Monday, December 28, 2009

Ijtihad


source: http://www.islamicdigest.net/images/articles/ItikafItikaafTheSpiritualRetreat_14A94/muslimscholars.jpg
Tika ini saya sedang membaca sebuah buku bertajuk Perbahasan Perundangan Islam dan Mazhab Fiqh tulisan Ust Abdul Latif Muda. Buku ini menceritakan tentang sejarah perjalanan perundangan Islam dan Mazhab Fiqh bermula daripada zaman Rasulullah SAW, diikuti zaman Khulafa' Ar-Rasyidin, zaman Tabi'in, zaman Tadwin, zaman Taklid dan Jumud hinggalah ke zaman kebangkitan (zaman sekarang).

Pada kali ini, saya hanya ingin berkongsi sebahagian daripada isi kandungan buku tersebut. Topik ataupun perbahasan tersebut adalah berkisar Ijtihad Sahabat Zaman Nabi SAW (Ijtihad Sahaabah fi 'Asrir Rasul).

Sahabat pernah berijtihad ketika Rasulullah SAW masih hidup. Malah, sesetengah mereka diberi kuasa oleh Rasulullah untuk berijtihad. Antara contoh ijtihad para sahabat ialah:

1. Hadis Rasulullah sebelum Mu'az bin Jabal berangkat ke Yaman.

"Bagaimanakah nanti kamu akan menghukum apabila dibentangkan kepada kamu masalah? Mu'az menjawab: Saya akan menghukum berdasarkan Kitabullah. Baginda bertanya pula: Kiranya engkau tidak dapati di dalam Kitabullah? Mu'az menjawab: Saya akan menghukum berdasarkan As Sunnah Rasulullah SAW. Baginda bertanya lagi: Kiranya tiada dalam As Sunnah Rasulullah SAW juga di dalam Kitabullah? Mu'az menjawab: Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan perkara itu. Setelah mendengar jawapan Mu'az itu, Baginda menepuk dadanya sambil bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan Rasulullah SAW ke arah yang direstui Rasulullah."

2. 'Amru bin Al 'Ash berijitihad ketika melaksanakan hukuman terhadap dua kumpulan yang berselisihan. Namun begitu, pihak yang menerima hukuman tidak berpuas hati dan berjumpa dengan Rasulullah SAW. Baginda bersabda,

"Apabila seseorang hakim atau qadi menjatuhkan hukuman dan ia berijtihad serta benar, ia mendapat 10 ganjaran. Kiranya ia juga berijtihad dan tersalah, ia tetap memperolehi satu atau dua ganjaran"

3. Kisah dua orang sahabat sedang dalam musafir yang telah keputusan air untuk berwudhuk. Kedua-dua sahabat ini telah mengambil keputusan untuk bertayammum. Setelah selesai bersolat, mereka menemui air. Salah seorangnya telah berijitihad mengulangi solatnya semula manakala seorang lagi tidak mengulangi solatnya. Kemudian mereka berjumpa dengan Rasulullah SAW untuk mendapatkan hukum. Rasulullah telah membenarkan ijtihad kedua-dua sahabat itu tadi.

4. Sa'ad bin Mu'az telah melaksanakan hukuman terhadap Yahudi Bani Quraizah yang mencabuli ikatan setia bersama Rasulullah SAW. Beliau telah berijtihad dengan menjatuhkan hukuman semua kaum lelaki yang cukup umur dijatuhkan hukuman bunuh. Dalam situasi ini, Sa'ad telah menggunakan Ijtihad Al Qiyas terhadap orang yang melakukan pencerobohan sebagaimana firman Allah SWT:

"Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas)." (Surah Al Maidah: 33)

Keadaan itu kerana mereka memihak kepada kafir Quraisy untuk menghancurkan kaum muslimin dalam Perang Khandaq yang sekali gus melanggar perjanjian setia dengan Rasulullah SAW. Hukuman Sa'ad itu telah dibenarkan oleh Rasulullah SAW.

Ijtihad yang dilakukan oleh para sahabat ini adalah disebabkan keadaan tertentu dan bukannya secara semberono. Antaranya ialah:

1. Ia berlaku dalam kes tertentu atau keadaan yang khusus sahaja.

2. Hanya sahabat tertentu sahaja yang dibenarkan berijtihad.

3. Berlaku dalam situasi para sahabat tidak dapat berkomunikasi dengan Nabi secara terus, seperti jarak yang terlalu jauh dan masa yang terhad.

4. Ijtihad para sahabatdi zaman Nabi ialah sebagai penerapan sahaja. Bukan untuk pembentukan hukum.

5. Ijtihad tersebut adalah tentang sesuatu keadaan tertentu sahaja dan bukan menjadi ketetapan kepada seluruh kaum muslimin. Ini bermakna ijtihad tersebut tidak muktamad selagi belum ada pengakuan daripada Nabi SAW. Seandainya pula apa yang diijtihadkan itu tidak disahkan oleh Nabi, di kala itu ia tidak menjadi hukum syarak.

Kekurangan yang saya dapati daripada buku ini ialah tidak disertakan periwayat hadis tersebut. Penulis hanya menyertakan sumber rujukan hadis-hadis tersebut yang mana ianya tiada di dalam koleksi saya. Semoga kita sama-sama beroleh manfaat daripada perkongsian yang ringkas ini. Wallahu a'lam.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

1 comment:

  1. salam tuan, bagi saya pada buku tersebut bukanlah kekurangan dengan tidak memasukkan periwayat hadith, kerana buku tersebut hanyalah pengantar kepada ilmu usul fiqh, sama juga apabila ada ustaz2 yang bersuara kepada kitab2 karangan imam ghazali dengan menyatakan hadith tersebut tiada sandaran dan sebagainya termasuklah tafsir ibn katheer, kerana kitab2 sebegini perlu difahami manhajn penulisan dan kitab2 hasyiah lain yang menyokong kitab ini, mudahnya satu set ensikopedia itu dirujuk dengan buku index nya. dan dalam cara dakwah, kita melihat ini lebih mudah orang awam merujuk kitab tersebut kerana tidaklah terlalu panjang disebabkan hanya mahu meletakkan periwayatn sanad, kalau nak tahu hadith mana rujuklah pula pada kitab hasyiah nye, Ini sekadar pandangan saya, kerana meletakkan buku itu 'ada kekurangan' disebabkan kita tidak tahu menggunakannya adalah seolah menegetifkan pengarang dan usaha2 penulis lain, contoh duit kita hanya mampu membeli kancil tetapi kita kata kancil ni kurang xe reverse sensor lah, itulah dan kita kata kancil ada kekurangan. Agama itu kan nasihat

    ReplyDelete