(Komentar ibu Syeikh Muhammad Farghali setelah beberapa kaum wanita datang untuk menghiburkannya setelah mendapat tahu tentang kesyahidan Syeikh Farghali)
Syeikh Muhammad Farghali merupakan salah seorang ahli Ikhwanul Muslimin yang sangat aktif dalam bidang ketenteraan. Beliau sering bersama-sama Dr. Abdul Aziz Kamil, Syeikh Muhammad Abdul Hamid, Muhammad Al Ghazali, dan Sayyid Sabiq dalam ekspedisi penjelajahan dan perkhemahan jamaah sejak tahun 1940an lagi.
As Syahid sangat bencikan Inggeris dan Yahudi. Penjajah Inggeris dan Yahudi amat gentar apabila nama Syeikh Muhammad Farghali disebut di depan mereka. Pihak Inggeris pernah menawarkan hadiah yang lumayan bagi sesiapa yang berjaya menangkap beliau sama ada hidup ataupun mati. Beliau pernah melibatkan diri dalam jihad menentang Inggeris di Terusan Suez dan di Palestin pada tahun 1948 bersama batalion jihad Ikhwanul Muslimin.
Syeikh Farghali tidak mempunyai hubungan yang baik bersama Presiden Jamal Abdul Nasser. Ini kerana beliau tidak takut untuk menegur kezaliman dan kediktatoran pemerintah Mesir pada masa tersebut. Dalam satu pertemuan bersama Jamal Abdul Nasser yang ketika itu menjadi menteri di bawah kepimpinan Presiden Muhammad Najib, Jamal Abdul Nasser telah memperlekehkan Hassan Hudhaibi yang ketika itu merupakan Mursyid Ikhwanul Muslimin. Pada masa yang sama, beliau telah memuji Syeikh Farghali atas keberanian beliau di medan jihad di Palestin dan Terusan Suez. Perbuatan Jamal Abdul Nasser seolah-olah mahu melaga-lagakan perpaduan ahli-ahli Ikhwanul Muslimin. Syeikh Farghali terus menegur Jamal Abdul Nasser dengan kata-kata yang sangat keras,
"Al Hudaibi adalah pemimpin dan panglima jamaah kami. Saya menganggap perkataan kamu tadi telah menghina kesemua ahli jamaah dan keperibadiannya secara khusus. Jika ini cara kamu, maka kamu tidak akan mendapat apa-apa."
Jamal Abdul Nasser terus terdiam dan mengubah topik perbincangannya bersama Syeikh Farghali.
Oleh kerana sikap beraninya, As Syahid Hassan Al Banna telah mengamanahkan beliau memimpin batalion jihad ke Palestin pada tahun 1948. Terdahulu, Perdana Menteri An Naqrasyi telah memberi amaran menangkap sesiapa yang melepasi perbatasan untuk berjihad di Palestin. Syeikh Farghali sedikit pun tidak mengendahkan amaran tersebut.
Antara kisah yang terkemuka ketika beliau berada di Palestin ialah peristiwa di mana beliau berjaya menewaskan tentera Zionis dengan hanya kekuatan sembilan orang mujahidin sahaja. Ketika itu beliau dan 8 orang mujahidin menjejak tentera Zionis sehingga mereka tiba di satu wilayah yang lain. Ketika mereka tiba, waktu fajar baru sahaja berlabuh dan Syeikh Farghali terus mendaki bukit untuk melaungkan azan Subuh. Setelah mendengar azan Subuh, tentera Yahudi menyangka mereka telah dikepung oleh tentera muslimin dan mereka lari tanpa menoleh ke belakang. Syeikh Farghali juga berjaya menawan saki baki tentera Yahudi yang menyerah kalah.
Dalam Perang Terusan Suez pula, Syeikh Muhammad Farghali telah membantu tentera Mesir menewaskan tentera Inggeris. Setelah Kolonel Musthafa An Nuhas menarik kekuatan tenteranya pada tahun 1936, Syeikh Farghali telah memimpin batalion Ikhwanul Muslimin menyerang Inggeris di Terus Suez. Seorang kolonel Inggeris bernama Wanston Tasrsel merasa tergugat dengan kekuatan batalion Ikhwanul Muslimin sehingga hal ini sampai ke pengetahuan pemerintah di London. Beliau berjaya menghambat tentera Inggeris di At Tall Al Kabir, Port Said, Suez dan Ismailiyyah. Tentera Inggeris merasa sangat terpukul dengan kekalahan tersebut sehinggakan mereka menawarkan hadiah yang lumayan bagi sesiapa yang berjaya memberkas Syeikh Farghali sama ada beliau hidup atau mati.
Pada saat Inggeris menyerang Port Said, Jeneral Arsekan telah pergi menemui Muhammad Riyadh, Gabenor Port Said untuk menyampaikan amaran British. Tidak lama kemudian, masuk Syeikh Farghali dan penterjemahnya. Syeikh Farghali telah berkata kepada Jeneral Arsekan,
"Tarik semula amaranmu sekarang juga. Jika tidak, maka para pemuda Ikhwanul Muslimin yang bersenjata akan menghancurkan tentera-tenteramu."
Jeneral Arsekan merasa takut dengan ketegasan Syeikh Farghali sehingga beliau mengangkat topinya sebagai rasa hormat kepadanya dan menarik semula amaran tersebut.
Sepanjang berintima' bersama Ikhwanul Muslimin, Syeikh Farghali pernah dilantik sebagai ketua di wilayah Ismailiyyah dan dibantu oleh As Syahid Yusuf Thal'at. Syeikh Farghali telah dijatuhkan hukuman gantung di depan Jamal Abdul Nasser pada jam 6 pagi bersamaan 7 Disember 1954. Beliau telah dibawa ke tali gantung dengan berkaki ayam dan berpakaian pesalah hukuman mati yang berwarna merah. Perlaksanaan hukuman mati itu dimulai dengan Mahmud Abdul Lathif, Yusuf Thal'at, Handawi Dawir, Ibrahim Thayib, Muhammad Farghali dan Abdul Qadir Audah. Sebelum menemui kesyahidan, Syeikh Farghali sempat menyebut,
"Saya bersedia untuk mati dan selamat datang untuk bertemu Allah"
Ketika perbicaraan Syeikh Farghali di depan Hakim Jamal Salim, pendakwaraya gagal menemui sebarang bukti tuduhan menggulingkan kerajaan ke atas beliau. Sebaliknya, pendakwaraya hanya dapat mendakwa beliau menyuruh pemuda-pemuda Ikhwanul Muslimin menghafal Al-Quran, khususnya Surah Ali Imran.
Berita daripada akhbar Perancis, Baromats yang diterbitkan pada 8 Disember 1954 mengisahkan bahawa bendera hitam telah dikibarkan di atas Penjara Kaherah pada hari hukuman mati dijatuhkan. Semua dunia Arab dan Islam berasa sangat marah sehinggakan di Syria diumumkan bahawa tahun tersebut adalah tahun kesedihan. Dalam satu wawancara di stesen radio Damsyik, Ustaz Ali at Thantawi telah berkata,
"Menurut saya, tahun ini tidak saya namakan dengan tahun kesedihan melainkan tahun kegembiraan dan kebahagiaan. Ini kerana mereka tidak kembali dalam kesedihan tetapi dengan pesta kebahagiaan. Iaitu pesta syuhada bersama bidadari-bidadari. Sehingga jika saya bertemu dengan Ikhwanul Muslimin bukannya bertemu untuk bertakziah, tetapi untuk mengucapkan selamat. Bukankah seorang muslim selalu mengharapkan mati syahid? Dan bukankah dia selalu memohon kepada Allah agar mati dengan husnul khatimah? Saya benar-benar berharap agar kematianku ada di tangan seorang yang jahat dan zalim, sehingga saya mati syahid menuju syurga dan pembunuhku mati menuju neraka. Sehingga dengannya saya bahagia dan dengannya dia mati sengsara."
Begitulah kisah ringkas kehidupan Syeikh Farghali yang dihukum bunuh oleh Presiden Jamal Abdul Nasser atas tuduhan cubaan menggulingkan kerajaan ataupun dipanggil peristiwa Al Munsyiyah. Ketika itu umur beliau baru mencecah 45 tahun. Ketika ibunya menerima berita tersebut, ibunya terus bangun mengambil wudhu dan menunaikan solat dua rakaat.
Hati yang tidak gentar melawan musuh Allah pastinya hati yang 'kering' terhadap kematian. Bagi mereka, kematian adalah suatu yang pasti dan tidak boleh dielakkan. Oleh itu, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh menjadikan kematian mereka itu kematian yang mulia di sisi Rabb dan manusia. Bagi mereka, mati di atas katil tidak ubah seperti matinya seekor unta yang sudah tua. Kematian mereka akan menginsafkan kita tentang perjuangan dan pengorbanan yang mereka lakukan. Malah kematian mereka akan melahirkan generasi baru yang terkesan dengan apa yang mereka sumbangkan. Inilah hasil keikhlasan berada di jalan dakwah. Oleh itu teman, mengapa harus kita sia-siakan kehidupan dengan mempersembahkan kematian yang hina kepada Ilah kita?
kisah ini dipetik daripada buku bertajuk 'Wa 'araftu al Ikhwan' (Ikhwanul Muslimin yang Saya Kenali) yang dikarang oleh Dr. Mahmud Jami'
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment