anak saudaranya, Argon yang sangat memusuhi Islam.
Menyedari ancaman Monggol, tentera Islam telah mempertahankan benteng terakhir mereka di Mesir melalui pimpinan Saifuddin Quttuz. Beliau telah mengalahkan Monggol di Ain Jalut, Palestin.

Perubahan Taktik Salib

Pope Celestine V telah dikemukakan dua idea baru untuk memerangi Islam:
  1. Ramon Kull (Ketua Uskup Toledo) mencadangkan memerangai orang Islam dalam bentuk gerakan misi dakwah (missionary) melalui ilmu dan sekolah.
  2. Mengkristian dan mempergunakan bangsa Monggol untuk memerangi Islam. Perancangan ini gagal setelah orang Monggol memeluk Islam.
Kemenangan Sultan Muhammad al Fatih menawan kota Kostantinople merupakan tamparan hebat buat Kristian. Buktinya adalah ketika Sultan Muhammad al Fatih mangkat, Pope telah mengadakan sembahyang kesyukuran selama tiga hari. Walhal, kota tersebut masih lagi dalam kekuasaan umat Islam.

Kristian juga mempunyai hubungan yang baik dengan puak Maroon di Lubnan. Raja mereka, Yuhana pernah menghantar anaknya, Sam'an bersama angkatan bantuan tidak kurang daripada 25,000 pejuang membantu Panglima Louis IX pada tahun 1250 ketika beliau datang ke Acca. Panglima Louis IX berkata,

"Kami berkeyakinan bangsa ini yang dikenali dengan nama St. Maroon adalah sebahagian daripada bangsa Perancis. Negara Perancis pula telah berjanji melindungi mereka."

Ucapan ini menjadi punca mengapa Perancis masuk campur dalam urusan politik di Lubnan, khususnya bagi pihak Kristian (Maroon) sehingga kini. Ketika Raja Louis IX ditawan semasa Perang Salib al Manshurah, beliau berkata,

"Tiada jalan untuk menewaskan orang Islam melalui kekuatan perang. Pegangan agama mereka dengan Islam mendorong mereka untuk berjihad. Oleh itu, ia mesti dilakukan dengan cara yang lain, iaitu menukar pemikiran Islam dan menjinakkan orang Islam melalui cara serangan pemikiran. Caranya ialah ilmuwan Eropah hendaklah melakukan kajian tentang tamadun Islam bagi mengambil senjata baru yang digunakan untuk menyerang pemikiran Islam."


Tulisan ini dipetik daripada buku bertajuk, "Haadhir Al Alam Islami Al Aalam-Al Aamal: Dunia Islam Kini" karangan Dr. Taufik Yusuf Al Waei.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Sunday, July 8, 2012

Fiqh dan Politik Dunia Islam

Setelah hampir 4 bulan tidak menulis, alhamdulillah kali ini Allah beri saya kesempatan untuk kembali berkongsi ilmu di blog.

Para ulama mengklasifikasikan dunia kepada beberapa negara berdasarkan kepentingan agama dan keduniaan umat Islam. Pembahagian tersebut adalah seperti yang di bawah:

1. Dar Al Islam (Negara Islam)

Ia bermaksud kawasan yang didiami umat Islam dan hukum Islam jelas terlaksana. Imam Syafie berkata:
  • Dar Al Islam ialah negeri yang melaksanakan hukum Islam dan didiami oleh orang Islam sekalipun terdapat ahli kitab atau ahli zimmi di dalamnya.
  • Ataupun negeri  yang dibuka oleh umat Islam dan mereka bersetuju mengekalkannya di bawah pengurusan orang kafir.
  • Ataupun negeri yang pernah didiami oleh umat Islam dan kemudiannya mereka diusir oleh orang kafir dari negeri itu.
Imam Abu Hanifah pula mempunyai definisi yang berbeza. Beliau berkata:

"Dar Al Islam dan Dar Al Kufr (Negara Kafir) dikaitkan kepada Islam atau kufur berdasarkan terserlahnya Islam dan keamanan, ataupun kufur dan ketakutan di negara tersebut. Islam atau kufur terserlah berdasarkan terserlahnya hukum hakamnya, iaitu keamanan dan keadilan di Dar Al Islam, sebaliknya ketakutan dan kezaliman di Dar Al Kufr".

Dalam kata lain, Imam Abu Hanifah melabelkan sesebuah negara itu sebagai Dar Al Islam jika orang Islam dapat menetap dan mengamalkan cara hidup Islam dengan aman dan sebarang tanpa ketakutan. Jika umat Islam tidak dapat mengamalkan cara hidup Islam dengan tenteram dan sering diganggu, maka label yang sesuai ialah Dar Al Kufr.

2. Dar Al Harb (Negara Perang)

Dar Al Harb bermaksud  negara yang memerangi orang beriman, iaitu Dar Al Islam, dan wujud permusuhan antara negara tersebut dengan orang Islam. Sebaliknya negara yang tidak mengisytiharkan perang ke atas orang Islam, ia tidak dikira sebagai Dar Al Harb, sebaliknya digolongkan sebagai Dar Al 'Ahd (Negara Perjanjian) atau Dar Al Sulh (Negara Perdamaian).

Para ulama' berkata, apabila seseorang muslim memasuki Dar Al Harb, yang mengisytiharkan perang terhadap Islam, dia memasuki negara tersebut melalui perlindungan keamanan. Kemudian dia mengambil harta seorang kafir harbi di negara tersebut melalui urusan perdagangan, wadi'ah (deposit), belian atau jualan secara hutang atau apa-apa urusan muamalah, maka nilai harta yang diambil itu wajib dilangsaikan kepada kafir harbi tersebut mengikut tuntutan aqad (kontrak).

Kemudian, apabila kafir harbi tersebut ke negara Islam (dengan memperolehi keamanan) untuk menuntut haknya daripada muslim tadi, hakim hendaklah menjatuhkan hukuman ke atas muslim tadi agar dia melunaskan kewangan tersebut menggunakan hartanya. Iaitu sebagaimana dia menjatuhkan hukuman bagi orang muslim yang berada di Dar Al Islam.

Ini kerana hukum hakam Islam tetap berjalan walau di mana sahaja ia berada. Kita tidak menggugurkan hak kewajipan hanya kerana berada di sesuatu tempat, sebagaimana kewajipan solat tidak gugur kerana berada di Dar Al Harb. Memang benar hukum asal harta kafir harbi adalah harus diambil. Tetapi ijma' para ulama fiqh bersepakat ia haram diambil dan kehormatan harta mereka tetap dihormati dan dipelihara dalam beberapa situasi, antaranya:
  • Apabila seorang muslim memasuki Dar Al Harb secara aman atau dia menjadi tawanan. Manakala orang kafir tersebut memberi kepercayaan berkaitan jiwa dan harta kepadanya. Maka tidak halal dia mengkhianati mereka, lantaran dia telah memberi jaminan kepada mereka tentang dirinya. Ini kerana perbuatan ini adalah suatu pengkhianatan. Walhal, pengkhianatan tidak dibenarkan dalam Islam.
Jika dia mencuri atau merampas sesuatu daripada mereka (kafir harbi), ia wajib dipulangkan kepada pemiliknya. Jika pemiliknya datang ke Dar Al Islam, ia wajib dipulangkan kepada mereka. Ini kerana dia telah mengambilnya secara haram, oleh itu dia wajib memulangkannya, sama seperti jika dia mengambil harta orang Islam.
  • Apabila kafir harbi yang berada di Dar Al Harb memeluk Islam, darahnya terpelihara, harta dan anak kecilnya terkecuali daripada dijadikan tawanan perang. Hartanya tidak boleh diambil walau di mana sahaja ia berada atau dijumpai. Perjanjian antarabangsa yang mengatur peraturan ini telah wujud sekarang.
3. Darl Al A'hd (Negara Perjanjian)

Maksud Al A'hd ialah keamanan, zimmah, pemeliharaan dan penjagaan kehormatan. Dar Al A'hd dalam Islam pula ialah setiap negara yang penduduk dan pemerintahnya berdamai dengan orang Islam dan bersetuju menghentikan persengketaan, mewujudkan perdamaian atau tidak menceroboh.

Apabila ketua pemerintah Islam berpendapat mengadakan perdamaian dengan Dar Al Harb mempunyai kepentingan bagi umat Islam, perdamaian tersebut diharuskan. Firman Allah:

"Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka kamu hendaklah cenderung kepadanya dan bertawakallah kepada Allah." (Al Anfaal:61)

Contoh terbaik ialah Perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai antara umat Islam di Madinah dan kaum musyrikin Makkah. Ketua pemerintah Islam bertanggungjawab menghalang orang Islam dan zimmi daripada menyakiti dan mengganggu warga Dar Al Harb kerana mereka memperolehi perlindungan keselamatan jiwa dan harta melalui perjanjian damai.

4. Dar Al Baghy (Negara Pemberontak)

Al Baghy asalnya bererti zalim dan melampaui had melakukan kerosakan. Pengertian syarak untuk al baghy ialah penentang dan orang yang tidak mentaati pemerintah yang adil.

Dar Al Baghy dari segi istilah ialah: sebahagian daripada negara Islam yang dikuasai oleh orang Islam tetapi mereka menentang pemerintah yang sah berdasarkan hujjah yang mereka takwilkan lalu menjadi alasan kepada penentangan. Mereka melantik pemerintah dari kalangan mereka dan memiliki tentera serta pertahanan. Contoh Dar Al Baghy pada zaman kini ialah revolusi tentera, rampasan kuasa dan perlantikan diri mereka sendiri sebagai pemerintah tanpa pilihanraya, bai'ah ataupun kerelaan umat Islam.

5. Dar Al Bid'ah (Negara Bid'ah)

Ia bermaksud negara yang tidak berhukum dengan Islam secara sempurna. Sebaliknya menjalankan undang-undang secara wadh'i (undang-undang buatan manusia), ataupun undang-undang tempelan, ataupun sistem pemerintahan tentera, ataupun bukan tentera yang memerintah mengikut hawa nafsunya. Dar Al Bid'ah adalah negara yang telah hilang hukum sunnah di dalam negara tersebut, sebaliknya muncul di dalamnya hukum bid'ah dan hawa nafsu yang wajib ditentang.

6. Dar Al Maslubah (Negara yang Dirampas)

Negara yang pernah berada di tangan orang Islam yang memerintah dengan hukum Islam. Kemudian mereka menjadi lemah dan kekuatan mereka mula rapuh, lantas orang kafir dan tentera non muslim mengalahkannya. Para ulama' mewajibkan jihad untuk mengembalikannya. Sebagai contoh ialah Palestin dan Andalus.

Soalan bonus untuk semua, di kategori manakah negara Malaysia?

Tulisan ini dipetik daripada buku bertajuk, "Haadhir Al Alam Islami Al Aalam-Al Aamal: Dunia Islam Kini" karangan Dr. Taufik Yusuf Al Waei.
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)