Kabilah Muzainah membuat penempatan mereka berhampiran Yathrib. Kampung mereka berada di pertengahan jalan Madinah dan Makkah. Pada suatu malam, ketua kaum itu, An Nu'man bin Muqarrin berhimpun bersama adik beradiknya dan juga syuyukh kabilah di tempat perkumpulan mereka.
"Wahai kaumku, Demi Allah! Kita tidak mengetahui mengenai Muhammad melainkan yang baik belaka. Kita juga tidak dengar mengenai seruannya melainkan seruan rahmat, kebaikan dan keadilan. Kenapalah kita masih berlengah sedangkan orang lain bersegera menemuinya?"
Ketika itu kaum Muzainah baru mendapat berita tentang penghijrahan Rasulullah ke Madinah.
"Saya telah berazam untuk pergi menemuinya pada pagi esok. Sesiapa yang ingin bersama saya, hendaklah dia membuat persiapan".
Kata-kata Nu'man itu tepat menyentuh lubuk hati kaumnya. Menjelang waktu pagi, beliau dapat 10 saudaranya dan 400 pahlawan Muzainah telah pun siap untuk bersama beliau menuju ke Yathrib. Tujuan mereka adalah untuk bertemu Rasulullah dan memeluk agama Islam. Cuma Nu'man berasa malu untuk berangkat tanpa membawa hadiah untuk diberikan kepada baginda. Kemarau yang mereka hadapi telah memusnahkan tanaman dan ternakan. Beliau hanya dapat mengumpulkan beberapa anak kambing dan dipersembahkan kepada baginda.
Yathrib gempar dan bergegar dengan kegembiraan keislaman Bani Muzainah. Tidak pernah berlaku dalam mana-mana rumah Arab sebelum itu, 11 bersaudara daripada seorang ayah dan 400 pahlawan memeluk Islam secara serentak. Rasulullah terlalu gembira dengan keislaman Nu'man. Allah SWT telah menerima pemberiannya yang sedikit itu dan menurunkan ayat mengenainya.
"Dan sebahagian dari orang-orang Arab itu ada yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan memandang apa yang mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal bakti (yang mendampingkan) di sisi Allah dan sebagai (satu jalan untuk mendapat) doa daripada Rasulullah (yang membawa rahmat kepada mereka). Ketahuilah, sesungguhnya apa yang mereka dermakan itu adalah menjadi amal bakti bagi mereka (yang mendampingkan mereka kepada Allah). Allah akan masukkan mereka ke dalam rahmatNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampung, lagi Maha Mengasihani" (At Taubah: 99)
Sebelum peperangan al Qadisiyyah meletus, Sa'ad bin Abi Waqqas telah menghantar utusan kepada Kisra Yazdajurd yang diketuai oleh An Nu'man bin Muqarrin. Kisra bertanya kepada rombongan tersebut mengapa mereka datang dan mahu menyerang Parsi. Kisra menyangka tentera Islam mahu menyerang Parsi kerana selama ini Parsi tidak menunjukkan kekuatannya yang sebenar. Kisra dengan angkuhnya menyatakan Parsi tidak mahu menggunakan kekerasan ke atas tentera Islam. Nu'man menjawab setelah dimulai dengan kata-kata memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah,
"Allah telah merahmati kami dengan mengutuskan kepada kami seorang Rasul. Baginda telah menunjuk dan memerintahkan kami melakukan kebaikan. Baginda juga mengajar kami mengenali kejahatan dan melarangnya. Baginda juga telah berjanji kepada kami, jika kami menerima seruannya, Allah akan memberi kebaikan di dunia dan di akhirat kepada kami. Dalam masa sekejap sahaja, Allah telah menukarkan kesempitan kami menjadi luas, kehinaan menjadi mulia, permusuhan menjadi persaudaraan dan kasih sayang. Baginda memerintahkan kami supaya mengajak manusia kepada agama yang membawa kebaikan kepada mereka. Dan agar kami memulakannya dengan mereka yang berdekatan. Oleh itu, kami mengajak kamu masuk ke dalam agama kami. Ia sebuah agama yang menghukum baik kesemua perkara baik dan menggalakkannya. Ia juga menghukum buruk kesemua perkara buruk dan menegahnya.
Agama ini mengeluarkan penganutnya dari kegelapan dan kezaliman kufur kepada cahaya dan keadilan iman. Jika kamu menerima seruan kami kepada Islam, kami akan tinggalkan kitab Allah kepada kamu. Kemudian kami tugaskan kamu melaksanakannya dengan kamu berhukum dengan hukum hakamnya. Setelah itu, kami pulang meninggalkan kamu dengan urusan kamu. Jika kamu enggan memeluk Islam, kami akan mengambil jizyah daripada kamu dan melindungi kamu. Jika kamu enggan membayar jizyah, maka kami akan memerangi kamu."
Mendengar kata-kata An Nu'man, kemarahan Yazdajurd menjadi menyala-nyala. Beliau lantas menengking,
"Sesungguhnya beta tidak mengetahui suatu bangsa pun di muka bumi ini yang lebih sengsara dan sedikit bilangannya daripada kamu. Tiada bangsa yang sangat kuat berpecah dan teruk keadaannya berbanding kamu. Kami dulunya menyerahkan urusan kamu kepada para pegawai tadbir di perbatasan. Mereka mendapatkan kepatuhan kamu untuk kami."
Kemudian beliau mengendurkan sedikit suaranya yang keras,
"Jika kamu datang ke sini kerana keperluan hidup, kami akan bekalkan makanan asasi kepada kamu sehinggalah negeri kamu kembali subur. Kami berikan juga pakaian kepada pemimpin dan pemuka kaum kamu. Dan seterusnya kami lantik seorang raja mewakili pihak kami yang bersikap lembut kepada kamu."
Namun utusan Islam tetap berkeras dengan ajakan Islam kepada bangsa Parsi. Yazdajurd semakin marah,
"Jika bukan kerana para utusan tidak dibenarkan untuk dibunuh, nescaya beta telah bunuh kamu"
"Bangun semua. Tiada habuan untuk kamu di sisiku. Beritahu panglima kamu, beta akan utuskan Rustum kepadanya. Dia akan menguburkan kamu semua di dalam parit al Qadisiyyah", ujarnya lagi.
Kemudian Kisra bertitah untuk dibawakan sebeban tanah. Beliau dengan angkuhnya mengarahkan tanah tersebut dipikul oleh orang yang paling mulia di kalangan utusan tentera Islam tersebut. 'Asim bin Umar telah memikul beban tanah tersebut keluar dari kota Parsi tersebut dengan penuh keyakinan yang kota itu akan jatuh ke tangan kekuasaan Islam. Maka berlakulah Perang Qadisiyah dan parit tersebut dipenuhi dengan bangkai mayat tentera Parsi.
Pun begitu, tentera Parsi tidak berdiam diri dan telah menghantar seramai 150 ribu tentera untuk membalas dendam atas kekalahan dalam Perang Qadisiyah. Saidina Umar al Khattab maklum akan bilangan tentera Parsi yang akan menggempur pasukan Islam. Beliau berhajat untuk turut serta dalam peperangan kali ini. Walau bagaimanapun, para sahabat tidak bersetuju beliau turut serta demi menjaga kepimpinan di Madinah. Lalu Saidina Umar mengutuskan orang yang lebih tangkas daripada tombak untuk memimpin bala tentera, iaitu An Nu'man bin Muqarrin.
"Daripada hamba Allah, Umar bin al Khattab kepada An Nu'man bin Muqarrin.
Amma ba'du!
Sampai kepada saya berita, tentera a'jam (Parsi) yang ramai telah berkumpul di bandar Nahawand untuk menyerang kamu. Oleh itu, apabila surat saya ini sampai kepadamu, bertolaklah bersama tentera Islam untuk menentang mereka dengan perintah Allah, pertolongan dan kemenangan daripadaNya. Janganlah kamu menempatkan tentera Islam di kawasan yang kasar dan tidak rata. Kamu akan menyakiti mereka. Sesungguhnya seorang lelaki Islam lebih saya kasihi daripada 100 ribu dinar. Salam sejahtera ke atas kamu."
Nu'man telah menghantar pasukan pengintip untuk meninjau keadaan jalan yang akan dilalui. Apabila menghampiri Nahawand, kuda mereka terhenti. Mereka cuba mendorong kuda mereka untuk maju, tetapi tidak berhasil. Mereka turun dari kuda dan mendapati serpihan besi seperti kepala paku terpacak di tapak kaki kuda mereka. Rupa-rupanya tentera Parsi telah menabur duri-duri besi di semua jalan yang menuju ke Nahawand. Mereka mahu menghalang tentera Islam daripada sampai ke bandar tersebut.
Nu'man mengarahkan tentera Islam supaya tidak berganjak. Mereka diarahkan menyalakan api pada waktu malam supaya dapat dilihat musuh. Pada masa yang sama mereka juga diarahkan supaya nampak takut dan gerun kepada musuh. Ini bertujuan supaya tentera Parsi merasa yakin dan menyerang tentera Islam terlebih dahulu. Apabila musuh menyerang tentera Islam terlebih dahulu, paku-paku yang ditabur akan dibersihkan. Ini akan memudahkan tentera Islam berperang tanpa sebarang gangguan. Umpanannya menjadi dan sekali lagi tentera Islam mencapai kejayaan.
Sebelum peperangan meletus, Nu'man berpesan kepada tenteranya yang beliau akan bertakbir sebanyak 3 kali sebagai tanda peperangan akan bermula. Apabila laungan takbir pertama berkumandang, tentera Islam hendaklah bersiap sedia. Laungan takbir kedua menandakan tentera Islam hendaklah memegang senjata masing-masing. Laungan takbir terakhir bermakna serangan ke atas musuh bermula. Ramai jiwa yang terkorban. Darah membasahi medan peperangan. Ini menyebabkan kuda An Nu'man bin Muqarrin tergelincir lalu mati. Nu'man juga jatuh serta cedera parah dan akhirnya syahid. Saudaranya yang melihat tragedi itu terus mencapai panji dari jenazah Nu'man dan menutup jasadnya dengan kain supaya tidak diketahui oleh tentera Islam yang lain.
Kemenangan ini dinamakan Fathu al Futuh, iaitu ketua segala pembukaan (negara). Tatkala itu, tentera Islam tercari-cari di mana ketua panglima mereka. Maka tampillah saudara Nu'man dan menyingkap kain yang menutup satu jasad.
"Inilah ketua kamu, Allah telah menggembirakannya dengan kemenangan dan menyudahkan usianya dengan mati syahid".
Kisah ini dipetik dari buku bertajuk "Suwar min Hayaatis Sahaabah " - Gambaran Kehidupan Sahabat, tulisan Dr. Abdul Rahman Ra'fat al Basha
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment