Monday, November 8, 2010

Sembang-sembang tarbiah

'Tarbiah' merupakan kata keramat bagi mana-mana gerakan dakwah di seluruh pelusuk dunia. Tanpa tarbiah, gerakan dakwah tersebut hanya akan berfungsi sebagai persatuan Islam ataupun badan kebajikan Islam sahaja. Ini bermakna, gerakan Islam tanpa tarbiah umpama badan tanpa ruh. Jika tiada ruh, badan tersebut tidak lebih daripada mayat yang akan membusuk ditelan waktu. Mayat yang tidak mampu bergerak, tidak hidup dan tidak bermanfaat pada sesiapa.

Ikhwanul Muslimin menggariskan terdapat empat rukun tarbiah menurut sistem mereka. Rukun-rukun (arkaan) tersebut ialah:

  1. Murabbi (pendidik@pembimbing)


  2. Mutarabbi (yang dididik@dibimbing)


  3. Manhaj (sistem yang diguna pakai)


  4. Biah (suasana)

Daripada 4 rukun tersebut, 'biah' yang benar-benar menarik perhatian saya. Bayangkan jika anda mempunyai seorang anak kecil yang perlu dididik untuk menjadi individu yang soleh. Untuk mendapatkan murabbi bukan sesuatu yang sukar. Mutarabbi pula sudah semestinya anak kecil tadi. Untuk mendapatkan manhaj sebagai panduan mentarbiah anak kecil ini juga bukan satu masalah yang besar. Bagaimana dengan biah? Ini yang merunsingkan saya. Murabbi dan manhaj tarbiah bagi anak-anak kita masih boleh dikawal oleh kita sendiri. Kita boleh memilih sekolah agama swasta yang mempunyai sistem tarbiah yang mantap jika kita tidak berpuas hati dengan sistem pendidikan yang dilaksanakan oleh kerajaan. Semestinya sekolah yang punya manhaj yang hebat juga memiliki barisan murabbi yang hebat. Tetapi untuk biah pula, ia adalah sesuatu yang di luar kawalan kita.

Tidak lain dan tidak bukan, halangan besar untuk kita mengawal biah yang ditempuh oleh anak-anak ialah kesibukan kerjaya kita. Kadang kala kesibukan di medan dakwah juga menyempitkan ruang untuk kita memantau perkembangan anak-anak. Bagaimana cara yang terbaik untuk mengatasi tribulasi seperti ini?

Kaedah untuk mengatasi masalah ini saya ceduk daripada seorang teman pejabat saya. Teman pejabat saya ini sering ke pejabat bersama saya dari rumah kami di Seremban. Umur beliau juga 4 tahun lebih tua daripada ayah saya. Dalam perjalanan pulang, saya terdengar perbualan antara beliau dan anaknya yang sudah pun berumur 25 dan 22 tahun. Daripada perbualan tersebut saya dapat membuat kesimpulan yang si anak sangat menyayangi ayahnya. Di hujung perbualan, si anak tadi mengucapkan I love you kepada si ayah. Tujuan si anak menelefon si ayah pun bukanlah atas sebab hal yang penting. Cuma ingin memaklumkan destinasi yang hendak dituju dan mendapatkan kebenaran daripada si ayah. Satu situasi yang sukar dijumpai pada zaman ini.

Jika kita buat perbandingan dengan anak-anak remaja mahupun yang sudah menginjak dewasa masa kini, pastinya kita akan mendapati akhlak mereka sangat tidak menyenangkan. Kadang kala suara ditinggikan ketika berkomunikasi dengan mak ayah. Kawan-kawan dan teman didahulukan berbanding ibu bapa. Seribu macam dan pelbagai kerenah. Saya cuba bertanya kepada teman sepejabat saya ini untuk berkongsi tips-tips yang beliau amalkan sehingga anak-anak begitu rapat dan sayang dengan beliau. Teman pejabat saya ini bukanlah seorang yang alim. Malah, kedua-dua anak perempuannya tadi tidak bertudung pun. Tetapi pengalaman beliau amat berharga. Oleh sebab itu, saya enggan melepaskan peluang ini supaya dapat digunakan dalam mendidik anak-anak saya nanti. Mengikutnya, beliau tidak mengamalkan apa-apa petua yang luar biasa. Beliau akan cuba mencurahkan kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak beliau. Jika ada masa yang terluang, beliau akan membawa anak-anaknya bersiar-siar. Beliau akan meluangkan waktu malam untuk bersama dengan seisi keluarga daripada keluar bersama rakan-rakan. Beliau juga lebih gemar makan di rumah berbanding makan di gerai atau restoran. Tips yang paling utama, tabiat ini hendaklah diamalkan sejak mula berumah tangga sehinggalah dijemput Ilahi nanti.

Tiada usaha yang luar biasa. Pun begitu, beliau tetap berjaya mendidik anak-anaknya menyayangi dan menghormatinya. Daripada tips yang berjela tadi dapat saya simpulkan 'kasih sayang' adalah kuncinya. Lakukanlah apa jua cara untuk menzahirkan kasih sayang pada anak-anak asalkan tidak melanggar batas-batas syarak. Anak-anak yang mendapat kasih sayang dan perhatian yang cukup tidak akan sanggup berjauhan atau berpisah daripada ibu bapa mereka. Konsep ini sebenarnya tidak jauh daripada apa yang disarankan oleh Islam. Mari kita renung kembali kisah Rasulullah mencium cucunya, Hasan. Apabila dilihat oleh sahabat baginda bernama Aqra', beliau merasa terkejut. Lantas Rasulullah bersabda yang mahfumnya sesiapa yang tidak menyayangi akan tidak disayangi.

Mari kita lihat pula contoh daripada sudut kontemporari pula. Kisah ini dicedok daripada temu bual bersama seorang anak perempuan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang pertama, Tsana binti Hassan Al Banna yang menceritakan detik-detik indah di zaman kanak-kanaknya bersama bapa beliau. Pada suatu hari beliau telah mewarnakan kukunya kerana meniru tindakan tetangganya. Untuk mewarnakan kuku, seseorang itu harus menyimpan kukunya terlebih dahulu. Tsana hanya menggunakan pewarna merah yang tidak kekal warnanya berbanding tetangganya yang mewarnakan terus kuku-kuku mereka. Perkara ini disedari oleh Hassan Al Banna dan beliau bertanya kepada Tsana apakah yang terdapat di kukunya itu. Tsana memberitahu beliau telah mewarnakan kukunya kerana meniru tindakan tetangganya. Hassan Al Banna menjawab,

"Apakah kamu tahu ada seorang soleh mengatakan, 'Jangan makan bersama orang yang menyimpan kukunya.' Ini kerana orang yang menyimpan kukunya menyimpan kotoran di sebalik kukunya itu. Potong dan bersihkan kukumu sekarang. Ayah tunggu dan kita tidak akan makan dulu."

Tsana terus memotong kuku dan membersihkan warna yang terlekat di kukunya. Setelah selesai mencucinya barulah Hassan Al Banna makan bersama Tsana sambil memberi ingatan supaya tidak mengulanginya lagi.

Dari kisah ini kita dapat lihat betapa Hassan Al Banna mendidik anaknya dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Terpancar kasih sayang seorang bapa hanya melalui insiden kecil sahaja. Betapa bapa ini telah menegur anaknya dengan lembut. Ditambah lagi dengan kesanggupan beliau menunggu anaknya membersihkan kuku supaya dapat menjamah makanan bersama. Semestinya anak ini akan merasakan dirinya sangat penting di mata sang ayah kerana sanggup menunggunya. Bagaimana pula jika hal ini berlaku ke atas anak kita? Berkemungkinan besar kita akan menaikkan suara atau memberikan syarahan yang panjang lebar. Menunggu anak membersihkan kuku untuk makan bersama pula bagaimana? Kesangsian saya begitu tinggi jika terdapat ibu bapa yang sanggup menunggu anak mereka membersihkan kuku demi makan bersama.

Kasih sayang amat penting dalam kehidupan berkeluarga. Tanamkan kasih sayang di dalam dada keluarga kita walau dalam apa jua kondisi. Ketika menasihati anak. Ketika menghukum anak. Malah ketika anak sudah pun tidur. Insya Allah jika berkesempatan, saya akan berkongsi lagi kisah bagaimana Hassan Al Banna mendidik anak-anaknya dengan penuh hikmah dan kasih sayang.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment