Madrasah Madinah membawa maksud kalangan mujtahid dan mufti yang menitik beratkan usaha memelihara hadis di samping meriwayatnya. Mereka menggunakan nas-nas zahir untuk menetapkan hukum, sekaligus cuba mengelak daripada menggunakan Qiyas dan Istihsan selagi terdapat hadis dan athar, biarpun ianya bersifat khabar ahad (perawi tunggal).
Madrasah Ar Ra'yi adalah mereka yang banyak menggunakan pendapat, Qiyas, Istihsan juga mengambil kira sudut kemaslahatan dalam menjelaskan hukum syariat ketika mana tidak ada nas jelas mengenainya di dalam Al Quran dan hadis.
Kalangan imam tersebut mempunyai beberapa kaedah istinbat, fatwa, cara pengambilannya serta perbezaan penggunaan sebahagian daripada prinsip umum syariat. Antara faktor utama lahir perselisihan sudut kaedah serta usul dan furu' dalam istinbat hukum di kalangan imam-imam mazhab ialah:
1. Perbezaan penelitian sumber
a) Penerimaan khabar ahad
Imam Abu Hanifah, para sahabatnya serta majoriti kalangan para mujtahid di Iraq menyamakan sudut hukum dan kehujahan hadis masyhur dengan hadis mutawatir. Selain itu juga, mereka akan mengutamakan hadis-hadis diriwayatkan oleh para ahli fiqh yang thiqah atau dipercayai semata-mata.
Imam Malik, para sahabatnya serta majoriti kalangan para mujtahid Madinah pula menerima sebagai hujah hukum segala fatwa, pendapat serta amalan penduduk Madinah dengan mengenepikan mana-mana khabar Ahad yang bercanggah dengannya.
Majoriti ahli hadis serta Imam Syafi'e khususnya, bertindak mengguna pakai atau berhujjah dengan mana-mana hadis yang diriwayatkan oleh perawi-perawi yang adil atau thiqah. Iaitu tanpa mengambil, tanpa mengira dan tanpa membezakan sama ada mereka itu kalangan ahli Fiqh atau tidak serta sama ada sesebuah hadis tersebut selaras dengan amalan penduduk Madinah atau tidak.
Kalangan mujtahid serta Imam Ahmad bin Hambal telah membuat klasifikasi khabar Ahad itu secara umumnya terbahagi kepada: Sahih, hasan juga dhaif. Seterusnya mereka tetap menerima segala hadis mursal dan hadis dhaif sebagai hujjah, dengan syarat perawinya tidak terkenal dengan pendusta, fasik serta tidak ada apa-apa percanggahan dengan perawi adil lain.
b) Penerimaan fatwa sahabat
Imam Abu Hanifah serta para sahabatnya mengambil serta berpegang kepada fatwa-fatwa para sahabat tanpa sebarang ikatan. Erti kata lain, mereka tidak terikat dengan mana-mana sahabat tertentu sekali gus menerima semua fatwa mereka.
Imam Syafie dan para pengikutnya membuat tanggapan bahawa fatwa para sahabat itu merupakan suatu fatwa yang bersifat ijtihadiah. Di mana semua mereka tidak terlepas daripada melakukan kesalahan juga dosa atau tidak bersifat ma'sum sebagaimana Rasulullah SAW. Justeru, mereka berpendapat bahawa fatwa para sahabat boleh diambil sebagai hujjah juga boleh ditinggalkan.
c) Penerimaan Qiyas
Kalangan puak Syiah dan mazhab Az Zahiri tidak menerima Qiyas sebagai hujjah dan sumber hukum. Walau bagaimanapun, jumhur imam mazhab sepakat menerima Qiyas sebagai salah satu sumber hukum yang disepakati.
2. Perbezaan penerapan hukum
Ulama Madrasah Hadis lebih cenderung ke arah usaha untuk memahami segala hadis serta athar dan fatwa para sahabat. Mereka akan menerapkannya di dalam ijtihad mengenai masalah-masalah yang baru berlaku, tanpa membahaskan sebab-sebab hukum serta sudut-sudut prinsipnya.
Ulama Madrasah Ar Ra'yi banyak berpegang dengan pendapat atau ar ra'yi, memahami dan memperhatikan maksud syarak serta asas-asas yang menjadi landasan pensyariatan hukum. Seterusnya mereka berpendirian bahawa matlamat pensyariatan hukum untuk mencapai kemaslahatan seluruh umat manusia. Oleh sebab itu, segala hukum berdasarkan atau yang disandarkan kepada prinsip-prinsip yang sama serta mempunyai matlamat yang sama. Justeru, semua itu hendaklah sentiasa selari serta tidak ada sebarang pertentangan di antara nas-nas serta hukumnya. Untuk itu, atas dasar tersebutlah mereka memahami nas, menyokong sesetengah nas terhadap sesetengah yang lain serta menetapkan hukum terhadap masalah yang tiada nas mengenainya.
3. Perbezaan penilaian prinsip bahasa
Sumber-sumber hukum syarak yang asasi iaitu Al Quran dan hadis dibawa dalam lafaz yang berbagai. Untuk mengeluarkan hukum mestilah memahami dengan mendalam setiap lafaznya seperti; Am, Khas dan Musytarak. Perbezaan tersebut antara lain dapat dijelaskan sebagaimana berikut, iaitu:
- Menurut sesetengah ulama sesuatu nas itu thabit atau menetapkan hukum sudut mantuq dan seterusnya pula ia menetapkan hukum yang berbeza sudut mafhum mukhalafah. Walau bagaimanapun, menurut penilaian sesetengah ulama lain pula ia tidak berlaku sedemikian.
- Menurut pandangan serta penilaian sesetengah ahli fiqh, sesuatu nas umum dan tidak ada pengkhususan atau yang tidak dikhususkan, ia dikira mencakupi keseluruhan kesatuannya secara qat'i atau pasti. Namun begitu, menurut penelitian sesetengah ulama lain pula, ia mencakupi dan merangkumi seluruh kesatuannya secara zanni.
- Menurut pendapat sesetengah ulama, Al Amr atau perintah yang mutlak bertujuan menunjukkan kepada perintah wajib atau mewajibkan. Ia tidak menunjukkan apa-apa makna lain, kecualilah apabila terdapat qarinah. Penelitian sesetengah ulama lain terhadap bentuk Al Amr hanyalah bertujuan menunjukkan kepada tuntutan semata-mata. Sehubungan dengan itu, qarinah yang ada padanyalah yang menunjukkan atau menentukan sama ada kepada perintah wajib atau selainnya.
Sebagai rumusannya, pada dasarnya kaedah penggubalan hukum yang diikuti oleh ulama dan para mujtahid pada zaman tadwin dengan berdasarkan ikutan dan pegangan kepada nas-nas, mentakwilkannya, menghormati juga meraikan fatwa para sahabat serta mengamalkan qiyas. Di samping itu juga, kadangkala mereka menentukan 'illah hukum serta prinsip-prinsip syariat yang umum.
p/s: Sumber tulisan ialah daripada buku bertajuk Perbahasan Sejarah Perundangan Islam dan Mazhab Fiqh karangan Ustaz Abdul Latif Muda.
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment