Wednesday, July 13, 2011

Pasca BERSIH 2.0 (part 1)


Sejak bulan Mei hinggalah ke bulan Julai ini, rata-rata rakyat masih sibuk memperkatakan perarakan BERSIH 2.0 yang berlangsung pada hujung minggu lepas. Terus terang saya katakan saya hanyalah rakyat biasa yang tidak menganggotai mana-mana parti dan pandangan saya adalah bersifat neutral. Banyak artikel-artikel yang telah dimajukan kepada saya berkaitan BERSIH 2.0. Ada yang mengutuk dan ada juga yang menyokong. Semua pihak berhak untuk menyuarakan pandangan masing-masing. Saya juga berasa terpanggil untuk berkongsi apa yang ada di benak fikiran saya sejak pasca BERSIH 2.0

Sejarah demonstrasi di jalan bermula pada era Reformasi tahun 1998. Setelah DS Anwar Ibrahim disumbat ke Penjara Sungai Buloh, tiada lagi demonstrasi dijalankan. Kira-kira pada tahun 2005, berlaku lonjakan Reformasi semula dan Perhimpunan 100,000 Rakyat telah dianjurkan di Jalan Kebun, Klang. Memang ramai yang cuba menghadirkan diri. Pada masa yang sama, PDRM telah membuat sekatan jalan raya dan menyebabkan kesesakan jalan raya yang luar biasa. Penyokong Reformasi mula berasa tidak puas hati dan laungan "Reformasi" mula kedengaran di sepanjang kesesakan. PDRM mula bertindak agresif dengan menangkap mereka yang kelihatan terang-terangan menyokong Reformasi. Ini merupakan satu titik hitam dalam sejarah kestabilan negara.

Sejak dari itu, semakin banyak demonstrasi dianjurkan untuk menyatakan luahan dan perasaan tidak puas hati rakyat kepada pemimpin kerajaan. Perhimpunan Memansuhkan PPSMI, Perhimpunan Menghapuskan ISA dan banyak lagi. Kesemua perhimpunan ini berjaya menarik kehadiran puluhan ribu rakyat daripada pelbagai lapisan kaum dan umur. Ini merupakan tanda-tanda awal dan petunjuk rakyat sudah semakin sukar untuk mempercayai pemimpin kerajaan. Kerajaan perlu berbuat sesuatu sebelum ia menjadi parah.

Sebagai rakyat yang prihatin, saya merasakan sudah tiba masanya pemimpin kerajaan mengambil jalan tengah dengan berunding dan mula mendengar luahan hati mereka. Tidak dinafikan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib telah mengambil inisiatif yang pelbagai untuk mendengar keluhan rakyat seperti karnival bersama rakyat, mengaktifkan blog, mengadakan lawatan ke kawasan FELDA dan banyak lagi medium komunikasi untuk kemudahan rakyat. Pun begitu, saya merasakan bentuk aduan yang diterima oleh Perdana Menteri adalah berbentuk selektif. Banyak permintaan dan keluhan lain yang gagal didengar baik oleh pihak kerajaan. Sebagai contoh, penahanan mereka yang disyaki pengganas di bawah Akta ISA 1960.

Mat Sah Mat Satray merupakan salah seorang tahanan ISA yang ditahan pada tahun 2002. Beliau ditahan atas tuduhan menganggotai Jemaah Islamiah yang menggunakan medium kekerasan dan keganasan. Melalui temuramah bersama beliau, beliau menafikan tuduhan tersebut. Beliau hanya mengutip derma di pejabatnya untuk diserahkan kepada golongan miskin di Afghanistan yang baru dijajah oleh Amerika Syarikat. Setiap kali dihadapkan ke mahkamah, beliau menolak tuduhan tersebut dan pihak pendakwaraya gagal mengemukan sebarang bukti. Namun dengan kuasa yang ada pada pemimpin kerajaan, beliau telah dihumban ke dalam Kem Tahanan Kamunting walaupun tiada bukti mengatakan beliau bersalah. Selama tujuh tahun tersebut, beliau telah dinafikan hak bersama keluarganya dan tiada sebarang bukti dapat dikemukakan oleh Kementerian Dalam Negeri. Pada tahun 2009, beliau telah dibebaskan dengan bersyarat, iaitu tidak boleh keluar dari daerah di mana beliau menetap. Beliau juga dikehendaki melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap minggu. Sepanjang beliau ditahan, isteri beliau telah beberapa kali cuba untuk menemui Menteri Dalam Negeri, namun permintaan tersebut selalu ditolak. Termasuklah juga permintaan untuk berjumpa Menteri Kebajikan Masyarakat. Ini telah menyemai kebencian kepada pemimpin kerajaan sekurang-kurangnya di kalangan jiran tetangga Mat Sah, kaum keluarganya, ipar duai, isteri dan anak beliau. Rakyat juga sudah celik dan ada antara mereka yang mengikuti luahan hati keluarga Mat Sah secara dekat. Bagi saya, ini merupakan satu perkara yang perlu diambil serius oleh kerajaan. Kerajaan tidak lagi boleh bersikap selektif dalam membantu orang awam.

Justeru, perhimpunan BERSIH 2.0 melambangkan satu tanda aras bahaya atau lampu amaran untuk kerajaan mula berfikir semula sama ada kerajaan benar-benar prihatin ataupun tidak. Apabila ketidak puas hatian semakin memuncak, seseorang individu itu sanggup melanggar prinsip dan undang-undang demi memuaskan hati. Ramai yang beranggapan penganjur BERSIH 2.0 bersikap individualistik dan berobjektifkan politik pembangkang. Namun, jika diselusuri 8 permintaan BERSIH sejak 2007 dahulu, tiada satu pun yang diambil peduli oleh kerajaan. Jika kerajaan berjaya melaksanakan tuntutan mereka, saya yakin rakyat akan menolak BERSIH jika mereka menganjurkan demonstrasi buat kali ketiga. Bagi saya, kelapan-lapan tuntutan tersebut tidak punya mudharat pada kerajaan. Apatah lagi menguntungkan sebelah pihak. Apakah tuntutan-tuntutan tersebut?

1. Bersihkan senarai undi
2. Mereformasikan undi pos
3. Gunakan dakwat kekal
4. Akses media yang bebas dan adil
5. Masa kempen minima 21 hari
6. Kukuhkan institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor

Pada hemat saya, jika kerajaan berjaya melaksanakan kesemua tuntutan ini, ia akan mengukuhkan lagi sokongan rakyat. Kesemua permintaan ini adalah berbentuk membina dan positif demi kemajuan kita bersama. Menafikan hak permintaan tersebut secara bulat-bulat akan membuatkan rakyat hilang rasa hormat pada institusi kerajaan. Tambahan pula, SPR punya rekod buruk memungkiri janji mengotakan penggunaan dakwat kekal pada pilihanraya 2008. Dakwat sudah dibeli dan akhirnya tidak terpakai. Pendekatan mendengar dan mengambil berat amat penting dalam memastikan keharmonian semua pihak. Jika kita bersikap adil, semua orang mampu menilai siapa yang berlebih-lebihan dan siapa yang bersikap pertengahan.
Langkah pertama kerajaan ialah mengajak parti pembangkang dan NGO untuk duduk semeja berbincang tentang hala tuju negara. Selama ini kita gagal melihat kerajaan menggunakan peranan ahli parlimen dari parti pembangkang untuk dimanfaatkan bersama. Amat rugi ahli parlimen pembangkang yang berjumlah 70 lebih itu tidak dimanfaatkan. Mereka seolah-olah hanya bergoyang kaki sambil menerima elaun bulanan selaku ahli parlimen. Inilah masa kita berganding bahu menuju Wawasan 2020. Wallahu a'lam.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment