Waktu masih awal lagi. Rancangan saya ialah ke hospital KPJ pada waktu pagi. Jangkaan saya rawatan akan selesai sementelah waktu tengahari. Justeru, saya boleh terus menuju ke Kolej Matrikulasi N.Sembilan di Kuala Pilah untuk bertemu anak usrah di sana. Sudah 3 minggu tidak bertemu mereka gara-gara minggu peperiksaan dan cuti semester. Rindu benar rasanya hendak bertemu mereka. Saya terus memandu ke KPJ sekitar jam 9 pagi. Tiba di pintu kecemasan pada jam 9.30 pagi dan terus diberikan rawatan. Beberapa soalan diajukan untuk mengetahui susur galur batuk saya. Sudah berapa lama? Berkahak atau tidak? Apa warna kahak? Malah, kaki saya juga diperiksa. Mungkin untuk melihat tanda-tanda tibi agaknya. Aneh.
Setelah soalan habis ditanya, darah saya pula diambil untuk dihantar ke makmal. Seterusnya, saya diberikan 'nebulizer' untuk melancarkan pernafasan saya. Berbentuk cecair dan dialirkan melalui tong gas oksigen. Saya perlu menyedutnya dengan menggunakan 'topeng' mirip seperti penyelam skuba. Sedikit rasa lega saya rasai pada dada yang awalnya terasa sempit.
"Ting"...Saya mengerling ke arah Blackberry yang saya letakkan di atas meja. Bunyi tersebut memang khas saya letakkan sebagai mesej daripada isteri saya sahaja.
"Nenek sdg tenat kat spital. BP 50/20"
Serta merta anak mata saya membuntang. Saya perlu segera keluar dari KPJ menuju ke Hospital Tuanku Jaafar. BP 50/20 terlalu rendah dan boleh hilang sedar pada bila-bila masa.
"Nurse...nurse...", saya mula menjerit tak tentu hala.
"Saya kena keluar sekarang. Nenek saya sedang tenat".
Jururawat kelihatan serba salah. Terus dia menuju ke arah doktor meminta pandangan. Doktor hanya mengangguk tanda setuju.
"Nanti encik datang sini semula bila dah selesai".
"OK, insya Allah", tanpa memandang ke arah jururawat, saya terus menghantar SMS kepada isteri supaya tunggu di rumah kerana saya akan menjemputnya. Isteri saya membalas dia sudah pun dalam perjalanan untuk menjemput saya. Sambil menunggu ketibaan isteri, saya menghantar SMS kepada anak usrah yang perjumpaan tengahari tersebut terpaksa dibatalkan. Diri saya mula dibelenggu rasa bersalah. Malam tadi ada terlintas di hati ingin melawat nenek di rumah makcik saya. Melihat isteri yang keletihan dan anak-anak yang sudah termanggu mengantuk, saya membatalkan niat saya. Tambahan pula, pakcik saya ada memaklumkan yang kesihatan nenek semakin pulih. Sebelum ini, nenek telah dimasukkan ke hospital kerana pendarahan usus.
Sejurus kereta isteri tiba di pintu masuk hospital, saya terus melompat masuk. Hati tidak tenteram dan dada semakin sesak. Saya menghantar SMS kepada sepupu saya bertanyakan wad nenek. Jawapan yang diterima, nenek ditempatkan di zon kecemasan. Tiba di hospital, saya terus turun dari kereta sementara isteri saya mencari parkir yang berdekatan. Kelihatan makcik dan pakcik saya sedang menunggu di luar zon merah sambil membaca surah yasin. Mak kelihatan sedang berbual dengan sepupu perempuan saya. Abah pula ke surau bersolat hajat. Saya bertanya kepada mak di mana nenek. Mak hanya memberitahu nenek di dalam zon merah dan kami tidak dibenarkan masuk. Saya mula tidak keruan. Ini bukan petanda baik.
Saya bertanya kepada sepupu lelaki saya apa yang terjadi kepada nenek. Katanya, ketika waktu Subuh, makcik yang menjaga nenek saya masuk ke bilik nenek untuk membantunya mengambil wudhuk. Nenek sudah tidak berdaya untuk berjalan kerana faktor usia yang sudah mencecah 80 tahun. Apabila suis lampu ditekan, makcik saya terkejut tak terkata. Darah mengalir dengan banyaknya dari kain nenek memenuhi bilik. Malah menembusi tilam. Makcik saya segera menelefon anaknya yang sulong untuk menghantar nenek ke hospital. Oleh kerana jaraknya agak jauh, makcik saya juga menelefon hospital untuk mendapatkan khidmat ambulans. Dari situ, nenek ditempatkan di zon merah hinggalah sekarang.
"Cik Adam dah tahu?" saya bertanya kepada mak. Mak menjawab yang sepupu lelaki saya telah menelefon pakcik saya bernama Adam di Australia tentang keadaan nenek. Kira-kira seminggu sebelum itu, pakcik saya bernama Baharudin telah menawarkan tiket penerbangan kepada adik beradik ibu saya untuk bercuti di Perth, Australia. Antara yang bersetuju menerima pelawaan tersebut adalah adik ibu saya yang bernama Adam dan empat orang lagi adik beradik. Ibu saya mempunyai 10 orang adik beradik. Yang masih hidup hanya 9 orang. Ketika nenek nazak, hanya ada ibu saya, 2 orang kakaknya (salah seorangnya sempat pulang dari Australia beberapa hari lebih awal) dan seorang abangnya sahaja yang berada di sisi nenek. Saya bertanya kepada ibu saya adakah Pakcik Adam mengetahui hal ini kerana itulah anak kesayangan nenek saya.
Kira-kira sejam kemudian, keluar seorang doktor ingin berjumpa dengan anak-anak nenek. Masing-masing kelihatan pucat lesi. Apakah nenek sudah tiada? Doktor memberitahu keadaan nenek mula menampakkan perubahan yang baik. BP telah meningkat kepada 90/60. Terdapat sedikit kuning pada mata nenek. Doktor sendiri tidak pasti mengapa nenek boleh terkena jangkitan kuning. Doktor mula membenarkan waris untuk menziarahi nenek di zon merah. Namun terhad seorang setiap masa. Saya sempat bersendirian dengan nenek. Itulah kali terakhir saya menatap wajah nenek dalam keadaan beliau masih sedar. Itulah kali terakhir nenek bersuara pada saya. Namun perkataannya tidak jelas kerana beliau tidak mampu membuka mulut. Saya hanya mengangguk sahaja. Oleh kerana masih ramai sepupu dan menantu nenek yang ingin menatap nenek, saya membataskan masa hanya selama 3 minit sahaja. Sebelum meninggalkan nenek, salah seorang doktor bertanya adakah saya anak nenek. Saya menjawab saya adalah cucu nenek. Namun, saya boleh mengagak yang doktor perlukan waris yang mempunyai latar belakang bidang perubatan. Dengan pantas saya menyambut yang isteri saya adalah seorang doktor jika perlukan bantuannya. Doktor tersebut tersenyum lega mendengar kata-kata saya.
"Ya boleh juga"
Saya segera menuju ke arah isteri saya dan memintanya masuk ke dalam zon merah. Kira-kira hampir seminit doktor tersebut menyoal isteri saya, isteri saya segera keluar mencari makcik saya mengetahui sejarah kesihatan nenek saya. Isteri saya dan makcik berjalan pantas menuju ke zon merah. Kesemua waris yang hadir kelihatan cemas. Jam sudah menunjukkan pukul 2.45 petang. Nenek sudah berada di dalam zon merah sejak jam 7 pagi tadi. Lebih 7 jam beliau bersabung nyawa. Tidak lama kemudian isteri saya dan makcik keluar dari zon merah dengan wajah yang sugul. Doktor memberitahu isteri saya ahli keluarga mempunyai pilihan sama ada nenek diberi bantuan pernafasan melalui mesin atau membiarkan beliau meninggal secara perlahan-lahan. Kesemua adik beradik ibu saya tidak mampu untuk berfikir ketika itu. Semuanya menyerahkan kepada isteri saya untuk membuat keputusan kerana dia lebih arif dalam bidang perubatan. Isteri saya membuat keputusan untuk membantu nenek berjuang melawan maut. Bantuan mesin pernafasan. Itulah jawapan isteri saya kepada doktor dengan yakin. Isteri saya dan makcik menyusul doktor untuk masuk menjenguk nenek. Tidak sampai seminit, isteri saya dan makcik keluar semula.
Isteri saya kelihatan cemas, manakala makcik saya pula sudah mula menangis. Nenek sudah tidak sedarkan diri. Doktor yang merawat nenek keluar bertemu kami sekeluarga. Katanya nenek sudah tidak sedarkan diri dan CPR akan diberi selama 30 minit. Isteri saya terus memandang ke arah saya. Dengan wajah yang sedih, isteri saya menggelengkan kepala. Saya faham maksudnya. Mengikut pengalamannya, jika tidak sedarkan diri dan CPR dilakukan selama 30 minit, peluang untuk hidup amat tipis. Terus kami sekeluarga mengalirkan air mata. Kelihatan beberapa orang doktor bergilir-gilir melakukan CPR kepada nenek. Kami pasrah dan hanya menunggu masa doktor mengumumkan kematian nenek. Ketika itu, saya masih belum menunaikan solat Zohor lagi. Saya segera menuju ke surau berdekatan untuk menunaikan tanggungjawab. Dalam keadaan sayu dan penuh pengharapan, saya berdoa kepada Allah supaya dipanjangkan umur nenek. Lumrah alam menunjukkan nenek sudah tiada harapan lagi. Tetapi saya tetap ingat yang menjayakan harapan adalah Pencipta alam.
Selesai menunaikan solat, saya menuju ke zon merah semula. Isteri saya memberitahu yang ahli keluarga telah sepakat untuk meminta doktor memberhentikan CPR selepas 15 minit mencuba. Kali ini kami benar-benar menunggu pengumuman daripada doktor sahaja. Kami semua dibenarkan untuk menziarahi nenek buat kali terakhir. Ternyata nenek sudah tidak sedarkan diri dan denyutan jantungnya sangat perlahan. Kira-kira jam 3.15 petang, doktor mengisytiharkan nenek sudah meninggal dunia. Kami pasrah dan telah pun bersedia menerima berita tersebut. Nenek memang seorang pejuang. 8 jam lamanya nenek bertarung nyawa sebelum tewas.
Pada saya, nenek seorang individu yang sangat baik. Sepanjang 29 tahun hidup bersamanya, saya tidak pernah mendengar nenek meninggikan suara kepada anak mahupun cucunya. Kerana itulah pemergiannya amat kami rasai. Nenek punya keluarga yang besar. Beliau mendirikan rumah tangga seawal usia 17 tahun. Punya 10 orang anak. Anak keduanya meninggal ketika berusia 22 tahun kerana leukimia. Ditambah lagi dengan 15 cucu lelaki dan 13 cucu perempuan. Cicitnya pula seramai 13 orang. Memang meriah tak terkata tatkala menyambut hari raya. Terus terang saya katakan saya bukanlah cucu yang paling rapat dengan nenek. Tetapi saya sangat menyayangi nenek. Saya bukan jenis individu yang suka meraih perhatian. Ada antara sepupu saya yang memiliki keistimewaan tersendiri. Ini menyebabkan nenek menyayangi mereka lebih sedikit daripada yang lain. Dan saya tidak pernah kisah dengan hal tersebut kerana saya tahu nenek tetap menyayangi kesemua cucunya. Ada antara sepupu saya merupakan anak kacuk dengan warga Australia. Wajah mereka yang cantik dan menarik menjadi tarikan kepada nenek. Jarang pulang ke tanah air juga menjadi punca mengapa nenek melebihkan mereka. Ada juga cucu-cucu yang sangat rajin berbanding kami semua. Anak Mak Tam dididik rajin berkemas dan menjaga kebersihan, termasuklah anak-anak lelaki. Setiap kali kenduri, merekalah yang paling rajin membantu. Ini juga menyebabkan nenek kasihkan mereka.
Kini nenek sudah tenang di alam barzakh. Rumahnya di kampung sunyi tak berpenghuni. Saya hanya sempat merenung rumah lama itu sebelum pulang ke Seremban. Terlalu banyak kenangan di zaman kanak-kanak di sini. Sebuah lagi rumah kampung yang unik akan menyembah ke bumi. Alangkah sedihnya rasa di hati.
No comments:
Post a Comment