Nu'man memulakan ekspedisinya mencari garam bersama mak ngahnya di Port Dickson.
Ketika isteri saya selamat melahirkan Nawfal, saya terpaksa menjaga sendiri isteri saya selama seminggu. Ini kerana ibu mertua saya terpaksa menjaga adik ipar saya yang dijangkiti demam campak. Kebetulan pula, adik perempuan saya diminta melapor diri di Hospital Serdang pada waktu kelahiran Nawfal. Oleh itu, ibu bapa saya terpaksa membantu adik saya menguruskan perpindahan barang dan perkakas ke rumah sewanya di Puchong. Tambahan pula, adik perempuan saya sedang sarat mengandung 7 bulan.
Alhamdulillah ianya merupakan cabaran yang baru buat saya. Saya gembira berada di rumah selama seminggu sambil melayan Nu'man dan menjaga isteri di rumah. Lazimnya ibu mertua saya akan menghantar lauk untuk kami kerana saya tidak berkesempatan untuk memasak. Walau bagaimanapun, pada hari Sabtu tersebut ibu mertua saya terpaksa ke Kuala Lumpur untuk menghadiri walimah anak buahnya. Maka terpaksalah saya mencari lauk untuk santapan makan tengahari dan malam. Saya agak keberatan untuk membeli lauk kerana tekak saya tiada selera untuk menjamah masakan di luar. Maka saya mengambil keputusan untuk memasak pada tengahari itu.
Ketika saya belajar di luar negara, antara hobi saya adalah memasak. Ini kerana saya suka mencuba/eksperimen masakan saya setiap kali tiba giliran saya memasak. Namun, sejak kembali ke tanah air, saya sangat jarang memasak. Kali terakhir saya memasak ialah kira-kira setahun yang lepas. Saya memberanikan diri mengingat semula teknik-teknik masakan yang pernah saya praktikkan dulu. Saya membuat keputusan untuk memasak lauk ayam kurma dan kobis kicap pada tengahari tersebut. Nampak segalanya baik ketika saya memasukkan ramuan dan rempah masakan. Cuma timbul sedikit keraguan tentang sukatan garam yang harus dicampur ke dalam masakan. Akhirnya saya ber'tawakkal' memasukkan 3 sudu garam ke dalam lauk kurma dan 2 sudu garam ke dalam sayur kobis kicap.
Selesai memasak, saya meminta isteri mencuba masakan saya. Debaran menguasai jiwa saya ketika itu. Kelakar sungguh.
"Wahhhhh...", jerit isteri saya. Saya tersenyum lebar. Mesti sedap masakan saya kali ini.
"Macam tumpah garam", tambah isteri saya. Rasa nak pecah satu rumah mendengar tawa kami berdua. Itulah memori manis saya ketika menjaga isteri yang berada dalam pantang. Namun, apa kaitannya dengan teh?
Kisah teh dan garam yang saya cuba sampaikan kali ini amat berkait rapat dengan kisah yang di atas tadi. Kisah teh dan garam ini adalah kisah antara As Syahid Hassan Al Banna dan seorang petani tua.
As Syahid Hassan Al Banna telah mengunjungi sebuah kampung di Sha'id. Setelah mengetahui kedatangan as syahid, ahli-ahli Ikhwanul Muslimin di Sha'id telah menyambut beliau dengan sambutan yang besar. Namun di tengah-tengah kesibukan itu, muncul seorang petani tua yang ingin sangat berjumpa dengan Hassan Al Banna. Beliau bersungguh-sungguh menjemput Hassan Al Banna berkunjung ke rumahnya. Hassan Al Banna berasa bingung kerana banyak lagi urusan di Sha'id yang belum selesai. Hassan Al Banna juga bercadang untuk menziarahi ahli-ahli Ikhwanul Muslimin di Sha'id yang jumlahnya begitu ramai. Untuk tidak mengecewakan hasrat petani tua itu, Hassan Al Banna bersetuju untuk singgah sebentar di rumahnya tetapi dengan syarat hanya meminum secangkir teh.
Petani tua tersebut amat girang. Hatinya berbunga-bunga apabila Hassan Al Banna bersetuju untuk singgah di rumahnya. Seperti yang dijanjikan, petani tua itu menyediakan secangkir teh untuk Hassan Al Banna. Hassan Al Banna pun berbual dengan petani tua tersebut sambil menghirup teh. Setelah selesai menghabiskan secangkir teh yang disediakan oleh petani tua tadi, Hassan Al Banna meminta izin untuk menyambung semula urusan beliau yang belum selesai.
Setelah Hassan Al Banna beredar bersama ahli-ahli Ikhwan yang menunggu beliau, tergerak hati kecil si petani tua untuk menghirup saki baki teh yang telah beliau sediakan kepada Hassan Al Banna. Terkejut si petani tua tersebut kerana rasanya sungguh masin. Beliau menyangka garam yang dimasukkannya tu adalah gula. Lebih mengejutkan, Hassan Al Banna telah menghabiskan secangkir teh tersebut kecuali saki baki yang amat sedikit.
Inilah jiwa yang mencontohi sosok perjuangan Rasulullah SAW. Diikutinya setiap ciri-ciri idolanya semampu mungkin. Bukan mencontohi dalam bab-bab harakiah sahaja.
Abu Hurairah meriwayatkan,
Rasulullah tidak pernah mencela makanan walau sekalipun. Apabila baginda menyukai makanan, baginda memakannya dan kalau tidak menyukainya baginda meninggalkannya. (Sahih Muslim)
Dai'e yang sebenar tidak merasa kekok atau janggal melazimkan sunnah Rasulullah dalam kehidupan seharian. Oleh kerana sunnah Ar Rasul sudah sebati dalam hidup seseorang dai'e itu, maka ia tidak perlu mengambil masa untuk berfikir sama ada tindakannya itu mengikut sunnah ataupun tidak. Dalam kisah Hassan Al Banna itu, si petani tua tadi langsung tidak menyedari apa-apa perubahan pada riak wajah as syahid. Malah, as syahid merasa senang dengan layanan tuan rumah tersebut.
Alhamdulillah, isteri saya sudah ada ciri-ciri tersebut ketika mencuba lauk masakan saya. Cuma ayat keduanya yang terpaksa membuatkan saya menarik semula kata-kata saya tadi...hehehe...
p/s: kisah ini tiada kaitan langsung dengan ketidak puasan saya kepada isteri kerana mengkritik masakan saya...hehehe
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
haha, kantoi salah sukat garam, keh3. tapi, kisah yg menarik ttg Imam Hassan Al-Banna, peribadi yg cukup tinggi!
ReplyDeleteJzkk singgah Zainal. Seminggu duduk di rumah baru ana tau bukan senang jadi suri rumah...hehehe
ReplyDelete