Tuesday, February 22, 2011

Cinta di Rumah Hassan Al Banna (final part)

Hassan Al Banna pernah kematian dua orang anaknya, Hishamudin dan Shafa. Hishamudin meninggal kerana demam panas. Ketika itu ubat untuk melawan virus tersebut masih belum ditemui. Isteri as syahid bermimpi bertemu dengan seorang berjubah putih dan berserban hijau. Orang tersebut mengatakan bahawa dia akan membawa Hishamudin pergi dalam masa 15 hari lagi. 15 hari kemudian, Hishamudin pergi menemui Ilahi. Ketika Hishamudin meninggal, Hassan Al Banna sendiri yang mengebumikan jenazahnya ke dalam liang lahad.

Shafa pula meninggal ketika masih sangat kecil (kurang setahun). Isteri as syahid sekali lagi telah bermimpi bertemu dengan individu yang sama sebelum Hishamudin meninggal dunia. Orang tersebut mengatakan akan mengambil Shafa dalam masa 4 hari. Hassan Al Banna bersujud syukur dan mengatakan orang tersebut ialah malaikat yang mulia. Tidak lama selepas itu, Hassan Al Banna memanggil Ustaz Sa'duddin dan memintanya untuk mengambil foto dirinya bersama Shafa. 4 hari kemudian Shafa pergi mengadap Ilahi. Hassan Al Banna sendiri yang telah mengebumikannya. Mesej penting yang ingin disampaikan di sini ialah Hassan Al Banna tidak meremehkan sesiapa daripada ahli keluarganya. Sehingga ketika dia dalam perjalanan, ketika bekerja, ketika dia berdakwah dan ketika tiada di rumah; Hassan Al Banna akan menyediakan dan mengatur semua urusan keluarganya dengan baik.

Kisah ketika Hassan Al Banna masih kecil

Saiful Islam menceritakan bahawa datuknya pernah bercerita yang Hassan Al Banna pernah hilang pada suatu hari Jumaat. Ketika itu Hassan Al Banna masih kanak-kanak. Semua ahli keluarga mencarinya namun tidak berjumpa. Salah seorang ahli keluarga menyarankan agar mencari beliau di dalam masjid. Ternyata benar as syahid berada di dalam masjid sedang berkhutbah di mimbar yang kosong tanpa jamaah yang sudah pun selesai menunaikan solat Jumaat. Hassan Al Banna rupanya ketika itu sedang meniru datuk, Syeikh Ahmad Abdurrahman al Banna yang sebelum itu telah menjadi khatib ketika solat Jumaat.

Kepentingan perpustakaan kecil di rumah

Kata pepatah, "Jika engkau ingin mengenali seseorang, kenalilah daripada buku-buku di perpustakaannya". Cara inilah yang telah digunakan oleh ayah Hassan Al Banna kepada Saiful Islam selepas kesyahidannya. Hassan Al Banna syahid ketika Saiful Islam baru mencecah 15 tahun. Datuknya telah menyarankannya membaca koleksi buku-buku milik as syahid supaya beliau dapat mengenali lebih mendalam apakah aspirasi, gaya pemikiran dan wawasan Hassan Al Banna. Malah sebelum dijemput Ilahi, as syahid sempat memberikan beberapa buah bukunya kepada Saiful Islam untuk dibaca. Seolah-olah beliau tahu yang beliau tidak punya banyak masa untuk menerangkan wawasan hidupnya kepada anaknya. Daripada buku-buku itu jugalah Saiful Islam dapat memahami wasiat ayahnya yang disampaikan tidak lama sebelum beliau dibunuh.

Khatib yang relevan

Jamaah Ikhwanul Muslimin juga dikenali sebagai sekolah khutbah. Ini kerana, isi kandungan yang disampaikan ketika khutbah Jumaat oleh as syahid Hassan Al Banna adalah khutbah yang berbeza daripada kebanyakan khatib pada masa itu. Kebanyakan khatib pada masa itu menyampaikan khutbah dengan membaca kitab-kitab tradisional yang mana isinya sangat tidak relevan dengan suasana masa tersebut. Namun, Hassan Al Banna membuat satu perubahan dengan menyampaikan tajuk yang berkait rapat dengan suasana masa kini seperti penjajahan dan ekonomi negara Mesir. Ini berjaya menambat hati ramai pendengar. Kesannya, nama Hassan Al Banna dan Ikhwanul Muslimin tercatit di dalam dokumen penjajah Inggeris sebagai watak yang perlu dihapuskan.

Hubungan Hassan Al Banna bersama para kader dakwah

Pada suatu hari di tahun 1946, seorang wartawan majalah Mushawwir telah menemu bual as syahid dengan tema "Satu Hari dalam Kehidupan Hassan Al Banna". Sedang sibuk wartawan tersebut mengambil foto as syahid, terdengar bunyi telefon berdering. Seorang akh telah membawakan telefon tersebut kepada as syahid. Wartawan tersebut ingin mengambil gambarnya tetapi akh ini telah menolak dan meminta foto yang telah diambil tidak disebarkan kepada khalayak ramai. Dalam keluaran majalah tersebut, Hassan Al Banna telah menyebut dalam Ikhwan tidak ada posisi pemimpin dan pasukan.

"Kita semua adalah pasukan di jalan Allah", ujar Hassan Al Banna

Penutup

Hassan Al Banna adalah model pemimpin rumah tangga yang ideal. Awal makalah yang ditulisnya, 'Dakwah adalah kewajipan' dan makalah keduanya bertajuk, 'Kepada siapa dakwah ini diseru?' Dalam makalah tersebut ditegaskan bahawa keluarga adalah objek pertama dakwah yang harus diberi perhatian. Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud

"Dan berilah peringatan kepada keluargmu yang dekat..." (wa anzir 'asyiratakal aqraabeen...)

"Hati-hati, jangan sampai kamu menganggap ayahmu bermanfaat untukmu di akhirat kelak" (pesan as syahid kepada Saiful Islam)

Tamat...

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment