"Sajo yo lotak gambar ni"
Pernahkah orang yang anda percayai memungkiri janjinya ataupun mengkhianati anda? Apakah yang anda rasa saat itu? Marah? Tertekan? Saya pasti itulah yang akan anda rasa apabila menghadapi krisis sedemikian. Sejarah dunia telah memaparkan banyak insiden yang berkait dengan tajuk di atas.
Antaranya ialah kisah antara Sultan Muhammad Al Fateh dan doktor beliau Yakop Pasya. Yakop Pasya berasal dari bangsa Yahudi dan sangat membenci kejayaan yang diraih oleh Khilafah Uthmaniah ketika itu. Beliau telah berpura-pura memeluk Islam supaya dapat menghancurkan Islam dari dalam. Kebetulan pula, beliau memiliki kepakaran sebagai seorang doktor. Hasil ketekunan beliau, beliau telah dilantik menjadi doktor peribadi kepada Sultan Muhammad Al Fateh. Kesempatan ini telah digunakan oleh beliau untuk meracun Sultan Muhammad Al Fateh sehingga sultan menemui ajalnya. Tatkala menghadapi maut, Sultan Muhammad Al Fateh memberitahu anaknya bahawa baginda tahu siapakah dalang di sebalik musibah yang melanda baginda. Namun begitu, Sultan Muhammad Al Fateh enggan memberitahu namanya walaupun didesak oleh anaknya. Sultan Muhammad Al Fateh meninggal dunia tatkala tenteranya hampir menawan Vatican City. Apabila berita kemangkatan baginda sampai ke pengetahuan panglima tentera Khilafah Uthmaniah, semua tentera diarahkan berundur dan pulang ke Turki. Yakop Pasya telah berjaya menggagalkan usaha umat Islam menawan kota terpenting Kristian Roman Katolik.
Kisah yang seterusnya ialah bagaimana tumbangnya Khilafah Abbasiah kepada tentera Monggol yang diketuai oleh Hulagu Khan. Hulagu Khan merupakan cucu kepada Gengis Khan. Beliau sangat mengagumi Genghis Khan hinggakan tiada idola lain melainkan datuknya sahaja. Hulagu Khan menyimpan cita-cita yang besar, iaitu menakluk Baghdad. Apabila Baghdad jatuh ke tangannya, maka mudahlah usaha beliau untuk menakluki dunia. Hal ini adalah kerana Khilafah Abbasiah ketika itu adalah empayar yang paling kuat di dunia. Walau bagaimanapun, Khalifah Musta'shim Billah mengalami krisis kepimpinan dan inilah masa yang sesuai buat Hulagu Khan menggempur kota Baghdad. Sebab lain mengapa Hulagu Khan ingin menakluk kota Baghdad adalah kerana ayahnya mati ketika bertempur dengan tentera Khilafah Abbasiah. Beliau menyimpan dendam yang sangat membara dan berjanji akan menghancurkan kota Baghdad sehingga lumat.
Khalifah Musta'shim Billah mempunyai seorang penasihat bernama Umayiduddin Muhammad Al Aqami yang berbangsa Parsi. Oleh kerana kepintaran Umayiduddin, khalifah amat mempercayai kesemua cadangan beliau walaupun ditentang oleh sebahagian jemaah menteri. Namun begitu, dalam diam Umayiduddin merancang untuk menjadi khalifah yang baru kerana dendamnya terhadap bangsa Arab. Ketua angkatan tentera Khilafah Abbasiah bernama Rukunuddin Ad Daudar yang berbangsa Arab telah menghantar tentera ke Kirkuk dan menggempur bangsa Parsi di sana kerana disyaki menentang khalifah. Sejak itu, Umayiduddin menyimpan dendam terhadap bangsa Arab dan berjanji akan membalas perbuatan mereka. Pada asalnya Umayiduddin merancang untuk berpakat dengan tentera Parsi untuk menyerang kota Baghdad. Namun, di pertengahan jalan beliau telah disekat oleh Hulagu Khan. Beliau telah diugut oleh Hulagu Khan dan Umayiduddin terpaksa menukar perancangannya untuk mendapatkan bantuan Parsi, tetapi sebaliknya menawarkannya kepada Hulagu Khan.
Umayiduddin berjaya memperdayakan Khalifah Musta'shim Billah dengan menyatakan tentera Monggol datang ke Baghdad untuk berdamai dan menjalin kerjasama dengan kerajaan Abbasiah. Tatkala pintu kota Baghdad dibuka, Hulagu Khan terus menyerang dan memancung kepala seluruh penduduk dengan penuh kejam. Rakyat Baghdad tidak bersedia untuk menghadapi serangan tersebut dan jatuhlah kota ilmu tersebut ke tangan Hulagu Khan dengan mudah. Khalifah Musta'shim Billah telah dibunuh dengan penuh hina. Badan baginda digulung ke dalam permaidani dan dipijak-pijak oleh tentera Monggol sehingga mati.
Namun jika diteliti dari sudut yang lebih halus, ada lagi perasaan-perasaan yang tersirat dan tidak dapat dilihat pada mata zahir orang ramai. Dalam dua kisah yang disebutkan tadi menunjukkan Sultan Muhammad Al Fateh dan Khalifah Musta'shim Billah tidak menunjukkan reaksi marah kepada pembelotnya. Ini mungkin disebabkan kerana mereka terlalu mempercayai ataupun mengasihi si pembelot sehingga tidak terungkap dek kata-kata. Justeru itu, janganlah kita terlalu selesa jika orang yang kita kasihi tidak menzahirkan rasa kekecewaan mereka kepada kita. Boleh jadi perasaan kecewanya terlalu besar hingga tidak sanggup untuk diluahkan kepada kita. Sentiasalah berhati-hati dengan perasaan manusia.
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment