Monday, March 22, 2010

Mad City

source : http://www.crankycritic.com/archive/posters/madcity.jpg

Setelah seminggu tidak bertemu dengan Nu'man, saya mengambil keputusan pulang ke rumah ibu bapa saya di Sepang untuk menjengok anak sulung saya. Ibu saya menawarkan diri untuk menjaga Nu'man kerana batuknya yang tidak kebah sejak 2 minggu yang lalu. Nu'man sering muntah ketika dalam tidur. Gerun saya melihatnya kerana muntahnya turut keluar dari hidung. Kebetulan pula, rakan Nu'man di rumah mak cik yang menjaganya juga turut mengalami batuk yang teruk. Oleh itu, cara yang terbaik ialah mengasingkan mereka berdua. Di situlah timbul idea daripada ibu saya untuk membawa Nu'man pulang ke rumahnya sehinggalah Nu'man pulih. Oleh kerana hanya ada datuk dan neneknya sahaja di Sepang, Nu'man mula merasa rindu pada saya dan isteri.

Setiap kali melihat gambar keluarga yang diletakkan di atas meja hiasan, Nu'man pasti akan menyebut

'Mi...mi...' (Nu'man memanggil isteri saya 'mi')

Oleh kerana simpati dengan kerinduan Nu'man, ibu saya terus menelefon saya supaya datang menjengok Nu'man di Sepang. Hakikatnya saya juga merindui Nu'man, namun saya tidak berupaya menolak permintaan ibu saya untuk menjaga Nu'man di Sepang. Saya tidak mahu mengecilkan hati ibu saya. Malah, ibu saya juga turut merindui Nu'man jika tidak berjumpa dengannya melebihi 3 hari.

Setelah berbincang dengan isteri, kami membuat keputusan untuk pulang ke Sepang Sabtu lepas dan pulang semula ke Seremban keesokannya. Ternyata Nu'man begitu gembira melihat ketibaan kami di Sepang. Lebih menggembirakan saya apabila melihat Nu'man membelai Nawfal sejurus kami tiba.

Kampung di mana ibu bapa saya menetap cuma sebuah kampung Jawa yang kecil. Tidak banyak tempat menarik yang boleh dilawati. Antaranya ialah pantai Bagan Lalang dan Sepang Gold Coast. Dek terlalu bosan, saya dan isteri pun melayari saluran-saluran Astro yang ada di rumah. Kebetulan pula ibu bapa saya melanggan saluran HBO, Cinemax dan Star World. Di Seremban kami hanya melanggan saluran sukan dan dokumentari. Kami mengambil kesempatan untuk menonton filem bersama memandangkan saya dan isteri agak sibuk. Saya sendiri tidak ingat bilakah kali terakhir kami menonton filem bersama. Insya Allah entry saya pada kali ini adalah berkaitan sinopsis filem yang kami tonton iaitu, Mad City

Filem ini mengisahkan tentang seorang wartawan terkenal bernama Max Brackett (lakonan Dustin Hoffman) yang sedang merudum kariernya. Cadangan-cadangan beliau yang bernas berkaitan pemilihan bahan dokumentari ditolak mentah-mentah oleh pengurusan. Oleh kerana sikapnya yang suka mendesak, pihak pengurusan berasa kurang senang dengan beliau. Akhirnya pihak pengurusan telah memberikan satu tanggungjawab yang boleh dikatakan menghina kredibiliti beliau, iaitu menerbitkan dokumentari berkaitan sebuah muzium di bandar Caines. Max berasa terpukul dengan tindakan pihak pengurusan yang cuba merendahkan kebolehan beliau. Namun Max terpaksa menerima hakikat beliau kini cuma setaraf dengan wartawan muda dan mentah.

Seawal jam 8 pagi Max pun bertolak ke muzium tersebut bersama pembantunya. Sebelum memulakan tugasnya, Max telah ke bilik air untuk memperkemaskan dirinya. Ketika berada di bilik air, beliau terdengar pertelegahan berlaku di antara pengurus muzium, Puan Banks dan pengawal sekuriti, Sam Bailey (lakonan John Travolta). Sam Bailey tidak berpuas hati dengan Puan Banks kerana pemecatan beliau. Puan Banks pula terpaksa memecat beliau kerana telah banyak amaran diberikan kepada Sam berkaitan masalah disiplinnya. Namun begitu, Sam masih tidak mengubah sikapnya yang sering lewat datang untuk bekerja. Pertelingkahan mereka juga disaksikan oleh sekumpulan pelajar sekolah rendah bersama guru pengiring mereka. Oleh kerana terlalu marah, Max telah melepaskan satu tembakan liar. Malangnya tembakan tersebut telah mengenai rakan sekerjanya, Cliff Williams (berbangsa African American@Negro).

Max berasa panik dan terus mengunci kesemua pintu masuk ke muzium. Puan Banks dan kumpulan lawatan tadi terpaksa ditahan sebagai tebusan. Namun begitu, Sam masih belum menyedari kehadiran Max yang masih menyorok di bilik air. Max merasakan insiden ini merupakan peluang yang baik untuk melonjakkan semula kariernya. Max terus menghubungi pembantunya supaya meletakkan taliannya ke udara (on air). Laporan Max yang telah ke udara itu telah menarik perhatian musuh Max, Kevin Hollander. Pada awalnya Kevin enggan mengambil tahu langsung tentang perkembangan laporan Max kerana pada pandangan beliau, insiden tersebut belum tentu ada kesahihannya.

Secara kebetulan, Sam sedang menonton berita yang melaporkan insiden di muzium tersebut. Beliau berasa hairan bagaimana pihak berita boleh mengetahui insiden tersebut dengan begitu persis. Akhirnya beliau berjaya menjumpai Max yang sedang menyorok di dalam bilik air. Ketika berada di dalam tahanan, Max cuba berbaik-baik dengan Sam dalam usaha supaya beliau dapat menemu ramah Sam di udara (on air interview). Sam bersetuju dengan cadangan Max kerana merasakan amat penting beliau memperbaiki imejnya yang telah rosak. Sam menceritakan bahawa beliau mempunyai dua orang anak yang comel. Isterinya tidak bekerja. Sejak dipecat, beliau terpaksa berpura-pura keluar bekerja dengan pakaian seragamnya. Satu hari beliau melihat sebuah keluarga yang tinggal di dalam kotak. Lantas beliau teringat apakah mungkin anak-anaknya akan menerima nasib yang sama. Beliau terus menangis. Beliau tidak berniat untuk mencederakan sesiapa, apatah lagi membunuh rakan baiknya (Cliff Williams). Beliau hanya mahu menggertak Puan Banks supaya menerima beliau bekerja semula di muzium. Setelah mendengar cerita dan luahan rasa Sam, Max berasa simpati kepada beliau. Malah survey juga menunjukkan 59% pengundi merasa simpati dengan Sam.

Dalam waktu yang sama, Kevin merasa sangat iri hati dengan populariti yang diraih oleh Max. Beliau bercadang untuk memburukkan imej Sam supaya popularitinya dapat menenggelamkan populariti Max. Kevin telah memburukkan Sam dengan mengatakan beliau sengaja mencederakan Cliff kerana beliau berkulit hitam. Malah, Kevin juga telah mengedit beberapa laporan video hingga menampakkan seolah-olah Sam adalah seorang yang jahat dan merbahaya. Kevin juga telah merasuah anggota polis supaya mendesak Sam supaya menyerah diri. Desakan yang hebat telah menyebabkan Sam mula hilang baran dan melepaskan tembakan liar. Ini memburukkan lagi imej Sam. Penonton mula merasakan Sam seorang yang merbahaya dengan undi simpati kepadanya menurun kepada 41%

Max merasa kecewa dengan tindakan Kevin kerana sanggup menggadaikan sifat kemanusiaan demi meraih populariti. Oleh kerana desakan yang terlalu kuat, Sam telah melepaskan semua tebusan. Walau bagaimanapun, Max tetap mahu menemai Sam untuk memberi sokongan moral. Segalanya sudah terlambat. Sam telah menghalau Max keluar. Sejurus Max keluar daripada bangunan muzium tersebut, Sam telah meletupkan bangunan tersebut. Akhirnya beliau mati di situ juga.

Begitulah pengakhirannya. Daripada filem yang memakan masa hampir 1 jam 30 minit ini, banyak pengajaran yang saya perolehi.

  1. Media memainkan peranan yang besar dalam kehidupan kita. Media mampu mempengaruhi keputusan kita.
  2. Media boleh memutar belitkan fakta demi kepentingan mereka.
  3. Dalam hidup ini masih wujud manusia mementingkan diri sendiri.
  4. Pengalaman adalah ciptaan Allah yang indah. Dalam filem ini, Max hanya sempat mengenali Sam selama tiga hari sahaja. Namun mereka telah menjadi kawan yang baik sehingga Max hampir hilang semangat hidup dengan kehilangan Sam.
  5. Islam telah meletakkan sempadan (hudud) dalam perjalanan hidup kita. Dalam kisah ini, Islam meletakkan sempadan dalam meraih kejayaan hidup. Untuk berjaya, kita boleh lakukan apa sahaja asalkan tidak melanggar hukum syarak. Kevin telah melanggarnya dengan menjatuhkan maruah Sam.
  6. Kadang kala kita merasakan kitalah insan yang paling malang. Rupanya ada insan lain yang lebih tinggi darjat ujiannya berbanding kita.
  7. Manusia saling memerlukan. Amat penting kita mempunyai rakan karib supaya kita dapat berkongsi masalah dengan mereka.
  8. Banyak lagi...hehehe

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment