Monday, February 28, 2011

Libya...ku rasakan hampir denganmu

Krisis kepimpinan di tanah Arab mula merebak dengan meluas. Setelah dimulai oleh Tunisia, ia berjangkit ke Mesir dan terkini pula di Yaman, Bahrain dan Libya. Tidak dinafikan juga berlaku pemberontakan kecil-kecilan di beberapa buah negara Arab lain seperti Syria, Jordan dan Algeria. Antara Yaman, Bahrain dan Libya, dunia lebih tertumpu kepada Libya kerana keganasan melampau yang telah dilakukan oleh Muammar Gaddafi kepada rakyat yang menentangnya. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan dunia secara dekat pastinya mengenali Muammar Gaddafi sebagai seorang yang berani dan tegas. Beliau tidak takut untuk mengecam polisi Amerika Syarikat di depan Presiden George Bush. Keperibadian beliau hampir menyamai Ahmedinijad, Presiden Iran iaitu berani berkata benar. Malah Muammar Gaddafi tidak segan silu membawa khemahnya bersama (khemah badwi) ketika lawatan rasmi ke Amerika Syarikat. Saya masih ingat lagi beliau mengarahkan para pekerjanya menegakkan khemah di sebuah padang besar sebagai tempat untuk beliau berehat dan beradu. Beliau kononnya cuba menunjukkan yang beliau berbangga dengan adat yang beliau warisi.

Beliau sekali lagi berjaya menarik perhatian dunia apabila meminta sebuah kelab bola sepak di Itali, Juventus untuk menerima anak lelakinya, Saiful Islam sebagai pemain kelab tersebut. Juventus merupakan sebuah kelab bola sepak terkemuka di Eropah dan berjaya menjuarai Piala Eropah sebanyak dua kali. Ini jelas menunjukkan sikap keras kepala Muammar Gaddafi yang tidak segan silu melanggar norma kebiasaan dalam adat sukan bola sepak. Sebuah kelab yang berprestij semestinya mahukan pemain-pemain yang berkualiti sahaja untuk mewakili mereka. Pemain tersebut mestilah mempunyai skil dan kemahiran yang tinggi serta sanggup berkorban untuk memperjuangkan misi kelab tersebut. Tetapi siapakah Saiful Islam di arena bola sepak? Tiada siapa yang mengenali beliau.

Apabila saya meningkat dewasa, saya makin mengenali latar belakang dan peristiwa sejarah yang berlaku di Libya sepanjang era kepimpinan Muammar Gaddafi. Selama ini apabila disebut nama Libya, apa yang tergambar di benak fikiran saya ialah As Syahid Umar Mukhtar yang gagah menentang penjajah Itali. Tatkala beliau syahid, beliau telah pun berusia 80 tahun. Oleh kerana keberanian beliau, pihak berkuasa Itali yang dipimpin oleh Gen. Mussolini ketika itu menggelarkannya 'Lion of the Desert'. Muammar Gaddafi mula memerintah Libya sejak 42 tahun yang lalu. Setelah berjaya menjatuhkan sistem kerajaan beraja, beliau telah dilantik menjadi presiden Libya sehingga sekarang. Secara tidak langsung, beliau telah melantik dirinya menjadi presiden Libya sehinggalah beliau meninggal dunia. Ramai rakyat Libya yang menentangnya telah ditangkap. Tidak kurang juga ada yang dibunuh. Diriwayatkan pernah satu ketika seorang penentang beliau telah ditangkap dan digantung di depan khalayak ramai di sebuah universiti di Libya. Insiden ini telah disiarkan secara langsung di dalam televisyen sebagai pengajaran daripada Muammar Gaddafi kepada rakyat awam. Sungguh menggerunkan.

Ini telah menjadikan gerakan Islam di Libya terutamanya Ikhwanul Muslimin terpaksa bergerak dalam keadaan kerahsiaan yang rapi demi maslahah dakwah. Sepengetahuan saya, Ikhwanul Muslimin Libya dan Iraq adalah jamaah yang paling kuat kerahsiaannya berbanding dengan Ikhwanul Muslimin di negara-negara lain. Antara nama tokoh Ikhwan Libya yang menonjol pernah saya dengar ialah Dr. Amen Belhadj yang kini dalam buangan. Libya adalah salah sebuah negara Arab yang terletak di benua Afrika. Saya tidak pernah melangkah kaki ke mana-mana negara Afrika sebelum ini. Pun begitu, atas dasar ukhuwwah fillah, saya merasa dekat dengan rakyat Libya yang sedang menuntut kebebasan daripada kebobrokan pemimpin mereka. Tatkala melihat foto-foto rakyat Libya yang sedang berjuang, saya tersenyum bangga melihat kesungguhan dan keberanian mereka.

Muammar Gaddafi telah menggunakan segala macam cara untuk membantutkan perjuangan rakyatnya. Gaji pekerja kerajaan dinaikkan sehingga 150%. Mengebom rakyatnya sendiri dengan pesawat pejuang udara. Kesemuanya tidak membuahkan hasil. Malah rakyat semakin marah dan menyampah. Malah, anaknya sendiri, Saiful Arab telah bersama pihak pembangkang menentang beliau. Beberapa jeneral tentera telah mula berpaling tadah seperti yang berlaku di Benghazi. Benghazi merupakan bandar kedua terbesar di Libya selepas Tripoli. Dua buah jet pejuang telah melencong ke Malta kerana tidak sanggup mengebom bangsa mereka sendiri. Beberapa orang diplomat di kedutaan Libya di seluruh dunia telah meletakkan jawatan sebagai tanda protes kepada Muammar Gaddafi.

Sungguh menjijikkan apabila disoal oleh wartawan, Muammar Gaddafi menganggap tindakan beliau mempertahankan jawatannya sebagai satu jihad dan beliau sanggup mati syahid. Bagi saya tiada perkataan lain yang boleh menggambarkan Muammar Gaddafi...gila. Orang gila akan bercakap semahu yang disukainya walaupun ianya berlanggar dengan prinsip. Hanya orang gila sahaja yang menganggap nyawa itu tiada nilai dan tidak berharga. Sama-samalah kita berdoa supaya rakyat Libya dikurniakan keselamatan dan perlindungan daripada Allah yang Esa. Rakyat Benghazi kini sedang bersiap sedia menghadapi gempur tentera Muammar Gaddafi yang akan tiba bila-bila masa dari sekarang. Bagi mereka tiada jalan keluar melainkan berhadapan dengan ketumbukan tentera setia Muammar Gaddafi. Inilah sifat berani yang sebenar. Semoga para tentera Libya dilembutkan hati dan berpaling tadah bersama rakyat jelata menentang ketua mereka pula. Wahai tentera, ambillah fatwa Syeikh Yusuf Qaradhawi yang menyarankan anda membunuh sendiri Muammar Gaddafi sebagai modal jihad yang sebenar. Allahumman shurhum 'ala 'aduwwuhum. Allahumma aameen.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment