Monday, February 27, 2012

Takrif Pendakwah

Dakwah merupakan tugas seluruh para utusan Allah. Malah, mereka diutus kepada manusia tiada lain hanyalah kerana tugasan mulia ini. Para utusan ini mengajak kaum mereka supaya beriman kepada Allah dan hanya mengabdikan diri kepadaNya dengan cara yang disyariatkan kepada mereka.

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka). Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut". (An Nahl:36)


Umat Berkongsi Tugas Dakwah

Hakikat sebenar mesej ayat di atas turut ditujukan kepada semua umat Islam kerana pada dasarnya, setiap ayat yang diperintahkan kepada Rasulullah juga mencakupi umat baginda melainkan jika terdapat pengecualian. Ini bermakna Allah telah memberi penghormatan kepada manusia untuk berkongsi memikul tugas ini bersama Rasulullah.

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)". (Ali Imran: 110)

Ayat ini membawa dua maksud:

Pertama: umat ini adalah umat yang mulia.

Kedua: umat ini menikmati kemuliaan ini kerana mereka melaksanakan tugas amar makruf nahi mungkar.

Al Quran turut meletakkan dakwah ini sebagai salah satu ciri orang yang beriman. Berbeza dengan orang munafik yang menghalang jalan Allah dan mengajak manusia supaya menyembah tuhan yang lain.

"Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, sesetengahnya adalah sama dengan sesetengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik." (At Taubah: 67)

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan." (At Taubah: 71)

Menurut Al Qurtubi ketika mentafsir firman Allah ini: "Allah meletakkan amar makruf nahi mungkar sebagai kayu ukur yang membezakan antara orang yang beriman dengan orang munafik. Ayat ini juga menunjukkan bahawa ciri utama orang yang beriman ialah dia melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan perlaksanaan amar makruf nahi mungkar yang paling utama ialah mengajak manusia kepada Islam."



Dakwah tanggungjawab siapa?

Setiap muslim yang baligh dan berakal bertanggungjawab melaksanakan kewajipan ini. Firman Allah:

"Katakanlah (wahai Muhammad): 'Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan basirah (ilmu dan yakin). Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Yusuf: 108)

Mereka yang berdakwah hendaklah melakukannya dengan basirah iaitu ilmu dan yakin. Membelakangkan tugas dakwah menjadi tanda kelemahan atau kecacatan iman seseorang. Seorang muslim perlu difahamkan bahawa tugas ini iaitu mengajak manusia menyembah Allah adalah wajib. Menurut Imam Ibnu Kathir ketika mentafsir ayat ini: "Allah berfirman kepada Rasulnya supaya memberitahu manusia bahawa jalan ini iaitu cara atau sunnah baginda ini, mengajak kepada menyatakan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan tidak menyekutukan Allah, dilakukan dengan berlandaskan ilmu, yakin dan bukti. Malah semua pengikut baginda yang mengajak manusia sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah juga melakukannya berlandaskan ilmu, yakin dan bukti akal serta syarak."

Perlaksanaan dakwah boleh dilakukan secara individu dan secara berjamaah.

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segaa perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Ali Imran: 104)

Menurut Imam Ibnu Kathir ketika mentafsir ayat ini: "Maksud ayat ini ialah perlu wujud suatu kumpulan dalam umat ini yang melaksanakan tugas ini walaupun pada dasarnya tugas ini adalah kewajipan setiap individu dalam umat ini. "


Sememangnya penggabungan para pendakwah dalam satu kumpulan bagi melaksanakan tugas dakwah merupakan suatu tindakan yang amat perlu apabila berhadapan dengan cabaran yang besar. Kerja dakwah memerlukan penggembelingan tenaga yang ramai dan tersusun bagi menyampaikan dakwah dan bagi mengajar mad'u ajaran Islam.


"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan" (Al-Maidah: 2)



Beberapa Salah Faham


Terdapat sesetengah pihak yang mendakwa kewajipan melaksanakan dakwah tidak membabitkan mereka kerena mereka bukan 'orang agama'. Mereka berpendapat dakwah sebagai fadhu kifayah, maka kewajipan ini hanyalah bagi mereka yang bergelar ulama' dan bukannya semua orang. Bagi menjawab salah faham ini, kita petik tafsiran Ibnu Kathir yang telah mengulas ayat 104 daripada Surah Ali Imran.


"Perlu wujud suatu kumpulan dalam umat ini yang melaksanakan tugas ini walaupun pada dasarnya tugas ini adalah kewajipan bagi setiap individu dalam umat ini."


Menurut tafsir Ar Razi pula, "Bagi tafsir ayat 'di antara', terdapat dua pendapat. Pendapat pertama menyatakan perkataan 'di antara' bukan bermaksud sebahagian". Hujjahnya ialah,


"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)" (Ali Imran: 110).


Ayat tersebut jelas menunjukkan Allah telah mewajibkan amar makruf nahi mungkar kepada setiap umat Islam. Pendapat kedua pula menyatakan setiap mukallaf wajib melaksanakan amar makruf nahi mungkar sama ada dengan menggunakan tangan, lidah atau hati. Ini bermakna, perkataan 'di antara' digunakan untuk memberi penjelasan dan bukan membawa maksud sebahagian. Penggunaan kalimah ini berbeza dengan firman Allah:


"Maka jauhilah kekotoran syirik yang di antaranya disebabkan oleh penyembahan berhala." (Al Haj:30)


Ayat tersebut bermaksud penyembahan berhala adalah sebahagian daripada syirik. Masalah ini timbul akibat wujud kekeliruan mengenai istilah 'ulama' dan pemahaman maksud fardhu kifayah. Mengajak manusia ke arah kebaikan memang perlu berlandaskan kepada ilmu. Namun ilmu sebenarnya bukanlah suatu yang tidak boleh dipecah atau diceraikan. Ilmu mempunyai banyak pecahan dan cabang. Orang yang mengetahui tentang perkara pertama tetapi tidak mengetahui perkara kedua bermakna ia berilmu mengenai perkara pertama sahaja tetapi jahil dalam perkara yang kedua. Ini bermakna orang tersebut boleh dikira sebagai ulama' dalam perkara yang diketahuinya sahaja. Ini juga bermakna orang tersebut sudah memenuhi syarat wajib untuk mengajak manusia ke arah yang diketahuinya itu. Tidak timbul perselisihan di kalangan ulama', bahawa orang yang tidak mengetahui mengenai sesuatu tidak boleh mengajak manusia kepada perkara tersebut kerana mempunyai ilmu yang betul mengenai perkara yang ingin disampaikan adalah syarat bagi menyampaikan dakwah. Dalam kata lain, setiap muslim perlu mengajak manusia supaya menyembah Allah hanya berdasarkan kepada apa yang mereka ketahui. Jelas di sini pandangan yang mengatakan bahawa ulama' hanyalah orang yang mempunyai ilmu yang luas atau dikenali sebagai 'orang agama' adalah salah.


Maksud fardhu kifayah ialah jika sesuatu perbuatan telah dilaksanakan oleh sebahagian manusia, maka perbuatan ini tidak lagi wajib dilakukan oleh orang lain walaupun perbuatan ini pada dasarnya diwajibkan kepada semua. Jelas definisi di atas menunjukkan jika kemungkaran BERJAYA DIHAPUSKAN hasil tindakan seseorang ataupun beberapa individu, barulah ianya tidak dipertanggunjawabkan ke atas setiap individu. Dalam erti kata lain, selagi kemungkaran masih wujud, maka hukumnya tetap fardhu ain. Apabila kemungkaran berjaya dihapuskan barulah hukumnya berubah menjadi fardhu kifayah. Seorang muslim sepatutnya mengambil inisiatif untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar tanpa perlu mengharapkan orang lain. Jika ia mengharapkan orang lain melaksanakannya, namun didapati tiada seorang pun yang melakukannya, sudah tentu kesemuanya akan menanggung dosa. Malah, pahala atas keberhasilan usaha dakwah itu hanya akan diperolehi oleh mereka yang melakukannya dan tidak dikongsi bersama dengan mereka yang hanya mengharapkan orang lain menanggung tugas dakwah ini. Jika seseorang itu mengabaikan tanggungjawab berdakwah, ini bermakna beliau telah mengingkari perintah Allah,


"Katakanlah (wahai Muhammad): 'Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala iktikad dan perbuatan syirik). Dan bukanlah aku dari golongan yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Yusuf: 108)


Dalam kata lain, para pengikut Rasulullah hanyalah mereka yang mengajak manusia supaya menyembah Allah. Inilah maksud fardhu kifayah yang sebenarnya. Kewajipan ini ditujukan kepada semua umat Islam supaya mereka semua berusaha melaksanakan kewajipan ini. Sudah tentu ianya terhad kepada mereka yang berkemampuan sahaja yang memikul tanggungjawab ini. Perlu diingat, ayat 104 dari Surah Ali Imran menyarankan supaya berusaha mewujudkan 'umat' ini, iaitu sekumpulan manusia yang melaksanakan dakwah dan mereka perlu mempersiapkan kumpulan ini dengan segala keupayaan yang membolehkan mereka mencapai matlamat yang ditetapkan, iaitu menegakkan dan menyebarkan agama Allah.


Fardhu kifayah hanya akan terlaksana jika orang yang melaksanakannya telah melaksanakannya sepenuhnya. Selagimana fardhu kifayah tidak terlaksana sepenuhnya, selagi itulah ia menjadi kewajipan setiap muslim untuk melaksanakannya mengikut kemampuan masing-masing.


Ada juga sesetengah yang berdiam diri (tidak melaksanakan dakwah) kerana salah memahami firman Allah,


"Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudharat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya)." (Al Maidah: 105)


bersambung...


Tulisan ini diambil daripada buku bertajuk Usul Dakwah karangan Dr. Abdul Karim Zaidan

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Tuesday, February 21, 2012

Belajar dari History Channel

Ahad yang lepas merupakan hujung minggu yang melelahkan saya. Saya telah pulang ke rumah ibu bapa saya di Sepang untuk membantu mengemas rumah memandangkan walimah adik lelaki saya semakin hampir. Ini merupakan pengalaman saya yang pertama mengemas rumah dua tingkat. Petangnya pula saya membawa isteri dan anak-anak meninjau lapangan terbang LCCT yang berhampiran dengan rumah ibu bapa saya. Selesai menghiburkan mereka, saya terus memandu pulang ke Seremban. Selesai solat Isyak, saya menidurkan Nu'man dan saya pun terlelap. Saya sempat mengunci jam supaya loceng berbunyi 12 tengah malam. Tujuannya untuk saya mendengar siaran ulangan Carta IKIM.fm yang saya terlepas siarannya pada pagi hari. Di samping itu, saya juga perlu menggosok pakaian kerja serta menonton perlawanan bola sepak Piala FA antara Liverpool dan Brighton Hove & Albion.

Sementara menunggu perlawanan Piala FA bermula, saya sempat menonton siaran bertema sejarah di History Channel. Sempena 70 tahun penawanan Jepun ke atas Singapura, History Channel telah menayangkan siri dokumentari secara marathon berkaitan dengan Perang Dunia Kedua dan kesannya kepada Malaysia dan Singapura. Dokumentar kali ini benar-benar menarik minat saya. Hingga saya terlepas aksi-aksi menarik bola sepak Piala FA dibuatnya. Tanpa disedari saya telah menghabiskan masa selama hampir 3 jam menonton dokumentari tersebut.

Jepun menyerang Tanah Melayu pada 8 Disember 1941 melalui Pantai Sabak, Kelantan beberapa jam sebelum Pearl Habour diserang oleh Nippon. Jepun menceroboh Tanah Melayu melalui tiga pintu masuk, iaitu pesisiran pantai di Kelantan serta persempedanan Malaysia-Thailand di Kedah dan Perak. Perancangan Jepun yang teliti menyebabkan British terkejut dan tidak bersedia menentang kemaraan Jepun. Walhal tentera Jepun hanya berjumlah 60,000 orang berbanding tentera British seramai 103,000 orang. Kelebihan tentera Jepun ialah mereka menyedari kelemahan British dalam mengekang serangan udara dan darat. Justeru itu, Jepun telah menghantar lebih 600 pesawat perang untuk melawan tentera udara British yang hanya mempunyai kurang 200 pesawat perang. Dengan jumlah pesawat perang yang banyak ini, mereka telah berjaya melumpuhkan tentera laut British yang merupakan nadi ketenteraan British. Jepun juga telah mengambil kesempatan akan kelonggaran sistem kawalan darat British dengan bergerak dari Utara ke Singapura hanya menggunakan basikal. Ketika tentera Jepun sudah menghampiri Singapura, tentera British telah meletupkan jambatan yang melintasi Selat Tebrau. Ini merupakan satu-satunya jalan darat yang menghubungkan Tanah Melayu dan Singapura. British berbuat demikian kerana tentera Jepun hanya boleh menawan Singapura dengan ketenteraan darat memandangkan Jepun tidak membawa tentera laut bersama untuk menawan Tanah Melayu dan Singapura. Namun begitu, Jepun telah bertekad lama untuk menawan Singapura. Jepun telah menyerang lapangan terbang tentera British di Changi melalui pesawat mereka. Namun ini hanyalah mock attack (serangan helah) yang menyebabkan British mula menumpukan pertahanan di Changi. Tentera yang mengawal perairan mula dipindahkan ke Changi kerana British menyangka Jepun ingin melemahkan ketenteraan udara British. Kesempatan ini diambil oleh Jepun dengan mendayung ke perairan pantai barat Singapura dan mula mara ke selatan Singapura. Dalam tempoh beberapa bulan sahaja seluruh Semenanjung Malaysia dan Singapura berjaya ditawan oleh Jepun.

Punca utama Jepun ingin menawan Tanah Melayu ialah kerana sumber bahan mentah yang banyak. Bahan mentah ini penting untuk menyediakan peralatan perang bagi menawan dunia. Singapura pula perlu ditawan Jepun kerana ia merupakan nadi utama British. Di sinilah aktiviti utama ekonomi British berlaku. Kekalahan British di Singapura akan melemahkan semangat moral kepimpinan tertinggi British. Ketika mula tercetusnya Perang Dunia Kedua, berbondong-bondong rakyat British keluar meninggalkan Malaysia dan Singapura melalui jalan laut. Rakyat tempatan dibiarkan bersendirian bersama tentera mempertahankan tanah air. Kesan penjajahan Jepun dirasai oleh semua rakyat terutamanya bangsa Cina. Dilaporkan di Kuala Pilah, seluruh penduduknya telah diarahkan membawa guni untuk diagihkan beras. Mereka diarahkan menuju ke satu kawasan yang sedikit terpencil dari kampung tersebut. Di situ, kesemua penduduk kampung tersebut, seramai 450 orang dan kesemuanya berbangsa Cina dibunuh oleh Jepun. Jepun membunuh mereka sama ada dengan melepaskan tembakan rawak ataupun menikam dengan bayonet. Pembunuhan beramai-ramai ini disebut sebagai Sook Ching. Kisah tragis ini diceritakan oleh satu-satunya penduduk yang terselamat. Ketika itu beliau berumur 7 tahun. Beliau berada dalam dakapan ibunya ketika Jepun menikam mereka berdua dengan bayonet. Beliau juga cedera ditusuk bayonet sehingga tidak sedarkan diri. Jepun menyangka beliau telah mati. Beliau hanya tersedar apabila seorang lelaki tua datang mencari mayat saudaranya di kawasan tersebut. Orang tua tersebut mengejutkannya dan membawanya pergi dari tempat tersebut. Dalam sekelip mata, ayah, ibu dan adiknya mati begitu sahaja dan meninggalkannya sebatang kara. Beliau masih ingat bagaimana ibunya mati dalam keadaan mata terbeliak.

Di sebuah kampung lain, seorang budak lelaki berumur 6 tahun terselamat bersama adiknya yang berumur 4 tahun. Beliau masih ingat bagaimana Jepun merampas adiknya yang berusia setahun daripada ibunya. Adiknya dilambung ke udara dan ditikam dengan bayonet. Beliau melihat sendiri isi perut adiknya terburai. Adiknya ketika masih lagi hidup dan menangis kesakitan, sementara tentera Jepun ketawa kegembiraan. Budak lelaki ini telah ditikam sebanyak dua kali namun Allah telah memanjangkan umurnya. Jepun amat bencikan bangsa Cina kerana sejarah peperangan antara Jepun dan China yang berlangsung selama beberapa tahun. Malah, ada antara bangsa Cina di Semenanjung Malaysia yang memberi bantuan kewangan kepada China untuk menewaskan Jepun.

Mengetahui perseteruan antara bangsa Cina dan Jepun yang begitu ketara, British telah melepaskan kesemua tahanan penjara yang berbangsa Cina. Kebanyakan mereka ini ditahan kerana menganut ideologi komunis. Di sinilah bermulanya perjuangan MPAJA (Malaysian People Anti-Japanese Army). Sementara itu, Jepun mula mengesan penentangan bangsa Cina kepada mereka. Jepun telah melantik sebilangan orang Melayu sebagai Kempetai (Polis Jepun) untuk mengintip dan mengawal pergerakan bangsa Cina. Ini telah menyebabkan pergeseran besar berlaku antara orang Melayu dan Cina. Ini memang sengaja dilakukan oleh Jepun supaya rakyat Malaysia menjadi lemah dan tidak berdaya mengalahkan Jepun. Terdapat satu tragedi yang melibatkan dua bangsa ini berlaku ketika penjajahan Jepun. Lokasinya ialah di Sungai Lui, N.Sembilan. Sungai Lui ketika itu merupakan kawasan yang subur dengan tanaman. Ia menjadi lokasi tentera MPAJA untuk mendapatkan bekalan daripada penduduk setempat. Menyedari hal ini, Jepun telah menempatkan seorang pengawal Melayu di Sungai Lui. Tentera MPAJA telah menculik pengawal tersebut ke dalam hutan. Pengawal ini diseksa dengan teruk sebelum dibunuh dengan tembakan peluru. Apabila Jepun mendapat tahu hal ini, mereka terus menghantar tentera untuk menyiasat tragedi tersebut. Kesemua penduduk Sungai Lui dikumpulkan di kawasan lapang. Mereka diasingkan mengikut bangsa Melayu dan Cina. Tentera Jepun telah bertanya kepada kedua-dua kumpulan ini siapakah yang telah membunuh pengawal mereka. Tiada siapa yang jawab kerana masing-masing berada dalam ketakutan. Kerana terlalu berang, tentera Jepun telah membunuh kesemua bangsa Cina dan membiarkan bangsa Melayu hidup. Kesemua warga Melayu ini kehairanan mengapa mereka dibiarkan hidup. MPAJA menyimpan dendam yang lama dan akhirnya tertunai apabila Jepun menyerah kalah. Kesemua tali barut Jepun yang terdiri daripada bangsa Melayu telah ditangkap dan dibicarakan di Mahkamah Rakyat. Hukuman dijatuhkan berdasarkan pungutan suara majoriti di kalangan yang hadir. Seorang saksi telah melihat bagaimana mudahnya hukuman dijatuhkan. Apabila pertuduhan dibacakan oleh pimpinan MPAJA, pimpinan ini akan bertanya kepada hadirin apakah hukuman yang sepatutnya kepada tertuduh. Mereka beramai-ramai melaungkan 'Bunuh dia...bunuh dia..." Wakil MPAJA tersebut terus mengarahkan tertuduh dibawa keluar dan dibunuh. Jepun benar-benar berjaya mewujudkan jurang yang besar antara kaum.

Pun begitu, bangsa Melayu juga terkesan dengan kekejaman pemerintahan Jepun. Ramai antara mereka telah dihantar ke Thailand untuk bekerja sebagai buruh paksa membina landasan keretapi. Landasan ini dikenali sebagai Landasan Maut dengan jarak lebih 400 kilometer. Menariknya, landasan ini berjaya disiapkan dalam masa kurang dari setahun. Tujuan pembinaan landasan ini adalah untuk menghubungkan landasan sedia ada di Thailand dan Myanmar. Apabila kerja penyambungan landasan ini selesai, mudahlah Jepun ke India untuk meluaskan jajahan. Menurut seorang saksi, beliau bersama 23 orang sahabat kampung telah berkerja di landasan ini kerana terpedaya dengan tawaran Jepun. Ketika landasan tersebut siap, hanya beliau dan 3 orang sahabat kampungnya sahaja yang hidup. Selebihnya mati ketika menjadi buruh paksa. Beliau menceritakan setiap hari hampir 20-30 orang mati kerana kebuluran. Mayat mereka dikambus beramai-ramai tanpa dimandikan. Oleh kerana Jepun berjaya menghampiri India, ramai rakyat India memberi kerjasama kepada Jepun untuk menewaskan British. Ini kerana rakyat India termakan dengan sogokan Jepun yang bertema 'Asia Raya untuk Asia'. Rakyat India sepertimana bangsa Melayu, juga inginkan kemerdekaan daripada penjajahan British. Hasilnya wujud tentera sukarela India yang membantu Jepun mengalahkan British. Panggilan sukarela ini menjangkau jauh sehingga ke Singapura dan Tanah Melayu. Hasilnya terdapat lebih 1000 wanita India di Tanah Melayu dan Singapura menyertai pasukan tentera ini menentang British.

Sementara itu, bangsa Cina berterus diseksa dan didiskriminasi oleh Jepun. Ribuan gadis sunti Cina telah diculik untuk menjadi hamba seks. Mereka terpaksa memotong rambut dan berperawakan seperti remaja lelaki untuk mengelakkan diri daripada diculik oleh tentera Jepun. Jika diculik mereka akan dikurung dan dipaksa melayan tentera Jepun. Satu temuramah mendedahkan mereka terpaksa melayan 20 tentera di waktu pagi, 20 tentera di waktu petang, dan 20 tentera di waktu malam. Bangsa Cina terus hidup dalam kemiskinan. Beras dirampas. Malah ada antara kanak-kanak yang terpaksa menangkap kambing betina untuk menghisap susunya. Bangsa Melayu juga turut merasai kesusahan yang memeritkan. Mereka terpaksa memakai pakaian yang dibuat daripada guni. Jika ada kematian yang berlaku, pasti kubur si jenazah akan dikorek keesokannya. Ini kerana terdapat penduduk yang terpaksa mencuri kain kafan jenazah untuk dibuat pakaian. Kebencian orang Melayu terhadap Jepun semakin memuncak apabila Jepun menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Thailand atas kerjasama mereka memberi laluan darat kepada Jepun untuk mara ke Tanah Melayu serta Singapura. Sesiapa yang engkar arahan tentera Jepun pula akan dipotong 'kapara'. Terdapat satu insiden seorang remaja India melintasi tentera Jepun tanpa menundukkan kepala sebagai tanda hormat. Tentera Jepun tersebut telah memanggil remaja tersebut dan terus menamparnya. Begitulah tabiat tentera Jepun. Suka menampar sesuka hati sehingga wujudlah perkataan 'Penampar Jepun'. Satu lagi seksaan yang terkenal diamalkan oleh tentera Jepun ialah 'Tokyo Wine'. Jika penyiasat tentera Jepun tidak berpuas hati dengan jawapan tahanan, mereka akan dibaringkan. Mulut mereka akan disumbat dengan getah paip. Air ataupun air sabun akan salurkan ke dalam getap paip sehingga tahanan kembung. Selepas itu, dua orang tentera Jepun akan meletakkan papan lapis di atas perut tertuduh dan berdiri di hujung papan tersebut.

Namun tidak dinafikan ada hikmah yang dibawa oleh Jepun ketika penjajahan berlaku. Rakyat mula mengenali bahasa Jepun dan budayanya. Kanak-kanak yang hidup pada zaman tersebut kesemuanya boleh berbahasa Jepun sehinggalah mereka dewasa. Mereka juga mahir dengan kalendar Jepun. Ketika Tanah Melayu dijajah, Malaya ditukar kepada Malai dan tahun 1942 ditukar kepada 2042. Pendidikan jasmani sebelum kelas bermula diperkenalkan oleh Jepun. Murid-murid dilatih menjadi lebih rajin dan tangkas dalam pemikiran. Pun begitu, murid-murid ini dirasuah untuk hadir ke sekolah. Setiap murid yang hadir akan diberikan dua tin rokok yang berisi beras serta sekampit gula sebagai imbuhan.

Mereka juga sempat menemuramah bekas tentera Jepun yang terlibat dengan mengajukan soalan bagaimana mereka boleh menjadi begitu kejam. Dalam keadaan sebak, mereka menjawab mereka tiada pilihan lain kecuali terpaksa akur kepada arahan pegawai tentera. Ketika itu, Maharaja Jepun ibarat Tuhan di kalangan penduduk Jepun. Pegawai tentera telah 'menjual' nama Maharaja Jepun untuk melaksanakan perintah-perintah yang kejam. Beliau bercerita terdapat satu insiden yang mana seramai 60 askar Jepun telah dipanggil mengadap. Di hadapan mereka terdapat 400 orang tahanan berbangsa Cina. Pegawai tersebut telah melaungkan,

"Dengan nama Maharaja Jepun, pancung kesemua orang Cina ini!!!"

Bekas tentera tersebut menangis menceritakan hal tersebut. Beliau mengakui setiap tentera Jepun punya naluri manusiawi dan tidak tergamak sebenarnya melaksanakan perintah tersebut. Saya sungguh terharu menonton dokumentari tersebut. Tidak saya sangka bangsa Jepun yang kini begitu lembut dan berhemah, dahulunya merupakan bangsa yang kejam ketika menjajah. Tiada siapa yang boleh memberi kemerdekaan dan keamanan melainkan Islam. Ketika Perang Dunia Kedua, penduduk Tanah Melayu begitu gembira dengan kehadiran Jepun kerana menyangka mereka akan membebaskan Tanah Melayu daripada British. Ternyata sangkaan mereka salah. Malah mereka ditindas dengan begitu teruk sekali.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Saturday, February 11, 2012

Ghuzwah Hunain (Final Part)

Tentera Islam telah mengejar kaum Hawazin yang lari berlindung di penempatan kaum Thaqif di Taif. Rasulullah telah mengepung kota ini selama beberapa hari, namun gagal menawannya. Lalu baginda pulang ke Madinah. Dalam perjalanan pulang, baginda telah mengagihkan ghanimah (rampasan perang). Terdapat 6000 tawanan sahaya dan wanita di samping unta serta kambing yang tidak diketahui jumlahnya. Baginda telah memberikan bahagian yang banyak kepada pemuka-pemuka Arab untuk menarik minat mereka kepada Islam. Baginda juga telah memberi harta yang banyak kepada kaum Quraisy. Kaum Ansar pula tidak mendapat apa-apa. Ini telah menyebabkan sebahagian daripada mereka berasa kecewa sehingga ada yang menyebut,

"Rasulullah SAW telah bertemu kembali kaum baginda."

Maksudnya, baginda telah melupakan kaum Ansar setelah pembukaan Mekah dan Quraisy semakin ramai memeluk Islam. Setelah mendapat tahu hal ini, baginda bersabda;

"Wahai kaum Ansar! Aku telah mendengar kata-katamu. Ia mengandungi celaan kepadaku. Bukankah kamu sebelumnya sesat, lalu Allah memberi petunjuk kepada kamu? Miskin, lalu Allah menjadikan kamu kaya? Saling bermusuhan, lalu Allah mempertautkan hati-hati kamu?"

Mereka menjawab,

"Benar! Allah dan RasulNya lebih berjasa dan lebih berbakti."

Kemudian baginda menyambung,

"Wahai kaum Ansar! Kenapa kamu tidak menjawab kata-kataku?"

Mereka bertanya,

"Wahai Rasulullah, apa lagi yang patut kami katakan? Allah dan RasulNya mempunyai jasa dan bakti."

Baginda bersabda,

"Demi Allah, kalau kamu mahu, kamu boleh menjawab, 'Jawapan kamu adalah benar dan diterima'. Kamu boleh menjawab,'Kamu (wahai Rasulullah) datang kepada kami dalam keadaan kamu didustai (kaummu), lalu kami yang mempercayai kamu. Terbiar tanpa pertolongan, lalu kami yang menolongmu. Diusir, lalu kami membelamu. Serba kekurangan, lalu kami berkongsikan harta denganmu."

"Wahai kaum Ansar, adakah diri kamu merasa tidak puas hati terhadap sisa-sisa dunia yang aku gunakan untuk menarik minat kaum tersebut agar memeluk Islam? Sedangkan aku serahkan kamu kepada keislaman kamu. Wahai kaum Ansar, tidakkah kamu redha orang ramai kembali bersama kambing dan unta, sedangkan kamu pulang kepada tunggangan kamu bersama Rasulullah? Demi Tuhan yang jiwa Muhammad dalam genggamanNya, jika bukan kerana Hijrah, nescaya aku seorang Ansar. Sekiranya orang ramai melalui satu lorong di bukit, sedangkan Ansar melalui lorong yang lain, nescaya aku melalui lorong yang dilalui Ansar. Ya Allah, rahmatilah Ansar, anak-anak dan cucu-cucu Ansar."

Maka kaum Ansar menangis sehingga janggut-janggut mereka basah. Mereka berkata,

"Kami redha dengan pembahagian dan habuan yang dilakukan oleh Rasulullah."

Di sini terdapat beberapa komentar yang boleh kita sama-sama perhalusi,

1. Rampasan perang sebagai matlamat utama jihad

Golongan orientalis dan musuh Islam sering mendakwa tentera Islam ke medan jihad kerana inginkan rampasan harta yang banyak. Umum mengetahui itu bukanlah tujuan utama muslimin ke medan jihad. Hakikatnya tujuan utama jihad adalah berbentuk spiritual. Menyebarkan kebenaran, menolak gangguan jahat dan pencerobohan. Adalah pelik seseorang sanggup bergadai nyawa dan meninggalkan keluarga hanya kerana ingin mendapatkan habuan material. Tamak kepada habuan material tidak berupaya melahirkan keperwiraan luar biasa yang terserlah di kalangan para mujahidin. Dalam masa yang sama, tentera Islam juga berdepan dengan risiko kehilangan harta mereka jika mereka dilanda kekalahan. Jadi, adalah mustahil tentera Islam ke medan jihad kerana mengejarkan habuan dunia. Jika rampasan perang menjadi matlamat, mengapa musuh Islam seperti Rom dan Parsi gagal mencapai kemenangan luar biasa seperti tentera Islam?

Tersebut kisah seorang sahabat melemparkan tamar yang berada dalam mulutnya apabila mendengar panggilan jihad. Beliau ke medan jihad dengan berkata,

"Wah, bagusnya! Tiada apa lagi yang menghalang aku untuk memasuki syurga melainkan tamar-tamar ini? Demi Allah (jika aku menghabiskan tamar ini), ia adalah kehidupan yang panjang (melambatkan aku ke syurga)!"

Beliau ke medan jihad dan menemui syahid. Dalam perang Uhud pula, para sahabat tampil menghadap musuh sambil berteriak,

"Syurga! Syurga! Demi Allah aku mencium baunya lebih dekat dari Bukit Uhud!"

Rustum pula pernah menawarkan tentera Islam harta dan pakaian agar mereka membatalkan niat menyerang Parsi. Namun utusan perang itu menjawab,

"Demi Allah, kami tidak keluar kerana perkara ini. Apa yang kami mahu ialah menyelamatkan kamu daripada penyembahan sesama hamba kepada penyembahan Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan. Sekiranya kamu memeluk Islam, kami akan pulang. Sementara kerajaan dan tanah kamu tetap kekal milik kamu. Kami tidak akan merebut apa-apa pun daripada kamu."

Kekecewaan tidak mendapat rampasan perang adalah daripada kalangan mereka yang masih baru memeluk Islam. Rasa tidak puas hati di kalangan sesetengah Ansar pula adalah kerana mereka berpandangan pembahagian rampasan perang dilakukan dengan secara tidak sama rata. Tangisan mereka apabila mendengar ucapan Rasulullah menjadi bukti yang golongan Ansar benar-benar mahu mencapai redha Allah dan syurgaNya.

2. Kebijaksanaan Rasulullah

Tindakan Rasulullah SAW memberikan agihan rampasan perang kepada mereka yang baru memeluk Islam berbanding tentera lain menunjukkan kebijaksanaan baginda. Baginda arif dengan personaliti kaumnya dan berpandangan jauh dalam mengurus sesuatu perkara. Rasulullah ingin menjinakkan hati dan menyemai perasaan keistimewaan memeluk Islam dari sudut material. Ini kerana mereka dahulunya memerangi Rasulullah kerana material. Mereka memerangi Rasulullah kerana khuatir status kepimpinan mereka tergugat dengan diangkatnya baginda menjadi rasul. Apabila Islam berjaya menawan Mekah, kemarahan mereka memuncak kerana pengaruh mereka semakin hilang. Pemberian tersebut merupakan tindakan bijak selagi pemberian kepada sesetengah manusia berfaedah untuk memperbaiki hati dan menghapuskan permusuhan. Akhirnya golongan ini redha terhadap dakwah dan kepimpinan Rasulullah SAW. Dari situ, para pemuka ini mula bersama-sama memikul tugas dakwah ini sehingga tersebar ke seluruh tanah Arab.

Tindakan Rasulullah SAW mengumpul dan meredakan rasa terkilan Ansar menjadi bukti kebijaksanaan politik dan kelembutan akhlak Rasulullah SAW. Baginda menyampaikan ucapan yang bijaksana meskipun baginda mengetahui ketinggian iman mereka. Baginda memilih untuk berucap bagi menghilangkan rasa prasangka yang mula tersemat dalam fikiran sesetengah mereka. Ini adalah salah satu sunnah terpuji yang mesti dicontohi oleh para pemimpin Islam. Musuh menunggu-nunggu masa yang sesuai untuk mengeksploitasi kelemahan umat Islam. Oleh itu, para pemimpin dakwah tidak boleh cuai mendapatkan dokongan penyokong walau mereka amat mempercayai para penyokong mereka.

Ditambah dengan kebijaksanaan baginda menyebut jasa-jasa kaum Ansar kepada dakwah Islam bagi memujuk hati mereka. Ini semua disebut setelah baginda mengingatkan mereka bagaimana Allah menyelamatkan mereka setelah Islam sampai di Madinah. Semua ini disebut bagi memudahkan mereka menerima kehilangan semua keuntungan harta dunia jika dibanding dengan kebahagiaan dan petunjuk yang mereka perolehi.

3. Kejujuran iman dan kehalusan jiwa

Reaksi Ansar apabila mendengar ucapan Rasulullah menunjukkan kejujuran iman dan kehalusan jiwa yang tinggi. Mereka menyatakan jika tidak kerana kurnia Allah dan RasulNya, nescaya mereka tidak mendapat petunjuk. Jika tidak kerana Allah dan baginda, pasti mereka masih bergaduh sesama mereka dan dimanipulasi oleh kaum Yahudi. Mereka juga mengisytiharkan mereka mengutamakan Rasulullah melebihi limpahan rampasan perang dan keseronokan dunia. Peristiwa seperti ini diharap menambahkan iman dan kecintaan kita kepada Rasulullah dan para sahabat baginda. Ameen.

Kisah ini dipetik daripada buku bertajuk "As Seerah an Nabawiyyah: Durus wa 'Ibr (Sirah Nabi Muhammad SAW: Pengajaran dan Pedoman" tulisan Dr. Mustafa as Syibaie

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Tuesday, February 7, 2012

Ghazwah Hunain (Part 3)

6. Kelebihan para sahabat yang awal

Ketika diserang teruk oleh musuh, ramai tentera Islam yang bertempiaran lari meninggalkan Rasulullah. Sehingga ke satu tahap Rasulullah melaungkan,

"Datang kepadaku wahai manusia! Ayuh datang kepadaku! Aku adalah Rasulullah. Aku Muhammad bin Abdullah."

Namun, ramai yang tidak dapat mendengar suara Rasulullah sehinggalah baginda meminta Abbas yang bersuara lantang untuk memanggil semula tentera Islam.

"Wahai pasukan Ansar! Wahai pasukan orang-orang yang berbai'ah di bawah pokok Samurah (mereka yang berbai'ah dalam Bai'atur Ridhwan)"

Lantas mereka menjawab,

"Ya, kami di sini sedia menerima arahan. Ya, kami di sini sedia menerima arahan."

Terdapat tentera yang cuba memusing untanya untuk menyahut seruan tersebut, namun tidak berupaya berbuat demikian. Maka, dibawa bersamanya pedang, perisai serta baju besi dan ditinggalkannya unta tersebut. Setelah 100 orang berhimpun bersama baginda, mereka mula mengatur strategi menyerang musuh dan akhirnya mencapai kemenangan.

Kekalahan dakwah dalam pertempuran kemungkinan berpunca daripada kelemahan aqidah, ketidak ikhlasan dan ketidak sediaan para pendokongnya untuk mengorbankan segala-galanya pada jalan itu. Keteguhan pemimpin dakwah menghadapi krisis, keberanian dan keyakinan beliau kepada Allah dan pertolonganNya mempunyai kesan besar untuk menukarkan kekalahan kepada kemenangan. Pejuang yang bersamanya akan mendapat semangat baru dan tentera yang ikhlas serta jujur akan tetap teguh bersama pemimpin mereka. Mereka yang menyahut seruan Rasulullah tidak melebihi 100 orang dan kemenangan yang dicapai adalah bukti penerimaan keimanan mereka oleh Allah SWT.

Di dalam riwayat lain, baginda bersabda,

"Aku adalah Nabi. Aku tidak berdusta. Aku adalah anak Abdul Muttolib."

Ini merupakan bukti keyakinan Rasulullah terhadap pertolongan Allah. Seorang pemimpin wajib memiliki sifat ini. Meyakini kemampuan diri sendiri dan pertolongan dari Allah. Ini merupakan tarikan orang ramai untuk mengikutinya mengharungi perjalanan yang panjang.

7. Ummu Sulaim binti Milhan

Ummu Sulaim bersama suaminya, Abu Tolhah turut serta dalam peperangan ini. Ketika itu, Ummu Sulaim sedang sarat mengandung dan pada masa yang sama unta milik suaminya ada bersamanya. Oleh kerana bimbang jika unta tersebut terlepas, Ummu Sulaim telah memasukkan tangannya ke dalam tali dan besi kekang unta tersebut. Lantas Rasulullah menegurnya,

"Ummu Sulaim?"

"Ya, demi bapa dan emak aku, wahai Rasulullah! Bunuhlah mereka yang melarikan diri daripada kamu sebagaimana kamu memerangi orang yang memerangi kamu. Mereka sememangnya layak diperlakukan demikian."

Baginda menjawab,

"Tidak cukupkah Allah (berbuat demikian), wahai Ummu Sulaim?"

Ummu Sulaim juga memiliki sebilah khanjar. Suaminya bertanya mengapa beliau memiliki khanjar.

"Khanjar ini aku ambil kalau-kalau orang musyrik menghampiriku, aku akan lukakannya!"

Jawapan itu mengagumkan Abu Tolhah dan menarik perhatian Rasulullah. Inilah sifat yang perlu ada pada para muslimah masa kini. Berani dan sanggup menyumbang apa sahaja demi kelestarian dakwah. Wanita punya banyak peranan dalam menjayakan misi dakwah. Seerah telah membuktikan sumbangan besar mereka. Tunjuk ajar yang betul dan keimanan yang menyedarkan sudah cukup untuk melahirkan tokoh-tokoh seumpama Ummu Sulaim ini.

8. Larangan membunuh wanita, kanak-kanak dan buruh kerahan

Dalam pertempuran itu Rasulullah telah menemui mayat seorang wanita yang dibunuh oleh Khalid bin Walid. Orang ramai mengerumuni mayat tersebut, lantas Rasulullah bertanya,

"Siapa ini?"

"Seorang wanita yang telah dibunuh oleh Khalid bin Walid."

Lantas Rasulullah mengarahkan beberapa orang sahabat yang bersama baginda,

"Cari Khalid dan katakan kepadanya: Rasulullah melarang kamu membunuh kanak-kanak, wanita dan buruh kerahan."

Larangan membunuh golongan lemah dan mereka yang tidak terlibat dalam peperangan merupakan peraturan yang digariskan oleh Islam. Oleh itu, Islam melarang tenteranya membunuh para pendita, wanita, orang tua, kanak-kanak dan mereka yang dipaksa berperang seperti petani dan buruh. Belum pernah sejarah dunia mencatatkan keluhuran budi pasukan tentera dalam mana-mana perang kecuali apa yang berlaku pada zaman kegemilangan Islam. Ketika Rasulullah mempersiapkan tentera yang dipimpin oleh Usamah bin Zaid untuk menyerang Rom, antara pesanan baginda adalah larangan membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua dan pendita yang tidak berperang atau membantu peperangan. Demikian juga yang dilakukan oleh Khalid al Walid ketika menakluk Iraq. Beliau tidak melakukan sebarang tindakan buruk kepada kaum petani yang sedang bercucuk tanam di tanah mereka. Solahuddin al Ayyubi ketika menawan Baitul Maqdis pula telah memberi keamanan kepada orang-orang tua, tokoh-tokoh agama, wanita, kanak-kanak, bahkan termasuk juga tentera-tentera salib yang gagah. Beliau menghantar mereka pulang ke kepada kaum mereka dengan kawalan tentera Islam sendiri.

Lihatlah kekejaman yang berlaku ketika Perang Dunia Kedua. Berapa ramai rakyat yang tidak berdosa diheret sama ke dalam kancah peperangan. Bagaimana pula sikap tentera salib ketika menawan Baitul Maqdis. Direkodkan seramai 70,000 orang disembelih di dalam Masjid Al Aqsa termasuklah para alim ulama, para zaahid, wanita dan kanak-kanak. Hingga seorang penulis kristian menghantar berita kepada Pope dengan kata-kata bangga,

"Darah-darah telah mengalir di jalan-jalan sehinggakan panglima-panglima kuda salibi mengharungi limpahan darah yang menenggelami kaki-kaki kuda mereka."

bersambung...

Tulisan ini dicedok daripada buku bertajuk "As Seerah an Nabawiyyah: Duruus wa 'Ibr" (Sirah Nabi Muhammad SAW: Pengajaran dan Pedoman"


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)