Thursday, December 31, 2009

Faktor Perselisihan Istinbat daripada Al Quran


Berikut adalah antara beberapa faktor ketara yang menyebabkan perselisihan di kalangan para sahabat berkaitan istinbat daripada Al Quran. Perbincangan ini dicedok daripada buku bertajuk Perbahasan Sejarah Perundangan Islam dan Mazhab Fiqh karangan Ust. Abdul Latif Muda.


1. Perselisihan Memahami Makna Lafaz (Ikhtilaf fi fahmil ma'ani min lafzihi)

Hal ini berlaku kerana terdapat lafaz-lafaz yang digunakan dari sudut Bahasa Arabnya mempunyai berbagai-bagai pengertian ataupun makna. Contohnya Surah Al Baqarah ayat 228

"Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid)"

Orang Arab menggunakan lafaz quru' sebagaimana yang terdapat di dalam ayat di atas dengan membawa maknan suci dan juga haid. Untuk itu, bagi tujuan memahami makna yang dikehendaki serta makna lebih terperinci terhadap lafaz nas tersebut perlu kepada pengetahuan mendalam juga pemakaian sesuai dengan qarinah yang lahir daripadanya.


2. Pertentangan Antara Dua Nas Umum (Ta'aridh nashain 'amain fil quran)

Untuk menyelesaikan masalah ini, para mujtahid bertindak menyelaraskan di antara dua nas atau mendahulukan salah satu daripadanya terhadap yang lain berdasarkan sebab-sebab tertentu. Contoh yang ketara ialah hukum berkaitan wanita mengandung yang kematian suami.

"Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari" (Al Baqarah: 234)

Nas kedua pula ialah daripada Surah At-Talaaq ayat 4

"Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh iddahnya ialah hingga melahirkan anak yang dikandungnya".

Nas yang pertama menyatakan tempoh iddah bagi wanita yang mengandung ialah 4 bulan 10 hari manakala nas kedua pula menyatakan sehingga melahirkan anak yang dikandungnya termasuk jika berlaku keguguran. Mari kita lihat pandangan ahli Fiqh di kalangan sahabat yang berselisih pendapat tentang kedua-dua nas ini.

a. Ali bin Abi Talib dan Abdullah bin Abbas berpendapat perempuan yang mengandung hendaklah beriddah dengan berlalunya kedua-dua tempoh, iaitu melahirkan anak serta berlalunya tempoh 4 bulan 10 hari serentak. Sekiranya perempuan tersebut melahirkan anak pada ketika tempoh 4 bulan 10 belum mencukupi, maka ia hendaklah meneruskannya sehingga cukup tempoh 4 bulan 10 hari tersebut.

Jika tempoh 4 bulan 10 hari sudah tamat dan perempuan tersebut masih mengandung, maka hendaklah ia menunggu sehingga ia melahirkan anak tersebut. Dalam hal ini, Abdullah bin Abbas dan Ali bin Abi Talib berfatwa untuk beramal dengan kedua-dua nas tersebut tanpa mendahulukan salah satunya terhadap yang lain.


b. Umar Al Khattab dan Abdullah bin Mas'ud pula berfatwa bahawa nas kedua telah membatalkan nas yang pertama. Ini bermakna nas yang kedua tadi telah diwahyukan kepada Rasulullah selepas nas yang pertama. Perkara ini pernah berlaku kepada Sabi'ah Al Aslamiah dan disokong fatwanya oleh Rasulullah SAW. Sahabat ini telah melahirkan anak beberapa hari selepas kematian suaminya dan Rasulullah SAW menghukumkan beliau boleh berkahwin lagi. Walau bagaimanapun, Ali bin Abu Talib dan Abdullah bin Abbas tidak menerima hadis tersebut sebagai hujjah.


3. Lafaz Hakiki dan Majazi

Salah satu contoh yang berkait rapat dengan perkara di atas ialah perselisihan pendapat berkenaan hak pewarisan kepada datuk dan pada masa yang sama si mati meninggalkan adik beradik yang masih hidup.

a. Abu Bakar berpendapat kewujudan datuk menghalang adik beradik si mati daripada mendapat pusaka, sebagaimana kewujudan bapa menghalang hak pusaka adik beradik si mati. Ini kerana, beliau berpendapat Al Quran menamakan dan memasukkan datuk sebagai kategori bapa seperti yang terdapat dalam Surah Yusuf ayat 38

"Dan aku menurut agama bapa datuk nenekku: Ibrahim, Ishak serta Yaakub"

Dalam ayat di atas, Nabi Ishak dan Nabi Ibrahim disebut sebagai bapa-bapa (aabaa') sedangkan mereka adalah datuk dan moyang kepada Nabi Yusuf.


b. Umar Al Khattab pula berpendapat sebaliknya. Datuk dan adik-beradik adalah bersekutu. Hujjah Umar kerana kedua-duanya dikira bersamaan dari sudut taraf kekerabatan kepada si mati. Datuk tidak dikira sebagai bapa hakiki, bahkan ia dinisbahkan dengan bapa secara simbolik atau majaz sahaja.

Sudut amalannya hendaklah diambil kira dan beramal dengan makna serta pengertian hakikatnya. Kecuali jika ada dalil yang mengubah makna perkataan tersebut kepada makna majazi atau simboliknya.


4. Berfatwa dengan Zahir Nas

Rentetan perkara di atas, ahli Fiqh sahabat telah membawa dua pemikiran yang berbeza.

a. Ada kalangan sahabat lebih cenderung berfatwa menggunakan nas dan terikat dengan nas zahir Al Quran atau hadis. Jika tidak terdapat nas dalam Al Quran dan hadis, mereka terus mengkaji dan tidak cenderung mengeluarkan pendapat melainkan dalam keadaan darurat dan terdesak.

b. Golongan kedua mengambil pendekatan menggunakan dasar yang dibina atas Kaedah Umum Syariat juga Kemaslahatan Umum. Mereka menggunakan kaedah syarak yang umum dan kemaslahatan umum dalam ijtihad ketika tiada nas syarak. Mereka cenderung untuk mengkaji dasar umum syariat terhadap hukum yang tidak dijelaskan oleh nas secara menyeluruh.

Demikianlah perbahasan secara ringkas mengapa ada antara para sahabat yang berselisih istinbat daripada Al Quran. Ini jelas menunjukkan keanjalan ataupun fleksibiliti syariat Islam itu sendiri. Lebih menarik, mereka tidak pernah bergaduh dan saling menghormati pendapat masing-masing. Lain pula halnya dengan waqi' sekarang yang mana kebanyakan kita gemar bergaduh tentang perselisihan nas dan fatwa. Lebih menyedihkan lagi pekara yang diperselisihkan adalah topik-topik yang cabang (furu') seperti hukum membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid. Rasulullah sendiri pernah bersabda perkara kedua yang diwahyukan kepada baginda untuk dihapuskan selepas penyembahan berhala ialah pergaduhan dan perselisihan. Apakah kita tidak punya agenda yang lebih besar untuk difokuskan? Banyak sahabat sekalian...sungguh banyak

Kala ini umat Islam dipecahkan kepada negara-negara yang kecil. Lebih banyak negara umat Islam, lebih rapuh perpaduan mereka. Inilah hikmah jajahan umat Islam diletakkan di bawah satu pentadbiran ataupun khilafah sahaja. Sejarah telah membuktikan kesan malapetakan yang melanda umat Islam ini.Seorang menteri Mesir pernah diajak oleh Hassan Al Banna untuk membantu rakyat Palestin menentang Yahudi Zionis. Menteri tersebut menjawab itu adalah masalah Palestin, bukan masalah Mesir. Malah, platun Ikhwanul Muslimin yang pulang daripada berjihad di Palestin ditangkap dan dihukum bunuh seperti As Syahid Syeikh Farghali.


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment