Wednesday, January 5, 2011

Cinta di Rumah Hassan Al Banna (part 2)



sumber: http://gallery.hd.org



Aku mula membaca dari ayat ini...

Jika Hassan Al Banna pulang ke rumah seketika dan berehat sebentar, beliau akan bangun beberapa ketika sebelum masuk waktu Maghrib. Hal ini lazim dilakukan oleh as syahid pada bulan Ramadhan. Hassan Al Banna akan memanggil Tsana dan Wafa untuk mendengarkan bacaan Al Quran beliau. Mereka berdua akan memegang Al Quran dan menyemak bacaan as syahid. Beliau sebenarnya cuba menegur bacaan anak-anaknya yang salah dengan cara tidak langsung. Mereka berdua akhirnya dapat mengagak mesej yang cuba disampaikan oleh si ayah.


Berinteraksi sewajarnya dengan masyarakat

Tsana bercerita,

"Ayah mengizinkan kami mengikuti lawatan sekolah. Ayah juga mengizinkan kami berinteraksi sewajarnya dengan jiran tetangga dan masyarakat setempat. Pada masa itu, kami saling mengenali jiran tetangga. Ayah juga tidak melarang kami bermain dengan teman-teman kami di waktu-waktu tertentu, juga untuk hadir dalam pelbagai pertemuan di ibu pejabat Ikhwanul Muslimin. Mereka menyediakan meja untuk kami. Teman-teman kami dan mereka yang kami cintai adalah tetangga kami dan anak-anak di persekitaran kami."


Keterlibatan yang bijaksana

Tsana bercerita lagi,

"Saya masih ingat suatu peristiwa yang terjadi antara saya dengan kakak saya, Wafa. Ketika itu dia mulai memakai tudung di sekolah. Seorang guru sekolah yang mengajar etika keperempuanan menyatakan bahawa pakaian muslimah yang dipakainya tidak selari dengan peraturan sekolah. Walau bagaimanapun, guru tersebut adalah seorang yang baik pekertinya. Cuma beliau agak sedikit jahil dalam bab cara hidup Islam. Apabila mengetahui hal tersebut, ayah telah menghubungi guru tersebut melalui telefon dan cuba meyakinkan guru itu tentang kewajipan menutup aurat dan memakai tudung. Hasilnya positif kerana guru tersebut menjadi terbuka fikirannya dan bahkan mengubah laluan bas sekolah. Jika sebelum ini bas sekolah hanya menghantar dan menjemput kami tidak di kawasan rumah masing-masing, tapi kini bas itu menghantar kami ke perhentian yang berdekatan dengan rumah kami. Setelah guru itu berbicara dengan ayah, dia meminta kami dihantar hingga ke depan rumah masing-masing."


Setiausaha peribadi ayah

Sebagai anak perempuan yang sulong, Wafa telah diamanahkan oleh Hassan Al Banna menjadi setiausahanya yang akan hadir bersama-sama beliau dalam pertemuan tidak rasmi bersama para akhawat untuk merungkai sebarang masalah. Ditanya mengapa Wafa yang dipilih, beliau menjawab,
  1. Wafa anak yang paling tua


  2. Wafa lebih banyak berada di rumah. Berbeza dengan Saiful Islam yang jarang ada di rumah sepanjang hari, Wafa lah yang paling banyak berinteraksi dengan akhawat yang bertandang ke rumah.

Menurut Saiful Islam, "Kakak saya, Wafa adalah seorang yang sangat peka dengan pengurusan bahan-bahan dan keperluan ayah. Ini adalah satu metod yang baik dalam menyiapkan anak perempuan supaya boleh menjalani kehidupannya sebagai perempuan (mengurus rumah tangga)".

Rak-rak buku yang menjadi saksi

Hassan Al Banna sangat menitik beratkan pendidikan dari segi wawasan ilmu anak-anaknya. Hal ini dapat dilihat melalui coretan yang berikut:

  1. Pemberian tempat perpustakaan khusus untuk semua anak yang mengandungi buku-buku yang mereka inginkan.

  2. Memberikan wang bulanan untuk membeli buku-buku yang diinginkan sendiri oleh anak-anaknya, sesuai dengan kecenderungan mereka.

Saiful Islam menjelaskan,

"Saya ingat pada suatu ketika ada sebahagian buku-buku di perpustakaan rumah yang dimasukkan ke pejabat majalah As Shihab. Kemudian ayah membeli sejumlah buku lainnya untuk diletakkan di rumah. Ayah memberikan kepada saya perpustakaan yang sederhana. Ayah juga memberikan wang tambahan setiap bulan sebanyak 50 qirsy sebagai dana membeli buku agar boleh memenuhi perpustakaan saya itu."

Ayah menemankan kami ketika bermain

Tsana telah mengongsikan pengalamannya bersama as syahid,

"Ayah membawakan kami selipar untuk bermain dan kasut untuk pergi ke sekolah. Ketika musim panas, ayah selalu mengajak kami berjalan ke daerah As Sha'id. Jika ayah mengajak kami, kami tidak lepas daripada pemerhatiannya. Ayah juga mengajak kami ke rumah nenek dan bapa saudara di Ismailiyah agar kami dapat menghabiskan cuti di rumah mereka. Kami menikmati kebun-kebun hijau dan taman-taman yang indah. Saiful Islam akan bermain olahraga dan menunggang kuda."

"Kami menghabiskan hari yang sangat membahagiakan zaman kanak-kanak kami di tempat yang indah ini. Ada ladang yang subur, ada terusan Suez, ada kapal-kapal nelayan. Setelah selesai tahun pengajian, kami terus berangkat ke Ismailiyah. Ayah tinggal bersama-sama kami beberapa hari. Kemudian ayah akan memulakan perjalanan musim panasnya ke pelbagai tempat yang jauh di Mesir. Ayah mengunjungi setiap kampung dan desa. Cuti musim panas pada ketika itu lebih kurang empat bulan lamanya. Setelah itu, ayah kembali semula ke Ismailiyah menghabiskan cuti bersama-sama kami sehingga tiba waktunya kami kembali ke Kaherah saat menjelang sesi persekolahan yang baru."


Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesiapa menyakiti Fatimah bererti dia menyakitiku"

Hassan Al Banna selalu berusaha menyenangkan hati anak-anaknya, menenangkan mereka, mencerahkan fikiran mereka, serta menyisipkan kebahagiaan dalam hati mereka. Itulah sebahagian daripada kewajipan seorang murabbi yang berjaya. Zaman kanak-kanak adalah zaman yang kesedihan tidak boleh singgah di jiwa mereka. Ayah yang berjaya adalah ayah yang selalu menghapuskan air mata anak-anaknya dan mengusir kesedihan dalam hati mereka. As Syahid sangat memelihara jangan sampai ada salah seorang anaknya yang mengalami kesedihan dan jiwanya rasa disakiti. Dan inilah yang tertanam dengan baik dalam jiwa anak-anaknya sehingga meledakkan kecintaan dan komitmen yang kuat kepada ayah mereka. Ini mendorong anak-anak untuk benar-benar mengikut jejak langkah si ayah. Berbeza dengan ibu bapa yang memunculkan kesedihan dan rasa sakit dalam jiwa anak-anaknya yang mana kesannya akan membuahkan perasaan keras yang juga mengakibatkan jurang jauh antara mereka.

Tsana bercerita,

"Ayah sangat mengambil berat dan tidak mahu melihat perasaan kami terluka. Suatu hari datuk telah berkunjung ke kota kami dan menghadiri majlis jamuan perkahwinan. Saya, Saif dan Wafa mendapat tahu semasa dalam perjalanan bahawa datuk sudah menyiapkan kotak yang penuh dengan hadiah. Lalu datuk memutuskan hanya mahu ditemani oleh Saif dan Wafa sahaja. Ketika itu ayah mengajak dan mendokong saya lalu berkata,

"Tidak mengapa wahai Tsana..."

Lalu ayah memberikan kepada saya wang sebanyak 25 qirsy yang pada waktu itu sangat banyak nilainya. Tetapi meskipun demikian saya tetap sedih. Sedangkan di tangan saya ada beg berisi pakaian yang kemudian dibawa oleh ayah."


Ayah membiarkan saya menghabiskan bacaan buku komik

Terjadi kesalahan di rumah yang apabila ditangani akan menimbulkan kesalahan yang lebih besar. Ini boleh terjadi ketika ibu bapa terlalu memperbesarkan kesalahan yang tidak perlu. Ibu bapa bertindak balas ke atas kesalahan kecil dengan sangat keras dan kasar. Ini akan membentuk tekanan jiwa dan fikiran pada anak-anak. Melatih anak untuk berdiskusi dan berdialog adalah salah satu teknik yang perlu diaplikasikan di rumah. Salah satu kebiasaan Hassan Al Banna ialah berdialog dengan tenang untuk memperbaiki kekeliruan yang dilakukan anak-anaknya. Saiful Islam berkata,

"Setelah beberapa tahun, saya mula sedar ayah memperhatikan tingkah laku saya dengan teliti. Saya masih ingat semasa kecil saya pernah membeli buku cerita James. Dalam buku itu ada beberapa kisah percintaan. Suatu hari, ayah pulang lewat malam dan melihat saya masih belum tidur. Ketika itu saya sedang asyik membaca komik dan ayah berlalu begitu sahaja. Keesokan harinya, ayah mengajak saya untuk berbicara setelah saya tamat membaca komik tersebut. Ayah memberitahu yang beliau telah membelikan suatu buku yang lebih baik daripada komik tersebut. Buku-buku tersebut antaranya ialah cerita mengenai pemimpin Islam seperti Antarah bin Syadad, Saif bin Dzi Yazin, Umar Abdul Aziz dan banyak lagi. Ketika itu barulah saya menyedari yang ayah sangat memerhatikan tingkah laku saya dan bahan bacaan saya meskipun beliau sangat sibuk dengan aktiviti dakwahnya."

Saif, bagaimana jika ayah yang memuliakan tetamumu?

Saiful Islam pernah ditanya mengenai masalah sikap yang dialaminya ketika di zaman kanak-kanak dan bagaimana ayahandanya menangani masalah tersebut. Saiful Islam bercerita,

"Suatu ketika datang sekumpulan Ikhwan untuk menziarahi ayah. Saya menyambut mereka di pintu rumah dan bertanya,

"Apakah kamu datang untuk mengunjungiku ataupun untuk mengunjungi ayahku?"

Mereka menjawab mereka datang untuk menziarahi ayah. Lalu saya berkata,

"Baiklah, kalau begitu biarlah ayahku sahaja yang membukakan pintu untuk kamu semua."

Lalu saya menutup semula pintu dan membiarkan mereka menunggu di luar rumah. Setelah mereka menceritakan hal tersebut kepada ayah, ayah datang kepada saya dan bertanya mengapa saya bertindak demikian. Ayah tidak marah dengan jawapan saya dan tidak pula menghukum saya. Ayah berkata,

"Saif, bagaimana jika ayah yang memuliakan tetamumu? Ayah yang menyambut mereka dan ayah mempersilakan mereka masuk dan melayan mereka seperti tetamu-tetamu yang lain. Jika ada tetamu datang ingin menemui ayah pula, kamu pula yang sambut kedatangan mereka dan mempersilakan mereka masuk serta melayan mereka sebagaimana ayah melayan tetamu kamu."

Bermula dari saat itu, as syahid mengotakan janjinya pada Saiful Islam dan begitulah sebaliknya. Ketika ditanya bilakah peristiwa ini terjadi. Saiful Islam menjawab ketika beliau berumur antara 10 dan 11 tahun.

bersambung...


"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

2 comments:

  1. apakah ini merupakan isi dari buku tersebut..?

    ReplyDelete
  2. Ya,kesemuanya adalah isi buku tersebut

    ReplyDelete