Monday, June 7, 2010

Demonstrasi Aman

Ribuan manusia memenuhi perkarangan pintu masuk ke kedutaan Amerika Syarikat. Ketika foto ini diambil, masih berduyun-duyun orang ramai dalam perjalanan menuju ke kedutaan Amerika Syarikat
Kemarahan rakyat Malaysia terhadap kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas sukarelawan di atas kapal Mavi Marmara semakin membuak-buak. Tidak cukup dengan kezaliman yang dilakukan kepada penduduk Palestin, kini rakyat asing juga turut menjadi sasaran mereka. Amerika Syarikat pula terus membisu biarpun salah seorang daripada mangsa yang terbunuh adalah rakyatnya sendiri. Sejurus menerima berita tentang penyerangan tentera Israel ke atas kapa Mavi Marmara, saya menerima emel supaya berkumpul di depan kedutaan Amerika Syarikat pada 1 dan 4 Jun. Namun begitu, saya terpaksa memilih salah satu daripada tarikh tersebut kerana khuatir akan berdepan dengan tindakan disiplin majikan. Justeru, saya memilih tarikh 4 Jun kerana agenda pada hari tersebut ialah demonstrasi besar-besaran berbanding tarikh 1 Jun yang agendanya adalah penyerahan memorandum bantahan.

Foto ini diambil ketika saya dalam perjalanan pulang ke pejabat. Ribuan manusia masih tidak putus-putus bergerak menuju ke kedutaan Amerika Syarikat
Sebelum bertolak ke pejabat, saya mengenakan baju melayu berwarna maroon dan tidak memakai pakaian kemeja seperti biasa. Tujuan saya berbuat demikian supaya tidak terlalu nampak seolah-olah saya sedang memonteng kerja. Saya bercadang untuk bertolak ke Masjid Tabung Haji sekitar jam 12.15 tengahari. Namun, perancangan Allah mengatasi segala-galanya. Kira-kira jam 12 tengahari saya dihubungi oleh seorang kontraktor yang ingin berjumpa dengan saya berkenaan masalah dokumen teknikal yang telah dihantar olehnya sebelum ini. Saya meminta beliau menangguhkan hasratnya sehingga selepas solat Jumaat. Namun beliau berkeras untuk berjumpa saya pada tika itu juga kerana beliau sudah pun berada di depan perkarangan pejabat. Saya terpaksa akur dan hanya dapat bertolak ke Masjid Tabung Haji sekitar jam 12.45 tengahari.

Gelombang kedua yang dipelopori oleh PAS. Jumlah yang lebih ramai daripada gelombang pertama

Dari pejabat saya telah menaiki LRT menuju ke Ampang Park. Ketika di dalam LRT, saya telah terserempak dengan seorang sahabat seperjuangan, Dr. Tengku Shahrom yang juga sedang menempuh perjalanan ke destinasi yang sama. Kami sempat berbual bertanyakan khabar dan perkembangan dakwah di kalangan pelajar Malaysia di Amerika Syarikat. Beliau juga merupakan graduan lepasan universiti di Amerika Syarikat seperti saya. Beliau bercadang untuk solat jumaat di Masjid KLCC kerana ruangnya lebih luas dan jika penuh, masih terdapat laman rumput untuk menunaikan solat. Saya bersetuju dengan pendapat beliau dan mengekori beliau ke Masjid KLCC.

Lagi gambar gelombang kedua

Ketika tiba di Masjid KLCC, kelihatan ramai pemuda yang berpakaian bermesejkan perjuangan Palestin. Malah, tazkirah sebelum khutbah Jumaat juga membincangkan isu terkini di Palestin. Apa yang mengecewakan saya ialah khatib telah memanjangkan khutbahnya sehingga ke jam 2 petang. Sedangkan, jemaah di Masjid Tabung Haji sudah pun selesai solat dan mula bergerak ke kedutaan Amerika Syarikat. Sangkaan baik saya, mungkin sudah menjadi kebiasaan khutbah di masjid tersebut tamat sekitar jam 2 petang. Namun, ketika saat hendak menunaikan solat, salah seorang jemaah terjatuh ketika hendak bangun kerana kakinya mengalami semut-semut. Ternyata, khutbah pada kali ini tempoh masanya luar biasa daripada hari yang sebelumnya.

You took my pic...I took yours...hehe

Sejurus selesai solat Jumaat, saya tidak menunggu untuk berdoa. Saya terus bergegas ke bangunan Tabung Haji. Tekaan saya ternyata tepat, para jemaah di masjid Tabung Haji telah pun bergerak menuju ke kedutaan Amerika Syarikat. Ketika saya tiba di masjid Tabung Haji, keadaan amat lengang. Hanya kelibat peniaga yang menjual makanan dan barangan Palestin sahaja yang kelihatan. Pada awalnya saya menyangka perhimpunan tersebut telah dileraikan oleh pihak polis kerana terdahulu saya mendapat amaran yang polis tidak membenarkan aktiviti ini berlangsung. Kebetulan pula, polis kelihatan di mana-mana dan helikopter boleh dilihat berlegar-legar di udara. Saya terus bergegas ke kedutaan Amerika Syarikat untuk memastikan perhimpunan masih berlangsung ataupun tidak.

Pakcik-pakcik FRU tengah buat overtime...huhu

Alhamdulillah saya berasa lega kerana perhimpunan masih berjalan dan pihak polis tidak menghalang aktiviti ini. Keberadaan polis di sana hanya untuk mengawal keadaan supaya selamat daripada sebarang provokasi. Ketika menuju ke perhimpunan tersebut, kelihatan ramai ikhwah akhawat HALUAN dan AQSA SYARIF. Laungan takbir dan celaan ke atas zionis jelas kedengaran.

Sabran...sabran ya yahuud (Bersabarlah...bersabarlah wahai Yahudi)
Jaisyu Muhammad saufa ya'ud (Tentera Muhammad pasti akan kembali)

Laungan ini merupakan satu ugutan kepada Zionis yang tentera muslimin pasti akan muncul mencabar kerakusan mereka selama ini. Saya sempat bersama orang ramai sehingga jam 3.15 petang kerana saya terpaksa kembali ke pejabat.

Jalan Tun Abd Razak kelihatan sesak dengan kehadiran orang ramai berdemonstrasi di depan kedutaan Amerika Syarikat

Ketika dalam perjalanan pulang ke pejabat, saya berselisih dengan gelombang kedua yang dipelopori oleh PAS sedang menuju ke kedutaan Amerika Syarikat. Mereka berjalan kaki bergerak dari Masjid Kampung Baru. Gelombang pertama yang dipimpin oleh NGO Islam tidak seramai gelombang kedua. Apabila kedua-dua gelombang ini bergabung, masya Allah ternampak satu barisan umat Islam di Malaysia yang kuat dan padu. Saya rasa bersyukur kerana akhirnya dapat melihat satu kumpulan yang gah bersama-sama berkumpul demi masa depan Islam.

Orang ramai kelihatan memenuhi jejantas untuk melihat demonstrasi

Saya tiba di pejabat sekitar jam 3.50 petang dengan menaiki LRT. Ini merupakan kali kedua saya turun berdemonstrasi Palestin di depan kedutaan Amerika Syarikat. Namun kali ini lebih menyentuh hati saya kerana bilangannya jauh lebih ramai daripada demonstrasi kali pertama yang saya sertai kira-kira setahun setengah yang lepas. Semoga Allah terus melekatkan kecintaan terhadap bumi Al Quds di jiwa seluruh umat manusia sehingga tamat hayat bumi ini.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

No comments:

Post a Comment