Gambar Terkini Nawfal
Sejurus tiba di kaki Gunung Dato', saya mengambil sedikit masa untuk berehat dan memulihkan semula tenaga. Pengalaman mendaki Gunung Dato' pastinya akan menjadi kenangan saya selama-lamanya kerana sudah menjadi idaman saya untuk menawan puncak gunung tersebut. Rancangan untuk mendaki Gunung Dato' telah kami rancang seawal bulan Januari yang lepas. Saya telah mencadangkan supaya ianya dianjurkan pada 13 Mac kerana tarikh tersebut adalah permulaan cuti sekolah. Hari-hari selepas itu akan menyukarkan perjalanan program kerana kebanyakan remaja akan berada di luar kawasan mengikuti keluarga bercuti atau pulang ke kampung. Yang paling penting, 13 Mac tersebut adalah tarikh hari lahir saya. Saya bercadang untuk meraikan hari lahir saya dengan mendaki Gunung Dato' yang saya idamkan sejak zaman sekolah menengah lagi.
Setelah merasakan saya sudah mampu berdiri dan berjalan, saya terus ke pondok di mana makanan tengahari disediakan. Sambil menikmati juadah tengahari saya berbual dengan salah seorang peserta, adik Ikhmal yang berumur 10 tahun. Saya bertanya kepada Ikhmal sama ada beliau berasa letih ataupun tidak. Jawapannya sungguh menikam kalbu saya...hehehe
"Sket-sket la"
Memang ternyata adik Ikhmal memiliki stamina yang tinggi kerana beliau tidak kelihatan mengah langsung. Malah, beliau sentiasa tersenyum dan badannya tidak dibasahi peluh. Sekitar pukul 3 petang, saya terus pulang ke rumah. Ketika tiba di rumah, jiran-jiran terdekat sudah pun memenuhi perkarangan untuk membantu mengemas dan memasak. Saya terus mengambil wudhuk dan menunaikan solat Zohor. Saya tidak menunaikan solat Zohor di kaki gunung kerana seluar saya terkena najis. Seusai menunaikan solat Zohor saya terus terbaring. Kaki terasa sangat lenguh dan badan terasa amat letih. Saya menunaikan solat dalam keadaan duduk sahaja. Terlalu letih hingga saya tidak dapat tidur. Walhal mata saya sangat mengantuk. Beberapa kali saya hampir menemui kemalangan dalam perjalanan pulang ke rumah kerana terlelap.
Sedang menunggu jemaah surau tiba Kira-kira sejam sebelum waktu maghrib, hujan turun dengan begitu lebat. Saya dapat merasakan ketibaan para tetamu mungkin tidak seramai yang dijangkakan. Selesai solat Isyak di surau, saya terus pulang ke rumah untuk majlis aqiqah Nawfal. Kali ini, majlis aqiqahnya agak istimewa kerana saya diminta mengagihkan bunga telur ketika selawat dilaungkan. Ketika majlis aqiqah Nu'man dahulu kami hanya berselawat sahaja. Namun kali ini ibu saya merasakan ada baiknya diberi buah tangan kepada mereka yang hadir biarpun sekadar telur rebus. Ketika saya sibuk mengagihkan bunga telur, seorang hadirin telah bertanya kepada saya mengapa tidak di bawa Nawfal bersama. Hakikatnya saya kurang arif tentang adat melayu. Saya tidak tahu menahu bahawa dalam adat melayu ketika bunga telur diagihkan, si ayah akan mengendong bayi bersama untuk dilihat oleh para hadirin.
Selesai para hadirin menjamu selera, saya melayani saudara mara yang datang dari kampung, Seremban dan Lembah Klang. Dari raut wajah saya, mereka mengetahui yang saya berasa sangat letih pada malam tersebut. Walau apapun, saya tetap seronok kerana hari lahir saya dipenuhi dengan program-program yang bermanfaat. Bermula dengan solat subuh berjamaah di surau, kemudian saya terus pergi mengambil sarapan peserta ekspedisi dan menyertai mereka menawan puncak Gunung Dato'. Tiada rehat langsung sehinggalah ke waktu malam. Tapi saya rasa gembira dan puas. Malam tersebut saya tidur lena hingga terlepas untuk subuh berjamaah. Keesokan harinya kaki saya masih merasa lenguh. Hari Ahad tersebut saya gunakan sebaiknya untuk berehat sebelum menyambung rutin kerja harian saya pada hari berikutnya.
Nu'man setia menemani Nawfal Tatkala merenung raut wajah Nawfal ketika majlis aqiqah tersebut, tergambar harapan-harapan menggunung saya kepadanya. Malah harapan-harapan tersebut tidak ada bezanya dengan harapan saya kepada Nu'man. Saya berdoa kepada Allah dengan penuh pengharapan supaya anak-anak saya menjadi mukmin yang soleh serta taat kepada Allah, RasulNya dan ibu bapanya. Saya juga berdoa supaya Allah sentiasa memberikan hidayah kepada anak-anak saya untuk menjadi du'at sehingga akhir nyawa mereka. Saya berdoa semoga Allah menjadikan mereka individu yang berjaya di dunia dan akhirat. Berjaya dalam dalam pelajaran dan menjadi insan yang berguna kepada ummah.
Saya juga berharap mereka akan menjaga saya dan isteri di hari tua kami persis sebagaimana kami menjaga mereka ketika pertama kali mereka melihat dunia ini. Harapan terakhir saya ialah mereka mendoakan kesejahteraan saya dan isteri tatkala kami tiada di dunia nanti. Biarlah doa itu berterusan sehingga mereka menemui ajal mereka pula. Biarlah blog ini menjadi saksi betapa besarnya harapan dan kasih sayang saya kepada mereka.
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment