Wednesday, November 10, 2010

Murabbi Contoh (Sifat, Kemahiran dan Tanggungjawab) - Bahagian 1

Tarbiah dari segi bahasa terbahagi kepada 3 asas:


  1. Pertumbuhan - tempat tumbuh dan membesar

  2. Perkembangan dan bertambah

  3. Mendidik

Dari segi istilah pula, tarbiah membawa maksud:



  1. Mengembangkan sisi keperibadian kepada kesempurnaan sedikit demi sedikit dan keadaan demi keadaan.

  2. Mengubah tujuan objek dalam sebahagian atau setiap sisi keperibadian manusia dengan memberikan pendedahan pengalaman yang pelbagai dengan makna tertentu (mengikut manhaj)

Antara ucapan Hassan Al Banna, Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang pertama tentang kepentingan tarbiah,


"Wahai Ikhwan, sesungguhnya kamu di dalam fasa Takwin. Janganlah kamu tertipu dengan bayangan fatamorgana daripada membuat persediaan yang baik dan kesempurnaan persediaan. Gunakanlah 90% daripada masamu untuk Takwin dengan bersungguh-sungguh demi diri kamu sendiri. Gunakanlah pula 10% yang selebihnya untuk urusan-urusanmu yang lain. Agar pengembalianmu dapat dipercepatkan, persediaanmu lengkap dan sempurna. Pada ketika itu, Allah akan 'membuka' antaramu dan kaummu dengan Haq dan Dialah sebaik-baik Pembuka."


Hassan Al Banna turut menekankan kepentingan pergantungan diri kita dan mad'u kepada tarbiah serta mujahadah.


"Sesungguhnya peperangan kita adalah peperangan tarbiah. Sesungguhnya kerja terhadap diri kita adalah kewajipan kita yang pertama. Oleh itu berjihadlah terhadap diri-diri kamu."


As Syahid juga turut menambah bahawa tarbiah adalah kilang pembinaan rijal,


"Persiapkanlah dirimu dan datanglah kepadanya dengan tarbiah yang sahih, pembentukan yang teliti dan ujilah ia dengan amal. Sesungguhnya amal yang kuat itu adalah yang dibenci di sisinya, berat ke atasnya, dan ceraikanlah ia daripada syahwatnya, perkara-perkara yang ia sukai dan adat kebiasaannya." (Risalah Muktamar Al Khaamis)


Ciri-ciri Khusus Tarbiah Ikhwanul Muslimin


1. Rabbaniyyah


Ciri yang terfokus kepada kerja membangkitkan iman. Bersumberkan kepada Al Quran dan Hadis, ia berfungsi dengan menyerap pengajaran-pengajaran keimanan yang memberi kesan kepada perasaan dan tingkah laku. Hati akan menjadi hidup dan berhubung terus dengan Allah. Yakin pertemuan denganNya dan hisabNya. Mengharap akan rahmatnya dan takut pada balasanNya. Kerana itulah tarbiah ikhwan ini bekerja dengan dengan menghidupkan hati dan mengimarahkannya.


2. Menyeluruh, sempurna dan seimbang


Terbit daripada keimanan kita terhadap kesempurnaan dan keseimbangan manhaj Islam. Ikhwan tidak akan redha dengan Islam kecuali Islam yang menyeluruh dan sempurna. Demikianlah juga penyelarasan Takwin yang melibatkan keseimbangan secara pengetahuan dan gambaran akal, ruh dan perasaan hati, serta kerja dan tingkah laku pergerakan.


3. Berperingkat


Ciri ini terbit daripada kefahaman kita tentang sunnatullah di alam ini. Sesungguhnya orang yang tergesa-gesa itu tiada bumi yang berjaya direntasinya dan tiada binaan yang mampu ditegakkannya.


4. Pengumpulan dan penyusunan


Bermula dengan pengumpulan manusia dan wajib diikuti dengan penyusunan ke dalam sistem tarbiah sehinggalah ianya memberikan hasil yang kita impikan. Hal ini adalah berdasarkan bai'ah Aqabah kedua yang mana Rasulullah bersabda,


"Lantiklah daripada kalangan kamu 12 orang naqib (naqeeba - Bahasa Arab). Kamu semua adalah penjamin ke atas kaummu."


Ini adalah bukti nizom (penyusunan) dalam kerja tarbiah.


5. Pergerakan


Setiap individu hendaklah menggerakkan dakwah dan tarbiah ini secara positif ke dalam masyarakat. Bersungguh-sungguh mengislah amal masyarakat sehingga mereka pula mampu bergerak di kalangan manusia yang lain.


6. Berterusan


Kerja ini akan terus tertaklif kepada kita sehingga bercerai jasad dan nyawa. Tarbiah akan sentiasa mendorongnya memperbaiki tingkah lakunya, mengasah bakatnya dan menajamkan akalnya. Akhirnya tarbiah akan menjadi bekalan untuk kita terus kekal di medan dakwah.


bersambung...


Artikel ini adalah nota daripada pengisian yang disampaikan ketika Muktamar Tarbawi Nasional IKRAM baru-baru ini.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment