"Ada jual masa tak kat sini?""Sabtu, 16 Januari 2010", getus hati kecil. Aku memerhatikan kalendar di telefon PDA ku untuk menyemak semula apa aktivitiku pada hari tersebut. Agak padat juga. 8 hingga 9 pagi aku ada temu janji bersama doktor pakar berkenaan batukku yang sudah 2 bulan masih belum kebah. Moga banyak juga dosa-dosa kecilku yang terhapus. Alhamdulillah pagi Sabtu tersebut batukku semakin reda dan perlahan-lahan ianya menghilang. Jawabnya tak perlulah aku ke hospital pakar untuk berjumpa doktor.
9 hingga 10 pagi pula aku bercadang untuk menghantar kereta isteriku ke kedai cuci kereta. Hampir 3 minggu lamanya makhluk tersebut tidak bercuci. 10 hingga 11 pagi pula aku bercadang untuk mengemas rumah. Oleh sebab aku bekerja di Petaling Jaya, hanya hujung minggu sahaja waktu yang aku ada untuk mengemas rumah. Tengahari pula ke rumah mertua untuk makan tengahari. Menjadi kelaziman aku ke sana pada hujung minggu untuk membiasakan Nu'man dengan datuk dan neneknya. Nu'man amat sukar untuk menerima orang yang dia tidak kenali atau jarang dijumpai. Ketika umurnya 3 bulan, aku telah membawa Nu'man berpindah ke rumah ibu bapaku di Senawang dari rumah mertuaku. Oleh kerana Nu'man hanya berjumpa dengan mertuaku pada hujung minggu, keakrabannya dengan mertuaku amat longgar.
Selepas Zohor pula, biasanya adalah waktu rehatku. Tetapi sejak umur Nu'man menginjak setahun, jarang sekali aku dapat berehat. Nu'man suka berjalan dan bercakap. Binatang kegemaran Nu'man ialah cicak. Setiap kali ternampak cicak, pastinya Nu'man akan meminta aku membawanya ke siling rumah untuk melihat cicak dengan lebih dekat. Bab tu aku tak dapat tolong. Bukan sebab terlalu tinggi, tetapi sebab aku takut cicak...hehehe.
Waktu Asar pula aku bergegas ke Masjid Bandar Baru Senawang untuk mengendalikan usrah remaja. Ketika aku tiba, seorang anak usrahku pun tidak kelihatan. Perlu banyak kerja untuk mendisiplinkan mereka. Mungkin sudah terbiasa dengan budaya Melayu yang banyak memundurkan agama dan bangsa. Selesai solat Asar, hanya seorang sahaja anak usrah yang kelihatan. Terpaksalah aku telefon seorang demi seorang bertanyakan lokasi masing-masing ketika itu. Hanya Mua'dz sahaja yang dapat hadir selain Muhammad yang sudah pun berada di masjid. Mua'dz terlewat kerana tertidur keletihan setelah bergotong royong di sekolahnya.
" Maaf bang. Ana tertidur. Nasib baik abang call. Jap lagi ana sampai dengan basikal"
Dengan basikal? Motor takde ke? Kata Mua'dz ayahnya telah membawa motornya ke Kuala Lumpur. Furqan pula ada masalah kenderaan dan Badri pula berada di Kuala Lumpur. Bila tiada usrah atau program tarbawi untuk anak-anak, mulalah makcik-makcik dan pakcik-pakcik membising. Tetapi bila sudah disediakan, tidak pula dipastikan anak-anak mereka hadir atau memberi komitmen.
Adakah itu menyebabkan aku sedih? Tidak, insiden di atas menyebabkan aku MARAH. Yang menyebabkan aku sedih ialah peristiwa di sebuah surau ketika waktu Maghrib. Selesai usrah aku terus menghantar Muhammad pulang. Kebetulan pula rumahnya dalam satu taman dengan rumahku. Setibanya di rumah, aku terus mengangkat pakaian di ampaian. Kemudian, aku tutup tingkap rumah, mandi dan menyembur Ridsect di semua bilik tidur. Malam semalam teruk Nu'man menjadi mangsa. Di kedua-dua belah pipinya ada 2 titik berbentuk bekas gigitan nyamuk. Bila diselak lengan bajunya, penuh dengan titik-titik merah bekas gigitan nyamuk. Mengamuk ibu bapaku bila melihat cucu sulungnya berbekas merah. Tapi bila Nu'man senyum dengan muka yang penuh gigitan nyamuk, tertawa terus ibu bapaku. Mudah sahaja ku uruskan kerja rumah kerana isteriku dan Nu'man masih berada di rumah mertua. Harapnya sempatlah aku solat berjamaah Maghrib di surau rumah mertuaku.
Sedang dalam perjalanan ke surau, terdetik pula hati ini untuk singgah solat berjamaah di surau yang letaknya bersebelahan dengan taman perumahan mertuaku. Selama ini aku hanya meletak kereta sahaja di depan surau tersebut untuk menjamu sarapan di gerai yang terletak tidak jauh dari situ. Muazzin pun mula melaungkan azan. Aku terus melabuhkan punggung menunggu azan selesai. Baru 4 orang yang hadir termasuk diriku. Selesai azan, aku pun berdiri untuk menunaikan solat sunat rawatib. Aku seorang sahaja yang menunaikan solat sunat. Yang lain, termasuklah muazzin (kebetulan muazzin juga mengimamkan solat maghrib pada waktu itu...mungkin imam surau tersebut berada di luar kawasan.) hanya duduk menunggu aku selesai menunaikan solat sunat.
Selesai solat maghrib, aku menunaikan solat sunat rawatib dan terus ke rumah mertua. Sepanjang perjalanan, otakku ligat memikirkan perihal yang berlaku sebelum solat maghrib tadi. Aneh...mengapa mereka tidak menunaikan solat sunat? Aku bukannya hendak mempertikaikan sikap mereka yang tidak mengambil berat tentang solat sunat rawatib, tetapi sikap mereka yang suka MEMBUANG MASA. Rata-ratanya berbual kosong sementara menunggu muazzin melaungkan iqamah. Mungkin ada seorang dua sahaja yang berzikir. Sudah menjadi kelaziman masyarakat Melayu tidak ramai yang benar-benar menghargai masa. Tidak mustahil jika ada antara kita yang ke surau untuk berjumpa dengan kawan-kawan atau terlalu bosan duduk di rumah. Bukannya hadir ke masjid atau surau kerana untuk mendekatkan diri kepada Allah. Pastinya ke mana sahaja kita pergi dan juga pada bila-bila masa, kita akan menjumpai individu-individu yang berbangsa Melayu membuang masa di sana sini.
Saya sendiri kurang pasti mengapa gejala ini begitu teruk menular di kalangan masyarakat Melayu. Setelah meniliti rutin harian saya, terdapat begitu banyak pembaziran masa yang saya temui. Ketika menaiki LRT dari stesen bas (Stesen Pasar Seni) menuju ke pejabat saya (Stesen Asia Jaya), saya perhatikan ramai antara penumpang berbangsa Melayu yang hanya termenung di dalam LRT. Jika tidak termenung pun, mereka akan memerhatikan bangunan-bangunan dan jalan raya di sepanjang perjalanan menuju ke destinasi masing-masing. Perjalanan dari Pasar Seni ke Asia Jaya mengambil masa selama 15 minit. Biasanya saya berjaya membaca 15 muka surat daripada sesebuah buku atau novel sepanjang perjalanan tersebut. Bayangkan berapa banyak buku yang berjaya saya habiskan sejak 5 tahun lalu sekiranya saya mengamalkannya setiap kali pergi dan pulang dari pejabat? Andaian saya purata muka surat buku-buku yang saya baca ialah sekitar 300 muka surat. Purata hari saya bekerja dalam setahun pula ialah sebanyak 200 hari.
