Wednesday, July 7, 2010

Positive Parenting (siri 1)

Tanggal 4 Julai 2010 yang lepas, jawatankuasa Surau Taman Cengal Utama telah menganjurkan kursus pendek berkaitan keibu bapaan yang bertajuk Positive Parenting. Kursus ini telah dikendalikan oleh Ahmad Shafiai Uda Jaafar atau lebih dikenali sebagai Pak Utih di kalangan ikhwah IKRAM. Beliau juga merupakan salah seorang daripada ahli lembaga pengarah Aqsa Syarif. Saya berasa agak kecewa kerana tidak ramai pasangan muda yang menghadirkan diri untuk menuntut ilmu yang sangat berguna ini. Apakah anak-anak sudah membesar dan mula menimbulkan masalah baru hendak menuntut ilmu keibu bapaan?

Kursus dimulai dengan statistik daripada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) berkenaan kes remaja yang melarikan diri dari rumah bermula tahun 2004 hingga Mei 2007.

  1. Remaja 14-17 tahun --- 5251 kes
  2. Kanak-kanak 10-13 tahun --- 697 kes
  3. Kanak-kanak di bawah umur 9 tahun --- 322 kes
  4. Remaja perempuan --- 4620 kes
  5. Remaja lelaki --- 1650 kes

Kesimpulan yang dapat dibuat ialah bilangan kes lari dari rumah amat tinggi dan pastinya berpunca daripada ketidak stabilan emosi dan suasana di dalam rumah.

Al Quran ada menyentuh tentang pendidikan anak-anak melalui Surah Maryam ayat 12 hingga 15,

12. Wahai Yahya! Ambillah (pelajarilah) kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. Dan Kami berikan hikmah kepadanya (Yahya) selagi dia masih kanak-kanak.

13. Dan (Kami jadikan) rasa kasih sayang (kepada sesama) dari Kami dan bersih (dari dosa). Dan dia pun seorang yang bertakwa.

14. Dan sangat berbakti kepada kedua orang tuanya, dan dia bukan orang yang sombong (bukan pula) orang yang derhaka.

15. Dan kesejahteraan bagi dirinya pada hari lahirnya, pada hari wafatnya, dan pada hari dia dibangkitkan hidup kembali.

Ayat 12 menceritakan Nabi Zakaria memerintahkan Nabi Yahya mempelajari kitab Taurat. Pengajarannya ialah ajari anak kita cara membaca dan isi kandungan Al Quran.

Ayat 13 pula meminta kita mendidik anak menjadi seorang yang bertakwa kepada Allah.

Ayat 14 pula mengajar kita supaya sentiasa mengingatkan anak-anak akan peri pentingnya berbakti kepada kita. Juga mendidik anak kita supaya tidak menjadi seorang yang sombong kepada masyarakat dan derhaka kepada sebarang perintah.

Ayat 15 pula mengajar kita menyambut kelahiran anak kita dengan penuh kesyukuran kepada Allah dan menganggapnya sebagai nikmat dari Allah. Bukannya dengan membuang janin tersebut di merata tempat.

Selain itu, Allah juga ada menyebut tentang bidang kependidikan anak-anak dalam Surah Luqman dari ayat 12 hingga 13.

12. Dan sungguh telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu "Bersyukurlah kepada Allah! Dan barang siapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri. Dan barang siapa tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, Maha Terpuji".

13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya, "Wahai anakku! Janganlah engkau menyekutukan Allah, sesungguhnya menyekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."

Ayat ke 12 cuba menunjukkan kepada kita bahawa hikmah atau kebijaksanaan amat penting untuk mendidik anak-anak. Dalam ayat tersebut Allah telah mengurniakan kebijaksanaan kepada Luqman untuk mendidik anak-anaknya. Hikmah boleh diperolehi dengan cara menuntut ilmu dan juga melalui ilham daripada Allah SWT. Oleh itu kita hendaklah sentiasa mencari peluang untuk menuntut ilmu bagaimana mendidik anak dan juga selalu berdoa supaya diberikan hikmah dalam menjalankan amanah tersebut.

Ayat ke 13 pula cuba menunjukkan kita supaya memanggil anak dengan panggilan yang baik. Dalam sesetengah terjemahan ditulis Luqman memanggil anak-anaknya dengan panggilan yang cukup manja dan penuh kasih sayang. Juga ilmu pertama yang mesti diberikan kepada anak-anak ialah ilmu mentauhidkan Allah SWT. Inilah ilmu asas yang wajib diajari sebelum apa-apa ilmu baik bersifat duniawi mahupun ukhrawi.

Mari kita lihat apakah hikmah dalam mendidik anak-anak melalui surah Ali Imran ayat 36,

Maka ketika melahirkannya (Maryam), dia berkata, "Ya Tuhanku, aku telah melahirkan anak perempuan". Padahal Allah lebih tahu apa yang dia lahirkan. Dan tidak sama lelaki dengan perempuan. "Dan aku memberinya nama Maryam, dan aku mohon perlindunganMu untuknya dan anak cucunya dari (gangguan) syaitan yang terkutuk.

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa anak lelaki tidak sama dengan anak perempuan. Bukan sahaja dari segi sifat seksual dan rupa fizikal, tetapi juga dari segi emosi dan mental. Satu kajian telah dibuat ke atas seorang bayi lelaki dan seorang bayi perempuan yang baru 2 jam dilahirkan. Apabila pengkaji tersebut mendekati bayi perempuan, didapati bayi tersebut merenung tajam ke arahnya. Apabila pengkaji tersebut mendekati bayi lelaki pula, bayi tersebut langsung tidak menghiraukannya. Apabila pengkaji tersebut membawa mainan kepada bayi lelaki ini, bayi tersebut mula tertarik kepada mainan tersebut - tetapi masih tidak memandang kepada si pengkaji.

Kesimpulan yang boleh diambil, perempuan lebih suka kepada perkara yang bersifat manusiawi dan lelaki lebih cenderung kepada perkara selain manusiawi seperti mesin dan jentera. Kajian di atas dikukuhkan lagi dengan satu eksperimen yang dilakukan ke atas beberapa orang dewasa lelaki dan perempuan. Kajian tersebut bertujuan untuk melihat adakah sifat-sifat berkenaan hanya relevan ketika di usia bayi ataupun berterusan hingga dewasa.

Dalam eksperimen tersebut, beberapa orang dewasa lelaki dan perempuan telah dibawa menaiki teksi menuju ke bangunan di mana sesi temuramah dengan seorang profesor psikologi akan berlangsung. Ketika sesi temuramah dengan profesor tersebut, beberapa soalan telah dikemukan kepada setiap daripada mereka. Antaranya ialah apakah yang mereka perhatikan ketika dalam perjalanan dan apakah yang telah dibualkan antara mereka dan pemandu teksi terbabit.

Jawapan bagi golongan dewasa lelaki ialah:

Apakah yang diperhatikan ketika dalam perjalanan
- pemegang pintu teksi yang diperbuat dari krom perak
-teksi jenis Mercedes
-bangunan yang ekstatik

Apakah yang dibualkan antara mereka dan pemandu teksi
- keadaan ekonomi negara yang tidak menentu

Jawapan bagi golongan dewasa wanita ialah:

Apakah yang diperhatikan ketika dalam perjalanan
- pemandangan persekitaran yang cantik seperti bunga-bungaan

Apakah yang dibualkan antara mereka dan pemandu teksi
-Masalah keluarga yang dihadapi oleh pemandu teksi tersebut.

Kesimpulannya, sifat-sifat semula jadi yang ada pada mereka ketika baru dilahirkan tetap berterusan hingga ke alam dewasa. Penceramah menyimpulkan,

Perempuan = LAWA

Lelaki = LAWAN

Perempuan sukakan hal-hal kecantikan baik pada diri mereka mahupun pada persekitaran. Jiwa mereka dihiasi dengan kelembutan yang juga menampakkan sifat-sifat lawa pada akhlak. Lelaki pula telah Allah jadikan dengan sifat-sifat keras dan jauh daripada sentimental kemanusiaan. Mereka lebih cenderung kepada benda-benda yang ada di sekitar berbanding manusia di sekeliling mereka. Justeru itu, mereka amat sesuai untuk keluar berjihad. Jika mereka dijadikan Allah dengan kelembutan, nescaya mereka akan teragak-agak untuk mengangkat senjata membunuh musuh.

Bersambung...

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment