Tuesday, February 21, 2012

Belajar dari History Channel

Ahad yang lepas merupakan hujung minggu yang melelahkan saya. Saya telah pulang ke rumah ibu bapa saya di Sepang untuk membantu mengemas rumah memandangkan walimah adik lelaki saya semakin hampir. Ini merupakan pengalaman saya yang pertama mengemas rumah dua tingkat. Petangnya pula saya membawa isteri dan anak-anak meninjau lapangan terbang LCCT yang berhampiran dengan rumah ibu bapa saya. Selesai menghiburkan mereka, saya terus memandu pulang ke Seremban. Selesai solat Isyak, saya menidurkan Nu'man dan saya pun terlelap. Saya sempat mengunci jam supaya loceng berbunyi 12 tengah malam. Tujuannya untuk saya mendengar siaran ulangan Carta IKIM.fm yang saya terlepas siarannya pada pagi hari. Di samping itu, saya juga perlu menggosok pakaian kerja serta menonton perlawanan bola sepak Piala FA antara Liverpool dan Brighton Hove & Albion.

Sementara menunggu perlawanan Piala FA bermula, saya sempat menonton siaran bertema sejarah di History Channel. Sempena 70 tahun penawanan Jepun ke atas Singapura, History Channel telah menayangkan siri dokumentari secara marathon berkaitan dengan Perang Dunia Kedua dan kesannya kepada Malaysia dan Singapura. Dokumentar kali ini benar-benar menarik minat saya. Hingga saya terlepas aksi-aksi menarik bola sepak Piala FA dibuatnya. Tanpa disedari saya telah menghabiskan masa selama hampir 3 jam menonton dokumentari tersebut.

Jepun menyerang Tanah Melayu pada 8 Disember 1941 melalui Pantai Sabak, Kelantan beberapa jam sebelum Pearl Habour diserang oleh Nippon. Jepun menceroboh Tanah Melayu melalui tiga pintu masuk, iaitu pesisiran pantai di Kelantan serta persempedanan Malaysia-Thailand di Kedah dan Perak. Perancangan Jepun yang teliti menyebabkan British terkejut dan tidak bersedia menentang kemaraan Jepun. Walhal tentera Jepun hanya berjumlah 60,000 orang berbanding tentera British seramai 103,000 orang. Kelebihan tentera Jepun ialah mereka menyedari kelemahan British dalam mengekang serangan udara dan darat. Justeru itu, Jepun telah menghantar lebih 600 pesawat perang untuk melawan tentera udara British yang hanya mempunyai kurang 200 pesawat perang. Dengan jumlah pesawat perang yang banyak ini, mereka telah berjaya melumpuhkan tentera laut British yang merupakan nadi ketenteraan British. Jepun juga telah mengambil kesempatan akan kelonggaran sistem kawalan darat British dengan bergerak dari Utara ke Singapura hanya menggunakan basikal. Ketika tentera Jepun sudah menghampiri Singapura, tentera British telah meletupkan jambatan yang melintasi Selat Tebrau. Ini merupakan satu-satunya jalan darat yang menghubungkan Tanah Melayu dan Singapura. British berbuat demikian kerana tentera Jepun hanya boleh menawan Singapura dengan ketenteraan darat memandangkan Jepun tidak membawa tentera laut bersama untuk menawan Tanah Melayu dan Singapura. Namun begitu, Jepun telah bertekad lama untuk menawan Singapura. Jepun telah menyerang lapangan terbang tentera British di Changi melalui pesawat mereka. Namun ini hanyalah mock attack (serangan helah) yang menyebabkan British mula menumpukan pertahanan di Changi. Tentera yang mengawal perairan mula dipindahkan ke Changi kerana British menyangka Jepun ingin melemahkan ketenteraan udara British. Kesempatan ini diambil oleh Jepun dengan mendayung ke perairan pantai barat Singapura dan mula mara ke selatan Singapura. Dalam tempoh beberapa bulan sahaja seluruh Semenanjung Malaysia dan Singapura berjaya ditawan oleh Jepun.

Punca utama Jepun ingin menawan Tanah Melayu ialah kerana sumber bahan mentah yang banyak. Bahan mentah ini penting untuk menyediakan peralatan perang bagi menawan dunia. Singapura pula perlu ditawan Jepun kerana ia merupakan nadi utama British. Di sinilah aktiviti utama ekonomi British berlaku. Kekalahan British di Singapura akan melemahkan semangat moral kepimpinan tertinggi British. Ketika mula tercetusnya Perang Dunia Kedua, berbondong-bondong rakyat British keluar meninggalkan Malaysia dan Singapura melalui jalan laut. Rakyat tempatan dibiarkan bersendirian bersama tentera mempertahankan tanah air. Kesan penjajahan Jepun dirasai oleh semua rakyat terutamanya bangsa Cina. Dilaporkan di Kuala Pilah, seluruh penduduknya telah diarahkan membawa guni untuk diagihkan beras. Mereka diarahkan menuju ke satu kawasan yang sedikit terpencil dari kampung tersebut. Di situ, kesemua penduduk kampung tersebut, seramai 450 orang dan kesemuanya berbangsa Cina dibunuh oleh Jepun. Jepun membunuh mereka sama ada dengan melepaskan tembakan rawak ataupun menikam dengan bayonet. Pembunuhan beramai-ramai ini disebut sebagai Sook Ching. Kisah tragis ini diceritakan oleh satu-satunya penduduk yang terselamat. Ketika itu beliau berumur 7 tahun. Beliau berada dalam dakapan ibunya ketika Jepun menikam mereka berdua dengan bayonet. Beliau juga cedera ditusuk bayonet sehingga tidak sedarkan diri. Jepun menyangka beliau telah mati. Beliau hanya tersedar apabila seorang lelaki tua datang mencari mayat saudaranya di kawasan tersebut. Orang tua tersebut mengejutkannya dan membawanya pergi dari tempat tersebut. Dalam sekelip mata, ayah, ibu dan adiknya mati begitu sahaja dan meninggalkannya sebatang kara. Beliau masih ingat bagaimana ibunya mati dalam keadaan mata terbeliak.

Di sebuah kampung lain, seorang budak lelaki berumur 6 tahun terselamat bersama adiknya yang berumur 4 tahun. Beliau masih ingat bagaimana Jepun merampas adiknya yang berusia setahun daripada ibunya. Adiknya dilambung ke udara dan ditikam dengan bayonet. Beliau melihat sendiri isi perut adiknya terburai. Adiknya ketika masih lagi hidup dan menangis kesakitan, sementara tentera Jepun ketawa kegembiraan. Budak lelaki ini telah ditikam sebanyak dua kali namun Allah telah memanjangkan umurnya. Jepun amat bencikan bangsa Cina kerana sejarah peperangan antara Jepun dan China yang berlangsung selama beberapa tahun. Malah, ada antara bangsa Cina di Semenanjung Malaysia yang memberi bantuan kewangan kepada China untuk menewaskan Jepun.

Mengetahui perseteruan antara bangsa Cina dan Jepun yang begitu ketara, British telah melepaskan kesemua tahanan penjara yang berbangsa Cina. Kebanyakan mereka ini ditahan kerana menganut ideologi komunis. Di sinilah bermulanya perjuangan MPAJA (Malaysian People Anti-Japanese Army). Sementara itu, Jepun mula mengesan penentangan bangsa Cina kepada mereka. Jepun telah melantik sebilangan orang Melayu sebagai Kempetai (Polis Jepun) untuk mengintip dan mengawal pergerakan bangsa Cina. Ini telah menyebabkan pergeseran besar berlaku antara orang Melayu dan Cina. Ini memang sengaja dilakukan oleh Jepun supaya rakyat Malaysia menjadi lemah dan tidak berdaya mengalahkan Jepun. Terdapat satu tragedi yang melibatkan dua bangsa ini berlaku ketika penjajahan Jepun. Lokasinya ialah di Sungai Lui, N.Sembilan. Sungai Lui ketika itu merupakan kawasan yang subur dengan tanaman. Ia menjadi lokasi tentera MPAJA untuk mendapatkan bekalan daripada penduduk setempat. Menyedari hal ini, Jepun telah menempatkan seorang pengawal Melayu di Sungai Lui. Tentera MPAJA telah menculik pengawal tersebut ke dalam hutan. Pengawal ini diseksa dengan teruk sebelum dibunuh dengan tembakan peluru. Apabila Jepun mendapat tahu hal ini, mereka terus menghantar tentera untuk menyiasat tragedi tersebut. Kesemua penduduk Sungai Lui dikumpulkan di kawasan lapang. Mereka diasingkan mengikut bangsa Melayu dan Cina. Tentera Jepun telah bertanya kepada kedua-dua kumpulan ini siapakah yang telah membunuh pengawal mereka. Tiada siapa yang jawab kerana masing-masing berada dalam ketakutan. Kerana terlalu berang, tentera Jepun telah membunuh kesemua bangsa Cina dan membiarkan bangsa Melayu hidup. Kesemua warga Melayu ini kehairanan mengapa mereka dibiarkan hidup. MPAJA menyimpan dendam yang lama dan akhirnya tertunai apabila Jepun menyerah kalah. Kesemua tali barut Jepun yang terdiri daripada bangsa Melayu telah ditangkap dan dibicarakan di Mahkamah Rakyat. Hukuman dijatuhkan berdasarkan pungutan suara majoriti di kalangan yang hadir. Seorang saksi telah melihat bagaimana mudahnya hukuman dijatuhkan. Apabila pertuduhan dibacakan oleh pimpinan MPAJA, pimpinan ini akan bertanya kepada hadirin apakah hukuman yang sepatutnya kepada tertuduh. Mereka beramai-ramai melaungkan 'Bunuh dia...bunuh dia..." Wakil MPAJA tersebut terus mengarahkan tertuduh dibawa keluar dan dibunuh. Jepun benar-benar berjaya mewujudkan jurang yang besar antara kaum.

Pun begitu, bangsa Melayu juga terkesan dengan kekejaman pemerintahan Jepun. Ramai antara mereka telah dihantar ke Thailand untuk bekerja sebagai buruh paksa membina landasan keretapi. Landasan ini dikenali sebagai Landasan Maut dengan jarak lebih 400 kilometer. Menariknya, landasan ini berjaya disiapkan dalam masa kurang dari setahun. Tujuan pembinaan landasan ini adalah untuk menghubungkan landasan sedia ada di Thailand dan Myanmar. Apabila kerja penyambungan landasan ini selesai, mudahlah Jepun ke India untuk meluaskan jajahan. Menurut seorang saksi, beliau bersama 23 orang sahabat kampung telah berkerja di landasan ini kerana terpedaya dengan tawaran Jepun. Ketika landasan tersebut siap, hanya beliau dan 3 orang sahabat kampungnya sahaja yang hidup. Selebihnya mati ketika menjadi buruh paksa. Beliau menceritakan setiap hari hampir 20-30 orang mati kerana kebuluran. Mayat mereka dikambus beramai-ramai tanpa dimandikan. Oleh kerana Jepun berjaya menghampiri India, ramai rakyat India memberi kerjasama kepada Jepun untuk menewaskan British. Ini kerana rakyat India termakan dengan sogokan Jepun yang bertema 'Asia Raya untuk Asia'. Rakyat India sepertimana bangsa Melayu, juga inginkan kemerdekaan daripada penjajahan British. Hasilnya wujud tentera sukarela India yang membantu Jepun mengalahkan British. Panggilan sukarela ini menjangkau jauh sehingga ke Singapura dan Tanah Melayu. Hasilnya terdapat lebih 1000 wanita India di Tanah Melayu dan Singapura menyertai pasukan tentera ini menentang British.

Sementara itu, bangsa Cina berterus diseksa dan didiskriminasi oleh Jepun. Ribuan gadis sunti Cina telah diculik untuk menjadi hamba seks. Mereka terpaksa memotong rambut dan berperawakan seperti remaja lelaki untuk mengelakkan diri daripada diculik oleh tentera Jepun. Jika diculik mereka akan dikurung dan dipaksa melayan tentera Jepun. Satu temuramah mendedahkan mereka terpaksa melayan 20 tentera di waktu pagi, 20 tentera di waktu petang, dan 20 tentera di waktu malam. Bangsa Cina terus hidup dalam kemiskinan. Beras dirampas. Malah ada antara kanak-kanak yang terpaksa menangkap kambing betina untuk menghisap susunya. Bangsa Melayu juga turut merasai kesusahan yang memeritkan. Mereka terpaksa memakai pakaian yang dibuat daripada guni. Jika ada kematian yang berlaku, pasti kubur si jenazah akan dikorek keesokannya. Ini kerana terdapat penduduk yang terpaksa mencuri kain kafan jenazah untuk dibuat pakaian. Kebencian orang Melayu terhadap Jepun semakin memuncak apabila Jepun menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Thailand atas kerjasama mereka memberi laluan darat kepada Jepun untuk mara ke Tanah Melayu serta Singapura. Sesiapa yang engkar arahan tentera Jepun pula akan dipotong 'kapara'. Terdapat satu insiden seorang remaja India melintasi tentera Jepun tanpa menundukkan kepala sebagai tanda hormat. Tentera Jepun tersebut telah memanggil remaja tersebut dan terus menamparnya. Begitulah tabiat tentera Jepun. Suka menampar sesuka hati sehingga wujudlah perkataan 'Penampar Jepun'. Satu lagi seksaan yang terkenal diamalkan oleh tentera Jepun ialah 'Tokyo Wine'. Jika penyiasat tentera Jepun tidak berpuas hati dengan jawapan tahanan, mereka akan dibaringkan. Mulut mereka akan disumbat dengan getah paip. Air ataupun air sabun akan salurkan ke dalam getap paip sehingga tahanan kembung. Selepas itu, dua orang tentera Jepun akan meletakkan papan lapis di atas perut tertuduh dan berdiri di hujung papan tersebut.

Namun tidak dinafikan ada hikmah yang dibawa oleh Jepun ketika penjajahan berlaku. Rakyat mula mengenali bahasa Jepun dan budayanya. Kanak-kanak yang hidup pada zaman tersebut kesemuanya boleh berbahasa Jepun sehinggalah mereka dewasa. Mereka juga mahir dengan kalendar Jepun. Ketika Tanah Melayu dijajah, Malaya ditukar kepada Malai dan tahun 1942 ditukar kepada 2042. Pendidikan jasmani sebelum kelas bermula diperkenalkan oleh Jepun. Murid-murid dilatih menjadi lebih rajin dan tangkas dalam pemikiran. Pun begitu, murid-murid ini dirasuah untuk hadir ke sekolah. Setiap murid yang hadir akan diberikan dua tin rokok yang berisi beras serta sekampit gula sebagai imbuhan.

Mereka juga sempat menemuramah bekas tentera Jepun yang terlibat dengan mengajukan soalan bagaimana mereka boleh menjadi begitu kejam. Dalam keadaan sebak, mereka menjawab mereka tiada pilihan lain kecuali terpaksa akur kepada arahan pegawai tentera. Ketika itu, Maharaja Jepun ibarat Tuhan di kalangan penduduk Jepun. Pegawai tentera telah 'menjual' nama Maharaja Jepun untuk melaksanakan perintah-perintah yang kejam. Beliau bercerita terdapat satu insiden yang mana seramai 60 askar Jepun telah dipanggil mengadap. Di hadapan mereka terdapat 400 orang tahanan berbangsa Cina. Pegawai tersebut telah melaungkan,

"Dengan nama Maharaja Jepun, pancung kesemua orang Cina ini!!!"

Bekas tentera tersebut menangis menceritakan hal tersebut. Beliau mengakui setiap tentera Jepun punya naluri manusiawi dan tidak tergamak sebenarnya melaksanakan perintah tersebut. Saya sungguh terharu menonton dokumentari tersebut. Tidak saya sangka bangsa Jepun yang kini begitu lembut dan berhemah, dahulunya merupakan bangsa yang kejam ketika menjajah. Tiada siapa yang boleh memberi kemerdekaan dan keamanan melainkan Islam. Ketika Perang Dunia Kedua, penduduk Tanah Melayu begitu gembira dengan kehadiran Jepun kerana menyangka mereka akan membebaskan Tanah Melayu daripada British. Ternyata sangkaan mereka salah. Malah mereka ditindas dengan begitu teruk sekali.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

1 comment:

  1. asslamualaikum.. saya student dri kuim.. sy dan group sy kene buat assignment berkenaan pendudukan jepun ke tanah melayu. sy sngt tertarik dngn blog encik berkenaan dokumentary ini untuk dijadikan sebagai sumber.. boleh sy tanya ini memang sumber dokumentari yang betul ke?? sbb kalo bole sy nak tahu lebih lanjut berkenaan dokumentari ini.. sy akan masukkan nama encik dlm rujukan assignment kami.. kalo encik dpt comment ini, encik bole bagi jwpn ke (syasyafitriah98@gmail.com) sy berharap encik dpt membantu kami.. kami tunggu respond dri encik, terima kasih..

    ReplyDelete