Tsana bercerita,
"Saya masih ingat ketika saya masih belajar di sekolah khas, dan ayah sebenarnya mahukan saya ke madrasah Amiri, sekolah kerajaan. Saya bersekolah di sekolah yang bernama Mashr al Haditsah, sebuah sekolah moden pertama di Mesir ketika itu. Sekolah itulah yang membuka kesempatan untuk menyiarkan acara Hadits ats Tsulatsa (program ceramah pada hari Selasa) untuk para akhawat agar mereka boleh mendengar pengajaran daripada ayah melalui sekolah.
Saya bertanya pada ayah, apakah dia bersetuju anak perempuannya ingin bersekolah di sana? Ayah menyatakan persetujuannya. Ayah lalu memasukkan saya ke sekolah itu di kelas satu, padahal sebelum ini saya berada di kelas dua. Bahan pelajaran di sekolah itu agak berat sehingga saya tidak mampu mengikuti pelajaran yang diajar dan akhirnya ayah memindahkan saya lagi. Di sekolah baru, saya duduk di kelas dua, dan kerana keadaannya sukar ternyata saya tidak naik ke kelas lagi. Saya berasa malu dan mengatakan bahawa saya tidak akan pergi ke sekolah lagi.Apabila musim persekolahan bermula, ayah berkata kepada saya,
'Ya Tsana...mari pergi ke sekolah...'Saya tetap tidak mahu pergi. Lalu ayah berkata,
'Baik, kamu sangat pandai memasak. Mungkin kamu boleh duduk di rumah, belajar memasak dan bantu ibu di dapur.'
Saya menangis mendengar kata-kata ayah. Kemudian ayah mengatakan,'Kamu bantu ibu sahaja di rumah ya...'
Tentu sahaja saya sangat takut dan saya terus pergi ke sekolah. Ayah berkata kepada saya,'Apakah kamu mahu belajar dengan bersungguh-sungguh dan menguasai mata pelajaran yang diajar?' Saya menjawab, 'Ya, insya Allah.' Seperti itulah ayah, dia tidak memaksa anak-anaknya untuk melakukan sesuatu, tetapi mengarahkan kami dengan cara yang tepat. Kami malu dengan sikap ayah, tapi kami tidak takut kepadanya."
Ayah Menjatuhkan Hukuman kepada Kami
Memberi hukuman juga harus mempunyai formula tersendiri dalam melaksanakannya. Antara lain, sesuatu hukuman adalah untuk menyedarkan seseorang atas kesalahan yang dilakukannya, supaya dia serik dan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Tsana mengatakan,
"Ayah meyakini bahawa kaedah memberikan hadiah dan menjatuhkan hukuman itu perlu dilakukan. Misalnya, ayah biasanya akan memberikan kami makanan dan kuih-muih ketika menyambut maulidur rasul. Makanan dan kuih-muih itu juga diberikan kepada sesiapa sahaja yang bersama-sama kami untuk mendengarkan pembacaan ayat-ayat Al Quran ataupun hadis Rasulullah S.A.W, ataupun juga dalam acara untuk syiar jemaah."Saiful Islam mengatakan,
"Hukuman yang paling berat yang diberikan ayah kepada salah seorang daripada kami adalah tarik telinga. Suatu ketika, telinga saya ditarik, dan ini adalah bentuk hukuman yang paling berat yang pernah saya terima. Puncanya, suatu pagi ada kesalahan yang saya telah lakukan. Tetapi waktu tengahari, sekitar jam 11, ayah menelefon bagi menenangkan saya dan memperbaiki hubungan kami kembali. Peristiwa itu sangat berkesan pada jiwa saya."Tsana bercerita,
"Jarang sekali ayah menghukum kami. Kecuali apabila ada sesuatu yang memang dianggap kesalahan berat ataupun berkaitan dengan perbuatan melanggar perintahnya yang sebelum itu sudah diingatkan kepada kami. Jika kami bersalah, tentu sahaja kami akan menerima hukuman, sebagaimana kaedah punishment and reward dalam pendidikan. Saya sendiri hanya menerima dua hukuman daripada ayah. Kali pertama ketika saya keluar tanpa memakai kasut dan kali kedua ketika saya memukul pembantu rumah. Saya ingat ketika itu saya dihukum kerana kesalahan saya sendiri. Di rumah lama kami, ada beberapa pemisah ruangan. Ayah ingin menggunakan bilik di tingkat bawah, dengan alasan supaya anak-anak tidak letih kerana kami tidak perlu melalui tangga. Selain itu, ia juga supaya jiran tetangga tidak kepenatan jika mereka ingin berkunjung. Suatu ketika saya duduk di tangga itu dan melihat ayah dari jauh. Saya segera bangun dan menghampirinya tanpa memakai selipar. Ketika itu ayah hanya melihat saya sekejap sahaja, hanya sepintas lalu. Dan ketika itu saya sedar dan pasti akan menerima hukuman daripada ayah. Saya segera kembali ke rumah.Selepas para ikhwan pulang,ayah masuk ke ruang makan dan memanggil saya. Saya datang dengan langkah yang agak lambat kerana takut. Ayah berkata,
'Duduklah di kerusi dan angkat kedua-dua kaki kamu.'Ayah lalu memukul kaki saya dengan pembaris pendek. Setiap sebelah kaki mendapat 10 sebatan. Tetapi terus terang saya sebenarnya saya ingin ketawa, kerana pukulannya begitu perlahan bahkan saya tidak merasa sakit pun. Ayah hanya ingin membuat saya mengerti bahawa saya telah melakukan kesalahan."
Kehangatan Pelukannya Masih Kurasakan Sampai Sekarang
Suatu hari Saiful Islam telah berbincang dengan as syahid ketika makan tengahari,
"Saya banyak berinteraksi dengan ayah sepanjang dua tahun. Ketika saya duduk di bangku sekolah menengah yang mana pelajar mulai berjinak-jinak dengan politik. Kami juga dibenarkan menyertai sebarang demonstrasi. Sata sendiri bergabung dengan kumpulan pelajar pada ketika itu yang dipimpin oleh Ustaz Farid Abdul Khaliq. Lokasi pejabatnya berdekatan dengan ibu pejabat Ikhwanul Muslimin. Oleh itu, secara automatik saya terlibat dengan para ikhwan di sekolah melalui pelbagai kegiatan yang dianjurkan oleh kumpulan pelajar. Di sekolah, kami menganjurkan beberapa perbincangan yang meliputi masalah negara, nasionalisme, masalah Sg. Nil, penjajahan Inggeris di Mesir dan Sudah, juga masalah penyatuan antara Mesir dan Sudan.Ketika kembali ke rumah, saya makan tengahari bersama ayah dan bertanya pendapatnya tentang perbincangan yang berlaku di sekolah. Saya ingat, ketika itu saya bertanya,
'Apa yang akan kita lakukan bagi menghadapi Inggeris jika mereka tidak mahu meninggalkan Mesir?'Ayah menjawab,
'Kami akan mengutuskan kamu bersama-sama pasukanmu untuk mengusir mereka dengan kekuatan.'Ketika itu ayah memeluk saya hangat sekali. Hingga sekarang saya masih merasakan pelukannya itu.
Menyedarkan Anak Gadis dengan Peranan Kewanitaannya
Hassan Al Banna sangat prihatin akan kaum wanita. Dia sangat memelihara pendidikan anak-anak gadisnya supaya mereka boleh menjalankan peranan dalam membangunkan kaum wanita yang lain. Ini terbukti benar dengan jawatan yang disandang oleh puteri sulongnya, Wafa sebagai pensyarah Fakulti Pendidikan Kewanitaan. Tsana pula bertugas sebagai pensyarah ilmu pengurusan makanan di Universiti Kerajaan Arab Saudi.
Tsana berkata,
"Ayah sangat yakin peri pentingnya mendidik kaum wanita. Tapi pelajaran untuk wanita harus sesuai dengan sifat kewanitaannya. Oleh itu, saya mendalami bidang yang berkaitan dengan urusan kewanitaan."
Ayah dan Ibu Kami Pasangan Romantik dan Harmoni
Tsana menceritakan,
"Pernah suatu hari ayah pulang lewat malam dan ibu sudah pun tidur. Ketika itu, ayah tidak mengejutkan ibu, bahkan menyiapkan sendiri makanan dan semua keperluan makan malam untuk para ikhwan yang berkunjung. Ayah tahu kedudukan bahan perasa masakan serta peralatan dapur lalu secara bertahap ayah menyediakan makanan, pencuci mulut dan minuman untuk para ikhwan. Ayah juga menyediakan roti dan menyusun meja makan untuk mereka makan bersama."
Saiful Islam pula menambah,
"Jika pulang lewat, ayah tidak pernah mengganggu sesiapa. Pada hal kunci rumah kami cukup panjang sehingga jika dibuka, pasti akan menghasilkan bunyi. Suatu malam, saya belajar hingga lewat malam. Betapa terkejutnya saya ketika mendapati ayah sudah berada di rumah, padahal saya tidak mendengar bunyi pintu dibuka. Ternyata ayah membuka pintu dengan begitu berhati-hati, bahkan dengan seperlahan yang boleh. Ayah mempunyai perasaan yang sangat halus, bahkan mungkin boleh dikatakan sangat lembut."
Tanamkan Semangat Kebersamaan dengan Kondisi Dunia Islam
Hassan Al Banna telah cuba membina suasana tafahhum, iaitu memahami secara umumnya kondisi dunia Islam terutamanya saudara Islam di Palestin. Ada satu peristiwa yang membuat raut muka Hassan Al Banna berubah kerana memendam kesedihan sekaligus kemarahan. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1948, ketika pasukan Ikhwan terlibat dalam perang di Palestin.
Tsana menceritakan,
"Ketika itu, ibu bersama makcik dan nenek berada di sebuah ruang membuat kuih-muih menyambut hari raya. Ayah memandang ibu dan berkata,
'Ya Ummu Wafa, apakah engkau akan membuat roti sedangkan ada 12 orang kader Ikhwanul Muslimin gugur di Palestin?'
Selepas itu ayah meminta salah seorang pembantunya mengemas semua peralatan membuat roti dan kuih. Ibu saya tidak lagi membuat roti sejak hari tersebut hingga sekarang. Ibu setidaknya pernah membuat biskut, tetapi tidak pernah membuat roti. Bahkan sehingga selepas ayah meninggal dunia."
Selepas Saya Mengambil Kertas-kertas Ayah Tanpa Izinnya
Ketika berlaku kesalahan di dalam rumah, ada banyak cara untuk menjelaskan kesalahan itu kepada si pelaku kesalahan. Yang paling utama adalah menjelaskan bahawa perbuatan yang dilakukannya itu salah, dan kemudian memberikan cara bagaimana menyelesaikannya.
Saiful Islam bercerita,
"Saya masih ingat, suatu hari saya mengambil sejumlah kertas dari ruang kerja ayah tanpa meminta izin. Ketika ayah mengetahui ada sejumlah kertasnya yang berkurangan, ayah tidak memarahi saya dan tiadk pula melontarkan kata-kata yang kasar kepada saya. Tapi ayah duduk di hadapan saya, lalu dia mengemaskan kertas-kertasnya sehingga saya sendiri mengerti secara tidak langsung apa yang telah saya lakukan. Selepas itu, ayah memberikan kepada saya sejumlah kertas dan berkata, 'Kertas-kertas ini khusus untukmu. Jika kamu inginkan kertas yang lain, beritahu ayah dan ayah akan berikan kertas yang kamu inginkan."
Ayah, Teman Saya Belajar dan Berbincang
Saiful Islam menyebut,
- Ayah mempunyai hubungan komunikasi yang baik dengan guru sekolah dan kerap menanyakan keadaan saya di sekolah dengan para guru.
- Ayah biasa mengarahkan para guru di sekolah menekankan beberapa aspek pelajaran yang dianggap penting. Saya masih ingat guru bahasa Arab saya yang bernama Ustaz Ali. Beliau telah memberikan tugasan kepada murid-murid supaya membeli buku tulis dan menuliskan syair-syair pilihannya. Dia juga berjanji mahu membantu kami menyelesaikan tugasan tersebut dan memberikan hadiah kepada sesiapa yang menulis paling banyak. Saya terkejut pada akhir tahun persekolahan, ayah rupanya yang mengarahkan guru bahasa Arab kami untuk memperkuatkan aspek pelajaran yang saya anggap kurang penting (syair). Ayah melakukan kaedah meningkatkan kemampuan bahasa Arab dengan memberi cadangan kepada guru kami.
- Jika pulang malam, ayah bersoal jawab dengan saya mengenai pelajaran sekolah. Ayah sangat bijak dalam mata pelajaran matematik. Ayah membantu saya menguasai mata pelajaran matematik dan menyelesaikan soalan-soalan yang tidak mampu saya selesaikan.
- Ayah meminta salah seorang Ikhwan memantau sikap dan keadaan saya di sekolah.
- Ayah kadang kala meminta seorang Ikhwan untuk menerangkan beberapa mata pelajaran di hadapan saya.
No comments:
Post a Comment