[200 hari x 5 tahun x (15 muka surat (pergi) + 15 muka surat (pulang)) ] /300 muka surat untuk setiap buku
Jawapan = 100 buah buku!!!
Suatu kuantiti yang jauh daripada bilangan sebenar yang berjaya saya habiskan. Malangnya saya tidak membaca pada setiap perjalanan pergi dan pulang dari pejabat. Kadang kala saya tidak membaca kerana tiada mood. Ada masanya juga saya tidak membaca kerana terlalu letih. Ada masanya juga kerana saya ingin melihat pembangunan di sekitar perjalanan ke pejabat. Saya pernah ditegur oleh sepupu kerana tidak menyedari kehadirannya di dalam LRT ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Yang sebenarnya pada ketika itu, saya terlalu asyik membaca sebuah buku yang saya tidak ingat tajuknya.
Keesokannya saya cuba memerhatikan penumpang-penumpang LRT jika ada yang saya kenali. Jika ada yang saya kenal, saya akan tegur dan bertanya khabar. Tiada penumpang yang saya kenal ketika itu. Tetapi mata saya terpaku dari awal perjalanan sehinggalah tiba di stesen yang saya tujui memerhatikan pembangunan yang begitu pesat. Lebih melucukan, saya tidak menyedari langsung ada sebuah menara yang baru siap dibina. Seingat saya, tapak asal menara tersebut adalah bangunan lama yang ketinggiannya hanya beberapa tingkat sahaja.
Berbalik semula kepada topik pembaziran masa yang sedang dibincangkan. Cuba kita perhatikan tabiat kawan-kawan sepejabat ketika keluar bersarapan. Ada antara mereka yang mengambil masa hampir sejam untuk kembali semula ke pejabat. Pukul 10 pagi mereka akan keluar semula untuk minum pagi. Sungguh banyak masa yang terbazir. Kalau rehat tengahari lazimnya mereka akan meninggalkan pejabat jam 12.30 dan kembali semula pada jam 2.30 petang. Dua jam lamanya. Kemudian keluar semula pada jam 4 petang untuk minum petang. Sehari sahaja mereka sudah menghabiskan masa hampir 4 jam di tempat makan.
Saya merasa sedih kerana saya sendiri pernah melalui zaman gelap tersebut. Saya hanya mula belajar menghargai masa apabila mula berjinak-jinak dengan gerakan Islam, iaitu ketika baru tamat pengajian ijazah muda. Ketika itu saya masih lagi menunggu panggilan kerja daripada penaja saya. Hampir 4 bulan lamanya. Aktiviti saya ketika itu hanyalah menghadiri usrah dan membantu ibu saya jika ada kerja-kerja catering. Selainnya, saya akan menonton televisyen dan tidur. Lama-kelamaan saya merasa bosan dengan rutin yang sama. Tidak lama kemudian naqib saya telah mengamanahkan saya membawa satu usrah di Kolej Mara Seremban. Ketika itulah saya mula mengenal erti menghargai masa. Oleh kerana adik-adik yang mengikuti usrah adalah daripada kalangan cerdik pandai, saya terpaksa membuat penyelidikan melalui pembacaan untuk menjawab soalan-soalan 'maut' mereka. Dari situ saya mula merasa seronok membaca kerana ilmu saya semakin bertambah. Malah saya mula merasa 'addict' dengan membaca. Jika sehari saya tidak membaca buku, proses pemikiran saya akan menjadi perlahan.
Bak kata pepatah, kuman di seberang laut boleh dilihat tetapi gajah di depan mata langsung tak nampak. Dalam asyik berfikir tentang masalah ummah yang suka membazir masa, saya terlupa yang ahli keluarga saya sendiri ramai yang suka membuang masa. Ada baiknya saya betulkan mereka dahulu. Semoga Allah beri kekuatan kepada saya untuk menegur mereka. Dan juga semoga Allah beri betapa 'kuat'nya penangan dakwah tersebut. Usah buang masa... Jom BERDAKWAH!!!
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment