Tanggal 24 Disember 2009 merupakan tarikh bersejarah buat adinda saya yang bongsu, Mukhlis. Alhamdulillah berkat bantuan daripada Allah serta doa ibu bapa dan adik beradik, beliau berjaya mencipta kejayaan dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan mendapat 9A. Kejayaan Mukhlis sekaligus mencipta rekod kesemua adik beradik lelaki saya mendapat 9A dalam PMR.
Walau bagaimanapun, Mukhlis enggan mencipta rekod kesemua adik beradik lelaki saya menjejakkan kaki ke KISAS. Dia sendiri tidak pasti ke mana hala tujunya selepas ini untuk perjuangan menempuh SPM nanti. Pilihan kedua orang tua saya ialah Sekolah Alam Shah di Cyberjaya. Saya sendiri kurang pasti sama ada pilihan tersebut tepat atau pun tidak.
Masih segar di ingatan saya kenangan sewaktu hari keputusan PMR saya diumumkan. Tarikhnya saya tidak begitu pasti. Masih segar konon...hehehe. Ketika itu saya sedang mencuci lantai di luar rumah. Kebetulan pula, salah seorang kerani di sekolah saya yang juga menetap satu taman perumahan dengan saya, telah menelefon rumah kami dan mengumumkan keputusan PMR saya kepada ibu saya. Terima kasih diucapkan tetapi bagi saya ianya ibarat 'potong stim'. Saya sangat menunggu-nunggu saat mengambil slip keputusan PMR di sekolah bersama keluarga dan kawan-kawan. Apa tidaknya, debaran untuk mengetahui keputusan PMR sendiri adalah sesuatu yang menyeronokkan bagi saya. Bila tika tiba di sekolah, kegirangan saya sudah pun layu dek panggilan pagi tadi. Mungkin ramai yang tidak sukakan kejutan, tetapi bagi saya kejutan adalah rempah ratus yang akan mempelbagaikan sejarah perjalanan hidup saya nanti. Semestinya kejutan adalah sesuatu yang akan dikenang dan boleh dikongsikan bersama anak cucu nanti.
Biarpun saya sudah mengagak keputusan PMR saya, namun Islam mengajar kita bahawa Qada' dan Qadar Allah mampu mengubah segalanya. Selama dakwat terangkat daripada kertas PMR saya yang terakhir hinggalah ke saat panggilan pagi tadi, saya tidak berani untuk terlalu yakin mendapat 9A dalam PMR. Tidak lama selepas keputusan PMR diumumkan, saya mendapat tawaran ke Tingkatan 4 di KISAS. Saya dan rakan-rakan mendaftar lewat sedikit, iaitu pada bulan Februari kerana cuti Hari Raya Aidilfitri yang panjang. Semestinya berhijrah ke KISAS adalah satu pengembaraan hidup yang tidak akan saya lupakan. Gembira kerana dapat memasuki sekolah yang berstatus cemerlang tetapi pada masa yang sama sedih kerana terpaksa berjauhan daripada keluarga. Terutamanya Mukhlis yang ketika itu baru berusia 4 tahun. Saya masih ingat setiap kali keluarga saya pulang setelah menziarahi saya di asrama, Mukhlis akan meronta-ronta dan menangis di dalam kereta kerana tidak mahu meninggalkan saya. Tatkala itu juga air mata saya bercucuran.
Hari pertama di KISAS juga adalah sesuatu yang sukar untuk luput dari 'cakera keras' otak saya. Seumur hidup saya, saya tidak pernah melihat asrama sekolah (lelaki) seunik di KISAS. Asrama lama tersebut lebih berbentuk bilik yang boleh memuatkan 4 orang pelajar. Oleh kerana dua orang lagi pelajar tidak mendaftar, maka hanya saya dan seorang sahabat dari Pulang Pinang (Zaharul Anwar) sahaja yang menghuni bilik tersebut. Lebih unik lagi bilik air dan tandas asrama tersebut sentiasa kering. Apa tidaknya, tekanan air yang rendah menyebabkan bekalan air tidak pernah sampai ke bilik air dan tandas kami. Saya masih ingat lagi rakan sekelas saya (Dr. Azwan Abdullah Al Hadi - ketika itu belum jadi rakan sekelas lagi) bertanyakan saya di mana lokasi tandas. Lebih melucukan dia memanggil saya abang. Rasa seperti senior pula ketika itu. Mandi? Kami terpaksa ke kolah utama untuk mandi beramai-ramai. Lebih menarik lagi ada yang terjun dan berenang di dalam kolah tersebut. Meremang tekak saya hendak menggunakan air kolah tersebut untuk menggosok gigi. Untuk berhadas kecil kami terpaksa mengangkut baldi untuk diisi air dari surau asrama ataupun kolah utama tadi.
Itulah serba sedikit kenangan saya di KISAS. Di sinilah destinasi awal saya dalam mengenal dakwah dan tarbiah. Biarpun sekolah terdahulu saya pernah mewajibkan usrah di kalangan pelajar, namun pemahaman saya usrah hanyalah sekadar majlis ilmu sahaja. Doa saya semoga moto KISAS sejak awal penubuhannya terus kekal dan terlaksana. Apakah moto KISAS? Liqadah al Muttaqin wal Musaqqafin - Melahirkan golongan yang bertaqwa dan berilmu. Sebagai bekas pelajar KISAS, ungkapan ini akan tersemat di dalam dada saya selama-lamanya. Terus terang saya katakan, ungkapan ini amat menghantui dan menggerunkan saya kerana mesejnya yang cukup terang dan jelas. Adakah saya sudah menjadi orang yang bertaqwa dan berilmu? Apakah saya mampu menjadi orang yang bertaqwa dan berilmu?
Sebab itu saya kurang yakin jika Mukhlis ke Sekolah Alam Shah. Bolehkah biah sekolah tersebut melahirkan golongan seperti yang tertera pada logo KISAS?
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment