Tuesday, July 26, 2011

Berdalih Lagi...


Insiden 9 Julai kini menjadi satu tragedi hitam buat pemimpin negara. Entah mengapa, kerajaan berhabis-habisan 'menyerang' penganjur BERSIH dari segenap sudut. Melalui saluran media akhbar, kaca televisyen dan juga wahana-wahana komunikasi terkini seperti FB dan blog. Saya telah lama menduga yang reputasi kerajaan akan bertambah buruk jika isu ini cuba dibahas dan dibalas. Rakyat akan tertanya mengapa kerajaan berhabis-habisan cuba menyekat BERSIH. Sebaiknya kerajaan mengambil sikap mendiamkan diri supaya ianya lama-kelamaan larut dan hilang daripada agenda utama rakyat. Tambahan pula, media tidak mampu lagi membohongi rakyat dengan menyatakan kehadiran pada 9 Julai lepas hanya sekitar 2000 orang, atau 3000 orang, atau juga 5000 orang. Ternyata media terpaksa mengakui kehadiran adalah dalam lingkungan 5 digit ramainya. Kesemua ini menjadi teka teki dalam minda rakyat marhaen dan pengundi atas pagar. Ada apa dengan BERSIH sehingga begitu ramai yang hadir walaupun cuba disekat oleh kerajaan? Apa semua ini? Aku mesti tahu!!! Itulah skrip pengakhirannya. Rakyat yang tidak tahu akan menjadi tahu. Mencari maklumat di mana-mana demi memadamkan kekusutan fikiran yang penuh kekeliruan.

Sejak tragedi 9 Julai, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk melunturkan kehangatan BERSIH. Antaranya mengeluarkan kenyataan yang polis tidak bertindak kasar terhadap para demonstran. Maka dipaparkanlah imej mereka yang ditahan diberikan makanan ala buffet dan surau yang selesa. Aneh. Sungguh aneh. Mengapa kerajaan cuba lari daripada menjawab persoalan sebenar. Bagi mereka yang tidak turut serta ke perhimpunan BERSIH, pasti akan tertanya mengapa terlalu banyak imej dan video demonstran yang disepak, dipukul dan dimaki oleh polis. Ini yang perlu dibidas semula oleh pihak kerajaan. Bukannya memaparkan gambar layanan baik di depot tahanan polis. Rakyat semakin cerdik. Melarikan diri daripada isu hanya akan memualkan rakyat. Menyebabkan rakyat semakin hilang kepercayaan dan kredibiliti pada kerajaan. Kerajaan sepatutnya diam dan mengabaikan isu ini.

Kedua, Menteri Kesihatan, Dato' Sri Liow Tong Lai telah mengeluarkan kenyataan bahawa polis tidak menembak gas pemedih mata dan juga tidak menghalakan pemancur air kimia ke arah Hospital Tung Shin. Perkara yang benar tidak mampu dilindungkan lagi. Banyak rakaman yang menunjukkan kebenaran dan kesahihan bahawa polis telah melakukan hal demikian. Jika dihantar ke makmal CSI di Amerika Syarikat sekalipun, keputusannya tetap 99.99% tulen. Daripada hanya pemimpin UMNO yang terlibat, kini pemimpin MCA pun dipalitkan sama. Bukan setakat UMNO yang dalam bahaya, kini Barisan Nasional hampir karam.

Banyak lagi jawapan-jawapan yang diberikan oleh kerajaan membuatkan saya menghantukkan tangan ke dahi. Antaranya ialah sistem biometrik yang akan digunakan dalam pilihanraya akan datang. Tak perlulah saya ulas lebih panjang. Dalam kerajaan sibuk memerli dan memandang rendah permintaan BERSIH, diperbaikinya juga sistem pilihanraya. Bukankah itu petanda kemenangan BERSIH? Tidak cukup dengan itu, kerajaan cuba berdegil dengan membaiki sistem melalui caranya sendiri. Bukannya dengan menuruti permintaan BERSIH yang mahukan dakwat kekal dipakai. Nah, berapa banyak kos yang akan dibelanjakan untuk sistem biometrik ini?

Apa pula reaksi parti pembangkang? Mereka hanya duduk berdiam diri sahaja. Tanpa berbuat apa-apa, mereka telah pun menang secara moral. Cukup rakyat sahaja untuk memeningkan kepala kerajaan. Lebih dahsyat lagi, tempias BERSIH 2.0 sampainya sejauh Amerika Syarikat dan United Kingdom. Jika dulu hanya rakyat di Malaysia sahaja yang menyertai BERSIH. Kini rakyat di luar negara turut menyokong. Mengapa kerajaan tidak pernah menyebut hal ini? Parti pemerintah telah mencipta sendiri isu 'BERSIH' ini. Jika bukan kerana tindakan mereka selama ini, BERSIH pasti tidak akan wujud. Nah, inilah rekacipta yang terhasil daripada jalan yang mereka pilih. Selamat Berjaya!!!


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Smart Parenting (Siri 1)



Awal bulan Julai yang lepas, saya telah berkesempatan menghadiri Seminar Strategi Ibu Bapa Bijak bersama isteri di Dewan LPPKN, Seremban 2. Seminar ini telah dikendalikan oleh En. Zaid Mohamad, seorang motivator keibu bapaan yang mendapat tauliah daripada pusat latihan di Amerika Syarikat. Saya mula mengenali Zaid Mohamad ketika Pesta Buku Antarabangsa di PWTC pada bulan April yang lepas. Ketika itu isteri saya membeli beberapa buah buku hasil tulisan beliau. Mengikut kata isteri, Zaid Mohamad banyak menulis artikel keibu bapaan di dalam akhbar harian dan juga sering muncul di kaca televisyen. Berikut saya kongsikan beberapa tips dan ilmu keibu bapaan yang boleh dimanfaatkan bersama.


The Do's


Antara perkara yang perlu dilakukan ketika ibu masih mengandung ialah:



  • Berhenti merokok



  • Mengambil vitamin tambahan



  • Banyakkan memakan 'makanan minda' - raisins, dates, etc



  • Banyakkan latihan dan aktiviti mental



  • Berfikiran positif dan menjauhi stres

Fasa awal selepas kelahiran




  • 0-6 bulan : otak banyak berinteraksi dengan objek yang berwarna merah, hitam dan putih (MHP). Banyakkan aktiviti yang melibatkan objek berwarna MHP


  • 0-12 bulan : tanamkan tabiat tidur yang baik


  • 6-24 bulan : tangani perangai ultra-manja anak


  • 2 tahun : latih tidur di bilik sendiri. Tips terbaik ialah memberi anak-anak peluang untuk menghias bilik sendiri. Ini akan membuatkan anak seronok untuk tidur di bilik sendiri kerana hiasan bilik adalah daripada inspirasinya sendiri



  • 3 tahun dan ke atas:



  1. hantar anak ke kelas muzik. Muzik akan meningkatkan kreativiti otak kanan anak


  2. tangani keresahan berpisah. Contohnya ketika melawat ke tadika atau taman asuhan untuk mendaftarkan anak. Biarkan anak berlegar-legar dan bermain-main dalam kawasan tadika/pusat asuhan untuk mereka menilai sendiri pilihan tadika/taman asuhan yang mereka suka. Mereka secara sendirinya akan memberitahu tadika/ pusat asuhan yang mereka suka. Apabila hari pertama di tadika/taman asuhan, anak tidak akan berasa kekok dan seronok untuk bersama kawan-kawan dan pengasuh.


  3. Tangani perbalahan adik-beradik. Contohnya perebutan mainan. Ajar konsep "ownership" pada anak melalui label. Label kuning untuk mainan abang dan label hijau untuk mainan adik.


  4. Gunakan tali pinggang keledar. Ini ada langkah awal untuk melatih anak berdisiplin dan menghormati peraturan.


Strategi 7S



1. Sayang-menyayangi





  • Tips supaya kasih sayang dapat dilihat anak



- Niat yang betul: niatkan mengajar anak dalam sesuatu mata pelajaran kerana sayangkan anak dan bukannya kerana untuk mendapat 'A'.


- Peluk/cium anak 3 kali sehari (perbuatan)




- Ucapkan sayang 3 kali sehari (perkataan)




- Masukkan 'cinta' setiap hari : memasak, membasuh, mengajar, sediakan bekal ke sekolah dan ajar sendiri anak mata pelajaran sekolah. Bekalkan air kosong dari rumah. Letakkan air di atas meja ketika belajar. Ini kerana air punya emosi (sila rujuk kajian yang dilakukan oleh sebuah universiti di Jepun melalui internet). Jika unsur yang baik seperti pelajaran masuk ke dalam air, emosi air akan menjadi baik dan menyihatkan otak dan badan.




-Bahasa penuh hormat : jauhi berleter, melabel dan mengkritik. Jika mahu menegur, fokuskan teguran pada perbuatan/kesalahan dan bukannya pada individu (anak). Cari punca mengapa kesalahan terjadi dan bukannya mengkritik anak.




-Kasih sayang tanpa syarat: Bandingkan anak dengan masa dan bukannya dengan orang lain. Contohnya, bandingkan anak dengan pencapaian baiknya yang lepas supaya dia sedar akan kemampuan dirinya. Jangan bandingkan dengan pencapaian mereka yang lebih baik. Ini akan melenyapkan motivasi diri anak. Kenal pasti juga kekuatan dan kelebihan anak. Rangka karier atau masa depan anak berdasarkan kelebihan yang ada pada anak.




- Bina rumah beraura positif: tinggalkan benda-benda negatif seperti stres sebelum memasuki rumah.




- Banyakkan senyum ketika di rumah.




- Bersenam secara konsisten: bersenam akan menghasilkan hormon 'endorphine', sejenis hormon yang digunakan dalam bidang perubatan untuk membuatkan seseorang itu merasa gembira dan selalu tersenyum. Beberapa orang bintang Hollywood membelanjakan jutaan ringgit untuk mendapatkan hormon ini.




- Beri maklum balas pada anak dan bukannya kritikan.




- Hulurkan cinta (datuk dan nenek): ziarah sebulan sekali dan telefon dua kali sebulan (lebih kerap lebih bagus)




- Hulurkan cinta (guru): Galakkan anak beri tumpuan 100% dalam kelas. Ajari anak bahawa guru di sekolah sama tarafnya dengan ibu bapa di rumah. Berikan kebebasan guru untuk mendidik anak kita (jangan masuk campur urusan pengajaran di sekolah). Beri kerjasama pada guru dalam pembelajaran anak-anak.







2. Sekatan dan sukatan







  • Kenal pasti jadual yang sesuai untuk anak-anak. Libatkan anak-anak dalam merangka jadual harian mereka. Ini akan meransang minda mereka dan melatih mereka menjadi pemimpin.



  • Tempoh waktu aktviti yang sesuai:



- Belajar : tidak melebihi 45 minit.




- Rehat : tidak melebihi 15 minit




- Sambung belajar : tidak melebihi 45 minit.




Jumlah masa belajar dan rehat adalah 1 jam 30 minit. Inilah tempoh yang efektif untuk pelajar sekolah.







  • Beriadah: waktu yang sesuai ialah selepas solat Asar sehingga Maghrib. Waktu tersebut adalah masa yang sesuai untuk merembes hormon. Elakkan menghantar anak tusyen pada waktu petang kerana waktu tersebut hanya efektif untuk beriadah sahaja.



  • Bina 'dinding' bersama. Buat 'retreat' di kawasan percutian dan bincangkan bersama peraturan di rumah. Libatkan anak dan juga pembantu rumah, jika ada. Penglibatan pembantu rumah penting supaya tidak di'kelentong' oleh anak tentang peraturan di dalam rumah.



  • Biarkan anak cadangkan jadual harian mereka sendiri (ibu bapa masih perlu menilai cadangan mereka. Jika perlu diubah, ibu bapa boleh berbuat demikian). Tiada masalah jika jadual setiap anak berbeza (contohnya jadual waktu belajar). Pastikan mereka mengikut jadual harian yang mereka lakarkan.



  • Berikan tugasan di rumah supaya bakat-bakat kepimpinan lahir dalam diri mereka.



  • Senaraikan akhlak mengikut kategori A,B,C,D. Ganjari anak mengikut akhlak kategori A,B,C dan D juga



- A: Award (contohnya membantu ibu bapa,etc)




B: Bebelan (contohnya menegur anak malas belajar)




C: Cantas (contohnya tarik balik keistimewaan - jika nakal, abang tak boleh main komputer)




D: Denda (contohnya jika anak tidak menunaikan solat, rotan)




bersambung...



"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Wednesday, July 13, 2011

Pasca BERSIH 2.0 (part 1)


Sejak bulan Mei hinggalah ke bulan Julai ini, rata-rata rakyat masih sibuk memperkatakan perarakan BERSIH 2.0 yang berlangsung pada hujung minggu lepas. Terus terang saya katakan saya hanyalah rakyat biasa yang tidak menganggotai mana-mana parti dan pandangan saya adalah bersifat neutral. Banyak artikel-artikel yang telah dimajukan kepada saya berkaitan BERSIH 2.0. Ada yang mengutuk dan ada juga yang menyokong. Semua pihak berhak untuk menyuarakan pandangan masing-masing. Saya juga berasa terpanggil untuk berkongsi apa yang ada di benak fikiran saya sejak pasca BERSIH 2.0

Sejarah demonstrasi di jalan bermula pada era Reformasi tahun 1998. Setelah DS Anwar Ibrahim disumbat ke Penjara Sungai Buloh, tiada lagi demonstrasi dijalankan. Kira-kira pada tahun 2005, berlaku lonjakan Reformasi semula dan Perhimpunan 100,000 Rakyat telah dianjurkan di Jalan Kebun, Klang. Memang ramai yang cuba menghadirkan diri. Pada masa yang sama, PDRM telah membuat sekatan jalan raya dan menyebabkan kesesakan jalan raya yang luar biasa. Penyokong Reformasi mula berasa tidak puas hati dan laungan "Reformasi" mula kedengaran di sepanjang kesesakan. PDRM mula bertindak agresif dengan menangkap mereka yang kelihatan terang-terangan menyokong Reformasi. Ini merupakan satu titik hitam dalam sejarah kestabilan negara.

Sejak dari itu, semakin banyak demonstrasi dianjurkan untuk menyatakan luahan dan perasaan tidak puas hati rakyat kepada pemimpin kerajaan. Perhimpunan Memansuhkan PPSMI, Perhimpunan Menghapuskan ISA dan banyak lagi. Kesemua perhimpunan ini berjaya menarik kehadiran puluhan ribu rakyat daripada pelbagai lapisan kaum dan umur. Ini merupakan tanda-tanda awal dan petunjuk rakyat sudah semakin sukar untuk mempercayai pemimpin kerajaan. Kerajaan perlu berbuat sesuatu sebelum ia menjadi parah.

Sebagai rakyat yang prihatin, saya merasakan sudah tiba masanya pemimpin kerajaan mengambil jalan tengah dengan berunding dan mula mendengar luahan hati mereka. Tidak dinafikan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib telah mengambil inisiatif yang pelbagai untuk mendengar keluhan rakyat seperti karnival bersama rakyat, mengaktifkan blog, mengadakan lawatan ke kawasan FELDA dan banyak lagi medium komunikasi untuk kemudahan rakyat. Pun begitu, saya merasakan bentuk aduan yang diterima oleh Perdana Menteri adalah berbentuk selektif. Banyak permintaan dan keluhan lain yang gagal didengar baik oleh pihak kerajaan. Sebagai contoh, penahanan mereka yang disyaki pengganas di bawah Akta ISA 1960.

Mat Sah Mat Satray merupakan salah seorang tahanan ISA yang ditahan pada tahun 2002. Beliau ditahan atas tuduhan menganggotai Jemaah Islamiah yang menggunakan medium kekerasan dan keganasan. Melalui temuramah bersama beliau, beliau menafikan tuduhan tersebut. Beliau hanya mengutip derma di pejabatnya untuk diserahkan kepada golongan miskin di Afghanistan yang baru dijajah oleh Amerika Syarikat. Setiap kali dihadapkan ke mahkamah, beliau menolak tuduhan tersebut dan pihak pendakwaraya gagal mengemukan sebarang bukti. Namun dengan kuasa yang ada pada pemimpin kerajaan, beliau telah dihumban ke dalam Kem Tahanan Kamunting walaupun tiada bukti mengatakan beliau bersalah. Selama tujuh tahun tersebut, beliau telah dinafikan hak bersama keluarganya dan tiada sebarang bukti dapat dikemukakan oleh Kementerian Dalam Negeri. Pada tahun 2009, beliau telah dibebaskan dengan bersyarat, iaitu tidak boleh keluar dari daerah di mana beliau menetap. Beliau juga dikehendaki melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap minggu. Sepanjang beliau ditahan, isteri beliau telah beberapa kali cuba untuk menemui Menteri Dalam Negeri, namun permintaan tersebut selalu ditolak. Termasuklah juga permintaan untuk berjumpa Menteri Kebajikan Masyarakat. Ini telah menyemai kebencian kepada pemimpin kerajaan sekurang-kurangnya di kalangan jiran tetangga Mat Sah, kaum keluarganya, ipar duai, isteri dan anak beliau. Rakyat juga sudah celik dan ada antara mereka yang mengikuti luahan hati keluarga Mat Sah secara dekat. Bagi saya, ini merupakan satu perkara yang perlu diambil serius oleh kerajaan. Kerajaan tidak lagi boleh bersikap selektif dalam membantu orang awam.

Justeru, perhimpunan BERSIH 2.0 melambangkan satu tanda aras bahaya atau lampu amaran untuk kerajaan mula berfikir semula sama ada kerajaan benar-benar prihatin ataupun tidak. Apabila ketidak puas hatian semakin memuncak, seseorang individu itu sanggup melanggar prinsip dan undang-undang demi memuaskan hati. Ramai yang beranggapan penganjur BERSIH 2.0 bersikap individualistik dan berobjektifkan politik pembangkang. Namun, jika diselusuri 8 permintaan BERSIH sejak 2007 dahulu, tiada satu pun yang diambil peduli oleh kerajaan. Jika kerajaan berjaya melaksanakan tuntutan mereka, saya yakin rakyat akan menolak BERSIH jika mereka menganjurkan demonstrasi buat kali ketiga. Bagi saya, kelapan-lapan tuntutan tersebut tidak punya mudharat pada kerajaan. Apatah lagi menguntungkan sebelah pihak. Apakah tuntutan-tuntutan tersebut?

1. Bersihkan senarai undi
2. Mereformasikan undi pos
3. Gunakan dakwat kekal
4. Akses media yang bebas dan adil
5. Masa kempen minima 21 hari
6. Kukuhkan institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor

Pada hemat saya, jika kerajaan berjaya melaksanakan kesemua tuntutan ini, ia akan mengukuhkan lagi sokongan rakyat. Kesemua permintaan ini adalah berbentuk membina dan positif demi kemajuan kita bersama. Menafikan hak permintaan tersebut secara bulat-bulat akan membuatkan rakyat hilang rasa hormat pada institusi kerajaan. Tambahan pula, SPR punya rekod buruk memungkiri janji mengotakan penggunaan dakwat kekal pada pilihanraya 2008. Dakwat sudah dibeli dan akhirnya tidak terpakai. Pendekatan mendengar dan mengambil berat amat penting dalam memastikan keharmonian semua pihak. Jika kita bersikap adil, semua orang mampu menilai siapa yang berlebih-lebihan dan siapa yang bersikap pertengahan.
Langkah pertama kerajaan ialah mengajak parti pembangkang dan NGO untuk duduk semeja berbincang tentang hala tuju negara. Selama ini kita gagal melihat kerajaan menggunakan peranan ahli parlimen dari parti pembangkang untuk dimanfaatkan bersama. Amat rugi ahli parlimen pembangkang yang berjumlah 70 lebih itu tidak dimanfaatkan. Mereka seolah-olah hanya bergoyang kaki sambil menerima elaun bulanan selaku ahli parlimen. Inilah masa kita berganding bahu menuju Wawasan 2020. Wallahu a'lam.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

Monday, July 4, 2011

Naik Chuggington

The Young Chuggers of Chuggington

Siri kartun 'Chuggington' merupakan animasi terkini yang diminati oleh Nu'man selepas 'Upin dan Ipin'. Jika Nu'man menyukainya, Nawfal akan menuruti sahaja. Rancangan kartun ini kian popular setelah berada di saluran Astro sejak beberapa bulan yang lalu. Kini TV3 juga telah menayangkan rancangan kartun ini di waktu pagi.


Kisah bagaimana Nu'man meminati Chuggington juga agak unik. Semuanya bermula pada satu malam yang ketika itu 'mood' Nu'man tidak begitu baik. Sampai satu ketika saya juga mati akal bagaimana mahu menenangkannya. Akhirnya diilhamkan Allah, saya membuka televisyen dan terkeluarlah lagu tema Chuggington. Terus terang saya katakan, saya juga tertarik dengan rentak lagu temanya yang rancak dan mampu mencuri hati anak-anak kecil. Di situlah bermulanya minat Nu'man pada siri kartun ini.


Ummi dan Nawfal berbaris membeli tiket komuter

Sejak beberapa minggu yang lepas, saya telah membulatkan hati untuk membawa Nu'man dan Nawfal menaiki komuter yang hampir menyerupai Chuggington. Kebetulan pula, terdapat sebuah stesen komuter yang baru beroperasi sejak bulan lepas tidak jauh dari rumah saya. Pagi semalam, saya telah menyiapkan anak-anak seawal jam 9.30 pagi kerana ingin membawa mereka merasai keseronokan menaiki Chuggington.


Menunggu Chuggington tiba

Kami bergerak dari rumah sekitar jam 10 pagi dan tiba di stesen komuter Sungai Gadut sekitar 30 minit selepas itu. Hujung minggu adalah waktu yang terbaik untuk menaiki komuter kerana kebanyakan penumpang hanya menggunakan perkhidmatan ini untuk ke tempat kerja. Ketika hujung minggu atau cuti umum, memang sangat sedikit mereka yang menggunakan perkhidmatan komuter. Nu'man kelihatan terpinga ketika komuter tiba di stesen. Nawfal pula terus berlari mendapatkan ummi kerana takut. Maklumlah, baru kali pertama melihat komuter. Nu'man terpinga kerana tidak menyangka 'Chuggington' lebih besar daripada yang ditontonnya di kaca televisyen.


Dua beradik ni kelihatan teruja dapat bersiar-siar bersama abah dan ummi


Setelah saya pimpin Nu'man ke dalam 'Chuggington', barulah Nu'man mula membuka mulutnya.


"Abah, Chuggington"

Saya tersenyum melihat reaksi Nu'man. Sementara itu pula, Nawfal sudah mula memanjat ke sana ke mari. Habis semua benda disentuhnya. Tersenyum lebar bermain di dalam komuter.


Ummi pun gayat gak sebenarnya naik Chuggington...huhu

Bagi saya yang kerap menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja, komuter bukanlah sesuatu yang baru bagi saya. Bagi isteri saya yang sudah bertahun-tahun tidak menaiki komuter, beliau merasakan komuter sekarang agak lebih cantik dan baru berbanding komuter yang dinaikinya sekitar 5 tahun dahulu.

Kami tiba di destinasi terakhir, iaitu stesen keretapi Seremban kira-kira 10 minit perjalanan. Satu tempoh yang cukup untuk menghiburkan anak-anak. Dari stesen Sungai Gadut, komuter akan berhenti sebentar di stesen Senawang sebelum melanjutkan perjalanan ke stesen Seremban.


Nu'man dan Nawfal masih takut-takut lagi

Setelah tiba di stesen Seremban, kami membeli tiket perjalanan pulang ke stesen Sungai Gadut semula. Saya perhatikan ada juga beberapa keluarga yang membawa anak-anak mereka bersiar dengan menaiki komuter. Ada satu keluarga yang bertolak dari stesen Senawang menuju ke Sungai Gadut yang menarik perhatian saya. Entah mengapa dari awal saya dapat mengagak mereka menaiki komuter hanya untuk bersiar-siar sahaja. Mungkin kerana pakaian mereka yang 'biasa-biasa' sahaja, tidak seperti penumpang lain yang berpakaian segak kerana punya urusan masing-masing. Lebih daripada itu, saya juga mengesyaki mereka tidak akan turun di Sungai Gadut sehinggalah komuter berpatah balik ke Senawang untuk menjimatkan tambang perjalanan.



Nawfal berpaut pada 'pole' komuter

Ternyata benar telahan saya. Saya juga boleh berbuat demikian jika saya mahu. Sebagai seorang muslim, kita juga harus ingat bahawa duit yang berjaya dijimatkan dengan cara menipu itu juga adalah haram untuk digunakan dalam apa jua urusan lain. Saya berasa jelik melihat keluarga tersebut. Si bapa telah menunjukkan contoh yang tidak baik pada anak-anaknya. Tidak mustahil anak-anaknya akan mencontohi si ayah dan selama-lamanya mereka akan dilabel sebagai bangsa yang suka menipu dan suka mengambil kesempatan. Semoga Allah menjauhi kita daripada tabiat sedemikian. Semoga Allah melimpahi hidayah pada mereka supaya tidak mengulangi kesilapan ini. Wallahu a'lam.


Tiang ni kite punye

Tak mencabar la panjat kerusi ni


Adeh, letih la panjat-panjat ni. Duk ngan ummi plak la



Yeayyyy...dah sampai




"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)