Sunday, March 6, 2011

Sai'd bin Jubair (part 1)

Sai'd bin Jubair mempunyai kulit yang gelap, rambut kerinting dan berasal daripada keturunan Habsyah. Beliau tidak pernah berpisah daripada Abdullah bin Abbas yang dari daripadanya beliau belajar Al Quran, hadis serta ilmu diniah yang lain. Setelah mempelajari banyak ilmu daripada Ibnu Abbas, beliau telah bermusafir mencari ilmu sehinggalah beliau memilih Kufah sebagai tempat ia bermastautin. Di bulan Ramadhan, ketika menjadi imam, beliau akan membaca Al Quran mengikut bacaan Abdullah bin Mas'ud. Keesokan malamnya mengikut bacaan Zaid bin Thabit dan malam-malam seterusnya mengikut bacaan riwayat-riwayat yang lain. Setiap kali beliau membaca Surah Ghaafir ayat 70 hingga 72, beliau akan rasa menggeletar dan mengalir air matanya. Beliau akan mengulangi ayat-ayat tersebut berulang kali seolah-olah telah hampir ajalnya. "Maka mereka akan mengetahui kelak. Ketika belenggu dan rantai dipasung pada leher mereka, sambil mereka diseret. Ke dalam air panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam api neraka." Kebiasaannya Sa'id bin Jubair akan ke Baitul Haram dua kali setahun. Pada bulan Rejab untuk menunaikan umrah dan sekali lagi pada bulan Zulkaedah untuk menunaikan haji. Suatu ketika, telah berlaku satu pertembungan antara al Hajjaj bin Yusuf dengan Abdul Rahman al Ash'ath, salah seorang panglima tenteranya. Pertembungan ini telah menjadi malapetaka yang dahsyat sehingga meninggalkan luka yang mendalam kepada umat Islam.

Kisah ini bermula apabila al Hajjaj mengarahkan Ibnu Al Ash'ath memerangi Ratbil, Raja Turk yang memerintah di sebelah utara Sijistan (terletak antara Iran dan Afghanistan). Ibnu Al Ash'ath pun melancarkan serangan dan berjaya menawan jajahan tersebut berserta harta rampasan yang banyak. Beliau kemudiannya mengutuskan utusan kepada al Hajjaj tentang perkhabaran kemenangan tersebut dan membawa bersama seperlima harta rampasan untuk disimpan di dalam Baitul Maal. Beliau turut mengutus sepucuk surat meminta izin al Hajjaj untuk menghentikan serangan seketika bagi membolehkan beliau meneliti setiap inci negeri itu. Beliau mahu mengkaji negeri tersebut sebelum mara lebih jauh ke kawasan yang tidak diketahuinya. Pastinya tenteranya akan terdedah kepada bahaya jika beliau tidak berbuat demikian.


Al Hajjaj berasa marah dengan permintaan Ibnu Al Ash'ath dan membalas sepucuk surat dengan menyifatkan panglimanya itu seorang pengecut dan lemah. Al Hajjaj mengugut akan menghukum dan memecatnya daripada memimpin angkatan tentera. Apabila mendapat surat tersebut, Ibnu Al Ash'ath membacakan surat tersebut di hadapan para panglimanya dan meminta pandangan mereka. Mereka semua bersetuju untuk menyerang al Hajjaj dan membatalkan kesetiaan mereka kepadanya. Abdul Rahman Al Ash'ath mara bersama-sama tentera yang menyimpan perasaan benci kepada al Hajjaj. Berlakukan pertentangan yang sengit dan pasukan Ibnu Al Ash'ath beroleh kemenangan. Beliau berjaya menguasai Sijistan, kebanyakan kawasan Parsi dan seterusnya mara dengan hasrat untuk mengambil alih Kufah dan Basrah daripada al Hajjaj.


Al Hajjaj mula mengalami kekalahan demi kekalahan. Pembesarnya telah mengutus surat yang berbunyi demikian,


"Ahli zimmi telah beramai-ramai memeluk Islam kerana enggan membayar jizyah. Mereka juga telah meninggalkan kampung untuk menetap di bandar. Kutipan cukai kharaj semakin berkurangan dan wang telah kehabisan".


Al Hajjaj telah menulis surat kepada pentadbir di Basrah dan kawasan-kawasan lain mengarahkan mereka supaya mengumpulkan semua ahli zimmi yang berpindah ke bandar. Mereka diarahkan supaya kembali ke kampung walau selama mana sekalipun mereka telah berpindah. Para pentadbir melaksanakan perintah tersebut dan menghalau mereka keluar sejumlah besar ahli zimmi dari rumah mereka. Mereka disingkir daripada mencari rezeki dan dihimpunkan di pinggir bandar. Malah isteri dan anak-anak mereka turut dipaksa berpindah bersama. Mereka dipaksa berpindah semula ke kampung-kampung walaupun telah sekian lama berhijrah. Para ulama qura' Basrah meminta supaya mereka ini dikasihani dan dibantu. Namun mereka tidak mampu membantu. Hanya tangisan dan permintaan tolong sahaja yang mampu diberikan oleh para ulama ini.


Abdul Rahman al Ash'ath telah mengambil kesempatan ini memperoleh sokongan para ulama untuk bersamanya menentang al Hajjaj. Pelawaan ini disambut oleh ramai tokoh terkemuka ulama tabi'en seperti Sai'd bin Jubair, Abdul Rahman bin Abu Laila, al Sha'bi dan Abu al Bakhtari. Pada peringkat awal, kemenangan hampir berpihak kepada Ibnu Al Ash'ath. Perlahan-lahan al Hajjaj memperoleh semula kekuatannya dan akhirnya berjaya menewaskan Abdul Rahman al Ash'ath. Al Hajjaj telah memanggil kesemua tentera yang kalah tadi dan memerintahkan mereka memperbaharui bai'ah mereka. Ramai yang berpaling tadah mengikut al Hajjaj dan tidak kurang pula ramai yang tetap setia menentangnya seperti Sai'd bin Jubair.


Sesiapa yang enggan berbai'ah dengan al Hajjaj akan dihukum bunuh. Beribu rakyat yang telah mati dibunuh hanya kerana enggan berbai'ah dengan al Hajjaj. Dikisahkan terdapat seorang tua yang lanjut usianya berasal daripada kabilah Khath'am mengambil pendirian berkecuali dalam peperangan antara dua puak ini. Beliau menetap di seberang Sungai Furat. Walaupun begitu, beliau telah diheret sama mengadap al Hajjaj. Apabila dibawa masuk menemui al Hajjaj, dia ditanya tentang pendapatnya dan dia menjawab,


"Semenjak peperangan ini meletus, saya mengasingkan diri di seberang sungai ini untuk menunggu peperangan tamat. Apabila engkau memperoleh kemenangan saya datang menemui engkau untuk memberikan sumpah setia saya."


Al Hajjaj terus melenting mendengar pengakuan orang tua tersebut,


"Alangkah celaka, apakah engkau hanya duduk melihat dan tidak berperang bersama pemerintahmu? Apakah engkau mengakui kekufuranmu?" tengking al Hajjaj lagi.


"Alangkah malangnya saya, setelah menyembah Allah selama 80 tahun, kemudian saya mengakui bahawa saya kafir." jawab lelaki tua itu dengan beraninya.


Al Hajjaj dengan geramnya ingin membunuh lelaki tua tersebut. Lelaki tua tersebut menjawab dengan berani,


"Jika engkau bunuh saya, demi Allah usia yang ada pada saya hanya ibarat seteguk air yang diminum seekor keldai. Seekor keldai yang minum pada waktu pagi akan mati pada malamnya. Saya sentiasa menunggu saat kematian pagi dan petang. Buatlah menurut kehendak engkau."


Lantas al Hajjaj memberi arahan kepada tukang pancungnya memancung kepala lelaki tua tersebut. Maka matilah lelaki tua tersebut dalam keadaan yang mulia.


bersambung...


Kisah ini dipetik daripada buku bertajuk 37 Kisah Kehidupan Tabi'in karangan Dr. Abdul Rahman Ra'fat al Basha

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment