Monday, May 31, 2010

Sebab-sebab Keciciran dari Jalan Dakwah (Siri Akhir)

Sebab-sebab Luar yang Menekan

1. Tekanan Ujian

Al Quran menyatakan ujian pasti akan berlaku demi membersihkan barisan dan juga untuk menguji iman.

"Alif Laam Miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: 'kami telah beriman', sedang mereka tidak diuji lagi" (Al 'Ankabut:1-2)

"Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik-buruknya) keadaanmu" (Muhammad:31)

Ujian dapat membezakan pendirian barisan dan kumpulan manusia. Ada yang tetap cekal, sabar serta ikhlas.

"(Iaitu) orang-orang (yang menta'ati Allah dan Rasul) yang kepada mereka yang orang-orang yang mengatakan: 'Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka", maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: 'Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung" (Ali Imran:173)

Sejarah menunjukkan ujian menjadi faktor yang kuat dalam keciciran dakwah. Namun, pada waktu yang sama ia menjadi faktor kekuatan, kepercayaan, kemuliaan, peningkatan dan kecekalan kepada sebahagian yang lain.

2. Tekanan Keluarga

Tekanan keluarga seperti daripada ibu bapa dan anak-anak juga menyebabkan keciciran sesetengah para du'at. Seringkali keluarga menakut-nakutkan seseorang tentang nasib buruk yang akan dialami oleh anak-anak sebagaimana yang dialami oleh anak-anak para mujahidin, para du'at dan para 'amilin (golongan yang bekerja untuk Islam). Ada juga yang menghalang ahlinya daripada bergiat dalam kerja dakwah kerana tidak dapat menerima hakikat yang ahli berkenaan mendahului mereka dalam mendapat petunjuk. Lebih menyedihkan ada ibu bapa yang menyusahkan anaknya dengan menyekat bantuan kewangan semata-mata kerana mahukan anaknya meninggalkan jalan dakwah.

Al Quran memberi amaran supaya jangan tunduk kepada tekanan ahli keluarga. Malah Al Quran memberi galakan supaya terus berjihad di jalan Allah:

"Katakanlah: 'Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kamu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq." (At Taubah:24)

Hal ini terbukti dengan ujian yang menimpa Nabi Ibrahim A.S dan Mus'ab bin Umayr yang diusir dari keluarga mereka.

3. Tekanan Persekitaran

Seseorang muslim mungkin dibesarkan dalam persekitaran yang mengambil berat agama, tetapi apabila dia berpindah ke persekitaran yang lain, dia mendapati persekitaran baru dipenuhi dengan kejahatan dan tarikan jahiliah.. Maka bermulalah pergolakan yang akibatnya ialah sama ada iltizamnya pada kerja-kerja dakwah meningkat atau turun merudum. Faktor-faktor yang menyebabkan seseorang itu mudah tewas kepada tekanan persekitaran ialah:

- Asas pembentukan (takwin) yang tidak betul. Mempunyai keraguan dalam aqidah ataupun tingkah lakunya tidak betul.

- Iltizam dengan dakwah atas dasar ikutan dan bukannya secara iman dan yakin.

- Keengganan untuk masuk ke dalam lingkungan dakwah dan kumpulan du'at di persekitaran yang baru. Lebih cenderung untuk bersama golongan jahiliah.

As Syahid Hassan Al Banna apabila setiap kali mengucapkan selamat kepada sahabat yang akan bermusafir ke Barat, dia memberi peringatan supaya menjauhi wanita dan 'gelas' (arak).

4. Tekanan Gerakan-gerakan Bahaya

Gerakan-gerakan merbahaya ini bekerja untuk mengkritik dan menimbulkan keraguan supaya harakah menjadi tidak efektif. Golongan pemuda yang belum matang proses takwinnya mudah mengalami keciciran apabila berhadapan dengan serangan jahat ini. Mereka akan mewujudkan kekeliruan di kalangan du'at muda sehingga merasa keliru dengan perjuangan dan terus gugur.

Ada antara gerakan ini yang mementingkan aqidah sehingga tidak memberi perhatian langsung kepada bidang-bidang lain seperti jundiyyah (ketenteraan) dan ruhiyyah (rohani). Demikianlah wujudnya puak-puak pengacau yang bekerja merosakkan gambaran (tasawwur), keperibadian dan amal Islami yang akhirnya bidang Islam itu akan dipenuhi dengan berbagai percanggahan.

5. Tekanan Bermuka-muka

Masalah sebegini berpunca daripada penyakit ujub, terpedaya dengan diri sendiri, kepentingan diri dan ego. Sebelum seseorang dai'e itu berperanan dalam masyarakat, mereka dikenali dan dicontohi dalam sikap, iltizam dan taat. Namun, apabila mereka merasakan diri mereka ada sesuatu keistimewaan kerana hasil kerja dakwah mereka, maka mereka pun mula berubah. Mereka akan menyerang harakah yang mendidik dan menaikkan mereka. Mereka lupa akan jasa dan khidmat baik pihak berkenaan yang membimbing mereka ke arah Islam. Ingatlah bahawa mereka tidaklah sehebat mana,

"Binasalah manusia, alangkah amat sangat kekafirannya? Dari apakah Allah menciptakannya? Dari setitis mani, Allah menciptakannya dan menentukannya. Kemudian Dia memudahkan jalannya, kemudian Dia mematikannya dan memasukkannya ke dalam kubur, kemudian bila Dia menghendaki, Dia membangkitkannya kembali. Sekali-kali jangan, manusia itu belum melaksanakan apa yang diperintahkan Allah kepadanya" ('Abasa:17-23)

p/s: isi kandungan entry ini dipetik dari buku tulisan Fathi Yakan bertajuk Al Mutasaqitun 'ala Thoriqud Da'wah - kaifa wa li maza? (Golongan yang Tercicir di Sepanjang Jalan Dakwah - Bagaimana dan Mengapa?)

Kala ini 'anjing-anjing' yang menamakan kesatuan mereka sebagai Zionis sedang meratah-ratah saudara seaqidah dan semanhajku dari Indonesia, Malaysia dan Turki yang belayar dengan bahtera Mavi Marmara. Alangkah baculnya daku yang hanya mampu berdoa dari kerusi empuk pejabatku? Alangkah indahnya jika aku diratah sama oleh anjing-anjing tersebut...Alangkah...oh alangkah...Ya Allah akhirilah hidupku dengan kemuliaan seperti mana yang Kau anugerahkan kepada mereka ya Allah. Ameen

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Tuesday, May 25, 2010

Faktor Lahir Mazhab Fiqh

Pada zaman tadwin lahir pelbagai perselisihan pendapat mazhab Fiqh. Zaman tadwin merupakan period ke empat dalam sejarah perundangan Islam(selepas zaman Rasulullah, zaman khulafa' ar rasyidin dan zaman tabi'in) yang juga dikenali dengan zaman pembukuan serta kematangan Fiqh. Ia bermula pada awal kurun kedua hijrah dan berakhir pada pertengahan kurun keempat hijrah, yang berlangsung lebih kurang 250 tahun. Pada zaman ini terjadinya perselisihan di antara ulama Madrasah Hadis di Madinah dan ulama Madrasah Ar Ra'yi di Iraq.

Madrasah Madinah membawa maksud kalangan mujtahid dan mufti yang menitik beratkan usaha memelihara hadis di samping meriwayatnya. Mereka menggunakan nas-nas zahir untuk menetapkan hukum, sekaligus cuba mengelak daripada menggunakan Qiyas dan Istihsan selagi terdapat hadis dan athar, biarpun ianya bersifat khabar ahad (perawi tunggal).

Madrasah Ar Ra'yi adalah mereka yang banyak menggunakan pendapat, Qiyas, Istihsan juga mengambil kira sudut kemaslahatan dalam menjelaskan hukum syariat ketika mana tidak ada nas jelas mengenainya di dalam Al Quran dan hadis.

Kalangan imam tersebut mempunyai beberapa kaedah istinbat, fatwa, cara pengambilannya serta perbezaan penggunaan sebahagian daripada prinsip umum syariat. Antara faktor utama lahir perselisihan sudut kaedah serta usul dan furu' dalam istinbat hukum di kalangan imam-imam mazhab ialah:

1. Perbezaan penelitian sumber

a) Penerimaan khabar ahad

Imam Abu Hanifah, para sahabatnya serta majoriti kalangan para mujtahid di Iraq menyamakan sudut hukum dan kehujahan hadis masyhur dengan hadis mutawatir. Selain itu juga, mereka akan mengutamakan hadis-hadis diriwayatkan oleh para ahli fiqh yang thiqah atau dipercayai semata-mata.

Imam Malik, para sahabatnya serta majoriti kalangan para mujtahid Madinah pula menerima sebagai hujah hukum segala fatwa, pendapat serta amalan penduduk Madinah dengan mengenepikan mana-mana khabar Ahad yang bercanggah dengannya.

Majoriti ahli hadis serta Imam Syafi'e khususnya, bertindak mengguna pakai atau berhujjah dengan mana-mana hadis yang diriwayatkan oleh perawi-perawi yang adil atau thiqah. Iaitu tanpa mengambil, tanpa mengira dan tanpa membezakan sama ada mereka itu kalangan ahli Fiqh atau tidak serta sama ada sesebuah hadis tersebut selaras dengan amalan penduduk Madinah atau tidak.

Kalangan mujtahid serta Imam Ahmad bin Hambal telah membuat klasifikasi khabar Ahad itu secara umumnya terbahagi kepada: Sahih, hasan juga dhaif. Seterusnya mereka tetap menerima segala hadis mursal dan hadis dhaif sebagai hujjah, dengan syarat perawinya tidak terkenal dengan pendusta, fasik serta tidak ada apa-apa percanggahan dengan perawi adil lain.

b) Penerimaan fatwa sahabat

Imam Abu Hanifah serta para sahabatnya mengambil serta berpegang kepada fatwa-fatwa para sahabat tanpa sebarang ikatan. Erti kata lain, mereka tidak terikat dengan mana-mana sahabat tertentu sekali gus menerima semua fatwa mereka.

Imam Syafie dan para pengikutnya membuat tanggapan bahawa fatwa para sahabat itu merupakan suatu fatwa yang bersifat ijtihadiah. Di mana semua mereka tidak terlepas daripada melakukan kesalahan juga dosa atau tidak bersifat ma'sum sebagaimana Rasulullah SAW. Justeru, mereka berpendapat bahawa fatwa para sahabat boleh diambil sebagai hujjah juga boleh ditinggalkan.

c) Penerimaan Qiyas

Kalangan puak Syiah dan mazhab Az Zahiri tidak menerima Qiyas sebagai hujjah dan sumber hukum. Walau bagaimanapun, jumhur imam mazhab sepakat menerima Qiyas sebagai salah satu sumber hukum yang disepakati.

2. Perbezaan penerapan hukum

Ulama Madrasah Hadis lebih cenderung ke arah usaha untuk memahami segala hadis serta athar dan fatwa para sahabat. Mereka akan menerapkannya di dalam ijtihad mengenai masalah-masalah yang baru berlaku, tanpa membahaskan sebab-sebab hukum serta sudut-sudut prinsipnya.

Ulama Madrasah Ar Ra'yi banyak berpegang dengan pendapat atau ar ra'yi, memahami dan memperhatikan maksud syarak serta asas-asas yang menjadi landasan pensyariatan hukum. Seterusnya mereka berpendirian bahawa matlamat pensyariatan hukum untuk mencapai kemaslahatan seluruh umat manusia. Oleh sebab itu, segala hukum berdasarkan atau yang disandarkan kepada prinsip-prinsip yang sama serta mempunyai matlamat yang sama. Justeru, semua itu hendaklah sentiasa selari serta tidak ada sebarang pertentangan di antara nas-nas serta hukumnya. Untuk itu, atas dasar tersebutlah mereka memahami nas, menyokong sesetengah nas terhadap sesetengah yang lain serta menetapkan hukum terhadap masalah yang tiada nas mengenainya.

3. Perbezaan penilaian prinsip bahasa

Sumber-sumber hukum syarak yang asasi iaitu Al Quran dan hadis dibawa dalam lafaz yang berbagai. Untuk mengeluarkan hukum mestilah memahami dengan mendalam setiap lafaznya seperti; Am, Khas dan Musytarak. Perbezaan tersebut antara lain dapat dijelaskan sebagaimana berikut, iaitu:

  • Menurut sesetengah ulama sesuatu nas itu thabit atau menetapkan hukum sudut mantuq dan seterusnya pula ia menetapkan hukum yang berbeza sudut mafhum mukhalafah. Walau bagaimanapun, menurut penilaian sesetengah ulama lain pula ia tidak berlaku sedemikian.
  • Menurut pandangan serta penilaian sesetengah ahli fiqh, sesuatu nas umum dan tidak ada pengkhususan atau yang tidak dikhususkan, ia dikira mencakupi keseluruhan kesatuannya secara qat'i atau pasti. Namun begitu, menurut penelitian sesetengah ulama lain pula, ia mencakupi dan merangkumi seluruh kesatuannya secara zanni.
  • Menurut pendapat sesetengah ulama, Al Amr atau perintah yang mutlak bertujuan menunjukkan kepada perintah wajib atau mewajibkan. Ia tidak menunjukkan apa-apa makna lain, kecualilah apabila terdapat qarinah. Penelitian sesetengah ulama lain terhadap bentuk Al Amr hanyalah bertujuan menunjukkan kepada tuntutan semata-mata. Sehubungan dengan itu, qarinah yang ada padanyalah yang menunjukkan atau menentukan sama ada kepada perintah wajib atau selainnya.

Sebagai rumusannya, pada dasarnya kaedah penggubalan hukum yang diikuti oleh ulama dan para mujtahid pada zaman tadwin dengan berdasarkan ikutan dan pegangan kepada nas-nas, mentakwilkannya, menghormati juga meraikan fatwa para sahabat serta mengamalkan qiyas. Di samping itu juga, kadangkala mereka menentukan 'illah hukum serta prinsip-prinsip syariat yang umum.

p/s: Sumber tulisan ialah daripada buku bertajuk Perbahasan Sejarah Perundangan Islam dan Mazhab Fiqh karangan Ustaz Abdul Latif Muda.


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Wednesday, May 19, 2010

Rabi'ah bin Ka'ab

Rabi'ah bin Ka'ab merupakan pembantu Rasulullah yang setia. Beliau sentiasa bersama Rasulullah SAW umpama bayang-bayang baginda. Setiap kali anak mata baginda melihat ke arah beliau, beliau akan segera berdiri di hadapan Rasulullah SAW. Beliau hanya pulang apabila siang berlalu dan selepas solat isyak. Terlintas di fikiran beliau siapakah yang akan membantu Rasulullah tika baginda memerlukan pertolongan pada tengah malam. Lalu Rabi'ah duduk di hadapan pintu rumah Rasulullah sehinggalah beliau merasa letih dan meninggalkannya ataupun matanya berasa mengantuk lalu tertidur.

Rabi'ah bin Ka'ab adalah seorang pemuda yang miskin. Beliau tidak mempunyai kaum keluarga, harta mahupun tempat tinggal. Beliau tinggal di Shuffah (satu sudut di masjid Nabi S.A.W. Orang-orang miskin yang tidak mempunyai rumah akan berlindung di situ. Lantaran itu mereka digelar Ahlu As Shuffah) bersama orang-orang miskin yang lain. Orang ramai mengenali mereka dengan gelaran 'Tetamu-tetamu Islam'.

Setelah Rabi'ah berkahwin, Rasulullah SAW telah bermurah hati menghadiahkan beliau sebidang tanah bersebelahan dengan tanah Abu Bakar As Siddiq. Suatu hari, Rabi'ah dan Abu Bakar berbalah mengenai sepohon tamar. Masing-masing mendakwa pohon tamar tersebut berada di dalam kawasan tanah mereka. Perbalahan berleretan sehingga terpacul perkataan yang tidak enak daripada mulut Abu Bakar. Apabila Abu Bakar perasan dengan ungkapannya itu, beliau menyesal dan meminta Rabi'ah mengungkapkan perkataan yang sama kepadanya sebagai qisas. Rabi'ah enggan membalas perkataan tersebut dan Abu Bakar berasa tidak puas hati. Lantas Abu Bakar mengajak Rabi'ah berjumpa Rasulullah SAW untuk mengadu keengganan Rabi'ah membalas perbuatan Abu Bakar.

Dalam perjalanan bertemu Rasulullah SAW, kaum Rabi'ah iaitu Bani Aslam turut mengekorinya dan mengharapkan Rasulullah menghukum Abu Bakar. Lantas Rabi'ah berkata,

"Kamu semua pulanglah sebelum beliau berpaling ke belakang dan ternampak kamu semua. Saya bimbang beliau akan menyangka kamu semua datang untuk membela saya dan ini akan menyebabkannya marah. Apabila beliau bertemu Rasulullah dalam keadaan marah, Nabi turut akan berasa marah. Allah juga akan murka lantaran kemarahan mereka berdua. Maka binasalah Rabi'ah".

Mereka pun berlalu pulang. Setelah Abu Bakar bertemu Rasulullah SAW, beliau menceritakan insiden tersebut. Baginda mengangkat wajahnya kepada beliau dan bertanya apakah yang berlaku antaranya dan As Siddiq. Rabi'ah menjawab,

"Wahai Rasulullah, beliau meminta saya menuturkan ucapan yang sama beliau tuturkan kepada saya. Namun saya enggan".

Lalu Rasulullah SAW bersabda,

"Benar, jangan kamu katakan kepadanya perkataan yang telah diucapkannya kepadamu. Tetapi katakanlah: Mudah-mudahan Allah mengampuni Abu Bakar".

Rabi'ah pun mengungkapkan perkataan tersebut dan Abu Bakar berlalu pergi berlinangan air mata. Beliau berkata:

"Mudah-mudahan Allah mengganjari kebaikan untukmu wahai Rabi'ah bin Ka'ab...Mudah-mudahan Allah mengganjari kebaikan untukmu wahai Rabi'ah bin Ka'ab..."

Alangkah indahnya jika ummah kini berakhlak dengan akhlak yang sedemikian. Pastinya tiada peperangan sesama kita seperti yang pernah berlaku antara Iraq dan Iran serta antara Khilafah Uthmaniah dan keturunan Raja Sa'ud. Inilah akhlak yang diajarkan oleh Rasulullah dan apakah ada ajaran yang lebih baik daripada ini. Bak kata seorang salaf,

"Sesiapa yang ingin mencontohi seseorang, maka ambillah contoh daripada mereka yang telah mati. Kerana orang yang hidup masih belum terjamin kesudahan hidupnya".

p/s: Kisah Rabi'ah bin Ka'ab tadi dipetik daripada buku bertajuk Surun min Hayatis Sahabah (Gambaran Kehidupan Sahabat) karangan Dr. Abdul Rahman Ra'fat al Basha

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Thursday, May 13, 2010

Sebab-sebab Keciciran dari Jalan Dakwah (siri 2)

Sebab-sebab yang Berkaitan Dengan Anggota Individu

1. Tabi'i yang tidak tetap

Perkara seperti ini boleh berlaku jika seseorang itu menyertai harakah kerana faktor tarikan suasana atau sesuatu sebab. Apabila mereka sedar yang mereka tidak mampu mengikut dasar dan peraturan harakah, mereka pun meninggalkannya. Apabila mereka keluar daripada harakah, mereka menyeru bahawa amal Islami tidak perlu kepada peraturan. Tidak memerlukan ketaatan dan disiplin.

Pada pandangan mereka, peringkat ukhuwwah sudah membolehkan mereka melakukan pelbagai perkara. Sesiapa yang tidak dapat menunaikan tugasan dan janji adalah dimaafkan kerana mereka ada saudara seagama. Mereka yang melakukan kesalahan adalah dimaafkan dan tidak boleh dihukum kerana mereka adalah saudara seagama.

Saidatina Aisyah meriwayatkan terjadi suatu peristiwa yang mana orang Quraisy merasakan bahawa seorang wanita Bani Makhzum yang telah mencuri patut dibebaskan daripada hukuman hudud kerana dia adalah golongan yang dipandang mulia. Orang Quraisy telah bermesyuarat untuk menghantar seorang wakil kepada Rasulullah memohon supaya wanita itu dibebaskan. Lalu mereka menghantar Usamah bin Zaid kerana mereka yakin beliau adalah yang paling layak. Setelah Usamah berjumpa Rasulullah, Rasulullah menjawab,

"Apakah kamu meminta syafaat daripada hukum yang telah ditetapkan oleh Allah?"

Kemudian Rasulullah bangun dan berucap,

"Wahai manusia, (ketahuilah) sesungguhnya orang-orang yang terdahulu daripada kamu menjadi binasa sebab apabila orang-orang yang mulia di kalangan mereka mencuri mereka tidak menjalankan hukuman. Tetapi apabila orang-orang yang lemah di kalangan mereka mencuri, mereka menjalankan hukuman. Demi Allah, kalaulah Fatimah bt Muhammad mencuri, nescaya aku akan potong tangannya". (Diriwayatkan oleh Al Bukhari dan Ibn Majah)


2. Takut berlaku sesuatu ke atas diri dan pendapatan (rezeki)

Syaitan memainkan peranan menimbulkan rasa kegusaran dalam hati para du'at bahawa rezeki mereka akan berkurangan jika mereka menyumbang masa, tenaga dan wang ringgit di jalan dakwah.

Terdapat beberapa dalil naqli yang menyatakan tentang penyakit yang menghilangkan iman orang-orang mukmin.

"Orang-orang Badwi yang tertinggal (tidak turut ke Hudaibiyyah) akan mengatakan: Harta dan keluarga kami telah merintangi kami. Mereka mengucapkan dengan lidahnya apa yang tidak ada di dalam hatinya. Katakanlah: Maka siapakah (gerangan) yang dapat menghalang kehendak Allah jika Dia menghendaki manfaat bagimu, sebenarnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan" (Al Fath:11)

"Dan di antara manusia ada orang yang berkata: "kami beriman kepada Allah", maka apabila ia disakiti (kerana ia beriman) kepada Allah, ia menganggap fitnah itu sebagai azab Allah. Dan sungguh jika datang pertolongan dari Tuhanmu, mereka pasti akan berkata: "Sesungguhnya kami adalah bersertamu". Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada semua manusia? Dan sesungguhnya Allah benar-benar mengetahui siapa orang-orang yang beriman dan sesungguhnya Dia mengetahui siapa orang-orang yang munafiq" (Al Ankabut: 10-11)

"Syurga dikelilingi oleh perkara-perkara yang dibenci hawa nafsu dan neraka dikelilingi dengan perkara yang disukai oleh hawa nafsu" (Riwayat Muslim, Ahmad dan Tirmizi)

Fasa suatu masa nanti akan sampai kepada tahap para pendokongnya diuji dengan ujian penjara dan tekanan ekonomi. Ujian-ujian sebeginilah yang boleh mendorong seseorang itu mundur dari medan dakwah. Jika para du'at mempersiapkan diri dengan mengingatkan hawa nafsu bahawa nikmat dunia adalah sementara, insya Allah para du'at akan terus kekal di jalan dakwah tanpa sebarang masalah.

3. Melampau (Ekstrem)

Jiwa manusia mampu memikul tanggungjawab perkara-perkara yang diazamkan pada suatu ketika. Tetapi di ketika yang lain, dia tidak mampu memikulnya. Kemudian keazamannya meningkat semula pada ketika tertentu. Namun begitu, dia tetap tidak boleh melakukannya sekaligus. Keupayaan manusia untuk memikul beban dan tanggungjawab adalah berbeza. Oleh sebab itu, syari'at memperuntukkan hukum-hukum azimah (kemestian/wajib) dan hukum-hukum rukhsah (keringanan) yang menjadi pelengkap manhaj Islami.

Jika kita memberatkan diri dengan perkara-perkara yang tidak mampu kita lakukan di medan dakwah, kita berdepan kemungkinan keguguran dari jalan yang mulia ini. Jika kemampuan kita hanya membawa 2-3 usrah, maka turutilah kemampuan tersebut. Janganlah kerana ingin memberi yang terbaik kepada harakah, kita terlupa kepada kemampuan kita hingga membawa 4-5 usrah. Dikhuatiri kita tidak mampu menerap tekanan tersebut dan akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan dakwah yang indah ini. Ingatlah bahawa dakwah tidak memerlukan kita. Bahkan kitalah yang memerlukan kepada dakwah.

4. Terlalu Meringankan/Bermudah-mudahan

Mereka yang bersikap mudah dalam mengerjakan perintah Allah akan mendapati diri mereka bermudah dalam semua perkara. Lantas syaitan akan menguasai diri dan 'amilin mereka. Syari'at Allah adalah tetap, tiada tambahan atau kurangan. Hukum Allah mesti dipatuhi dan jangan sekali-kali membuat perubahan dengan tafsiran sendiri ataupun memudah-mudahkannya. Mereka yang berkerja di lapangan dakwah hendaklah menjauhi sifat-sifat mempermudahkan kerana ia adalah perencanaan syaitan yang akan melekakan manusia. Lebih malang lagi jika sikap mempermudahkan ini boleh menyeret mereka ke kancah maksiat dan dosa.

Dari Anas R.A katanya,

"Kamu akan melakukan perbuatan-perbuatan yang pada pandangan kamu lebih halus daripada rambut, sedangkan pada zaman Rasulullah kami mengiranya sebagai dosa besar, yakni dosa yang membinasakan" (Riwayat Bukhari)

5. Tertipu dengan Kedudukan dan Bersikap Menonjol Diri

Para pekerja harakah hendaklah menyedari bahawa orang-orang yang sombong dan bongkak adalah tidak sesuai dengan dakwah dan kerja-kerja Islami. Dakwah memerlukan para du'at yang mampu duduk bersama orang ramai, berkhidmat kepada mereka, merendah diri, menerima nasihat dan kritikan. Kata Aisyah R.A,

" Aku makan sama seperti seorang manusia makan dan aku duduk sama seperti seorang manusia duduk". (Diriwayatkan oleh at Tabrani)

Firman Allah,

" Negeri Akhirat itu Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa" (Al Qasas:83)

Rasulullah SAW bersabda,

"Sesungguhnya perkara yang paling aku takut berlaku kepada umatku ialah menyekutukan Allah. Aku tidak mengatakan yang mereka menyembah matahari, bulan atau berhala, tetapi mereka membuat amalan-amalan yang bukan kerana Allah. Tetapi untuk keinginan nafsu yang tersembunyi". (Riwayat Ibnu Majah)

6. Cemburukan Orang Lain

Ahli-ahli yang menganggotai harakah terdiri daripada individu yang memiliki potensi yang berbagai. Tahap kecerdikan dan keilmuan adalah berbeza. Perbezaan inilah yang menyebabkan berlaku perbezaan antara ahli, dalam tingkah laku, dalam khidmat, dalam kepekaan dan banyak perkara lagi. Perasaan cemburu akan menyebabkan orang-orang yang tertentu mengambil tindakan yang tidak sepatutnya mereka lakukan. Perasaan cemburu dan ransangan seperti itu akan menimbulkan keinginan hendak "membalas dendam" di dalam diri mereka kepada mereka yang dianggap sebagai menjadi sebab kegagalan mereka.

Cukuplah kisah Habil dan Qabil menjadi bukti perasaan cemburu boleh merosakkan amal soleh. Dari Damrah bin Tha'labah R.A. berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda,

"Manusia adalah tetap baik selagi mereka tidak berdengki". (Riwayat At Tabrani)

7. Fitnah Senjata

Gejala ekstrem yang paling bahaya ialah penggunaan senjata. Tindakan ini bukan sahaja membahayakan ahli-ahli, tetapi juga seluruh organisasi harakah itu sendiri. Ini kerana apabila senjata digunakan, terdapat potensi segala peraturan dan ikutan serta siyasah syar'iyyah sudah tidak diikuti lagi. Di sini dibincangkan secara ringkas mengapa senjata adalah mudharat kepada dakwah.

  • Objektif pemilikan kekuatan adalah tidak jelas.

Ada yang berpendapat senjata penting untuk mengekalkan kewujudannya dalam kegiatan Islam. Ada juga yang berpendapat supaya dapat menarik para pemuda dan mereka yang tidak dapat dipengaruhi melalui pemikiran, nilai dan dasar-dasar sahaja. Selain itu, ada yang berpendapat senjata penting untuk menentang tindakan-tindakan bermusuh. Fahaman ini akan menyebabkan harakah terlibat dengan pelbagai masalah yang tidak akan berkesudahan. Ia juga mungkin mengalihkan perjalanan asal harakah dan memberhentikan peranan menyebarkan risalah Islam. Para du'at mesti mengetahui bahawa pemilikan senjata adalah bertujuan untuk melaksanakan perubahan ke arah Islam, menegakkan perintah Allah, melaksanakan syari'at Allah dan menghidupkan kembali kehidupan Islam.

Setiap penggunaan kekuatan yang terkeluar dari tujuan ini akan menarik harakah ke dalam medan pertempuran yang akan menghancurkan harakah itu. Kegunaan kekuatan di zaman Rasulullah bukanlah semata-mata berdasarkan tindak balas terhadap sesuatu, tetapi ia merupakan suatu perbuatan yang dipelajari dan dikawal oleh kaedah, peraturan serta kemampuan yang bersesuaian dengan tabi'e (fitrah) setiap marhalah (peringkat), polisi dan methodnya (manhaj). Sesuatu tindakan permusuhan yang dilakukan ke atas harakah tidak boleh dijadikan alasan untuk mengisytiharkan perang dan menghunus senjata. Ini selaras dengan fasa Makiyyah yang mana umat Islam tidak langsung bertindak balas terhadap seksaan dan tekanan yang diberikan oleh kafir Quraisy.

  • Tidak terikat dengan syarat penggunaan kekuatan

Berikut ialah syarat-syarat yang dimaksudkan:

  • Berusaha bersungguh-sungguh menggunakan cara selain kekerasan. Ini telah dipersetujui oleh Al Jassas, Zamakhshari, Ibn Al Arabi dan Imam Qurtubi.
  • Penggunaan kekuatan hendaklah di bawah pengawasan Imam dan jamaah muslimin.
  • Jangan membawa kepada kerosakan atau fitnah.
  • Tidak terkeluar daripada siasah syar'iyyah ketika menggunakan kekuatan iaitu tidak menyerang musuh yang menjadikan kanak-kanak dan wanita-wanita Islam sebagai benteng. Tidak menyerang orang-orang awam dan memusnahkan harta milik mereka.
  • Hendaklah menurut tertib. Terdapat beberapa tertib yang mesti untuk berjihad; Islam, baligh, berakal, merdeka, lelaki, tidak cacat dan mempunyai nafkah.
  • Persediaan hendaklah sempurna lagi teliti. Persediaan di dalam Islam bukanlah merupakan tindakan tindak balas atau reaksi kepada suatu sikap atau suasana. Bukan disebabkan dorongan sikap gopoh atau emosi, tetapi ia merupakan manhaj yang lengkap yang mempunyai asas.
  • Jauhi istidraj dan menyahut tindak balas. Natijahnya ialah kerosakan kepada agama juga dunia. Ini kerana kekuatan dan keupayaan harakah belum lagi sempurna. Khuatir harakah akan tewas awal dalam pertempuran yang tidak seimbang. Tindak balas pada kebiasaannya tidak diawasi oleh aqal dan pertimbangan, tetapi didorongkan oleh perasaan dan sikap gopoh. Oleh itu, tiada harapan melainkan kegagalan sahaja.
  • Tidak harus mendedahkan orang Islam untuk dikuasai musuh dalam keadaan ketiadaan keseimbangan.

Fitnah senjata ini amat besar kesannya pada harakah Islamiyyah. Ia boleh menyebabkan kerosakan badan harakah dan keciciran pemuda yang menanggung senjata sebelum mereka menanggung iman. Latihan penggunaan senjata didahulukan sebelum latihan ketaatan. Wallahu a'lam.

bersambung...Sebab-sebab Luar yang Menekan

p/s: isi kandungan entry ini dipetik dari buku tulisan Fathi Yakan bertajuk Al Mutasaqitun 'ala Thoriqud Da'wah - kaifa wa li maza? (Golongan yang Tercicir di Sepanjang Jalan Dakwah - Bagaimana dan Mengapa?)

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Wednesday, May 12, 2010

Abu Sufyan bin Al Harits

Seerah Rasulullah mencatatkan bahawa terdapat 5 individu yang mempunyai wajah mirip seperti Rasulullah SAW. Rupa mereka ini sangat mirip sehingga sesiapa yang mempunyai pandangan yang lemah akan bertukar antara Rasulullah dan kelima-lima individu ini. Mereka ialah:


  1. Qutsam bin Al Abbas - sepupu Rasulullah
  2. As Sa'ib bin Ubaid - datuk Imam Syafi'e
  3. Hasan bin Ali - cucu Rasulullah
  4. Ja'far bin Abi Talib - sepupu Rasulullah
  5. Abu Sufyan bin Al Harits - sepupu Rasulullah

Abu Sufyan adalah seusia dan sebaya dengan Rasulullah SAW. Mereka dilahirkan pada zaman yang hampir sama dan membesar dalam satu keluarga yang sama. Seerah meriwayatkan mereka adalah sepupu yang rapat dan berkongsi ibu susuan yang sama, iaitu Halimah As Sa'diyah. Mereka sangat akrab sebelum Rasulullah diangkat menjadi rasul.

Namun begitu, tatkala Rasulullah mengisytiharkan kerasulannya, Abu Sufyan telah menjadi orang yang paling kuat menentang dakwah yang dibawa baginda. Beliau telah menggunakan kepakarannya sebagai pahlawan untuk menentang Islam. Beliau juga telah menggunakan kepakarannya dalam bidang syair untuk menyerang dakwah yang dibawa Rasulullah. Tidak ada satu peperangan yang diharungi antara Quraisy musyrikin dan orang Islam melainkan beliaulah puncanya. Tidak ada satu seksaan terhadap orang Islam melainkan beliau mempunyai peranan yang besar di dalamnya. Permusuhan Abu Sufyan ini berlarutan sehingga hampir 20 tahun.

Ketika ura-ura kedatangan tentera Islam untuk menawan kota Mekah tiba ke telinganya, Abu Sufyan berasa sungguh gelisah. Beliau tidak tahu ke mana untuk melarikan diri. Beliau segera mencari isteri dan anak-anak untuk menyelamatkan diri daripada dibunuh tentera Islam. Namun, terpacul satu kata-kata daripada mereka yang benar-benar meransang pemikiran Abu Sufyan,

"Tidakkah tiba masa untuk kamu melihat bahawa orang-orang arab dan orang-orang 'ajam telah tunduk taat menuruti Muhammad? Mereka memeluk agamanya, sedangkan kamu masih berdegil untuk memusuhinya. Sepatutnya kamu adalah orang yang paling utama menyokong dan menolong beliau!"

Akhirnya Allah melapangkan dada beliau untuk memeluk Islam.Beliau segera keluar dari kota Mekah menuju ke Abwa' bersama anaknya Ja'far untuk bertemu Rasulullah. Beliau ke sana kerana mendapat maklumat Rasulullah telah berhenti berehat di Abwa'. Apabila menghampiri Abwa', beliau menyamar supaya tidak dikenali khuatir akan terbunuh sebelum sempat menyatakan keislaman di depan Rasulullah. Tidak lama kemudian beliau ternampak Rasulullah muncul dalam gerombolannya. Beliau terus menuju ke arahnya dan berdiri di hadapannya.Beliau mendedahkan wajah sebenarnya. Sejurus Rasulullah mengecam wajah beliau, baginda terus berpaling ke arah lain. Abu Sufyan segera beralih ke arah tersebut. Sekali lagi, baginda berpaling ke arah yang lain pula. Beliau berharap baginda akan gembira dengan keislamannya. Namun malangnya ia tidak berlaku. Lebih malang lagi, para sahabat juga enggan memandang wajahnya persis seperti yang dilakukan Rasulullah.

Apabila Abu Sufyan bertemu Abu Bakar, beliau berpaling dengan bersungguh-sungguh. Umar Al Khattab juga melakukan perkara yang sama. Malah, beliau lebih hebat memalingkan wajahnya berbanding Abu Bakar. Perbuatan Umar telah mendorong seorang Ansar untuk berkata,

"Wahai musuh Allah! Kamulah orang yang telah menyakiti Rasulullah dan para sahabatnya. Permusuhan kamu terhadap Nabi telah sampai ke timur dan barat".

Orang Ansar tersebut terus melepaskan kata-katanya kepada Abu Sufyan dengan suara yang tinggi. Orang Islam yang lain melihat dengan pandangan yang tajam dan mereka seolah-olah gembira dengan cercaan yang dilemparkan kepada Abu Sufyan. Pada masa yang sama, beliau ternampak bapa saudaranya, Abbas. Beliau berkata kepada Abbas,

"Wahai bapa saudaraku. Saya amat berharap agar Rasulullah SAW gembira dengan keislaman saya kerana hubungan kerabat yang ada antara kami, dan kerana kemuliaan saya dalam kaum saya. Namun baginda bersikap dingin sebagaimana yang kamu tahu. Tolonglah bercakap dengan baginda supaya menerima saya".

Abbas menjawab,

"Tidak! Demi Allah! Aku tidak akan bercakap dengan beliau walaupun dengan satu patah selepas saya melihat Rasulullah berpaling daripada kamu, kecuali jika ada peluang. Sesungguhnya aku aku mengagungkan Rasulullah SAW dan menggeruninya".

Abu Sufyan bertanya kepada Abbas dengan nada yang hiba,

"Wahai bapa saudaraku, kepada siapakah kamu akan meninggalkanku?"

Abbas menjawab,

"Tidak ada apa-apa lagi untuk kamu di sisiku melainkan apa yang kamu dengar".

Kesedihan Abu Sufyan tidak dapat digambarkan lagi. Umpama seluruh alam membenci beliau dan menolak kehadirannya. Sejurus selepas itu beliau ternampak Ali bin Abi Talib dan mengadu kepadanya. Namun Ali juga memberikan jawapan yang sama dengan Abbas. Abu Sufyan kembali menemui Abbas dan berkata kepada beliau,

"Jika pakcik tidak mampu meraih simpati Rasulullah kepadaku, halanglah orang yang mencaciku dan mendorong orang lain mencaciku".

Abbas meminta Abu Sufyan menerangkan ciri-ciri individu tersebut dan Abbas yakin orang tersebut ialah Nu'aiman bin Al Harits an Najjari. Abbas menghantar utusan kepadanya dan menyatakan mesej yang berikut:

"Wahai Nu'aiman, sesungguhnya Abu Sufyan adalah sepupu Rasulullah dan anak saudara saya. Jika hari ini baginda murka kepadanya, ingatlah suatu hari nanti baginda akan menerimanya. Hentikanlah tindakan kamu ini".

Abbas terus mendesak sehingga Nu'aiman bersetuju untuk menghentikan cercaan tersebut. Apabila Rasulullah tiba di Juhfah, Abu Sufyan duduk menunggu di pintu kediaman Rasulullah sementara anaknya, Jaafar berdiri di sisinya. Tatkala Rasulullah keluar dari kediamannya, baginda segera memalingkan wajahnya daripada Abu Sufyan. Namun Abu Sufyan tetap tidak berputus asa untuk meraih redha Rasulullah SAW. Ke mana sahaja Rasulullah singgah, Abu Sufyan akan duduk menunggu di hadapan pintu kediaman baginda dan anaknya pula akan berdiri di sisinya. Namun setiap kali baginda ternampak Abu Sufyan, baginda akan memalingkan mukanya. Abu Sufyan berasa sungguh tertekan dan berkata kepada isterinya,

"Demi Allah, sama ada Rasulullah SAW meredhai saya atau saya akan pergi membawa anak saya ke mana sahaja tanpa tujuan sehingga kami mati kelaparan dan kehausan".

Perihal tersebut sampai kepada pengetahuan Rasulullah SAW. Terus hati baginda bertukar menjadi lembut. Apabila baginda keluar daripada khemahnya, baginda memandang dengan pandangan yang lebih lembut. Namun Rasulullah masih belum tersenyum kepada Abu Sufyan.

Ketika peperangan Hunain berlaku, tentera musyrikin berjaya memberi tentangan sengit kepada barisan tentera Islam. Tentera Islam kelihatan hampir menuju kekalahan. Namun Rasulullah masih terus teguh di tengah-tengah medan pertempuran di atas baghalnya yang berwarna kelabu. Tentera musyrikin sedang mara untuk membunuh Rasulullah dan tinggal beberapa orang sahabat sahaja yang datang untuk mempertahankan Rasulullah. Abbas memegang kemas tali kekang baghal Rasulullah dan berdiri di sebelah baginda. Abu Sufyan segera mengambil kedudukan di sebelah lain sisi Rasulullah. Tangan kanannya menghunus pedang sementara tangan kiri memegang tunggangan Rasulullah. Rasulullah ketika itu tidak dapat mengecam wajah Abu Sufyan. Lantas baginda bertanya kepada Abbas siapakah gerangan yang cuba mempertahankannya. Abbas segera memberitahu Rasulullah bahawa insan tersebut ialah sepupunya, Abu Sufyan bin Al Harits dan memohon supaya Rasulullah mengampunkannya. Rasulullah memaafkannya dan memohon supaya Allah mengampunkan dosanya ketika memusuhi Islam. Abu Sufyan berasa sangat gembira sehingga beliau mengucup kaki baginda yang sedang berada di tunggangan. Akhirnya tentera Islam berjaya memperoleh kemenangan dan mengejar musuh sehingga 3 batu jauhnya.

Biarpun Rasulullah telah memaafkan Abu Sufyan, beliau tetap merasa segan dengan baginda. Setiap kali bertemu baginda, Abu Sufyan tidak berani mengangkat wajahnya menghadap Rasulullah. Pada suatu hari Rasulullah ternampak Abu Sufyan memasuki masjid dan bertanya kepada Aisyah sama ada beliau mengenali lelaki tersebut. Ternyata Aisyah tidak mengenali Abu Sufyan. Rasulullah berkata,

"Beliau ialah sepupu saya, Abu Sufyan bin Al Harits. Lihatlah beliau orang yang pertama masuk ke masjid dan orang yang terakhir keluar dari masjid. Pandangan matanya tidak pernah renggang daripada tali sandalnya (dia sentiasa dalam keadaan tunduk tawadhuk)".

Abu Sufyan meninggal dunia ketika di era zaman pemerintahan Umar Al Khattab. Sebelum beliau menghembuskan nafasnya, Abu Sufyan telah menggali kuburnya sendiri. Tiga hari selepas itu beliau jatuh sakit sehingga nazak. Jenazahnya telah disembahyangkan oleh Umar Al Khattab bersama para sahabat yang terpuji.

Inilah contoh sahabat Rasulullah yang sukar untuk kita temui pada zaman ini. Beliau sanggup melakukan apa sahaja demi meraih redha Rasulullah. Lebih menarik lagi, Abu Sufyan hanya sempat bersama dengan Rasulullah selama hampir 2 tahun sahaja sebagai seorang mukmin. Hakikatnya ramai para sahabat yang bersama Rasulullah dalam masa yang cukup singkat berjaya membuktikan sumbangan yang besar pada Islam seperti Abu Hurairah (hanya sempat bersama baginda selama 3 tahun sahaja). Kasih Abu Sufyan pada baginda sejurus memeluk Islam sangat mendalam sehingga sanggup menunggu Rasulullah di setiap kediamannya. Ini semua beliau lakukan demi mendapatkan redha dan senyuman baginda. Beliau tidak memerlukan masa yang lama untuk menjadi seorang mukmin yang benar-benar soleh. Dibuktikan dengan kerajinan beliau beriktikaf di masjid dan meluangkan masa yang panjang beribadah di rumah Allah tersebut. Penyesalannya terhadap tindak tanduknya ketika di zaman jahiliahnya tidak dapat dilupuskan sama sekali. Sehingga Rasulullah wafat pun Abu Sufyan masih segan untuk mengangkat wajahnya mengadap baginda.

Ketika saya membaca kisah ini, hati saya meruntun menangis menghayati kisah syahdu sahabat Rasulullah yang ulung ini. Semoga mata saya juga turut berair mengenangkan sumbangan besar sahabat ini. Ameen

p/s: Kisah Abu Sufyan bin Al Harits tadi dipetik daripada buku bertajuk Surun min Hayatis Sahabah (Gambaran Kehidupan Sahabat) karangan Dr. Abdul Rahman Ra'fat al Basha

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Saturday, May 1, 2010

Sebab-sebab Keciciran dari Jalan Dakwah

Dewasa ini ramai di kalangan para du'at mengalami keciciran dan angkanya kian meningkat saban hari. Krisis keciciran ini tidak mengenal usia biarpun kebanyakan daripada kita menyangka lingkungan 30an hingga 50an adalah umur yang mudah untuk tercicir. Namun begitu, ada juga du'at di kalangan para pelajar IPT yang tewas dek kerana komitmen pada persatuan pelajar, keciciran pelajaran dan banyak lagi. Secara umumnya apabila ditanya apakah punca kepada keciciran pada du'at, jawapan yang lazim ialah harta, takhta@pangkat dan wanita. Hakikatnya ia lebih daripada itu. Mari kita lihat apa yang dikatakan oleh Almarhum Ustaz Fathi Yakan tentang keciciran para du'at.

Pertama: Sebab-sebab yang berhubung dengan gerakan (harakah)
Kedua: Sebab-sebab yang berkaitan dengan anggota individu
Ketiga: Sebab-sebab luar yang menekan

Sebab-sebab yang berhubung dengan gerakan (harakah)

1. Kelemahan sudut tarbiah.

Hal ini berlaku jika bidang tarbiah menjadi perkara sampingan berbanding hal-hal lain seperti politik, pentadbiran, ekonomi dan banyak lagi. Tanda-tandanya dapat dilihat pada cara hidup pemimpin-pemimpin harakah. Komponen tarbiah amat penting supaya para du'at dapat memperbaharui tahap keimanan mereka saban hari. Persis seperti hadis Rasulullah,

"Sesungguhnya iman yang berada di dalam hati kamu menjadi lusuh seperti mana lusuhnya pakaian. Oleh itu mohonkanlah dari Allah ta'ala supaya Dia memperbaharui iman di dalam hati kamu." (Riwayat at Tabrani dan Hakim)

Seseorang da'ie itu pasti akan diuji. Justeru itu, ia perlu mengingati Allah (riqabatullah), mengikut jalan Allah dan menyuburkan imannya tatkala sedang dilanda ujian. Da'ie itu perlu berjaga-jaga daripada su'ul munqalib (perubahan ke arah yang tidak baik). Untuk memastikan para du'at terus kekal di dalam tarbiah, manhaj tarbawi hendaklah sentiasa dikaji dan diperbaharui supaya sesuai dengan keperluan dan suasana.

2. Tidak meletakkan seseorang di tempat yang sesuai

Sesuatu harakah yang efektif lagi matang ialah harakah yang mengetahui keupayaan anggotanya, kecenderungan dan kebolehan mereka, serta mengetahui titik-titik kekuatan dan kelemahan mereka. Berdasarkan inilah harakah itu memilih dan memberi tugas kepada seseorang anggotanya itu mengikut apa yang sesuai dengan kebolehan, kecenderungan, tabi'e dan kedudukannya.

Jika proses pemilihan tidak dibuat secara berhati-hati maka kecacatan pasti akan berlaku. Kecacatan ini boleh mengarah kepada bahaya yang akan menimpa ke atas barisan pimpinan dan orang yang dilantik itu sendiri. Sesungguhnya proses memilih tempat ataupun tugas yang sesuai adalah tatacara yang mesti dihalusi dan diteliti. Ianya tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa ataupun secara mendadak. Harakah mestilah menentukan marhalah (peringkat) yang dilaluinya. Juga menentukan apakah daya dan keupayaan yang diperlukan pada setiap marhalah.

3. Tidak membahagi-bahagikan kerja kepada anggota

Tanpa pembahagian kerja yang betul kepada anggota akan menyebabkan ramai anggota yang lain 'menganggur'. Hubungan antara anggota juga akan semakin longgar dengan masing-masing mempunyai pendapat tersendiri. Akhirnya masing-masing membuat keputusan untuk memilih jalan lain.

4. Tidak mengambil berat hal ahli

Seseorang ahli itu kadang kala menghadapi keadaan yang susah sama seperti orang kebiasaan yang lain. Kesusahan itu boleh jadi berbentuk kewangan, kejiwaan dan keluarga. Jika ada ahli harakah yang membantunya menyelesaikan masalah-masalah itu maka dia akan mempercayai mereka dan juga harakah. Malah semangat kerjanya akan menjadi lebih tinggi.

Buktinya, persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar telah menjadikan kesatuan umat Islam ketika itu semakin kuat dan utuh. Hinggakan mereka berjaya mengalahkan kaum kafir Quraisy dalam masa 2 tahun.

5. Tidak menyelesaikan persoalan dengan segera

Jika harakah dapat menyelesaikan masalah yang timbul dengan mudah dan cepat, maka perjalanan dakwah akan menjadi teratur dan rapi. Tetapi jika harakah lambat memahami persoalan/masalah yang timbul serta lewat menyelesaikannya, maka masalah-masalah itu akan menjadi bertimbun. Penyegeraan dalam menyelesaikan masalah yang akan timbul akan memberi keuntungan kepada harakah. Ia membebaskan harakah daripada menghabiskan masa dan tenaga menyelesaikan masalah dalaman yang pada kebiasaannya mengakibatkan keciciran anggotan dari barisan dakwah.

6. Pertikaian dalaman

Pertikaian akan meracuni suasana dan merosakkan hubungan antara anggota. Pertengkaran dan pertikaian mulut akan berlaku dan seterusnya memberhentikan kerja dan tugas. Punca berlakunya pertikaian ialah:

  • Kelemahan pimpinan menguasai barisan dan tidak dapat membuat keputusan.
  • Campur tangan daripada kuasa luar yang ingin menimbulkan fitnah.
  • Perlumbaan untuk mendapatkan jawatan.
  • Enggan berilitizam dengan dasar harakah. Tidak mahu mengikut keputusan yang dibuat oleh pimpinan, malah mahu menonjolkan diri.
  • Tiadanya kerja atau program.

Pertikaian dalaman juga pernah berlaku pada zaman Rasulullah. Seorang yahudi telah lalu di hadapan kumpulan 'Aus dan Khazraj. Dia berasa sakit hati dengan kemesraan antara kedua kaum tersebut. Yahudi tersebut telah menghantar seorang lelaki kepada dua kumpulan tersebut untuk mengingatkan mereka kembali tentang perang 'buath' yang pernah berlaku antara dua kaum tersebut. Tidak lama kemudian, kedua-dua kaum ini mula membenci sesama mereka. Mereka mula menggunakan panggilan lama jahiliah dan ingin berperang. Berita tersebut sampai kepada pengetahuan Rasulullah dan baginda maklum siapa yang melakukannya. Dengan segera baginda keluar mendapatkan mereka dan menyeru,

"Wahai orang Islam...Allah...Allah...Apakah kamu semua menggunakan seruan jahiliah sedang aku masih berada di kalangan kamu? Adakah kamu masih menggunakan seruan itu sedang kamu telah diberi petunjuk oleh Allah untuk menganut Islam, memuliakan kamu dengan Islam, memutuskan kamu dari angkara jahiliyyah, membebaskan kamu daripada kekufuran dan menyatukan hati-hati kamu".

Kata-kata Rasulullah telah memberi kesan kepada kedua-dua belah pihak. Mereka sedar mereka telah difitnah oleh Yahudi tersebut. Lantas mereka pun menangis dan berdakap-dakapan serta kembali berbaik dan bersatu. Daripada peristiwa ini turunlah ayat 100 hingga 105; Surah Ali Imran.

7. Pimpinan yang tidak berkelayakan

Kelemahan pimpinan berpunca daripada hal-hal yang berikut:

  • Kurangnya kemampuan berfikir. Ada kalanya kepimpinan hanya berupaya di sudut pemikiran sahaja tetapi lemah dalam sudut-sudut lain.
  • Tiada kebolehan dalam mentadbir.

Sifat-sifat yang perlu ada dalam diri pemimpin:

  • Mengenali dakwah - hadam hala tuju dakwah
  • Mengenali diri - tahu kekuatan dan kelemahan diri
  • Mengambil berat tentang ahli
  • Mempunyai teladan yang baik

"Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut (nama) Allah." (Surah Al Ahzab:21)

  • Mempunyai pandangan yang mantap
  • Keazaman yang kuat
  • Daya tarikan semulajadi
  • Keyakinan diri yang tinggi serta tidak mudah putus asa

bersambung...Sebab-sebab yang berkaitan dengan anggota individu

p/s: isi kandungan entry ini dipetik dari buku tulisan Fathi Yakan bertajuk Al Mutasaqitun 'ala Thoriqud Da'wah - kaifa wa li maza? (Golongan yang Tercicir di Sepanjang Jalan Dakwah - Bagaimana dan Mengapa?)


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)