Tuesday, August 9, 2011

Terkenang Ramadhan yang lalu

Di San Antonio, Texas beberapa bulan sebelum tragedi 9/11 (10 tahun dahulu)




Di Madison Square, Manhattan NY. Gambar diambil beberapa bulan selepas tragedi 9/11 (10 tahun dahulu)



Ramadhan mengajar saya menjadi seorang yang berdisiplin dari segi penyusunan jadual harian. Di luar bulan Ramadhan, kebiasaannya saya tidak punya aktiviti yang tetap ketika waktu rehat tengahari. Kadang kala saya akan keluar makan bersama rakan-rakan. Kadang kala saya hanya tidur di ruang rehat pejabat. Kadang kala saya gunakan kesempatan tersebut untuk mengemas kini blog saya. Tetapi apabila tiba bulan Ramadhan, hanya satu agenda sahaja untuk saya manfaatkan ketika waktu rehat, tadarrus atau tilawah. Tiada aktiviti lain.

Kalau di luar bulan Ramadhan, waktu malam saya juga kebiasaannya tidak punya aktiviti tetap. Kadang kala selepas waktu Isyak saya akan keluar membeli barang dapur. Ada juga ketikanya saya mengemas rumah. Tiada aktiviti yang tetap. Tetapi di bulan Ramadhan, setibanya di rumah sekitar jam 6 petang, saya akan melipat pakaian sehingga pukul 7 petang (sambil melayan anak). Pukul 7 petang saya akan mandi. 7.30 petang pula waktu iftar. Selepas solat Maghrib saya akan menyidai pakaian sehingga 8.30 malam. Seterusnya saya akan ke masjid untuk solat Isyak dan tarawikh. Pulang dari tarawikh sekitar jam 9.30 malam, saya akan tilawah selama 5 minit dan diikuti membaca buku sekitar 15 minit. Membaca adalah rutin harian saya sebelum melelapkan mata.

Tatkala melayan mengantuk sebelum mata terpejam, saya terkenangkan Ramadhan yang pernah saya lalui sejak saya mula berpuasa penuh. Saya mula berpuasa penuh ketika berada di darjah 1. Banyak kenangan lucu dan tidak kurang juga kenangan yang menyedihkan saya ketika menyambut Ramadhan. Antara kenangan yang tidak dapat saya lupakan ialah berpuasa di perantauan. Ketika kali pertama saya berpuasa di perantauan, saya tertanya-tanya bagaimanakah masyarakat muslim menyambut Ramadhan. Ada pasar ramadhan kah? Ada jualan mercun kah? Di mana mereka melihat anak bulan? Pelbagai soalan yang timbul di benak fikiran saya. Pada masa yang sama, senior saya tidak kelihatan risau langsung akan Ramadhan yang menjelang tiba. Hari pertama Ramadhan saya di perantauan dilalui dengan penuh keseronokan. Tidak saya sangka sama sekali yang Ramadhan di perantauan juga meriah dan punya cara tersendiri yang tidak terdapat di tanah air.

Kebiasaannya aktiviti kami akan bermula malam sebelum puasa. Kami akan bergilir-gilir memasak sahur. Memakan makanan berat seperti nasi berlauk adalah sesuatu yang pelik di kalangan orang Arab. Kebetulan pula salah seorang ahli rumah saya adalah seorang arab yang kedua ibu bapanya berasal dari Syria. Beliau lazimnya hanya sahur cereal ataupun sandwich sahaja. Satu malam beliau terjaga daripada tidur kerana bunyi bising di dapur. Setelah ke dapur, beliau terkejut melihat kami sedang memasak makanan sahur dengan penuh meriah sekali.

Paginya kami akan ke kelas seperti biasa. Bezanya cuma kami di kelilingi mereka yang tidak berpuasa. Seolah-olah tiada suasana Ramadhan ketika berada di kampus. Apabila tiba di masjid untuk solat Zohor atau Asar pula, kelihatan ramai yang bertilawah dan bertadarrus. Suasana yang berbeza ketika di luar bulan Ramadhan. Antara waktu yang paling saya sukai ketika di bulan Ramadhan ialah selepas waktu Asar. Ini kerana kami beramai-ramai akan ke masjid untuk menyediakan iftar bagi mereka yang bujang sahaja. Kebiasaannya sahabat-sahabat dari Pakistan dan India yang akan memasak dan kami pelajar Malaysia yang akan mengemas dan mencuci. Maklumlah, orang lelaki memang suka buat sepah tetapi malas mengemas. Maka kami lah (pelajar Malaysia) yang menawarkan diri untuk mengemas dan mencuci. Ganjarannya kami akan dapat membawa balik makanan lebihan yang akan dijadikan santapan sahur. Biasanya cukup untuk satu atau dua rumah bersahur. Kebiasaannya saya jugalah yang ditugaskan untuk mengatur jadual pelajar Malaysia yang akan bertugas mengemas dan mencuci.

Tarawikh bersama pak Arab adalah kenangan yang pasti saya ingat sampai bila-bila. Bayangkan anda bertarawikh 8 rakaat selama 1 jam. Disambung dengan tazkirah hampir setengah jam. Kemudian barulah solat witir bermula. Letih lutut saya dibuatnya. Keseluruhannya hampir 2 jam untuk solat tarawikh dan witir. Biasanya saya hanya buat 4 rakaat tarawikh di masjid dan sambung 4 rakaat lagi di rumah. Maklumlah, kadang kala ada assignment yang perlu disiapkan. Kadang kala ada juga peperiksaan yang terpaksa ditempuhi keesokan harinya. Di sepuluh malam terakhir Ramadhan, masjid akan penuh dengan mereka yang beriktikaf. Para bapa akan membawa isteri dan anak-anak tidur di masjid. Kebiasaannya rumah mereka akan kosong pada waktu malam. Suasana seperti ini mustahil untuk dijumpai di Malaysia.

Acara yang pasti tidak dilupakan setiap tahun ialah iftar bersama Pegawai Malaysia Student Department. Juadah iftar biasanya nasi beriani Pakistan. Hampir setiap hari berbuka beriani. Makan free pula tu. Memang bulan Ramadhan bulan berjimat cermat. Bezanya kami tak ber 'shopping' sahaja untuk menyambut Syawal. Kami hanya memakai baju Melayu yang dibawa dari tanah air. Selepas solat Aidilfitri, hampir setiap rumah pelajar Malaysia akan membuat rumah terbuka. Ada juga yang membuat joint-venture rumah terbuka kerana ahli rumah yang tidak ramai.

Mustahil untuk saya lupakan Syawal yang disambut dengan berbaju Melayu lengkap bersamping ketika salji sedang lebat turun. Mustahil juga untuk saya lupakan menyambut Syawal di dalam dewan peperiksaan (juga berbaju Melayu hehehe)


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment