Tuesday, June 29, 2010

'Ibrah Menziarahi Orang Sakit

'Kling'

Kedengaran bunyi SMS masuk ke telefon bimbit saya. Saya serba salah sama ada ingin membacanya ataupun tidak. Muazzin sudahpun melaungkan iqamah untuk menunaikan solat Jumaat. Mahu tidak mahu, saya membacanya juga supaya hati tenteram ketika menunaikan solat nanti.

'Ayh sy kt wad pemerhatian GH. Dia sakit dada pg td. Ni dh kali ke3'

SMS tersebut dihantar oleh isteri saya yang sedang dalam perjalanan menuju Hospital Besar Seremban untuk menziarahi ayahnya. Nampak gayanya saya tetap terpaksa menunaikan solat Jumaat dalam keadaan hati yang tidak aman. Ketika itu saya berada di Bentong selama dua hari atas urusan kerja. Badan terasa letih dan berpeluh kerana baru sahaja keluar dari hutan. Mahu tidak mahu saya terpaksa bergegas pulang ke Seremban ketika itu juga. Saya terus menuju ke Lebuh Raya Karak dan menuju ke pekan Karak. Kemudian saya melalui jalan kampung melintasi Telemong -Triang - Durian Tipus - Simpang Durian - Petaseh - Kuala Klawang - Pantai -Seremban. Satu perjalanan yang jauh. Hampir mencecah 160 kilometer. Memakan masa yang lebih lama kerana jalan tersebut hanyalah jalan kampung dan hutan yang mana likunya mencecah 360 darjah. Ditambah dengan hujan lebat yang turun sejak dari Kuala Klawang hinggalah ke Seremban, perjalanan mengambil masa 2 jam setengah. Saya bertolak dari Bentong sekitar jam 2.30 petang dan tiba di Hospital Seremban sekitar jam 5 petang.

Hospital Seremban memang terkenal dengan kawasan tempat letak kereta yang terhad. Allah memudahkan urusan saya apabila terdapat tempat letak kereta yang kosong yang letaknya tidak jauh dari pintu masuk ke hospital. Saya terus menuju ke Wad 7B dengan menaiki tangga bersama beg netbook saya. Saya terpaksa membawa beg tersebut bersama kerana khuatir jika kereta saya dipecah masuk oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Saya tidak menggunakan lif kerana pelawat terlalu ramai dan saya terpaksa berebut untuk menggunakan lif. Maaf, saya tidak berminat. Lelah juga saya dibuatnya ketika tiba di tingkat 6. Mujur tinggal hanya satu tingkat sahaja lagi.

Ketika tiba di katil ayah mertua saya, isteri, ibu mertua, abang ipar, kakak ipar dan anak buah saya sudahpun berada di sisinya. Kelihatan seorang doktor wanita sedang mengambil rekod kesihatan ayah mertua saya. Ayah mertua saya kelihatan stabil walaupun mengikut laporan doktor tersebut dua saluran darahnya telah tersumbat. Tidak lama kemudian seorang lagi kakak ipar saya bersama tiga orang anaknya tiba dari Kuala Lumpur. Alhamdulillah, walaupun keadaan ayah mertua saya stabil, beliau terpaksa ditahan di hospital untuk rawatan lanjutan sehingga hari Selasa (29 Jun).

Ketika kami sedang asyik berbual bertanyakan khabar ayah mertua, tiba-tiba seorang jururawat terjerit-jerit cuba mengejutkan seorang pesakit. Kelihatan mata pesakit tersebut terbeliak ke atas dan tidak sedarkan diri. Beberapa orang doktor bergegas memberikan bantuan CPR dan tirai ditutup supaya semangat moral pesakit-pesakit lain tidak terganggu. Kelihatan seorang junior saya ketika di KISAS yang bertugas di hospital tersebut juga turut membantu. Alhamdulillah, pesakit tersebut sedar kembali dan dikerumuni oleh ahli keluarganya yang ternyata nampak sedih. Sekitar jam 6 petang saya dan isteri pulang ke rumah. Kami bergegas ke rumah pengasuh untuk mengambil Nawfal. Nu'man pula masih bersama neneknya di Sepang.

Banyak pengajaran yang saya perolehi ketika menziarahi ayah mertua saya. Antaranya:

1.

Menziarahi orang sakit menginsafkan kita. Ketika menziarahi orang sakit, kita bukan sahaja diingatkan dengan kematian yang akan mengunjungi kita. Malah kita dapat melihat sendiri saat atau detik berhadapan dengan kematian. Sanak saudara menangisi pemergian kita dan kita ketika itu tidak sedar apa yang sedang berlaku di sekeliling kita. Ketika itu kita sedang 'asyik' bertarung dengan sakaratul maut.

2.

Manusia yang sering terleka. Bilangan doktor di dalam wad ketika saya tiba agak ramai. Jauh berbeza berbanding ketika isteri saya bertugas di situ kira-kira 2 tahun yang lalu. Namun saya tidak nampak riak keinsafan di wajah mereka apabila terlihat pesakit yang nazak ataupun meninggal dunia. Mungkin kerana itu sudah menjadi rutin harian mereka menyebabkan perasaan sedih atau insaf tidak singgah di hati mereka. Selesai menguruskan pesakit, mereka kelihatan tertawa dan bergurau senda. Mungkin mereka telah dilatih supaya tidak menunjukkan wajah yang murung ketika berhadapan dengan pesakit. Namun, jika mereka menginsafi apa yang berlaku di dalam wad, pastinya mereka tidak akan memakai pakaian yang tidak menutup aurat dan menjaga batas pergaulan sesama doktor yang bukan mahram. Malah, tidak ternampak langsung kalimah zikrullah terpacul dari mulut mereka saat menyelamatkan pesakit ataupun setelah berjaya menyelamatkan pesakit. Malah doktor yang merawat ayah mertua saya boleh bertanyakan kepada saya pasukan manakah yang akan bermain dalam kejohanan Piala Dunia pada malam tersebut. Sedihnya saya melihat keadaan ini. Di manakah mereka meletakkan Allah di saat malaikat maut sebenarnya berlegar di keliling mereka.

3.

Dua suasana yang berbeza. Ketika menaiki tangga menuju wad 7B melepasi tingkat 1 dan 2, kelihatan pelawat dalam keadaan gembira dan penuh tawa riang. Ini kerana tingkat 1 dan tingkat 2 telah diperuntukkan untuk wad bersalin. Namun, setelah saya tiba di tingkat 7, suasana di tingkat tersebut adalah sebaliknya. Kelihatan pelawat yang menangis, malah ada yang meraung sambil menepuk-nepuk dahi. Benarlah kata alim ulama',

Ketika dilahirkan kita menangis tetapi keluarga menyambut dengan riang dan tawa. Ketika meninggal dunia keluarga pula yang akan menangis. Adakah kita juga akan menangis setelah maut menjelma? Carilah bekalan supaya kita pula yang ketawa ketika maut tiba.

4.

Hospital tempat yang patut diziarahi selepas masjid dan kubur. Setelah pulang ke rumah, saya terfikir mungkin hospital juga wajar dimasukkan ke dalam senarai yang patut diziarahi oleh saya. Di masjid, kita mungkin hanya dapat mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadah wajib dan sunat. Qiamullail dan iktikaf yang membasahi mata mengenangkan dosa yang berlalu. Di kubur pula mungkin dapat menginsafkan kita akan kehidupan yang akan dijalani setelah alam dunia berakhir. Mengenangkan azab ataupun nikmat yang akan diterima ketika dalam persinggahan di alam kubur. Di hospital pula kita boleh melihat sendiri saat sakaratul maut di kalangan pesakit. Apakah pengakhiran kita juga sedemikian rupa? Apakah persediaan yang kita miliki untuk menghadapi saat-saat demikian? Ketika isteri saya bertugas di hospital dahulu, saya sering berlegar-legar di hospital untuk memuhasabah diri. Ketika itu saya terfikir pastinya mereka yang berada di wad bersalin tidak akan terfikir langsung nasib saudara mereka yang bertarung dengan maut di tingkat 7. Pastinya juga mereka yang bertarung dengan maut tidak mempunyai masa untuk bertanya khabar gembira dengan saudara yang menerima berita gembira di wad bersalin. Allahummaghfirli...

5.

Hospital tempat mengambil kesempatan. Ketika di tingkat 7, terpampang papan tanda yang melarang agen insurans nyawa dan keranda memasuki wad tersebut. Sungguh saya tidak sangka ada juga individu yang mengambil kesempatan untuk menambah pendapatan di hospital ini. Sepatutnya mereka datang memberi sokongan moral kepada pesakit, bukannya menambahkan beban moral kepada mereka. Lebih menyedihkan mereka tidak mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di hospital. Ternyata dunia sudah memasuki setiap ruang jasad manusia sehingga tiada lagi ruang untuk alam akhirat. Ya Allah, peliharalah imanku.

Semoga posting kali ini dapat menginsafkan semua pembaca terutamanya diri saya sendiri. Ziarahilah orang sakit kerana malaikat maut menziarahi kita beberapa kali dalam sehari

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

2 comments:

  1. salam abg muhannad...post yg berguna..terima kasih

    ReplyDelete
  2. Wslm din...so bole delete Emirates Stadium dlm list ziarah...huhuhu

    ReplyDelete