Tuesday, July 26, 2011

Berdalih Lagi...


Insiden 9 Julai kini menjadi satu tragedi hitam buat pemimpin negara. Entah mengapa, kerajaan berhabis-habisan 'menyerang' penganjur BERSIH dari segenap sudut. Melalui saluran media akhbar, kaca televisyen dan juga wahana-wahana komunikasi terkini seperti FB dan blog. Saya telah lama menduga yang reputasi kerajaan akan bertambah buruk jika isu ini cuba dibahas dan dibalas. Rakyat akan tertanya mengapa kerajaan berhabis-habisan cuba menyekat BERSIH. Sebaiknya kerajaan mengambil sikap mendiamkan diri supaya ianya lama-kelamaan larut dan hilang daripada agenda utama rakyat. Tambahan pula, media tidak mampu lagi membohongi rakyat dengan menyatakan kehadiran pada 9 Julai lepas hanya sekitar 2000 orang, atau 3000 orang, atau juga 5000 orang. Ternyata media terpaksa mengakui kehadiran adalah dalam lingkungan 5 digit ramainya. Kesemua ini menjadi teka teki dalam minda rakyat marhaen dan pengundi atas pagar. Ada apa dengan BERSIH sehingga begitu ramai yang hadir walaupun cuba disekat oleh kerajaan? Apa semua ini? Aku mesti tahu!!! Itulah skrip pengakhirannya. Rakyat yang tidak tahu akan menjadi tahu. Mencari maklumat di mana-mana demi memadamkan kekusutan fikiran yang penuh kekeliruan.

Sejak tragedi 9 Julai, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk melunturkan kehangatan BERSIH. Antaranya mengeluarkan kenyataan yang polis tidak bertindak kasar terhadap para demonstran. Maka dipaparkanlah imej mereka yang ditahan diberikan makanan ala buffet dan surau yang selesa. Aneh. Sungguh aneh. Mengapa kerajaan cuba lari daripada menjawab persoalan sebenar. Bagi mereka yang tidak turut serta ke perhimpunan BERSIH, pasti akan tertanya mengapa terlalu banyak imej dan video demonstran yang disepak, dipukul dan dimaki oleh polis. Ini yang perlu dibidas semula oleh pihak kerajaan. Bukannya memaparkan gambar layanan baik di depot tahanan polis. Rakyat semakin cerdik. Melarikan diri daripada isu hanya akan memualkan rakyat. Menyebabkan rakyat semakin hilang kepercayaan dan kredibiliti pada kerajaan. Kerajaan sepatutnya diam dan mengabaikan isu ini.

Kedua, Menteri Kesihatan, Dato' Sri Liow Tong Lai telah mengeluarkan kenyataan bahawa polis tidak menembak gas pemedih mata dan juga tidak menghalakan pemancur air kimia ke arah Hospital Tung Shin. Perkara yang benar tidak mampu dilindungkan lagi. Banyak rakaman yang menunjukkan kebenaran dan kesahihan bahawa polis telah melakukan hal demikian. Jika dihantar ke makmal CSI di Amerika Syarikat sekalipun, keputusannya tetap 99.99% tulen. Daripada hanya pemimpin UMNO yang terlibat, kini pemimpin MCA pun dipalitkan sama. Bukan setakat UMNO yang dalam bahaya, kini Barisan Nasional hampir karam.

Banyak lagi jawapan-jawapan yang diberikan oleh kerajaan membuatkan saya menghantukkan tangan ke dahi. Antaranya ialah sistem biometrik yang akan digunakan dalam pilihanraya akan datang. Tak perlulah saya ulas lebih panjang. Dalam kerajaan sibuk memerli dan memandang rendah permintaan BERSIH, diperbaikinya juga sistem pilihanraya. Bukankah itu petanda kemenangan BERSIH? Tidak cukup dengan itu, kerajaan cuba berdegil dengan membaiki sistem melalui caranya sendiri. Bukannya dengan menuruti permintaan BERSIH yang mahukan dakwat kekal dipakai. Nah, berapa banyak kos yang akan dibelanjakan untuk sistem biometrik ini?

Apa pula reaksi parti pembangkang? Mereka hanya duduk berdiam diri sahaja. Tanpa berbuat apa-apa, mereka telah pun menang secara moral. Cukup rakyat sahaja untuk memeningkan kepala kerajaan. Lebih dahsyat lagi, tempias BERSIH 2.0 sampainya sejauh Amerika Syarikat dan United Kingdom. Jika dulu hanya rakyat di Malaysia sahaja yang menyertai BERSIH. Kini rakyat di luar negara turut menyokong. Mengapa kerajaan tidak pernah menyebut hal ini? Parti pemerintah telah mencipta sendiri isu 'BERSIH' ini. Jika bukan kerana tindakan mereka selama ini, BERSIH pasti tidak akan wujud. Nah, inilah rekacipta yang terhasil daripada jalan yang mereka pilih. Selamat Berjaya!!!


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment