Saturday, March 6, 2010

Ciri-ciri Pengenalan Ayat Makki



Nu'man sedang berbincang dengan Nawfal sama ada Surah Al Ikhlas surah Makki atau Madani

Tidak ada cara lain untuk mengetahui sama ada sesuatu ayat Al Quran itu adalah Makki atau Madani melainkan penjelasan yang dibuat oleh sahabat atau tabi'in. Ini kerana Rasulullah tidak pernah menjelaskan dan tidak menyatakan mengenai persoalan tersebut semasa hayat baginda.

Terdapat dua ciri-ciri khusus ayat Makki iaitu:
  1. Ciri yang bersifat Qat'ie

  2. Ciri yang bersifat Aghlabi ataupun kebiasaan

Ciri yang bersifat Qat'ie ialah:

  1. Setiap surah yang terdapat di dalamnya ayat Sajdah. Ada 16 tempat ayat Sajdah di dalam Al Quran. Contohnya ialah Surah As Sajadah ayat 15

  2. Surah yang mengandungi kisah atau sejarah para Rasul dan Nabi terdahulu kecuali surah Al Baqarah

  3. Surah yang mempunyai lafaz Kalla. Terdapat di 33 buah tempat dalam 15 buah surah yang mana surah-surah ini terletak di bahagian separuh akhir daripada Al Quran. Lafaz tersebut memberi peringatan yang tegas kepada musyrikin Makkah kerana menentang Islam. Contohnya Surah Al Qiyamah ayat 20.

  4. Setiap surah yang terdapat dalamnya kisah Nabi Adam dan Iblis kecuali surah Al Baqarah.

  5. Surah yang terdapat dalamnya ayat yang menggunakan lafaz Ya ayyuhan naas (Wahai sekalian manusia) kecuali ayat 77 surah Al Hajj

  6. Surah yang dimulakan dengan huruf-huruf singkat atau huruf Al Tahajji kecuali surah Al Baqarah dan Ali Imran. Namun begitu, ulama masih berselisih pendapat tentang surah Ar Ra'd.

Ciri-ciri ayat Makki bersifat aghlabi pula ialah:

  1. Ayat yang menerangkan tentang aqidah yang benar, mengajak kepada tauhid, beribada dan menggesa supaya menjauhkan diri daripada syirik.

  2. Ayat yang menggesa manusia meneliti bukti kejadian, ayat Kauniyah, kekuasaan Allah, pengukuhan akidah, menyeru kepada beriman kepada Allah, hari akhirat dan cerita keadaan syurga serta neraka.

  3. Ayat yang mencela perbuatan buruk arab jahiliah

  4. Ayat yang menyentuh tentang pembentukan akhlak dan perkara sivil

  5. Ayat dan suku kata yang berbentuk pendek, ringkas dan pada serta nadanya berbentuk keras.

  6. Ayat dan surah yang mempunyai banyak lafaz sumpah

  7. Ayat yang meletakkan dasar umum dalam perundangan

  8. Ayat yang menyebut kisah para nabi dan umat terdahulu sebagai pengajaran dan menyatakan nasib orang yang mendustakan Rasul.

  9. Kebanyakan surah Al Mufassal. Surah Al Mufassal ialah surah-surah yang ada di bahagian akhir Al Quran. Bermula dengan surah Al Hujurat hingga akhir. Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa sebahagian surah Al Mufassal adalah surah Madani seperti surah An Nasr.

Insya Allah selepas ini kita akan membincangkan ciri-ciri surah Madani pula. Sumber rujukan artikel ini adalah daripada Pengantar Ulum Al Quran karangan Puan Rosmawati Ali@Mat Zain terbitan Pustaka Salam


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment