Thursday, November 25, 2010
Kenangan Yang Terukir
'Cling'...bunyi yang menandakan ada emel baru masuk ke dalam inbox saya. Saya terus membaca isi kandungan emel tersebut. Emel ini telah dihantar melalui salah satu milis yang saya sertai. Milis ini terbuka kepada warga Negeri Sembilan sahaja. Tujuan saya menyertai milis itu supaya saya tidak tertinggal apa-apa perkembangan yang berlaku di sekitar Negeri Sembilan. Memandangkan saya bekerja di Petaling Jaya, maka amat sukar bagi saya untuk memantau perkembangan terkini di sekitar Negeri Sembilan. Masa yang ada di Negeri Sembilan pun cuma bermula waktu selepas Maghrib hinggalah waktu Subuh. Sangat terbatas untuk saya bergaul dan berinteraksi dengan jiran tetangga.
Emel yang saya terima mewar-warkan permohonan bantuan kewangan bagi 1 stop center center library di Pusat Pendidikan Islam As-Saidiyyah. Sekolah Rendah Islam As-Saidiyyah merupakan pusat pendidikan terawal yang saya duduki bermula daripada Darjah 1 hingga Darjah 5 (1988-1992). Sepanjang tempoh 5 tahun tersebut, sekolah ini telah berpindah sebanyak 3 kali. Itupun ketika saya memasuki tahun satu, sekolah ini pernah berpindah sebelum ini. Emel tersebut turut menyertakan alamat website sekolah As Saidiyyah. Jari saya yang gatal terus saya menekan link pautan tersebut. Saya mengamati komen-komen daripada pelawat laman web sekolah ini. Banyak pelawat yang bertanyakan tentang proses kemasukan anak-anak ke sekolah ini. Dalam banyak-banyak komen, saya terpaut kepada salah satu respon daripada bapa bakal pelajar sekolah ini. Beliau menyertakan link blognya dan saya terus melayari blog tersebut
http://whitewakgreen.blogspot.com/2010/10/melentur-buluh-biar-dari-rebung.html
Dalam entri tersebut, bapa bakal pelajar sekolah As Saidiyyah ini telah menceritakan pengalaman beliau menghantar anaknya ke sesi temu duga kemasukan sekolah. Beliau turut menyertakan gambar-gambar di sekitar kawasan sekolah. Entri beliau telah membuatkan saya berasa sayu. Saya terus teringat kenangan sepanjang 5 tahun bersekolah di sekolah yang serba dhaif infrastrukturnya, namun tinggi iltizam para pendidiknya. Saya tidak pernah merasa belajar di tapak sekolah yang ada sekarang. Tapak sekolah yang ada sekarang telah dibeli lebih 10 tahun dahulu. Saya hanya sempat belajar di rumah sewa sahaja. Oleh sebab itulah sekolah ini terpaksa berpindah randah.
Ketika di tahun satu, saya belajar di sebuah rumah banglo setingkat yang letaknya di Golf Height. Tahun berikutnya, kami berpindah ke sebuah rumah banglo dua tingkat di Taman Paroi Jaya. 2 tahun kemudian kami menumpang di sekolah agama rakyat di Gedong Lalang 162. Murid di sekolah As Saidiyyah ketika itu juga tidak seramai sekarang. Seingat saya tidak pernah mencecah 100 orang pun. Kini jumlah pelajar di sekolah tersebut mencecah 500 orang. Permintaan yang tinggi ini telah menyebabkan pihak pentadbiran terpaksa menyaring kemasukan dengan mengadakan sesi temuduga seperti yang diceritakan oleh bapa bakal pelajar tadi.
Biarpun saya menuntut di sekolah tersebut selama lima tahun, saya tidak mempunyai banyak foto kenangan ketika di sana. Ketika itu bapa saya tidak mampu untuk membeli kamera yang agak mahal harganya. Segala memori di sekolah yang ada hanyalah apa yang sempat diukir di benak otak saya sahaja. Apabila dikenang semula, saya merasa bangga bersekolah di As Saidiyyah. Apakan tidak, kami sangat unik berbanding pelajar sekolah kebangsaan. Kami ke sekolah dengan berkopiah. Tidak boleh bersongkok. Murid perempuan pula ke sekolah dengan bertudung labuh dan berjubah. Jubahnya mesti berkancing di pergelangan tangan. Comel kan?
Setiap pagi dimulakan dengan alunan asmaul husna. Diikuti dengan ikrar dan lagu sekolah. Satu yang menarik tentang ikrar sekolah ini ialah saya tidak pernah mengetahui ianya adalah ikrar sebuah gerakan Islam yang terulung. Lebih melucukan lagi, ikrar ini telah dipopularkan pada penghujung tahun 90an. Malah telah menjadi lirik nasyid kumpulan Shoutul Amal. Ikrar tersebut berbunyi,
Allahu Ghaayatuna (Allah matlamat kami)
Ar Rasulu za'imuna (Rasul ikutan kami)
Al Quranu dustuuruna (Al Quran perlembagaan kami)
Al Jihadu sabeeluna (Jihad jalan kami)
Al Mautu fi sabilillahi asma amanina (Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami)
Malangnya ketika itu saya masih kecil dan tidak mengerti apa-apa. Akibatnya saya tidak menghargai detik-detik bersejarah yang telah saya lalui di sekolah tersebut. Ketika saya mendengar ikrar tersebut menjadi alunan nasyid di KISAS, saya berasa terkejut. Terkejut kerana kebanyakan pelajar di KISAS baru pertama kali mendengarnya. Malah mereka rasa teruja sehingga berulang kali mengalunkan nasyid yang berlirikkan ikrar tersebut.
Selesai pembacaan ikrar dan nasyid sekolah, kami memulakan sesi pembelajaran dengan membuat hafalan. Bagi peringkat rendah, hafalan bermula daripada juzu' 30. Bagi peringkat tinggi seperti pelajar darjah 4,5 dan 6, hafalan kami bermula juzu' 29. Oleh kerana saya belum matang lagi ketika itu, saya tidak merasakan hafalan tersebut amat berharga. Setelah meninggalkan sekolah As Saidiyyah, hafalan saya turut hanyut entah ke mana. Kini, untuk menghafal semula surah-surah tersebut saya terpaksa mengambil masa yang lama kerana otak yang sudah makin berkarat.
Ketika temasya sukan pula, nama rumah/pasukan yang diberi adalah daripada nama para sahabat seperti Mus'ab bin Umayr (Kuning), Khalid Al Walid (Merah), Hamzah bin Abdul Mutallib (Biru) dan Usamah bin Zaid (Hijau). Tidak seperti sekolah kebangsaan yang menggunakan nama tokoh-tokoh Melayu ataupun nama tumbuhan. Sekali lagi, oleh kerana ketika itu saya masih kecil, saya tidak menghargai dan memahami mengapa nama perwira Islam yang dipilih. Diharapkan dengan menggunakan nama perwira Islam ini, para peserta akan bertanding bersungguh-sungguh ibarat pahlawan di tengah medan perang.
Pada September tahun 1992, saya terpaksa meninggalkan sekolah tersebut kerana terpaksa mengikuti ayah saya menyambung pengajiannya di England. Sekembali ke tanah air, saya hanya sempat bersekolah di As Saidiyyah selama 2 bulan sahaja kerana cuti hujung tahun yang sudah pun semakin hampir. Tahun berikutnya saya bersekolah di Sek Keb Taman Paroi Jaya kerana sekolah As Saidiyyah tidak menyediakan peperiksaan UPSR. Bermula lewat 90an barulah sekolah As Saidiyyah menyediakan peperiksaan UPSR. Itupun para pelajar terpaksa menumpang di Sek Ren King George V (KGV) untuk menduduki peperiksaan. Kini pelajar sudah boleh menduduki peperiksaan di sekolah As Saidiyyah tanpa perlu menumpang di sekolah lain.
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment