Tentera Islam telah mengejar kaum Hawazin yang lari berlindung di penempatan kaum Thaqif di Taif. Rasulullah telah mengepung kota ini selama beberapa hari, namun gagal menawannya. Lalu baginda pulang ke Madinah. Dalam perjalanan pulang, baginda telah mengagihkan ghanimah (rampasan perang). Terdapat 6000 tawanan sahaya dan wanita di samping unta serta kambing yang tidak diketahui jumlahnya. Baginda telah memberikan bahagian yang banyak kepada pemuka-pemuka Arab untuk menarik minat mereka kepada Islam. Baginda juga telah memberi harta yang banyak kepada kaum Quraisy. Kaum Ansar pula tidak mendapat apa-apa. Ini telah menyebabkan sebahagian daripada mereka berasa kecewa sehingga ada yang menyebut,
"Rasulullah SAW telah bertemu kembali kaum baginda."
Maksudnya, baginda telah melupakan kaum Ansar setelah pembukaan Mekah dan Quraisy semakin ramai memeluk Islam. Setelah mendapat tahu hal ini, baginda bersabda;
"Wahai kaum Ansar! Aku telah mendengar kata-katamu. Ia mengandungi celaan kepadaku. Bukankah kamu sebelumnya sesat, lalu Allah memberi petunjuk kepada kamu? Miskin, lalu Allah menjadikan kamu kaya? Saling bermusuhan, lalu Allah mempertautkan hati-hati kamu?"
Mereka menjawab,
"Benar! Allah dan RasulNya lebih berjasa dan lebih berbakti."
Kemudian baginda menyambung,
"Wahai kaum Ansar! Kenapa kamu tidak menjawab kata-kataku?"
Mereka bertanya,
"Wahai Rasulullah, apa lagi yang patut kami katakan? Allah dan RasulNya mempunyai jasa dan bakti."
Baginda bersabda,
"Demi Allah, kalau kamu mahu, kamu boleh menjawab, 'Jawapan kamu adalah benar dan diterima'. Kamu boleh menjawab,'Kamu (wahai Rasulullah) datang kepada kami dalam keadaan kamu didustai (kaummu), lalu kami yang mempercayai kamu. Terbiar tanpa pertolongan, lalu kami yang menolongmu. Diusir, lalu kami membelamu. Serba kekurangan, lalu kami berkongsikan harta denganmu."
"Wahai kaum Ansar, adakah diri kamu merasa tidak puas hati terhadap sisa-sisa dunia yang aku gunakan untuk menarik minat kaum tersebut agar memeluk Islam? Sedangkan aku serahkan kamu kepada keislaman kamu. Wahai kaum Ansar, tidakkah kamu redha orang ramai kembali bersama kambing dan unta, sedangkan kamu pulang kepada tunggangan kamu bersama Rasulullah? Demi Tuhan yang jiwa Muhammad dalam genggamanNya, jika bukan kerana Hijrah, nescaya aku seorang Ansar. Sekiranya orang ramai melalui satu lorong di bukit, sedangkan Ansar melalui lorong yang lain, nescaya aku melalui lorong yang dilalui Ansar. Ya Allah, rahmatilah Ansar, anak-anak dan cucu-cucu Ansar."
Maka kaum Ansar menangis sehingga janggut-janggut mereka basah. Mereka berkata,
"Kami redha dengan pembahagian dan habuan yang dilakukan oleh Rasulullah."
Di sini terdapat beberapa komentar yang boleh kita sama-sama perhalusi,
1. Rampasan perang sebagai matlamat utama jihad
Golongan orientalis dan musuh Islam sering mendakwa tentera Islam ke medan jihad kerana inginkan rampasan harta yang banyak. Umum mengetahui itu bukanlah tujuan utama muslimin ke medan jihad. Hakikatnya tujuan utama jihad adalah berbentuk spiritual. Menyebarkan kebenaran, menolak gangguan jahat dan pencerobohan. Adalah pelik seseorang sanggup bergadai nyawa dan meninggalkan keluarga hanya kerana ingin mendapatkan habuan material. Tamak kepada habuan material tidak berupaya melahirkan keperwiraan luar biasa yang terserlah di kalangan para mujahidin. Dalam masa yang sama, tentera Islam juga berdepan dengan risiko kehilangan harta mereka jika mereka dilanda kekalahan. Jadi, adalah mustahil tentera Islam ke medan jihad kerana mengejarkan habuan dunia. Jika rampasan perang menjadi matlamat, mengapa musuh Islam seperti Rom dan Parsi gagal mencapai kemenangan luar biasa seperti tentera Islam?
Tersebut kisah seorang sahabat melemparkan tamar yang berada dalam mulutnya apabila mendengar panggilan jihad. Beliau ke medan jihad dengan berkata,
"Wah, bagusnya! Tiada apa lagi yang menghalang aku untuk memasuki syurga melainkan tamar-tamar ini? Demi Allah (jika aku menghabiskan tamar ini), ia adalah kehidupan yang panjang (melambatkan aku ke syurga)!"
Beliau ke medan jihad dan menemui syahid. Dalam perang Uhud pula, para sahabat tampil menghadap musuh sambil berteriak,
"Syurga! Syurga! Demi Allah aku mencium baunya lebih dekat dari Bukit Uhud!"
Rustum pula pernah menawarkan tentera Islam harta dan pakaian agar mereka membatalkan niat menyerang Parsi. Namun utusan perang itu menjawab,
"Demi Allah, kami tidak keluar kerana perkara ini. Apa yang kami mahu ialah menyelamatkan kamu daripada penyembahan sesama hamba kepada penyembahan Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan. Sekiranya kamu memeluk Islam, kami akan pulang. Sementara kerajaan dan tanah kamu tetap kekal milik kamu. Kami tidak akan merebut apa-apa pun daripada kamu."
Kekecewaan tidak mendapat rampasan perang adalah daripada kalangan mereka yang masih baru memeluk Islam. Rasa tidak puas hati di kalangan sesetengah Ansar pula adalah kerana mereka berpandangan pembahagian rampasan perang dilakukan dengan secara tidak sama rata. Tangisan mereka apabila mendengar ucapan Rasulullah menjadi bukti yang golongan Ansar benar-benar mahu mencapai redha Allah dan syurgaNya.
2. Kebijaksanaan Rasulullah
Tindakan Rasulullah SAW memberikan agihan rampasan perang kepada mereka yang baru memeluk Islam berbanding tentera lain menunjukkan kebijaksanaan baginda. Baginda arif dengan personaliti kaumnya dan berpandangan jauh dalam mengurus sesuatu perkara. Rasulullah ingin menjinakkan hati dan menyemai perasaan keistimewaan memeluk Islam dari sudut material. Ini kerana mereka dahulunya memerangi Rasulullah kerana material. Mereka memerangi Rasulullah kerana khuatir status kepimpinan mereka tergugat dengan diangkatnya baginda menjadi rasul. Apabila Islam berjaya menawan Mekah, kemarahan mereka memuncak kerana pengaruh mereka semakin hilang. Pemberian tersebut merupakan tindakan bijak selagi pemberian kepada sesetengah manusia berfaedah untuk memperbaiki hati dan menghapuskan permusuhan. Akhirnya golongan ini redha terhadap dakwah dan kepimpinan Rasulullah SAW. Dari situ, para pemuka ini mula bersama-sama memikul tugas dakwah ini sehingga tersebar ke seluruh tanah Arab.
Tindakan Rasulullah SAW mengumpul dan meredakan rasa terkilan Ansar menjadi bukti kebijaksanaan politik dan kelembutan akhlak Rasulullah SAW. Baginda menyampaikan ucapan yang bijaksana meskipun baginda mengetahui ketinggian iman mereka. Baginda memilih untuk berucap bagi menghilangkan rasa prasangka yang mula tersemat dalam fikiran sesetengah mereka. Ini adalah salah satu sunnah terpuji yang mesti dicontohi oleh para pemimpin Islam. Musuh menunggu-nunggu masa yang sesuai untuk mengeksploitasi kelemahan umat Islam. Oleh itu, para pemimpin dakwah tidak boleh cuai mendapatkan dokongan penyokong walau mereka amat mempercayai para penyokong mereka.
Ditambah dengan kebijaksanaan baginda menyebut jasa-jasa kaum Ansar kepada dakwah Islam bagi memujuk hati mereka. Ini semua disebut setelah baginda mengingatkan mereka bagaimana Allah menyelamatkan mereka setelah Islam sampai di Madinah. Semua ini disebut bagi memudahkan mereka menerima kehilangan semua keuntungan harta dunia jika dibanding dengan kebahagiaan dan petunjuk yang mereka perolehi.
3. Kejujuran iman dan kehalusan jiwa
Reaksi Ansar apabila mendengar ucapan Rasulullah menunjukkan kejujuran iman dan kehalusan jiwa yang tinggi. Mereka menyatakan jika tidak kerana kurnia Allah dan RasulNya, nescaya mereka tidak mendapat petunjuk. Jika tidak kerana Allah dan baginda, pasti mereka masih bergaduh sesama mereka dan dimanipulasi oleh kaum Yahudi. Mereka juga mengisytiharkan mereka mengutamakan Rasulullah melebihi limpahan rampasan perang dan keseronokan dunia. Peristiwa seperti ini diharap menambahkan iman dan kecintaan kita kepada Rasulullah dan para sahabat baginda. Ameen.
Kisah ini dipetik daripada buku bertajuk "As Seerah an Nabawiyyah: Durus wa 'Ibr (Sirah Nabi Muhammad SAW: Pengajaran dan Pedoman" tulisan Dr. Mustafa as Syibaie
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment