Pantai mana yang tidak dilanda badai. Begitulah rencah kehidupan yang pelbagai. Semenjak adik beradik saya melanjutkan pengajian ke luar negara, pelbagai ujian yang melanda kedua orang tua saya. Ujian tersebut lebih berbentuk kegusaran dan kerisauan hati akan keselamatan anak-anak yang berada jauh di perantauan. Ketika saya menuntut di US, ibu bapa saya digemparkan dengan insiden September 11. Kebanyakan penduduk dan pemastautin US yang beragama Islam hidup dalam ketakutan berikutan insiden tersebut. Masjid-masjid diceroboh dan para muslimat diganggu. Setiap kali solat jumaat, pasti akan ada beberapa buah kereta polis mengawal keselamatan. Trauma tersebut berlarutan sehinggalah saya tamat pengajian. Pernah satu ketika, saya telah disoal siasat oleh FBI yang menyamar sebagai pelancong di dalam lapangan terbang. Mujur tiada apa-apa perkara yang tidak baik berlaku ke atas saya. Saya juga pernah diminta meminum air mineral yang saya bawa bersama ke dalam pesawat. Tujuannya untuk memastikan air tersebut bukannya bom cecair.
Adik saya yang kedua pula menuntut di Sulawesi, Indonesia. Di penghujung tahun pengajiannya, ibu bapa saya diuji dengan insiden Kumpulan Bendera. Jika ada antara kita yang masih ingat lagi, kumpulan ini telah meniupkan api kemarahan rakyat Indonesia ke atas rakyat Malaysia. Kebencian mereka meluap-luap hinggakan ramai pelajar Malaysia yang terpaksa berlindung diri di Kedutaan Malaysia di Jakarta.
Adik saya yang ketiga pula diuji dengan serangan tentera Korea Utara ke atas sebuah pulau di Korea Selatan. Keadaan menjadi genting hingga jurus tentera Korea Selatan menggugat untuk menyerang semula Korea Utara. Ditambah dengan campur tangan Amerika Syarikat yang bersedia membantu Korea Selatan menewaskan Korea Utara membuatkan ibu saya semakin tidak lena tidurnya. Hampir setiap hari ibu saya menghubungi adik saya untuk mendapatkan maklumat terkini di Korea Selatan. Alhamdulillah akhirnya kemelut tersebut reda dengan sendirinya.
Kini adik saya yang keempat pula diuji dengan kebangkitan rakyat Mesir menentang Hosni Mubarak. Adik saya kini berlindung di Kedutaan Malaysia, Kaherah. Perkembangan terkini menyatakan kerajaan Malaysia akan memindahkan rakyat Malaysia di Mesir melalui laluan darat menuju ke Jeddah, Arab Saudi. Keadaan masih belum menunjukkan tanda-tanda rusuhan semakin reda. Kebimbangan ibu saya semakin memuncak. Akhirnya ibu saya menghubungi saya menyatakan kegusaran beliau. Memandangkan saya anak yang sulong, sayalah tempat ibu saya mencurahkan isi hatinya. Ibu saya berpendapat cara yang terbaik menghadapi situasi ini ialah dengan menjemput adik saya pulang ke Malaysia. Adik saya sedang 'kekeringan' poket ketika ini. Masakan tidak, bank telah ditutup sehingga tempoh yang tidak diketahui bila. Jika mereka dipindahkan ke Jeddah, di manakah mereka akan ditempatkan? Bilangan pelajar sahaja mencecah 11 ribu orang. Tidak dikira lagi bilangan rakyat Malaysia yang bekerja di sana. Kerajaan Malaysia seolah-olah tidak mempunyai contigency plan yang teratur.
Pada awalnya ibu saya mencadangkan saya dan ayah saya ke Mesir untuk mengambil adik saya. Biar apa pun yang terjadi, saya bersedia menghadapi risiko tersebut demi keselamatan nyawa adik saya. Memandangkan kerajaan akan memindahkan para pelajar ke Jeddah, maka perancangan ke Mesir diubah ke Jeddah. Itupun jika kerajaan bersungguh untuk meneruskan perancangan tersebut. Jika tidak, saya dan ayah saya akan menempuh rintangan menuju ke Kaherah. Doakan semuanya selamat. Lebih-lebih lagi pejuang Ikhwanul Muslimin yang sedang hebat bertarung menjatuhkan kebatilan di bumi Kinanah. Setakat ini seramai 17 orang pemimpin Ikhwanul Muslimin sudah ditawan oleh polis.
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment