Wednesday, February 17, 2010

Kelahiran Nawfal


Nu'man melihat umminya menyiapkan Nawfal
Lebih 38 minggu menunggu, akhirnya muncullah seorang putera yang dinamakan Nawfal bin Muhannad. Kelahiran yang telah dijanjikan Allah ini berlaku pada 6 Februari 2010 sekitar jam 2.56 petang. Alhamdulillah, setakat ini kedua-dua kelahiran anak saya dipermudahkan Allah SWT. Allah telah memberi keizinan kepada saya untuk bersama-sama isteri daripada mula dimasukkan ke dalam labour room hinggalah anak kami dilahirkan. Malah, waktu kelahiran mereka juga bukan berlaku pada waktu-waktu tengah malam. Jika ianya berlaku pada tengah-tengah malam, mungkin isteri saya akan berasa keletihan kerana waktu-waktu tersebut adalah waktu untuk berehat.


Nawfal beberapa minit selepas dilahirkan

Seperti biasa, saya dan isteri akan ke hospital untuk weekly check up pada setiap hari Sabtu memandangkan tarikh kelahiran Nawfal sudah semakin hampir. Selesai check up, doktor menasihatkan isteri saya terus dimasukkan ke labour room. Isteri dan saya memang sudah menjangkakan arahan tersebut. Justeru itu, isteri saya awal-awal lagi sudah membawa beg pakaiannya dan beg pakaian Nawfal. Isteri saya dimasukkan ke labour room pada jam 9.30 pagi. Kira-kira dua jam selepas itu doktor membuat keputusan untuk memecahkan air ketumban isteri saya. Oleh kerana waktu terlalu singkat, isteri saya terpaksa menahan sakit tanpa suntikan epidural. Sementara menunggu saat-saat Nawfal dilahirkan, saya cuba 'mengubat' kesakitan isteri saya dengan membacakan beberapa surah. Antaranya Surah Muhammad, Yusuf dan Luqman.

Wajah isteri saya ketika menunggu kelahiran Nawfal

Sekitar jam 2.40 petang, doktor menyatakan bayi sudah hampir keluar. Isteri saya juga nampaknya sudah bersedia ketika itu lantaran tidak tahan menanggung sakit lagi. Maka dengan izin Allah, lahirlah putera kami yang kedua.

Kelahiran anak memberi seribu ibrah/pengajaran dalam hidup saya. Memerhatikan sendiri betapa peritnya isteri menahan sakit ketika melahirkan zuriat menimbulkan keinsafan kepada saya betapa tingginya maqam ibu dalam kehidupan seseorang. Ketika anak itu membesar pula, betapa banyak wang ringgit yang terpaksa dihabiskan oleh kedua ibu bapa demi membesarkan mereka.

Isteri saya mengidamkan anak perempuan tatkala mendapat tahu yang beliau mengandung 6 minggu. Bagi saya pula, asalkan anak itu cukup sifat fizikal dan mental pun sudah dikira beruntung. Selebihnya adalah tanggungjawab saya dan isteri untuk membentuknya menjadi insan yang soleh dan musleh. Tatkala mendapat tahu isteri saya mengandungkan anak lelaki, saya masih lagi tersenyum. Bagi saya mendapat anak lelaki merupakan antara nikmat yang tidak semua orang dapat kecapi. Rasulullah sendiri anak-anak lelaki baginda kesemuanya dipanggil Allah ketika masih usia yang kecil. Nabi Ibrahim pula terpaksa menunggu lama untuk mendapat zuriat lelakinya (Nabi Ismail). Ada riwayat yang mengatakan selama 99 tahun baginda menunggu. Begitu juga halnya dengan Nabi Zakaria yang dikurniakan Nabi Yahya ketika umur baginda sudah begitu lanjut.

Melihat isteri menahan sakit ketika mengandung dan bersalin, saya berasa hairan mengapa ada segelintir manusia yang begitu kejam membunuh anak kandung yang baru dilahirkan. Setelah bersusah payah mengendong kandungan, kemudian dibunuh atau dibuang begitu sahaja. Apakah mereka tidak merasa sia-sia bersusah payah mengandungkan anak tersebut selama 9 bulan lamanya? Bayangkan jika anda bekerja keras dan mendapat upah yang lumayan. Kemudian anda menyimpan hasil upah tersebut di dalam bank selama 9 bulan. Cukup 9 bulan, anda mengeluarkan wang upah tersebut dan membuangnya ke dalam tong sampah...atau membakarnya. Bukankah itu satu kerugian yang besar?

Mungkin ada yang mengatakan anak yang dilahirkan adalah anak luar nikah. Mungkin si ibu merasa malu untuk menjaga anak tersebut. Jika seseorang itu sudah melakukan dosa besar, maka janganlah dikeruhkan lagi dengan menambah dosa besar tersebut. Biarlah anak tersebut hidup di muka bumi ini. Insya Allah jika dididik dan diasuh dengan acuan Islam, ia akan menjadi insan yang bermanfaat kepada ibu dan ummah. Janganlah kita putus harap daripada rahmat Allah SWT.

Sudah terlebih masa rasanya kita memerhatikan gejala dan fitnah yang melanda ummah ini. Apakah kita akan terus memerhati dan menggeleng kepala sahaja? Sekarang masa untuk bertindak dan beramal wahai sahabat. Ayuh, tinggalkan kerusi empukmu menuju jalan dakwah dan jihad.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment