Aku yang sedang memandu di sampingnya hanya tersenyum sinis. Aku kenal benar ahli-ahli usrah X tersebut. Dahulunya aku bersama mereka di dalam usrah tersebut. Setelah rombakan dilakukan, aku dipindahkan ke usrah yang lain. Aku biarkan sahaja ayahku meluahkan perasaannya. Perjalanan ke pejabat IKRAM N.Sembilan tinggal beberapa kilometer sahaja untuk tiba.
"Susah kalau muda-muda dah liat nak aktif. Apa puncanya ye?"
Aku cuba memberikan pendapat yang tak seberapa hebat jika nak dibandingkan dengan kualiti fikrah ayahku.
"Seseorang mutarabbi itu mengikut apa yang membentuknya. Jika murabbinya membentuknya hanya menjadi seorang muslim atau mukmin, maka jadilah dia sebagai individu yang hanya beramal soleh sahaja. Kosong tanpa amal dakwah."
"Jika murabbinya hanya mendedahkan si mutarabbi pada wasilah usrah sahaja, jadilah mutarabbinya individu yang hanya mengenali usrah sahaja. Tidak pernah kenal apa itu daurah. Tidak kenal apa itu katibah. Tidak kenal apa itu muktamar dan sebagainya. Baginya, usrah sahajalah wasilah tarbiah. "
"Jika murabbinya membentuknya untuk menjadi seorang dai'e yang cemerlang, baik dari segi kepimpinan, thaqafah, mahupun ruhiyy, insya Allah mutarabbinya akan menjadi insan yang luar biasa. Luar biasa udhiya'nya(pengorbanan), luar biasa tenaganya, luar biasa pengurusan masanya dan luar biasa kebijaksanaannya mengatur strategi."
Ayahku mengerutkan kening.
"Naqib usrah X tu tak efektif ke?"
"Lebih kurang begitulah, bah. Dulu masa memula Pakcik A bawa memang bagus. Terasa bersemangat nak terjun ke medan dakwah. Bila usrah tu diserahkan pada Pakcik B, pembawaan hala tuju usrah menjadi tidak begitu jelas. Bila usrah bertukar dibawa Pakcik C, terus jadi macam majlis ilmu je".
"Ulum Fiqh Dakwah tidak ditingkatkan. Hafazan langsung takde. Apatah lagi menghafal matan arbai'en. Mutaba'ah tak pernah disebut langsung. Umum mengetahui usrah lebih daripada setakat majlis ilmu. Lebih menyedihkan, ahli-ahli hanya bertemu ketika di majlis usrah sahaja. Tidak bertemu ketika iktikaf di 10 malam akhir Ramadhan. Tidak bertanya khabar melainkan di waktu usrah sahaja. Tiada galakan turun ke medan menyebarkan risalah dakwah."
Jadi siapa yang harus dipersalahkan? Bagiku murabbi dan mutarabbi kedua-duanya bersalah. Salah murabbi kerana gagal melaksanakan amanah yang dipinta. Salah mutarabbi pula tidak mengambil sebarang inisiatif untuk mengenali dakwah dengan lebih mendalam. Tidak mengambil inisiatif untuk mencintai dakwah ini. Pengakuannya tentang kepentingan dakwah hanyalah kata-kata kosong tanpa sebarang bukti dari segi amal perbuatan.
Hadis masyhur yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim berbunyi,
"Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapalah yang mencoraknya sama ada menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi."
As Syahid Hassan Al Banna menyebut nuqaba' itu ibarat seorang syeikh yang memimpin spiritual (amalan ruhi) anak-anak buahnya, seorang ustaz yang mendidik anak-anak usrahnya, seorang bapa yang mengasihi anak-anak usrahnya dan sebagainya.
As Syahid menyebut, naqib adalah umpama bapa yang mengasihi anak-anak usrahnya. Kasih kerana ingin anak-anak usrahnya selamat dalam kehidupan dunia dan akhirat. Kasih kerana mahukan anak-anak usrahnya jelas tentang matlamat hidup di muka bumi ini. Kasih kerana tidak mahu anak-anak usrahnya melalui kehidupan ini tanpa mengetahui ianya sudah pun berakhir. Justeru itu, setiap murabbi atau naqib wajib faham bahawa usrah yang dibawanya adalah satu amanah yang besar. Amanah untuk membentuk manusia (takwin) umpama si ayah mendidik anaknya. Setelah berjaya membentuk syakhsiah, usahanya hendaklah diteruskan untuk membentuk insan musleh (mengajak berbuat kebaikan) pula. Bukan setakat memenuhi keperluan perjumpaan mingguan yang diselangi dengan perkongsian ilmu diniah dan dakwah. Oleh sebab itu, manhaj tarbawi sesuatu jamaah itu wajib mempunyai garis panduan atau 'manual' bagaimana hendak mengendalikan kumpulan usrah. Di dalam 'manual' tersebut digariskan apakah intipati yang perlu disampaikan kepada kumpulan usrah yang dibimbingnya. Di dalam 'manual' tersebut disebutkan bagaimana menilai sama ada bimbingan yang diberi membuahkan hasil ataupun tidak.
Malangnya kebanyakan para murabbi tidak menggunakan 'manual' tersebut. Alasan yang diberikan kebiasaannya adalah kerana kesuntukan masa. Maka jadilah mutarabbi yang dibentuk itu 'mutarabbi segera'. Mutarabbi yang rapuh pendiriannya. Cetek ilmunya. Nipis muraqabahnya. Ini yang sering merisaukan para qiyadah. Rijal yang dibentuk lain pula acuannya. Rijal yang apabila diberikan tanggungjawab untuk membimbing generasi muda, sering merasakan diri tidak layak. Merasa diri masih lemah. Tiada keyakinan diri. Rijal yang sepatutnya menambah gerabak dakwah supaya lebih ramai mad'u menumpang ke arah pensyariatan. Tetapi rijal ini tetap duduk di dalam gerabak dengan keadaan yang selesa sedangkan gerabak sudah semakin sesak dan tidak mampu bergerak ke arah destinasi yang dituju. Akhirnya, gerabak akan berhenti dan tidak meneruskan perjalanan kerana tidak mampu untuk bergerak lagi. Rijal yang tidak bekerja hanya menambahkan beban kepada jamaah.
Saya masih ingat kata-kata murabbi saya berkenaan kelesuan para du'at di tanah air. Intipatinya ialah kekecewaan beliau terhadap para du'at yang menganggap kerja-kerja dakwah sebagai kerja sampingan sahaja kerana tiada imbuhan yang diberikan. Para du'at ini akan memberikan prestasi yang cemerlang di lapangan kerja harian (mencari nafkah) mereka. Ketaatan yang diberikan kepada ketua jabatan juga tidak berbelah bagi. Sanggup melakukan apa jua jenis tugasan. Di sudut dakwah pula, prestasinya tenggelam timbul. Jika diberi arahan, dilakukan secara sambil lewa. Tiada kerisauan jika amanah yang diberi tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya. Apabila diberi amanah, berbagai alasan yang diberi supaya dapat melepaskan diri daripada tanggungjawab tersebut. Mentang-mentang prestasi buruk kerja dakwah tidak akan mengganggu periuk nasinya, maka perihal dakwah dilihat sebelah mata sahaja.
Dari sudut mutarabbi pula, tidak ramai para du'at yang memiliki sifat dahagakan ulum dakwah seperti mana mereka dahagakan ilmu dalam bidang yang masing-masing ceburi. Jika saya, sebagai seorang jurutera profesional, saya akan berusaha untuk meningkatkan pengetahuan saya dengan menelaah buku-buku kejuruteraan serta menghadiri seminar atau konvensyen teknikal. Begitulah halnya juga dengan seorang mutarabbi yang punya sifat ingin membina kerjaya dakwahnya. Sudah pasti ia akan meningkatkan pengetahuannya dengan menelaah buku-buku fiqh dakwah dan harakah serta mengambil tempat dalam mana-mana sesi daurah ataupun katibah yang dianjurkan oleh jamaah.
Jika mutarabbi itu benar-benar menyintai jalan dakwah ini, pasti ia akan merasakan fiqh dakwah yang didapatinya dari majlis usrah masih belum mencukupi. Ia pasti akan bertanya kepada dirinya,
"Dari manakah naqibku memperoleh taujihat-taujihat ini? Apakah sumbernya?"
Ia akan terus mencari dan menggali buku-buku serta risalah-risalah yang boleh menambahkan thaqafah dakwahnya. Apabila mutarabbi itu sudah menjumpai sumber-sumber ini dan berjaya menghadam isi kandungannya, insya Allah ia akan memahami tuntutan dakwah serta keterikatan bersama harakah dengan sebenar-benar pemahaman. Bukan setakat faham sahaja, malah iltizamnya juga meningkat naik dan sanggup memberikan ketaatan yang tidak berbelah bagi.
Ilmu yang dicari tidak terbatas melalui pembacaan sahaja. Perkongsian juga memainkan peranan utama dalam membina peningkatan kualiti seorang dai'e. Apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah pentingnya perkongsian ilmu dan pengalaman melalui hubungan ukhuwah yang berpaksikan fikrah yang sama. Kadangkala murabbi yang diamanahkan tidak memainkan peranan yang sepatutnya dalam membangunkan potensi mutarabbi. Contohnya, usrah jarang sekali diadakan. Iftar jamai'e tidak pernah dilakukan. Ini secara tidak langsung akan menjadikan anak-anak usrah semakin jauh tertinggal daripada aspek pembinaan diri dan peningkatan ilmu. Di sinilah perkongsian dengan ikhwah atau akhawat yang lain memainkan peranan. Dari perkongsian inilah anak-anak usrah itu tadi didedahkan kepada wasail tarbiah dan juga manhaj yang sedang ia ikuti. Melalui perkongsian jugalah anak-anak usrah ini tadi boleh meningkatkan ilmu-ilmu asas dakwah dan tarbiah yang tidak sempat disentuh oleh murabbinya sebelum ini. Justeru itu, amat penting bagi seseorang mutarabbi meluaskan networking yang ia ada supaya dapat membantunya lebih maju ke depan. Malah tidak mustahil jika pembinaan dirinya dapat melangkaui pembinaan yang sedang dilalui oleh murabbinya sendiri.
Itulah hakikat sebenar dalam merintis jalan tarbiah ini. Murabbi dan mutarabbi kedua-duanya punya peranan dalam menggerakkan harakah ini. Jika murabbi lesu, mutarabbi akan termanggu. Pun begitu, mutarabbi tidak boleh terus membatu. Ia perlu bingkas bangun untuk mempersiapkan diri. Jangan terus duduk berpeluk diri sambil menunggu seseorang menghulurkan tangan untuk membimbing diri. Semua du'at mengenali dakwah dengan asbab usaha mereka sendiri. Bukan secara kebetulan wahai para du'at sekalian. Ingat, anda yang memilih jalan ini. Mengapa sekarang anda memilih untuk berdiam diri dan mengharapkan murabbi anda sahaja yang membimbing anda?
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment