Tuesday, June 29, 2010

Pesanan Mustafa Masyhur kepada Mereka yang Tidak Yakin

Ustaz Mustafa Masyhur, mursyidul am Ikhwanul Muslimin yang kelima pernah menyebut bahawa perjuangan tidak diukur dengan usia seseorang, tetapi diukur dengan usia dakwah dan umat. Usia dakwah yang lama membuktikan usaha dakwah itu terus menerima sokongan dan tidak mudah menuju jalan buntu jika ditekan dan dihalang. Terdapat segelintir yang meragui uslub dakwah Ikhwanul Muslimin dengan mengatakan tiada hasil yang tampak daripadanya. Jawapan ustaz ialah,

"Jalan kita adalah jalan yang benar. Ini kerana jalan ini dirintis oleh Imam Al Banna yang bersumberkan sirah Rasulullah SAW. Kita layak mengemban tugas ini kerana kita telah mendapat ujian dipenjara dari tahun 1954 hingga 1965. Kita tetap tegar dan diteguhkan oleh Allah meskipun ada antara kita yang menemui syahid. Kita tetap bersabar untuk perjuangan demi tegaknya negara Islam, meskipun terpaksa menunggu seratus tahun. Seratus tahun tidaklah lama jika mahu mewujudkan cita-cita besar."

"Yahudi telah merencana untuk menegakkan negara Israel yang terbentang dari Sungai Nil hingga Euphrates sejak seratus tahun lebih. Hingga sekarang usaha tersebut belum berhasil dan takkan berhasil, insya Allah".

Apakah manfaat yang dapat kita perolehi daripada ucapan ringkas Almarhum Ustaz Mustafa Masyhur ini?

1.

Dakwah yang bersumberkan seerah Rasulullah. Dakwah yang diamalkan oleh Rasulullah adalah dakwah yang dipimpin oleh wahyu dari langit. Apakah ada jalan kejayaan yang lebih besar daripada jalan yang bersumberkan Perancang kehidupan alam ini? Biarpun ia memakan masa selama hampir 23 tahun untuk berjaya, namun kejayaan yang ditempa mampu bertahan selama-lamanya. Allah telah berjanji sebagaimana yang terdapat di dalam Surah Al Anfaal ayat 44 dan 45,

"Dan ingatlah ketika Kami memperlihatkan kepada kamu, ketika kamu berjumpa dengan mereka berjumlah sedikit pada penglihatan matamu dan kamu ditampakkan berjumlah sedikit pada penglihatan mereka, kerana Allah hendak melakukan sesuatu urusan yang mesti dilaksanakan. Dan hanya kepada Allah lah dikembalikan segala urusan."

"Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah nama (Allah) sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung"

Seerah telah membuktikan dengan jumlah yang sedikit, jundullah tetap akan beroleh kemenangan dalam apa jua pertentangan. Resepinya hendaklah terus teguh menentang musuh dan sentiasa mengingati Allah. Seerah juga mengajar kita supaya tidak terlalu yakin dengan kemampuan sendiri sedangkan yang memberi kemenangan adalah dari Allah. Hal ini telah pun berlaku dalam Perang Hunain ketika mana tentera Islam hampir-hampir menemui kekalahan kerana terlalu yakin dengan jumlah mereka yang ramai. Untuk berjaya juga kita perlu taat sepenuh hati terhadap arahan pimpinan biarpun ianya bertentangan dengan kemahuan kita. Lihatlah apa yang berlaku dalam Perang Uhud yang akhirnya menyebabkan mereka yang taat kepada pimpinan juga menerima akibat yang buruk.

2.

Para du'at pasti akan diuji sebelum mencapai kejayaan. Sunnatullah menunjukkan kejayaan dakwah hanya akan berhasil setelah para pejuangnya mengalami tribulasi dan ujian yang memeritkan. Rasullah dan para sahabat telah diuji dengan dugaan yang berat selama 13 tahun di Mekah. Ada antara mereka yang syahid dan tidak kurang juga yang menerima kecacatan kekal. Hal seperti ini jugalah yang sedang dilalui oleh para du'at dari saf Hamas dan Ikhwanul Muslimin. Berbelas tahun mereka di penjara dan inilah bekalan berharga buat mereka dalam merintis jalan kemenangan. Mereka telah melalui dugaan yang sangat getir. Oleh itu, tidak hairanlah mereka mampu bertahan dengan ujian yang di mata mereka adalah sangat sedikit jika dibandingkan dengan ujian ketika di penjara.

Almarhum Syeikh Fathi Yakan pernah menyebut ujian yang Allah beri pada para mujahidin adalah sebagai tapisan untuk memperkuatkan jamaah dan harakah. Mereka yang tidak mampu menanggung ujian pastinya akan gugur dan hanya benar-benar berjiwa besar sahaja yang akan terus thabat meneruskan perjuangan. Ini bermakna barisan saf jamaah akan menjadi lebih kuat kerana hanya terdiri daripada mereka yang bersungguh mahu menempuh perjuangan.


Namun harus diingat bahawa kemenangan bukanlah penghujung perjuangan. Masih ada lagi jalan yang panjang untuk mengekalkan kemenangan. Justeru, tidak mustahil jika kita masih terus diuji biarpun telah mencapai kejayaan. Cabaran yang mendatang boleh berpunca daripada musuh mahupun rakan seperjuangan itu sendiri. Lihatlah apa yang terjadi kepada kumpulan mujahidin Afghanistan. Sedih kerana kejayaan yang diperolehi menjadi tidak bermakna akhirnya.

3.


Cita yang besar memerlukan kerja yang besar. Semestinya visi dan misi yang besar memerlukan usaha dan tenaga kerja yang besar. Siri dokumentari Discovery telah merekodkan betapa kerja-kerja pembinaan menara berkembar KLCC memerlukan tenaga kerja yang besar diiringi dengan pemikiran yang kritis, kreatif dan inovatif untuk menyiapkan makhluk gergasi tersebut. Menegakkan daulah jauh lebih besar skop kerjanya berbanding pembinaan menara berkembar KLCC. Jika kerja-kerja pembinaan KLCC memakan usaha dan keringat yang luar biasa, usaha memartabatkan Islam pula akan memerlukan sesuatu yang sangat luar biasa.

Oleh itu, para du'at perlu sedar bahawa masa sangat mencemburui kita yang sering dipenuhi dengan tugasan dakwah dan tarbiah. Para du'at harus sedar tiada istilah bercuti di luar negara buat mereka. Para du'at harus sedar tiada istilah masa tidur untuk mereka. Para du'at juga harus sedar tiada istilah wang bonus untuk membina mahligai buat mereka. Para du'at harus melatih diri mereka untuk hidup dengan penuh qana'ah, sentiasa menyibukkan diri dan membuat kerja-kerja berat. Mengapa? Kerana suatu hari nanti para du'at pastinya akan berhadapan dengan situasi sedemikian ketika usaha dakwah berlangsung. Kerana suatu hari nanti para du'at pasti akan diuji dengan seksaan yang keras apabila dakwah mereka berkembang mekar di mana-mana.

Untuk melaksanakan misi besar, faktor tempoh juga memainkan peranan. Oleh itu janganlah cepat berasa putus asa jika masih belum mendapat hasil setelah baru beberapa tahun bekerja di medan amal. Almarhum mengatakan tempoh 100 tahun tidaklah lama. Boleh jadi tempoh keberhasilan mencecah 2 hingga 3 kurun lamanya. Du'at mesti sentiasa berada dalam mode bersemangat dan optimis dan yakin perjuangan tetap akan berterusan walaupun mereka sudah dijemput Ilahi.

4.

Zionis hanya membazir masa, wang dan tenaga. Semua sedia maklum bahawa zionis mempunyai cita-cita yang lebih besar daripada setakat menawan bumi Al Quds. Mereka ingin menawan tanah Arab yang mana terletaknya jantung umat Islam di sana. Dengan melemahkan umat Islam, mereka pastinya tidak akan menghadapi masalah untuk menakluk dunia kerana musuh paling besar mereka sudah pun tewas. Sebagai umat Islam, kita semua sudah pun maklum bahawa usaha mereka ini hanyalah sia-sia. Rasulullah menyebut akhir zaman nanti Islam pasti akan bangkit dan merenyuk bangsa Yahudi dengan sebenar-benar renyukan. Maka ia bukanlah satu kejutan apabila Ustaz Mustafa Masyhur menyebut usaha zionis adalah sia-sia dan mustahil akan berjaya.

Jika mereka hendak menghancurkan Islam, mereka terpaksa berdepan dengan seluruh penduduk isi dunia. Ingatlah, bukan hanya umat Islam sahaja yang akan mempertahankan Islam. Tidak mustahil jika ada golongan yang bukan muslim juga akan bersama-sama kita menentang penjajahan Zionis ini.Jika usaha untuk menawan bumi Al Quds pun belum menampakkan hasil, apakah mereka akan berjaya menakluk dunia? Biarpun usaha tersebut hanyalah sia-sia, kita masih tetap bertanggungjawab untuk menghalang inisiatif tersebut. Kerana di Hari Kebangkitan nanti pastinya kita tidak terlepas daripada ditanya oleh Allah tentang apakah usaha yang kita lakukan demi masa depan Islam.

Wallahu a'lam.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment