Wednesday, December 23, 2009

Sibuk...sibuk...sibuk




"Hello, En. Muhannad. Saya **** dari ****"
"Ya saya. Apa yang saya boleh bantu?"
"Ada dapat drawing Landing Arrangement at Papan Substation tak?"
"Ada. Kenapa?"
"Kami kena buat sedikit correction la En. Muhannad. Drawing tu tak tepat. Boleh jumpa hari ni tak?"
"Hari ni saya kursus di UNITEN. Esok saya ada ofis"
"Saya jumpa esok pagi boleh ke, En Muhannad?"
"Boleh, Insya Allah"
"Okla, saya datang esok. Bye"

Esok akan bermula satu hari yang baru tetapi rutin yang sama bagi saya. Pagi saya akan bermula dengan temu janji bersama kontraktor untuk membincangkan isu semasa berkenaan projek talian atas. Kemudian, saya akan menyambung semula kerja asas saya di TNB iaitu menyemak reka bentuk kerja-kerja kejuruteraan awam untuk projek talian atas termasuk lukisan kejuruteraan. Selepas Zohor pula saya mempunyai temu janji dengan seorang pelajar kejuruteraan awam dari UNITEN untuk membincangkan tentang reka bentuk menara penghantaran. Jika selesai awal saya akan menyambung semula kerja-kerja menyemak reka bentuk kerja-kerja kejuruteraan awam sehinggalah tamat waktu bekerja. Setibanya di rumah, saya akan membantu isteri saya dengan kerja-kerja rumah seperti membasuh dan melipat pakaian. Saya akan bergilir-gilir dengan isteri menjaga anak sementara masing-masing menunaikan tanggung jawab pengurusan rumah tangga. Sibuk sungguh saya nampaknya.

Tahukah anda kerjaya yang paling sibuk di dunia ialah Pendakwah? Malangnya saya tidak mempunyai sumber tentang jadual harian pendakwah terulung dunia, Nabi Muhammad SAW ataupun sahabat-sahabat baginda dan para tabi'in. Walau bagaimanapun saya berjaya menjumpai salah satu rekod jadual milik As Syahid Hassan Al Banna. Jadual ini telah direkodkan oleh Ustaz Jum'ah Amin Abdul Aziz yang merupakan salah seorang pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin peringkat pusat dalam tulisan beliau yang bertajuk Tarikh Al Ikhwan Al Muslimun. Mari sama-sama kita lihat ringkasan jadual tersebut seperti yang di bawah.

30 Januari (Rabu)

Bertolak dari Kaherah jam 1.45 tengahari dan tiba di Iyath jam 3.00 petang.

Bertolak dari Iyath jam 7.45 petang dan tiba di Al Wasithi jam 8.15 malam

31 Januari (Khamis)

Bertolak dari Al Wasithi jam 9.35 pagi dan tiba di Asyuth jam 2.38 petang


1 Februari (Jumaat)

Bertolak dari Asyuth jam 2.30 pagi dan tiba di Kum Ambu jam 10.44 pagi

Bertolak dari Kum Ambu jam 5.35 petang dan tiba di Aswan jam 6.35 petang


2 Februari (Sabtu)

Bertolak dari Aswan jam 6.05 pagi dan tiba di Idfu jam 8.38 pagi

Bertolak dari Idfu jam 5.20 petang dan tiba di Isna jam 6.20 petang


3 Februari (Ahad)

Bertolak dari Isna jam 9.57 pagi dan tiba di Luxor jam 11.05 pagi

Bertolak dari Luxor jam 3 petang dan tiba di Qous jam 3.42 petang

Bertolak dari Qous jam 6.35 petang dan tiba di Qina jam 7.20 petang

4 Februari (Isnin)

Bertolak dari Qina jam 7.28 pagi dan tiba di Dasyna jam 8.10 pagi

Bertolak dari Dasyna jam 1.32 tengahari dan tiba di Naj'u Hamadi jam 2 petang

Bertolak dari Naj'u Hamadi jam 6.06 petang dan tiba di Farsyut jam 6.30 petang

5 Februari (Selasa)

Bertolak dari Farsyut jam 9.05 pagi dan tiba di Al Balina jam 9.45 pagi

Bertolak dari Al Balina jam 3.05 petang dan tiba di Jurja jam 3.30 petang.

Bertolak dari Jurja jam 7.45 petang dan tiba di Suhaag dan Akhmiim jam 8.36 malam


Itulah ringkasan jadual Hassan Al Banna dari 30 Januari hingga 5 Februari yang tidak diketahui tarikhnya. Ustaz Jum'ah berjaya menemui dua lagi rekod jadual Hassan Al Banna iaitu dari 13 Januari 1946 hingga 29 Januari 1946 dan dari 12 Januari 1939 hingga 15 Januari 1939. Kesemuanya padat dengan jadual program-program dakwah dan tarbiah. Lazimnya Hassan Al Banna akan mengendalikan 2 atau 3 program dakwah dan tarbiah di tempat yang berlainan. Jadual selama seminggu ini sahaja sudah cukup membuktikan seorang dai'e adalah individu yang paling sibuk di dunia. Tidak hairanlah jika Hassan Al Banna pernah mengungkapkan, "Kewajiban (atau tanggungjawab) lebih banyak daripada masa yang tersedia". Kita hanya bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Tetapi Hassan Al Banna bekerja hampir 24 jam sehari (rujuk jadual harian di atas). Kita hanya bekerja Isnin hingga Jumaat. Tetapi Hassan Al Banna bekerja dari hari Isnin hingga Ahad.

Jika beginilah sibuknya, pastinya isteri dan anak-anak beliau akan terabai kebajikan mereka. Mari kita lihat apa kata Ustaz Jum'ah tentang tanggungjawab Hassan Al Banna terhadap keluarganya.

Hassan Al Banna akan menyediakan fail rekod untuk setiap anak-anaknya. Di dalam fail ini beliau akan mencatatkan tarikh lahir anaknya, nombor sijil kelahiran dan tarikh imunisasi.Beliau juga menyimpan semua dokumen penting tentang rawatan setiap anaknya di dalam fail masing-masing. Ini juga termasuklah ijazah-ijazah sekolah mereka dan menyusunnya dalam catatan-catatannya.

Anak perempuannya menceritakan, " Ketika beliau pulang malam dan menemui kami dalam keadaan tertidur, beliau akan mengelilingi kami, memastikan kami sudah tidur dan mencium kami. Jika salah seorang daripada kami bangun, beliau akan menemaninya ke bilik mandi."

Hassan Al Banna akan memberikan pada setiap anaknya wang saku sebanyak tiga Qirsy setiap hari. Beliau akan memberi wang bulanan sebanyak setengah Junaih pada anak lelakinya, Saiful Islam untuk membeli buku dan membuat perpustakaan peribadi.

Dia selalu mengawasi setiap buku yang dibaca oleh anak-anaknya. Hassan Al Banna pernah menegur Saiful Islam kerana membaca bioskop (rujukan bintang). Ketika Saiful Islam membeli beberapa novel barat, beliau tidak menghalangnya. Akan tetapi, beliau menggantikannya dengan buku yang lebih baik seperti sejarah Saif bin Dzi Yazn dan Umar bin Abdul Aziz.

Pada bulan Ramadhan beliau akan duduk bersama Saiful Islam dan Wafa' (anak perempuannya) untuk memperdengarkan bacaan Al Qurannya pada mereka sementara menunggu waktu berbuka.

Ketika musim panas, Hassan Al Banna akan menghabiskan waktunya bersama ahli-ahli Ikhwanul Muslimin di Kota As Shaid dan Wahjil Bahri. Namun, beliau tetap akan membawa ahli keluarganya menziarahi orang tuanya dan adik-beradiknya di Ismailiyyah sambil bersiar-siar di ladang hijau dan kebun buah-buahan.

Dibandingkan jadual saya dan jadual Hassan Al Banna, siapakah yang lebih sibuk? Adakah saya juga sibuk sebenarnya? Apabila bermuhasabah, saya dapati saya tidaklah sibuk sebenarnya. Tetapi saya malas. Malas nak melayan kerenah kontraktor dan menyemak dokumen-dokumen kejuruteraan di pejabat. Namun hati saya memujuk perasaan malas tersebut dengan menggantikannya dengan perkataan 'sibuk'.

Lebih menarik lagi, di manakah jadual aktiviti saya? Hehehe...jawapannya tiada. Semuanya berada di dalam kepala saya sahaja. Bila diletakkan di atas kertas, barulah jelas yang saya tidaklah sesibuk mana.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment