Saturday, January 2, 2010

Selamat Datang Tahun 2010




Dekad baru di abad ke 21 telah datang menjenguk kita. Sudah pastinya ramai yang berasa gembira dengan kedatangan tahun baru. Tahun baru menjanjikan kenaikan gaji tahunan. Tahun baru juga menandakan bermula azam baru untuk perjalanan hidup yang tidak diketahui bila penghujungnya. Namun begitu, saya tidak pernah menyambut tahun baru masihi dengan apa-apa jenis bentuk perayaan. Saya lebih suka menilai apakah pencapaian saya dalam apa jua bidang, terutamanya dalam lapangan dakwah, mencapai kejayaan cemerlang ataupun tidak. Jika tidak cemerlang, saya akan memuhasabah diri dan mencari sumber-sumber kekuatan untuk meningkatkan semula iltizam. Nampak gaya, tahun 2009 bukanlah tahun kejayaan saya dalam medan dakwah.

Izinkan saya berkongsi sumber motivasi saya untuk meningkatkan semula iltizam dan semangat saya. Sumber yang dimaksudkan merupakan surat Hassan Al Banna kepada semua ahli Ikhwanul Muslimin yang dipetik dari buku Ikhwanul Muslimin yang Saya Kenali, tulisan Dr. Mahmud Jami'.

Sesungguhnya jalan dakwah itu tidak bertatakan mawar dan bunga, tetapi bertatakan duri-duri dan berlumuran darah para syuhada yang mulia, yang di kanan kirinya bergelimpangan korban-korban kekejaman, kebengisan dan kedurhakaan.

Seperti yang dikatakan oleh Imam Ibnul Qayyim, "Wahai orang yang memiliki semangat membara! Jalan sangat melelahkan, yang di dalamnya Nabi Nuh menangis, Ibrahim dipanggang api, Ismail disembelih, Zakaria digergaji, dan Yahya dipancung."

Sesungguhnya kesengsaraan adalah jalan kita dan kejahilan bangsa kepada hakikat Islam akan menjadi rintangan di jalanmu. Kamu akan mendapati para ulama Al Azhar merasa aneh dengan pemahamanmu tentang Islam dan mengingkari jihad kalian di jalanNya. Para pemimpin dan penguasa akan membencimu, begitu juga orang-orang yang berpangkat dan berkuasa. Semua penguasa akan bersikap sama kepadamu. Mereka akan berusaha menghalangi kegiatanmu dan mereka akan meletakkan berbagai rintangan di jalanmu. Para perampas dan penjajah juga akan menutup semua jalan untuk mematikanmu dan memadamkan cahaya dakwahmu. Mereka akan meminta bantuan kepada pemerintahan dan akhirnya mereka pun mendapatkan bantuan. Lawanlah mereka dan tentanglah mereka, nescaya semua itu akan menerbangkan debu-debu syubhat yang ada di sekitar dakwahmu dan menyingkap gelapnya tuduhan-tuduhan itu. Mereka akan selalu berusaha mencari-cari kekurangan di dalamnya dan akan menunjukkannya di hadapan manusia dengan gambaran yang menjijikkan, dengan bersandar kepada kekuatan, kekuasaan, harta dan wibawa mereka. Tetapi Allah SWT berfirman,

"Mereka ingin memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun orang-orang kafir benci" ( As-Shaff:8)

Kerana itu, tidak diragukan lagi kalian akan memasuki tahap percubaan dan ujian. Kalian akan dipenjara, dibunuh, dipindah, diseksa, dihapus kemaslahatanmu, dipecat dari pekerjaanmu, digeledah rumahmu, dan ujianmu akan lebih banyak lagi. Akan tetapi, Allah berjanji akan menolong para mujahidin dan memberikan pahala kepada orang-orang yang berbuat baik. Allah berfirman,

"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga A'dn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman. Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana Isa, putera Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah", lalu segolongan dari Bani Israel beriman dan segolongan (yang lain) kafir; Maka kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadao musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang." (As-Saff: 10-14)

Kandungan surat Hassan Al Banna mengingatkan kepada semua ahli ikhwan bahawa ujian pasti akan mendatang di sepanjang liku jalan dakwah. Ujian tersebut boleh jadi berbentuk,

  1. Ancaman pemerintah atau sesiapa yang mengengkari jalan dakwah

  2. Fitnah daripada kejahilan umat Islam terhadap dakwah

  3. Ujian dari Allah bagi menguji tahap keimanan kita

Bagi seorang dai'e, mehnah dan ujian di jalan dakwah adalah perkara yang dimaklumi sejak awal perjuangan lagi. Namun begitu, masih ada sebilangan besar para du'at yang gagal dalam mengharungi mehnah ataupun ujian tersebut. Mengapa fenomena sebegini masih terjadi sedangkan mereka sudah pun mengetahui cara-cara untuk mengatasi ujian-ujian yang disebutkan tadi? Jawapannya,

  • Tertipu dengan godaan syaitan. Malapetaka sebegini sering berlaku jika para du'at dihadirkan dengan ujian berupa kenaikan pangkat, rezeki yang bertambah, kedatangan isteri baru dalam kehidupan dan banyak lagi. Para du'at sering menganggap kesemua perkara di atas boleh dimanfaatkan demi tujuan dakwah. Jika para du'at terus hanyut dengan ujian kenikmatan tersebut, para du'at akan gagal dan janji hanya tinggal janji. Lebih menyedihkan lagi, kebanyakan para du'at mengabaikan syura dalam membuat keputusan jika berhadapan dengan ujian berbentuk kemewahan ini.
  • Cintakan dunia. Apabila musuh mula mengancam para du'at atas keberhasilan usaha dakwahnya, ramai para du'at yang mengambil keputusan untuk menguzurkan diri buat sementara waktu. Awas wahai para du'at sekalian. Terlalu lama menguzurkan diri akan menyebabkan para du'at semakin 'sejuk' dan hilang iltizamnya. Akhirnya para du'at akan terus memberi alasan seperti 'ana sudah tua' dan 'ana tak berani la'.
  • Egoistik yang tinggi. Mehnah dalam dakwah tidak tertakluk kepada kehidupan peribadi para du'at sahaja. Malah, mehnah juga boleh berlaku di dalam jamaah. Beberapa kelemahan di dalam penstrukturan jamaah boleh menyebabkan para du'at merasa kurang puas hati. Jika egonya tinggi, alamatnya hanya kritikan sahajalah yang akan sampai tanpa ada apa-apa usaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut. Lama-kelamaan ia akan semakin menjauhi jamaah dan bersendirian tanpa melakukan sebarang amal dakwah. Tidak kurang bezanya bagi para du'at yang cadangan dan pandangannya tidak diterima oleh jamaah. Biarpun para du'at ini mengetahui keputusan jamaah untuk menolak pandangannya adalah keputusan secara kolektif (syura), namun dek egonya yang tinggi ia berterusan mengkritik jamaah dengan fitnah dan tohmahan yang menjijikkan. Akhirnya, golongan sebegini akan membentuk kumpulannya yang tersendiri, eksklusif bagi mereka yang bersetuju dengannya sahaja.

Di sebalik ujian yang datang bertubi-tubi, masih ramai para du'at yang terus kukuh di jalan dakwah. Mereka tetap terus yakin Allah bersama mereka. Jika ujiannya berbentuk kemewahan, mereka tidak segan silu meminta pandangan qiyadah dan sahabat-sahabat untuk mendapatkan pencerahan apakah tindakan yang perlu diambil demi kebaikan Islam dan dakwah. Mereka akan rasa bersalah jika terus leka dengan ujian dunia kerana empayar dakwah yang dibina berpuluh-puluh tahun lamanya akan ditinggalkan begitu sahaja. Naskah Al Quran akan terus dibuka bagi mencari ubat dan penenang jiwa. Semakin kuat ujian, semakin kerap ia bangun malam untuk berdamping dengan Rabbnya. Ke mana sahaja ia pergi, Kitabullah akan lekat bersamanya. Dengan melihat Kitabullah itu sahaja sudah dapat menyejukkan hatinya, apatah lagi jika membaca dan mentadabbur isi kandungannya.

Jadi Muhannad, adakah ada bersedia untuk perjalanan yang seterusnya ataupun ingin meninggalkannya?


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment