Wednesday, January 13, 2010

Yassiru wa la tu'assiru

"Kenapa paper aku kena reject??????"


Tajuk di atas adalah hadis Nabi yang bermaksud "Permudahkanlah, Jangan disukarkan". Apa yang saya lalui pagi tadi amat berkait dengan hadis yang disebutkan tadi. Sebentar tadi saya telah membentangkan satu kertas kerja untuk kelulusan pembayaran ujian-ujian makmal kepada TNB Research di depan ahli-ahli jawatankuasa tender jabatan. Rata-ratanya adalah Pengurus Besar di beberapa buah jabatan di bahagian penghantaran TNB.

Saya memang telah menjangkakan kertas kerja saya akan ditolak dan perlu dibentangkan semula pada sidang yang akan datang. Bukan kerana kertas kerja saya tidak berkualiti, tetapi kerana kerenah ahli-ahli jawatankuasa tersebut yang sukar dibaca corak pemikiran mereka. Kertas kerja saya telah melalui dua tapisan sebelum ianya dibentangkan. Permulaannya jurutera kanan saya akan memeriksa dan meminda kertas kerja saya jika perlu. Seterusnya jika jurutera kanan tersebut bersetuju dengan kandungan kertas kerja saya, ketua jurutera pula yang akan memeriksa kertas kerja saya. Apa lagi yang tidak kena agaknya?

Hampir kesemua kertas kerja yang dibentangkan pada hari tersebut ditolak oleh ahli-ahli jawatankuasa. Saya tidak berasa hairan jika kertas kerja yang dibentangkan oleh jurutera cabuk seperti saya ditolak, tetapi kertas kerja yang dibentangkan oleh 'orang besar' seperti ketua unit juga turut ditolak. Kadang kala sebab mengapa kertas kerja tersebut ditolak sangat remeh dan merimaskan. Contohnya, kertas kerja saya tadi ditolak kerana beberapa maklumat berkenaan pembayaran tersebut saya letakkan sebagai lampiran dan bukannya diletakkan sebagai sebahagian isi kandungan memo.

Bagi saya, asalkan kita faham isi kandungan yang disampaikan sudah memadai untuk meluluskan sebarang usul ataupun cadangan. Mengapa perlu merumitkan keadaan hingga banyak masa dan tenaga yang terbazir begitu sahaja. Proses penyediaan semula memo ataupun kertas kerja mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu. Banyak kerja-kerja pejabat yang boleh diselesaikan dalam masa seminggu dibandingkan dengan menyediakan memo ataupun kertas kerja. Malah, kerja-kerja dakwah saya juga sedikit sebanyak terencat perjalanannya kerana terpaksa mengorbankan masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan kertas kerja.

Mungkin kita boleh ambil iktibar daripada Rasulullah bagaimana baginda memudahkan sesuatu urusan. Pernah diriwayatkan seorang sahabat telah mengalami kecederaan di tubuhnya. Satu ketika, beliau telah berhadas besar dan telah meminta pendapat sahabat-sahabat lain sama ada perlu mandi janabah ataupun tidak. Rata-rata sahabat yang beliau temui berpendapat beliau perlu mandi janabah. Selesai mandi janabah, kecederaan sahabat ini semakin memburuk dan akhirnya beliau meninggal dunia. Apabila berita tersebut sampai kepada pengetahuan Rasulullah, baginda berasa sangat murka kerana masalah hadas besar tersebut boleh diselesaikan dengan bertayammum jika terdapat keuzuran yang dibenarkan oleh syarak.

Apa pengajaran yang boleh diambil daripada kisah di atas? Daripada kisah di atas, kita dapati Rasulullah tidak lari daripada fokus perkara yang asal. Perkara yang asal adalah berkaitan dengan hadas besar. Apabila berhadas, maka hendaklah kita bersuci...bukannya mandi janabah. Cara untuk bersuci ialah mandi janabah. Jika terdapat keuzuran seperti ketiadaan air, kita dibenarkan bersuci dengan bertayammum.

Kembali merujuk kepada kertas kerja saya tadi, fokus asal ialah pembayaran ujian-ujian makmal kepada TNB Research. Sebelum pembayaran dibuat, hendaklah dipastikan sama ada butir-butir yang diberikan mencukupi dan tidak mengandungi sebarang kesalahanan. Kemudian barulah pembayaran dibuat. Bukannya meneliti sama ada butiran sesuai diletakkan di bahagian lampiran ataupun dalam isi kandungan kertas kerja.

Alangkah sedihnya umat zaman kini disibukkan dengan perkara yang remeh temeh. Akibatnya ummah akan mengalami kerugian. Jadi apa kesannya setelah kertas kerja saya ditolak?

1. Melemahkan semangat kerja saya...dan mungkin juga semangat kerja jurutera kanan dan ketua jurutera.

2. Menyusahkan TNB Research kerana terpaksa menanggung kerugian disebabkan tunggakan bayaran.

3. Aset syarikat terbazir. Kos tambahan pada kertas dan elektrik.

4. Otak saya semakin kusut.

Cukup setakat ini dahulu. Nanti semakin kusut pula kepala saya kerana saya sendiri tidak tahu apa lagi yang hendak ditulis. Kalau ku susut takpela juga...hehehe



"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment