Friday, January 29, 2010

Sekolah Berprestasi Tinggi



Manusia memuja kereta mewah sedangkan ianya berasal dari besi di bawah tanah

Rasa gembira dan bangga menyelubungi diri tatkala nama sekolah saya, Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang tersenarai antara 20 sekolah berprestasi tinggi (SBT). Pengumuman senarai nama sekolah SBT oleh Timbalan Perdana Menteri adalah yang dinanti-nanti setelah hebahannya telah dibuat beberapa minggu lebih awal daripada itu. Pada hari tersebut sayalah antara mereka yang awal mencapai surat khabar di pejabat untuk melihat senarai pendek SBT.

Dalam keghairahan meraikan kejayaan sekolah, beberapa isu berkenaan SBT berligar-ligar di kepala saya. Berikut saya sertakan kenyataan yang telah dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri sejurus selepas pengumuman tersebut.

"Status itu akan diberi kepada sekolah terbaik yang mempunyai identiti unik yang membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan. Sekolah-sekolah ini akan mempunyai budaya kerja yang kuat dan cemerlang dan melahirkan modal insan yang dinamik untuk pembangunan negara" .

Satu kata-kata yang terlalu umum bagi saya sebenarnya. Apakah yang dimaksudkan dengan sekolah yang mempunyai identiti unik? Apakah ciri-ciri identiti unik yang boleh membantu pelajar mencapai kecemerlangan?

Soalan saya, bagaimana Kementerian Pelajaran membuat penilaian kepada sekolah-sekolah di seluruh negara dalam menentukan status SBT? Berapakah markah yang diperolehi oleh sekolah-sekolah SBT ini di dalam penilaian Kementerian Pelajaran? Apakah ciri-ciri utama yang dinilai oleh Kementerian Pelajaran? Adakah Kementerian Pelajaran meletakkan penanda aras dalam menentukan sekolah-sekolah yang layak diberi status SBT? Contohnya meletakkan penanda aras 90% daripada calon PMR sekolah berjaya mendapat pangkat A dalam semua subjek. Kesemuanya masih kurang jelas dan samar-samar.

Jika penanda aras yang diletakkan oleh Kementerian Pelajaran adalah berdasarkan pencapaian akademik, saya percaya ada beberapa buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) layak diberi status SBT. Adakah kerana MRSM bukan berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pelajaran menyebabkan mereka hilang hak untuk mendapat status SBT? Bagaimana pula dengan sekolah-sekolah swasta dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina? Ketika saya mengambil keputusan SPM di sekolah pada tahun 1999, hanya seorang sahaja pelajar KISAS sahaja yang mendapat 10A1 sedangkan sebuah sekolah cina di belakang asrama perempuan KISAS berjaya melahirkan 5 atau 6 orang pelajar yang mendapat straight A's. Mengapa Kementerian Pelajaran tidak berlaku telus dalam hal ini?

Sikap kurang senang Kementerian Pelajaran terhadap sekolah-sekolah swasta juga bukan perkara yang baru. Ramai pelajar-pelajar sekolah swasta yang dinafikan hak untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah-sekolah berasrama penuh kendalian Kementerian Pelajaran. Pada tahun 2006, pelajar-pelajar daripada Sekolah Rendah Islam (yang berstatus swasta) yang berjaya mendapat 5A dalam UPSR tidak diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh di seluruh negara. Mereka hanya boleh mendaftar di sekolah-sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama kendalian Majlis Agama Islam Negeri sahaja.

Bagi saya ini merupakan satu kerugian kepada Kementerian Pelajaran. Pelajar-pelajar daripada sekolah agama swasta yang berjaya mendapat straight A's adalah pelajar yang bijak dan cerdas mindanya. Hal ini adalah kerana mereka tidak dibekalkan dengan guru-guru yang berpengalaman dan berpendidikan tinggi. Malah, ada antara sekolah-sekolah tersebut yang tidak mempunyai infrastruktur yang cukup untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Tambahan pula, mereka diasuh dalam suasana yang baik dan penuh keIslaman. Pelajar yang mempunyai akhlak terpuji merupakan aset yang sungguh berharga buat mana-mana sekolah. Ini kerana mereka mampu membezakan antara yang baik dan buruk. Sekaligus membantu mereka daripada terjerumus kepada perkara-perkara yang negatif. Ketika saya belajar di US, ramai pelajar-pelajar Malaysia yang bijak pandai terpaksa pulang ke tanah air kerana gagal mendisiplinkan diri mereka. Akibatnya mereka gagal mencapai tahap minima yang diwajibkan oleh universiti dan terpaksa diberhentikan pengajian mereka. Hal ini berlaku bukan kerana mereka tidak cerdik dalam pelajaran, tetapi tidak cerdik dalam menilai kebaikan dan keburukan.

Salah satu perkara unik yang terdapat di sekolah-sekolah agama berstatus swasta ialah hafazan Al Quran yang diserapkan sebagai salah satu subjek wajib. Hafazan Al Quran amat membantu perkembangan otak kanak-kanak kerana ianya menggalakkan otak bekerja dengan aktif. Seterusnya lebih banyak sel-sel otak diterokai dan ini membantu mempercepatkan proses pemikiran kanak-kanak.

Alangkah malapnya masa depan negara apabila agama Islam dibelakangkan. Kita akan terus hanyut dengan definisi 'kejayaan' yang kita reka sendiri tanpa menyedari 'kejayaan' tersebut bukan kejayaan yang hakiki. Ia hanya sebahagian daripada kejayaan dalam konteks yang sebenar. Kejayaan yang sebenar lebih daripada sekadar pencapaian akademik dan ko-kurikulum yang cemerlang. Adakah anda sudah mencapai kejayaan?


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment