Wednesday, May 19, 2010

Rabi'ah bin Ka'ab

Rabi'ah bin Ka'ab merupakan pembantu Rasulullah yang setia. Beliau sentiasa bersama Rasulullah SAW umpama bayang-bayang baginda. Setiap kali anak mata baginda melihat ke arah beliau, beliau akan segera berdiri di hadapan Rasulullah SAW. Beliau hanya pulang apabila siang berlalu dan selepas solat isyak. Terlintas di fikiran beliau siapakah yang akan membantu Rasulullah tika baginda memerlukan pertolongan pada tengah malam. Lalu Rabi'ah duduk di hadapan pintu rumah Rasulullah sehinggalah beliau merasa letih dan meninggalkannya ataupun matanya berasa mengantuk lalu tertidur.

Rabi'ah bin Ka'ab adalah seorang pemuda yang miskin. Beliau tidak mempunyai kaum keluarga, harta mahupun tempat tinggal. Beliau tinggal di Shuffah (satu sudut di masjid Nabi S.A.W. Orang-orang miskin yang tidak mempunyai rumah akan berlindung di situ. Lantaran itu mereka digelar Ahlu As Shuffah) bersama orang-orang miskin yang lain. Orang ramai mengenali mereka dengan gelaran 'Tetamu-tetamu Islam'.

Setelah Rabi'ah berkahwin, Rasulullah SAW telah bermurah hati menghadiahkan beliau sebidang tanah bersebelahan dengan tanah Abu Bakar As Siddiq. Suatu hari, Rabi'ah dan Abu Bakar berbalah mengenai sepohon tamar. Masing-masing mendakwa pohon tamar tersebut berada di dalam kawasan tanah mereka. Perbalahan berleretan sehingga terpacul perkataan yang tidak enak daripada mulut Abu Bakar. Apabila Abu Bakar perasan dengan ungkapannya itu, beliau menyesal dan meminta Rabi'ah mengungkapkan perkataan yang sama kepadanya sebagai qisas. Rabi'ah enggan membalas perkataan tersebut dan Abu Bakar berasa tidak puas hati. Lantas Abu Bakar mengajak Rabi'ah berjumpa Rasulullah SAW untuk mengadu keengganan Rabi'ah membalas perbuatan Abu Bakar.

Dalam perjalanan bertemu Rasulullah SAW, kaum Rabi'ah iaitu Bani Aslam turut mengekorinya dan mengharapkan Rasulullah menghukum Abu Bakar. Lantas Rabi'ah berkata,

"Kamu semua pulanglah sebelum beliau berpaling ke belakang dan ternampak kamu semua. Saya bimbang beliau akan menyangka kamu semua datang untuk membela saya dan ini akan menyebabkannya marah. Apabila beliau bertemu Rasulullah dalam keadaan marah, Nabi turut akan berasa marah. Allah juga akan murka lantaran kemarahan mereka berdua. Maka binasalah Rabi'ah".

Mereka pun berlalu pulang. Setelah Abu Bakar bertemu Rasulullah SAW, beliau menceritakan insiden tersebut. Baginda mengangkat wajahnya kepada beliau dan bertanya apakah yang berlaku antaranya dan As Siddiq. Rabi'ah menjawab,

"Wahai Rasulullah, beliau meminta saya menuturkan ucapan yang sama beliau tuturkan kepada saya. Namun saya enggan".

Lalu Rasulullah SAW bersabda,

"Benar, jangan kamu katakan kepadanya perkataan yang telah diucapkannya kepadamu. Tetapi katakanlah: Mudah-mudahan Allah mengampuni Abu Bakar".

Rabi'ah pun mengungkapkan perkataan tersebut dan Abu Bakar berlalu pergi berlinangan air mata. Beliau berkata:

"Mudah-mudahan Allah mengganjari kebaikan untukmu wahai Rabi'ah bin Ka'ab...Mudah-mudahan Allah mengganjari kebaikan untukmu wahai Rabi'ah bin Ka'ab..."

Alangkah indahnya jika ummah kini berakhlak dengan akhlak yang sedemikian. Pastinya tiada peperangan sesama kita seperti yang pernah berlaku antara Iraq dan Iran serta antara Khilafah Uthmaniah dan keturunan Raja Sa'ud. Inilah akhlak yang diajarkan oleh Rasulullah dan apakah ada ajaran yang lebih baik daripada ini. Bak kata seorang salaf,

"Sesiapa yang ingin mencontohi seseorang, maka ambillah contoh daripada mereka yang telah mati. Kerana orang yang hidup masih belum terjamin kesudahan hidupnya".

p/s: Kisah Rabi'ah bin Ka'ab tadi dipetik daripada buku bertajuk Surun min Hayatis Sahabah (Gambaran Kehidupan Sahabat) karangan Dr. Abdul Rahman Ra'fat al Basha

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment