Wednesday, April 7, 2010

Mencukur Jambul atau Mencukur Sunnah?

Sabtu yang lepas saya telah menghadiri jemputan walimah sepupu isteri saya di Bakri, Muar. Kami bertolak dari Seremban sekitar jam 10.30 pagi dan tiba di Bakri sekitar 12 tengahari. Ketika kami tiba, keluarga sepupu isteri saya masih sibuk mengemas untuk persediaan kenduri. Saya berasa agak pelik kerana biasanya tetamu sepatutnya sudah pun tiba. Mungkin adat di Bakri berbeza berbanding tempat lain. Sementara menunggu ketibaan tetamu, saya dan ahli keluarga yang lain menjamu selera terlebih dahulu. Muar memang terkenal dengan nasi berianinya yang lazat. Sehingga sekarang saya masih tidak dapat melupakan betapa sedapnya nasi beriani yang dihidangkan pada kenduri tersebut.

Setelah selesai menjamu selera, saya bergilir dengan isteri menjaga Nawfal di dalam rumah pengantin. Nu'man pula berada di Sepang kerana nenek dan makciknya sudah merindukannya. Kelibat pengantin masih belum kelihatan dan tetamu juga masih belum tiba. Saya dan isteri duduk di dalamn rumah pengantin menjaga Nawfal yang asyik menangis. Tiba-tiba kanak-kanak diminta keluar sebentar kerana jamaah masjid akan tiba untuk doa selamat. Agak pelik kerana biasanya doa selamat dilakukan sebelum akad nikah dan bukannya selepas sudah diijab kabulkan. Rupanya ada upacara mencukur jambul sebelum walimah dimulakan. Mengapa kami tidak beritahu terlebih dahulu? Banyaknya kejutan. Oleh kerana terlalu ramai kanak-kanak yang meluru ke luar rumah untuk memberi laluan kepada jamaah masjid, maka saya tersekat dan tidak sempat ke luar rumah. Terpaksalah saya menyertai jamaah masjid berqasidah. Yang sebenarnya saya memang tidak pandai berqasidah. Saya hanya memerhati sahaja. Sedap juga suara pakcik-pakcik ni. Malah ada antara mereka yang sudah menghafal qasidah tersebut. Masyarakat melayu kampung di Johor memang amat berpegang kuat dengan upacara ritual Islam. Maksud qasidah tersebut? Saya sendiri tidak pasti sama ada mereka memahami apa yang mereka lagukan kerana ada beberapa sebutan Bahasa Arab yang sebutannya salah dan kurang jelas ucapannya.

Setelah selesai berqasidah, maka bermulalah upacara mencukur jambul. Sebenarnya bukan bercukur pun, hanya memotong rambut sahaja. Saya terus memerhati. Malang sungguh tidak berbau. Oleh kerana kaum lelaki ahli keluarga tuan rumah ramai yang berada di luar rumah, maka saya telah diarahkan oleh makcik isteri saya membawa dulang yang berisi dua biji anak buah kelapa. Salah satunya berisi air dan satu lagi berisi kapur. Oh, tidak. Saya telah melibatkan diri dengan perkara bid'ah yang berkait dengan warisan agama Hindu. Saya berada dalam keadaan serba salah. Jika saya enggan melakukan tugas tersebut, pastinya ia akan menjatuhkan maruah tuan rumah. Saya mengambil keputusan untuk teruskan dan memohon keampunan kepada Allah atas keterpaksaan tugasan tersebut. Ketika upacara bercukur tersebut berlangsung, pak imam akan berselawat sambil memegang ubun bayi. Oleh kerana hadirin yang lain juga turut berselawat dengan nada yang kuat, ia membuatkan si anak kecil ini ketakutan dan menangis. Saya sendiri kurang bersetuju kerana selawat yang dialunkan dengan kuat tersebut benar-benar mengganggu ketenteraman si anak kecil. Lebih-lebih lagi saya merasakan seolah-olah selawat yang dibaca hanya tempelan supaya upacara tersebut nampak berbentuk islamik. Ini sesuatu yang menghina syariat.

Saya berasa marah, namun saya pendamkan sahaja. Kemudian pak imam menggunting rambut si anak kecil dan potongan rambut tersebut diletakkan ke dalam anak buah kelapa yang berisi air. Setelah itu, pak imam mencelup kapur yang diletakkan di dalam sebuah lagi anak kelapa yang lain dan dilumurkan ke badan si anak kecil. Sebelum itu, saya terdengar pak imam bertanya kepada orang sebelahnya di manakah harus dilumurkan kapur tersebut. Individu tersebut menjawab, "Hentam jelah". Sedih...sungguh sedih. Mereka sendiri tidak tahu kafiat amalan tersebut, apatah lagi matlamat dan tujuan amalan tersebut. Agakan saya lumuran kapur tersebut sebagai simbolik supaya si anak kecil terpelihara daripada sebarang gangguan. Semasa lawatan kerja ujian menara penghantara di India, saya pernah melihat para pekerja memecahkan kelapa dan melumurkan air kelapa tersebut pada menara yang akan diuji. Tujuannya supaya menara tersebut dilindungi ketika ujian dijalankan.

Terus terang saya katakan, ini merupakan kali pertama saya menyaksikan dengan mata saya upacara mencukur jambul. Jika di Seremban, upacara mencukur jambul dilakukan dengan menggunting rambut si anak kecil dan potongan rambut tersebut dikumpulkan di atas kain. Mungkin untuk ditimbang dan seterusnya dibuat perbandingan dengan harga emas atau perak semasa untuk diberi sedekah. Umumnya, masyarakat Melayu masih ramai yang bertaqlid. Lebih menyedihkan, ada antara amalan yang mereka bertaqlid itu perkara yang bersalahan dengan syariat. Perkara seumpama ini pernah disebut Allah dalam Al Quran iaitu berkenaan jawapan kaum Nabi Ibrahim ketika baginda mempertikaikan tindakan mereka menyembah berhala yang tidak mampu mempertahankan dirinya daripada dirosakkan (maaf saya terlupa ayat dan surah tersebut). Mereka hanya menjawab ini adalah amalan turun temurun moyang mereka. Amalan yang dilakukan kerana tradisi dan bukannya kerana kefahaman.

Amat penting kita keluar daripada kepompong stereotype yang akan membantutkan kemajuan ummah. Selagi mana ummah dikongkong dengan amalan nenek moyang mereka, selagi itu semangat inkuiri/ingin tahu mereka juga akan terkongkong. Mereka yang melanggar adat resam akan dianggap golongan yang sesat. Ummah akan terus dilanda kemunduran dan berada di takuk yang lama sedangkan musuh semakin jauh mara ke hadapan meninggalkan kita. Akhirnya kita tewas tanpa bertempur dek kejahilan kita sendiri. Maka tidak hairanlah bangsa Melayu sebenarnya tidak ke mana. Hanya sejarah kemasyhuran dahulu kala sahaja yang boleh dibanggakan. Itupun belum tentu sahih sumbernya.

"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)

2 comments:

  1. Orang Melayu jenerasi saya memang sangat berpegang teguh dengan adat atau ritual yang dijalankan sejak turun temurun. Oleh itu apabila saya memilih untuk membuang adat inisaya dipinggir. Bagi saya itu tidak menjadi hal. Saya pernah memberi tahu bahawa mencukur jambul tidak terdapat dalam Agama Islam. Jawapan yang saya terima ialah "alah nak suka-suka saja." Ada yang berkata bahawa imam buat kita pun ikutlah. Sungguh sedih.

    ReplyDelete
  2. Rasulullah bersabda, "Islam datang secara dagang (pelik) dan akan kembali dagang. Beruntunglah mereka yang dagang". Ibu bapa saya dulu pun dipandang serong kerana berkahwin tanpa bersanding

    ReplyDelete