Jabatan tempat di mana saya bertugas sekarang dinamakan sebagai Jabatan Kejuruteraan. Tugas Jabatan Kejuruteraan ialah sebagai tempat rujukan perkara-perkara teknikal bagi kerja-kerja Bahagian Penghantaran. Biasanya kami menjadi tempat rujukan Jabatan Senggaraan Aset (Asset Maintenance) dan Jabatan Pembangunan Aset (Asset Development). Kerja-kerja Jabatan Senggaraan Aset lebih kepada kerja-kerja penyenggelaraan menara penghantaran dan pencawang masuk utama. Jika terdapat aspek teknikal yang tidak mampu mereka lakukan, kebiasaannya Jabatan Kejuruteraan lah yang menjadi rujukan. Jabatan Pembangunan Aset pula tugasnya lebih kepada menyelia projek-projek Bahagian Penghantaran yang sedang berlangsung. Contohnya seperti pembinaan menara penghantara untuk talian atas (transmission line) dan pembinaan pencawang masuk utama. Kebiasaannya Jabatan Kejuruteraan akan memainkan peranan dengan memastikan lukisan teknikal dan reka bentuk adalah menepati seperti yang dikehendaki oleh spesifikasi TNB.
Sejak kebelakangan ini kedua-dua jabatan tersebut sering berhubung dengan jabatan saya untuk mendapatkan khidmat nasihat dari segi aspek teknikal. Kebanyakan daripadanya adalah perkara yang kecil dan remeh.
"Korang ni tak baca spec (spesifikasi) ke?" tempak pengurus saya.
"Ler, ni kan memang keja Engineering (Jabatan Kejuruteraan). Bagila input"
"Apa guna spec untuk AM (Asset Maintenance) dan AD (Asst Development) kalau tak buka dan baca", balas pengurus saya.
Diringkaskan cerita, kebanyakan khidmat nasihat yang mereka minta adalah dalam bidang pengetahuan mereka sebagai seorang jurutera. Namun, mungkin dek terlalu sibuk ataupun malas untuk merujuk kepada spesifikasi, perkara-perkara yang kecil pun akan dirujuk kepada jabatan saya. Ini akan merencatkan gerak kerja jabatan saya secara amnya. Jika perkara teknikal yang dirujuk adalah kecil dan remeh, kedua-dua jabatan tersebut boleh menyelesaikannya sendiri melalui spesifikasi yang dibekalkan.
Kadang kala pengurus saya berbalah dengan pengurus-pengurus daripada kedua-dua jabatan tersebut kerana isu-isu yang mereka utarakan adalah terlalu remeh dan boleh diselesaikan dengan mudah. Moral yang boleh diambil daripada pengalaman saya ini ialah janganlah kita terlalu mengharapkan orang lain menyelesaikan masalah kita. Ada kalanya masalah tersebut mampu kita selesaikan jika kita punya kemahuan. Hakikatnya inilah yang berlaku dalam masyarakat muslim Melayu di zaman ini.
Sebagai seorang muslim, adalah menjadi kewajipan kita untuk mendalami ilmu-ilmu fardhu ain sebagai panduan hidup kita. Namun begitu, ramai antara kita meletakkan tanggungjawab tersebut kepada para ustaz dan ustazah supaya mudah untuk kita jadikan rujukan. Kita merasakan untuk mempelajari dan memahami ilmu-ilmu fardhu ain adalah suatu yang membebankan. Hinggakan bagaimana hendak bertayammum pun dirujuk kepada ustaz dan ustazah. Walhal kaifiat bagaimana untuk bertayammum boleh didapati di kedai-kedai buku agama di seluruh pelusuk negara. Inilah dua penyakit umat zaman kini; MALAS dan TIDAK KEBERSAMAAN. Maksud saya dengan TIDAK KEBERSAMAAN ialah tidak merasakan menuntut ilmu diniah itu adalah tanggungjawab kita juga.
Asalkan ada masalah agama sahaja, terus kita tolak ke tepi.
"Aku tak layak nak ulas benda ni lah."
"Biarlah ustaz-ustaz tu yang jawab. Bukan bidang kita ni"
Pelbagai alasan yang kita berikan untuk mengelakkan diri daripada bebanan tersebut. Sedar atau tidak, kita lah yang rugi sebenarnya jika kita merasa berat untuk menambah ilmu diniah. Mengapa? Kerana di sana terselit ilmu yang banyak untuk kita gali. Ilmu seerah, ilmu lughah (Bahasa Arab), ilmu mustolah hadis, ilmu tafsir Al Quran, ilmu balaghah dan banyak lagi. Sampai bila kita akan cuba mengelak diri daripada menuntut ilmu diniah? Adakah adil kita membebankan tanggungjawab kita pada orang lain? Sama-sama fikir dan sama-sama jawab. Bak kata Upin dan Ipin...
"betul...betul...betul"
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment