Monday, December 21, 2009

Syeikh Dr. Abdul Majid Az Zindani



Pertama kali saya mendengar nama beliau ialah ketika membeli sebuah buku bertajuk, Kitab Tauhid karangan syeikh dari Yaman ini. Buku tersebut saya beli untuk kegunaan usrah saya sekitar tahun 2005. Yang sebenarnya saya kurang gemar menelaah kitab-kitab sedemikian kerana kupasannya yang terlalu mendasar. Tambahan pula ianya umpama mengulang kaji subjek diniah yang telah saya pelajari ketika di sekolah rendah dan menengah dahulu.

Walau bagaimanapun, saya dapati isi kandungan karangan Syeikh Zindani ini dikupas dengan gaya yang agak berbeza. Beliau telah menggandingkan hujjah-hujjah saintifik dan hujjah-hujjah naqli sebagai pembuktian kebenaran Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW. Contohnya beliau telah mengaitkan ayat 57 daripada surah Al- A'raaf dengan penjelasan saintifik yang mudah diterima akal.

"Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan) hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang) lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya)" - Al-A'raaf:57

Kadar dan kelajuan angin yang Allah hantar adalah amat sesuai untuk membawa awan dan bebannya tanpa meleraikan dan merosakkannya. Jika kelajuan angin mencecah 75 batu sejam, harta benda akan rosak. Dengan kelajuan angin mencecah 200 batu sejam pula, seluruh kehidupan di muka bumi akan hancur.

Angin hanya berada setinggi lima batu sahaja di atas kepala kita. Pada ketinggian melebihi lima batu dari aras laut, terdapat gelombang angin dengan kelajuan 200 batu sejam.

Bagaimana seorang syeikh yang bidang kemahirannya adalah bidang agama boleh mengaitkan ayat Al-Quran dengan hujjah saintifik yang amat terperinci sekali? Ia benar-benar mengagumkan saya. Ini membangkitkan semangat saya untuk mengenali siapa Syeikh Zindani ini. Berikut adalah kisah hidup Syeikh Abdul Majid Aziz Az Zindani yang saya cedok daripada buku bertajuk Tokoh-tokoh Gerakan Islam Abad Moden karangan Ust. Riduan Mohamad Nor dan Ust. Zainudin Hashim.

Beliau dilahirkan di bandar Bad'an dalam wilayah Ibb, Republik Yaman pada tahun 1942. Mendapat pendidikan awal di Al Kuttab, kemudian beralih ke Aden dan meneruskan pengajian secara pondok di situ. Beliau meneruskan perjalanan dalam pendidikan peringkat pengajian tinggi di Fakulti Farmasi di Mesir selama dua tahun.

Kemudian beliau pulang ke San'aa dan dilantik sebagai seorang pendidik di Kementerian Pendidikan. Di sinilah beliau mula berminat untuk menulis kitab akidah berasaskan saintifik bersama sahabat-sahabat beliau yang lain. Hasil tulisan beliau telah dijadikan sukatan di sekolah rendah dan menengah di seluruh Yaman.

Beliau pernah dijemput ke Arab Saudi untuk menjadi tenaga pengajar di sana. Ketika berada di Makkah, beliau telah mengasaskan Badan 'Ijaz Ilmu Sains Al Quran dan Hadis. Beliau juga merupakan pengasas Universiti Iman Yaman, Presiden Majlis Syura Perhimpunan Islah Yaman dan salah seorang pengasas Ikhwanul Muslimin Yaman.

Hasil kajian yang dilakukan terutama dalam bidang sains telah mendapat perhatian dan beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat daripada Universiti Oum Darman, Sudan. Beliau juga berjaya menemui penawar bagi penyakit AIDS dan telah ditemu ramah oleh Al Jazeera. Kaedah perubatan beliau hanyalah menggunakan herba dan tumbuhan semulajadi. Kajian selama 15 tahun itu mampu mengubati pesakit AIDS dalam tempoh tiga bulan dan boleh merawat 15 pesakit dalam satu-satu masa.

Syeikh Zindani juga pernah turun berjihad di Afghanistan bagi merealisasikan ucapan-ucapan beliau berkenaan jihad dalam majlis-majlis usrah kendalian beliau. Selain cemerlang dalam bidang pendidikan, beliau juga seorang peniaga dan penternak yang berjaya. Syeikh Zindani sering menjadi sasaran musuh sehinggakan beliau disediakan kereta kalis peluru sebagai pakej keselamatan.

Begitulah sejarah hidup secara ringkas Syeikh Zindani. Salah satu cetusan pemikiran Syeikh Zindani yang mengagumkan saya ialah perumpaan yang beliau beri antara orang yang beriman dan kufur.


Seorang lelaki masuk ke dalam sebuah kebun luas yang bukan miliknya. Dia telah memakan buah-buahan di dalam kebun tersebut dan meminum air dari sungai yang mengalir. Kemudian dia melakukan kerja di dalam kebun itu. Tidak lama kemudian seorang lelaki lain masuk ke dalam kebun yang sama. Lelaki ini telah pergi meminta izin kepada pemilik kebun terlebih dahulu sebelum mengerjakan kebun tersebut.

Apabila wakil pemilik kebun menemui kedua-dua lelaki tadi, dia telah menegur kerja-kerja yang dilakukan oleh lelaki pertama. Namun, lelaki itu tetap bekerja dan tidak mengendahkan teguran wakil pemilik kebun tersebut. Dia terus melakukan kerja di kebun itu tanpa mendapat kebenaran pemiliknya. Walau bagaimanapun, lelaki kedua pula mendengar segala arahan wakil pemilik kebun itu dan melakukan kerja mengikut arah yang diberikan. Siapakah yang berhak menerima upah?

Perumpamaan di atas benar-benar membantu saya menjawab soalan mengapa orang kafir tidak layak mendapat pahala dan syurga. Semoga Allah merahmati Syeikh Zindani dan menguatkan thabat saya dalam jalan dakwah.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

9 comments:

  1. Assalamualaikum Muhannad Jamil,

    Akak postkan di fb akak, ok kan, akak baru kenal buku ni

    ReplyDelete
  2. Wslm wrh wbt...

    Silakan...semoga bermanfaat

    ReplyDelete
  3. salam akh,

    ana amik artikel ni utk kegunaan usrah ana..jzkk

    ReplyDelete
  4. wslm wrh wbt syeikh paley...
    wal yatafadhal akhi

    ReplyDelete
  5. Assalaamu'alaikum w.b.t

    Setelah meneliti beberapa blog, ana rasa berminat dengan tokoh ini Syeikh Majid Al-Zindani, boleh ana tahu nama2 kitab yang pernah ditulis oleh beliau? Adakah buku2nya berkisarkan hal aqidah semata-mata? Syukran kathir. B-)

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum....Abu numan tau tak link yg direct dgn sheikh dr abdul majid al zindani....

    ReplyDelete
  7. Masjid ini telah dibina dalam tahun ke 6 hijrah. Masjid ini merupakan masjid yang pertama dibina di Yaman dan yang ketiga dalam sejarah Islam. Ianya dibina setelah masyarakat Yaman memeluk Islam secara beramai-ramai. Pada masa itu Nabi Muhammad SAW telah menghantar seorang sahabat iaitu Wabr bin Yuhannas Al-Khaza’i sebagai utusan untuk menyampaikan dakwah kepada penduduk Yaman dan juga mengarahkannya untuk membina sebuah masjid di Sana’a. Pada masa lalu Masjid Agung ini telah menjadi tempat peribadatan, menuntut ilmu, tempat penyelesaian pertikaian dan pertukaran idea-idea politik

    Baginda telah menentukan bentuk binaan masjid tersebut, kedudukannya dan arah kiblat. Baginda telah mengarahkan supaya arah kiblatnya menghala ke Bukit Dhin yang jaraknya terletak lebih kurang 30 km dari Sana’a. Sedangkan pada waktu itu Baginda tidak pernah memijak kaki di bumi Sana’a.

    Pada hari ini, Syeikh Abdul Majid Az-Zindani seorang Ulamak dan Rektor Universiti Al-Iman yang terkenal dengan kajian Sains Al-Quran telah membuktikan bahawa arah kiblat yang ditentukan oleh Baginda SAW adalah tepat. Beliau telah membuktikannya dengan penggunaan satelit bahawa arah kiblat yang ditentukan oleh Baginda Nabi SAW adalah betul-betul tepat dengan pintu Ka’abah di Mekah Al-Mukarramah. Maka oleh kerana itulah masyarakat Yaman menganggap ianya sebagai Masjid yang paling afdal di Yaman.

    ReplyDelete
  8. Assalam .Saya mohon share untuk presentation saya.semoga sentiasa dalam rahmat ALLAH

    ReplyDelete