Saturday, December 19, 2009

Kembali Semula

Bismillahirrahmanirrahim...

Lebih tiga tahun lamanya saya meninggalkan dunia blogging. Sampaikan password blog yang lama pun saya sudah lupa. Maka terpaksalah saya create blog yang baru. Ini semua gara-gara majikan yang block para pekerja daripada memasuki web blogspot. Memandangkan access internet saya hanya di pejabat, maka terpaksalah saya lupakan hasrat untuk memblog sehinggalah kini.

Insya Allah saya akan cuba mengemas kini blog saya sekerap mungkin. Saya mempunyai tabiat berkongsi kisah seharian saya. Oleh kerana isteri saya sibuk dengan urusan anak kami, saya rasa blogging adalah saluran yang sesuai untuk melepaskan apa yang terbuku di minda dan hati.

Saya sempat berusrah selama sebulan di Kuala Lumpur atas beberapa alasan yang terpaksa dirahsiakan. Antara surah hafalan kami ialah surah At-Taghaabun. Satu teknik yang memudahkan saya untuk cepat menghafaz ialah meneliti terjemahan setiap ayat yang ingin dihafaz. Oleh kerana saya pernah belajar Bahasa Arab ketika di sekolah menengah, agak mudah bagi saya untuk menghafaz menggunakan teknik yang saya sebutkan tadi. Satu ayat daripada surah tersebut benar-benar menarik dan meruntun hati saya. Ayat tersebut ialah ayat yang ke 14. Terjemahannya ialah:

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu. Maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu maafkan dan kamu santuni serta ampuni (mereka), maka sungguh Allah Maha Pengampun Maha Penyayang"

Mari kita sama-sama tadabbur ayat ini. Ayat ini boleh dibahagikan kepada 3 intisari utama:

1. Isteri

Jika dibaca terjemahan ayat tersebut, Allah menyebut isteri-isteri berkemungkinan besar menjadi musuh kepada kita. Musuh yang dimaksudkan di sini ialah mereka yang cuba melalaikan atau menjauhkan kita daripada Allah dan RasulNya. Jika wanita yang membaca terjemahan tersebut, amatlah tidak sesuai terjemahannya. Ini bermakna, musuh Allah juga ada kemungkinannya seorang suami. Barulah ayat tersebut benar-benar memberi kesan kepada saya.

Peringatan yang pertama ialah isteri saya berkemungkinan melalaikan saya daripada mengingati Allah. Peringatan yang kedua pula ialah saya berkemungkinan melalaikan isteri saya daripada mengingati Allah. Maha Suci Allah, amat indah ayat ini. Saya teringat beberapa kisah yang berkait rapat dengan ayat ini. Antaranya kisah isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth yang menderhaka kepada perintah Allah. Tidak lupa juga kisah Asiah, isteri kepada Fira'un dan Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan.

Ummu Habibah merupakan salah seorang isteri Rasulullah SAW. Suami beliau yang pertama, Ubaidullah bin Jahsy adalah antara para sahabat yang berhijrah ke Habsyah. Ketika di Habsyah suaminya murtad dan menjadi penganut kristian. Ummu Habibah terpaksa hidup bersendirian di Habsyah. Jika pulang ke Makkah, ayahnya, Abu Sufyan akan memaksa beliau kembali ke jahiliyyah. Akhirnya Rasulullah meminang beliau melalui Raja Najashi memandangkan situasi sukar yang dihadapi oleh Ummu Habibah.

2. Anak

Ayat di atas juga merujuk anak-anak berkemungkinan menjadi musuh kepada kita. Jika saya sudah berkahwin dan mempunyai anak, ayat ini sangat relevan pada saya. Bagaimana pula bagi mereka yang masih bujang atau belum mempunyai anak. Maka ayat ini juga boleh dihayati dalam konteks kita sebagai seorang anak. Adakah selama ini kita banyak melekakan kedua ibu bapa kita daripada mengingati Allah? Adakah kita membantu mereka mendekatkan hati dan diri kepada Allah?

Satu kisah yang pernah dinukilkan oleh Syeikh Yusuf Qardhawi dalam bukunya yang bertajuk Sistem Pendidikan Ikhwanul Muslimin yang telah saya baca ketika dalam peringkat menengah rendah amat menginsafkan saya. Ikhwanul Muslimin di Mesir telah menghantar batalion ke Palestin untuk menentang Zionis pada tahun 1948. Seorang pemuda bernama Abdul Wahab Al Batatuni yang masih menuntut di peringkat kolej amat teruja untuk menyertai rombongan jihad tersebut. Lantas beliau meminta izin daripada ibunya untuk bersama-sama sahabatnya yang lain berjihad di Palestin. Ibunya enggan melepaskannya dan risau siapakah yang akan membantunya memandangkan usia beliau yang sudah semakin tua. Setelah mendengar pujukan rayu ibunya, Abdul Wahab berasa amat sedih. Beliau tidak tahu kepada siapa untuk mengadu kesedihan hatinya. Akhirnya Allah mengilhamkan kepada beliau untuk berjumpa As Syahid Hassan Al Banna untuk meluahkan perasaannya. Alangkah sedihnya hati apabila Hassan Al Banna juga bersependapat dengan ibunya. Setelah dipujuk oleh Abdul Wahab, akhirnya Hassan Al Banna mengizinkan Abdul Wahab ke Palestin. Hassan Al Banna juga menyatakan persetujuannya untuk bertemu ibu Abdul Wahab bagi memujuk beliau merelakan pemergian Abdul Wahab ke medan jihad.

Dengan hati yang tenang, Hassan Al Banna pergi ke rumah Abdul Wahab dan memujuk ibunya supaya merelakan pemergian Abdul Wahab. Berkat nasihat dan peringatan Allah tentang jihad dan kelebihannay yang dilampirkan dalam perbicaraan Hassan Al Banna, akhirnya lembut juga hati si ibu. Ketika jihad di Palestin, Abdul Wahab sempat meletupkan gudang senjata tentera zionis sebelum beliau syahid menemui Allah SWT. Inilah contoh anak muda yang telah menyedarkan ibunya tentang kepentingan jihad di sisi Islam. Apakah nilai jihad pada anak-anak muda dan ibu bapa zaman sekarang? Wallahu a'lam.

3. Memaafkan

Sikap memaafkan adalah satu sifat yang mudah dikata tapi susah dilaksana. Hal ini adalah kerana ianya berkait dengan hati yang sukar untuk kita kawal sebenarnya. Jika hati rosak, maka rosaklah seluruh anggota badan (rujuk hadis keenam dalam Hadis 40 yang diriwayatkan oleh Nu'man bin Basyir). Bila hati rosak, dendam akan bermaharaja lela dan kemaafan sukar terlaksana.

Sikap memaafkan juga amat berkait rapat dengan sifat menahan marah. Mari kita lihat terjemahan ayat 113 dan 114 daripada surah Ali Imran.

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amalan-amalan yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan-kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik"

Imam Ahmad meriwayatkan hadis daripada Abdullah bin Umar bahawasanya beliau telah bertanya kepada Rasulullah apakah yang dapat menjauhkannya daripada kemurkaan Allah? Rasulullah menjawab jangan marah.

Imam Hasan Al Basri berkata, "Empat perkara sesiapa memilikinya Allah akan memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkannya daripada api neraka. Iaitu siapa yang mampu menahan nafsunya ketika berkeinginan, ketika takut, ketika bersyahwat, dan ketika marah".

Bagi saya, sikap marah tidak akan menyelesaikan masalah dan perselisihan yang timbul. Boleh jadi dengan sikap marah tersebut, masalah atau perselisihan akan menjadi bertambah rumit dan berlarutan. Tidak mustahil akan timbul masalah yang lain pula jika kedua-dua belah pihak masih terus bertelagah. Sebaiknya, ambil sedikit masa untuk bertenang dan berfikir apakah punca masalah tersebut. Seterusnya fikirkan jalan penyelesaian dan pencegahan kepada masalah tersebut supaya ianya tidak berulang lagi. Akhir sekali, kedua-dua pihak hendaklah merendahkan ego dengan memulakan permohonan maaf.

Ketahuilah dengan marah, syaitan akan membesar dan semakin kuat (mafhum hadis). Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment