Tatkala saya merenung perkembangan terkini di dunia Arab, hanya satu perkataan yang benar-benar dapat menyatukan kesemua peristiwa sejarah ini. Kebebasan. Apa pula perkataan lawan kepada kebebasan? Tanpa merujuk kepada kamus Dewan Bahasa, juga hanya satu perkataan yang muncul di benak fikiran saya. Penjajahan. Sedar ataupun tidak, hampir kesemua tempat di dunia pernah dijajah. Malaysia pernah dijajah Inggeris, Portugis dan Belanda. Britain sendiri pernah dijajah oleh Kerajaan Rom dahulu kala. Antara contoh negara yang tidak pernah dijajah ialah Thailand. Biarpun sebelum ini terdapat beberapa percubaan menjajah kerajaan Siam oleh Jepun, British dan kerajaan purba Myanmar. Namun oleh kerana kebijaksanaan Raja Siam bermain taktik politik, Thailand berjaya diselamatkan daripada dijajah oleh mana-mana kuasa besar ketika itu.
Pun begitu, adakah Thailand benar-benar tidak dijajah dalam erti kata sebenar? Umum melihat penjajahan adalah sinonim dengan penguasaan bangsa asing ke atas rakyat tempatan. Bagaimana pula dengan penguasaan ke atas bangsa sendiri melalui kezaliman? Adakah ini boleh diklasifikasikan sebagai penjajahan? Mari kita lihat apa yang berada dalam lipatan sejarah di Mesir. Mesir sebelum ini telah diperintah oleh Presiden Hosni Mubarak selama 30 tahun. Sepanjang pemerintahan beliau, taraf hidup rakyat makin merosot. Pengangguran meningkat sehingga 25% di kalangan rakyat marhaen. Malah rakyat yang bekerja juga terpaksa melakukan dua pekerjaan untuk menyara keluarga. Pernah diceritakan seorang akauntan kanan di Lapangan Terbang Cairo membawa teksi secara sambilan untuk menampung hidup di kota kosmopolitan itu. Akauntan kanan atau dalam English Senior Accountant. Satu jawatan yang agak tinggi. Mana-mana rakyat yang menentang presiden akan ditahan dan dihumban ke dalam penjara. Presiden telah memperuntukkan sejumlah 1.8 juta jawatan polis di bumi kinanah ini. Jumlah polis yang ramai ini akan menggerunkan mana-mana rakyat yang cuba menentang presiden.
Suasana seperti ini tidak jauh bezanya dengan situasi di Thailand. Bezanya hanya kekerasan tidak dilaksanakan ke atas rakyat. Satu ketika dahulu Thailand diperintah oleh Perdana Menteri Thaksin Shinawatra. Perdana Menteri ini mempunyai kekayaan yang amat luar biasa. Manakan tidak, syarikat telekomunikasi telah dimonopoli oleh beliau seorang. Secara tidak langsung rakyat dipaksa berjual beli dengan Perdana Menteri mereka. Di manakah kebebasan? Jawapannya tiada. Jelas menunjukkan rakyat Thailand ketika itu telah dijajah oleh Perdana Menterinya yang sebangsa dengan mereka sendiri. Bagaimana dengan Arab Saudi? Rasa semua sedia maklum negaranya diperintah oleh Raja dan barisan menterinya pula adalah daripada kaum kerabatnya sendiri juga. Arab Saudi adalah contoh negara yang paling jelas dijajah oleh bangsanya sendiri. Terang-terangan tanpa perlu bersuluh. Sungguh memalukan. Sebuah negara yang mempunyai kalimah toyyibah di benderanya tetapi hakikatnya tidak melaksanakan sistem perlembagaan Islam.
Mari kita lihat negara kita sendiri pula? Berlakukah penjajahan sesama bangsa di dalam negara kita yang dicintai ini? Apakah rakyat diberikan kebebasan untuk bersuara? Adakah pemimpin negara semakin kaya dan rakyat semakin tertekan taraf ekonominya? Apakah rakyat dibiarkan terus mengharungi tribulasi ketidak stabilan ekonomi dunia sendirian? Apakah rakyat yang fakir dan miskin terbela? Sama-samalah kita fikirkan. Fikirkan cara untuk menyelamatkan rakyat negara ini. Tidak perlu membuang masa memikirkan sama ada negara ini masih dijajah ataupun tidak. Saya pasti semua orang tahu jawapannya.
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment