Kereta merupakan antara aset yang paling disayangi bagi kaum lelaki. Bagi yang mempunyai lebihan wang, pastinya kereta akan dihias secantik mungkin. Dipasang skirting, ditukar ekzosnya kepada yang lebih besar, ditambah spoiler dan bermacam-macam lagi. Jumlah kos pastinya mencecah 4 angka. Malah tidak mustahil jika boleh mencecah 5 angka. Ketika saya menukar ekzos Pajero milik ayah saya tahun lepas, kosnya hampir RM350. Saya hanya mampu menggaruk kepala ketika membayarnya. Inisiatif ini semuanya menunjukkan sifat kaum lelaki yang menyayangi kereta masing-masing. Tidak dinafikan juga ada segelintir kaum lelaki yang tidak begitu berlebihan dalam menjaga dan menyelenggara kereta mereka. Mereka hanya meletakkan perhatian pada perkara-perkara asas dan penting untuk kereta seperti menukar timing belt, menambah air bateri dan lain-lain lagi.
Jika hati sudah jatuh cinta pada kereta, semua perkara sanggup dilakukan biarpun diri yang merana. Inilah tabiat yang tidak baik bagi kaum lelaki. Namun begitu, pengajaran yang dapat dicedok daripada tabiat sebegini ialah, semakin sayang kita pada sesuatu perkara, semakin banyak perkara baik yang akan kita lakukan pada perkara tersebut. Apakah tabiat sedemikian boleh kita lakukan pada Islam? Adakah ia praktikal juga untuk menzahirkan kecintaan pada Al Quran? Jawapannya tidak mustahil. Jika benar kita cintakan deenul Islam, buatlah sebaik mungkin untuk Islam. Infaqkan wang ringgit kita demi cinta kita pada Islam. Jika kita cintakan Al Quran, bacalah dan tataplah ia sekerap mungkin. Jika kita sayangkan kereta kita, saya percaya individu tersebut akan menjenguknya sekerap mungkin untuk melihat kondisi kereta tersebut. Dia akan memastikan keretanya tidak bercalar atau tidak berdebu. Samalah halnya dengan Al Quran, individu yang mencintainya adalah individu yang tidak akan membiarkannya terkoyak atau berdebu. Ini adalah antara tanda mereka yang mencintai Al Quran; Al Quran miliknya tidak berdebu.
Berbalik semula kepada perihal menyayangi kereta tadi. Untuk memastikan kereta yang disayangi tidak mengalami kerosakan mekanikal, pemiliknya pasti akan membaca, barangkali menghafal manual kereta tersebut. Maklumat daripada manual tersebut akan membantunya menyelenggara keretanya seperti bilakah timing belt perlu ditukar, bilakah minyak hitam dan filter perlu ditukar dan banyak lagi. Hal ini juga tidak banyak bezanya dengan Al Quran. Jika kita mencintai Al Quran, galilah ilmu-ilmu yang terdapat di dalamnya. Jika cinta kita lebih lagi, kita akan cuba menghafal surah-surah di dalam Al Quran berserta maknanya. Sesungguhnya ilmu yang terdapat di dalam Al Quran amat banyak. Saya ingin mengambil contoh satu ilmu yang agak tinggi taraf pemahamannya, iaitu ilmu faraid. Ilmu faraid adalah ilmu berkaitan pembahagian harta pusaka. Ianya tidak semudah 2 bahagian untuk saudara lelaki dan satu bahagian untuk saudara perempuan. Ilmu faraid memerlukan kecekapan ilmu matematik, terutamanya statistik. Ketika saya di universiti, saya hanya mampu lulus sahaja untuk subjek ini. Dan subjek ini berada pada tahap 5 (untuk undergraduate, subjek yang diajar adalah dari tahap 1 hingga 4. Tahap 5 ialah subjek untuk post graduate). Saya tidak ingin membincangkan ilmu faraid dengan lebih mendalam lagi kerana fokus saya pada entry kali ini ialah mencintai Al Quran. Oleh itu, janganlah kita memandang rendah pada khazanah ilmu yang terdapat di dalam Al Quran.
Saya ingin mengakhiri entry ini dengan satu kisah menarik berkaitan cinta pada Al Quran. Syeikh Abdul Badi' Shaqr menceritakan Ustaz Hassan Hudhaibi (Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin kedua) menemuinya di depan bilik mandi penjara perang. Ketika itu mereka masih menjalani hukuman penjara oleh kerajaan rejim Mesir. Hassan Hudhaibi bertanya kepadanya,
"Berapa harikah yang kamu perlukan untuk mengkhatam Al Quran?"
Syeikh Abdul Badi' menjawab,
"15 hari"
Hassan Hudhaibi menyambung,
"Apa yang menghalangmu untuk mengkhatamnya dalam 3 hari? Bacalah 2 juzu' setiap selesai solat ketika kamu masih berwudhu'. Kesempatan seperti ini (dipenjara) tidak akan berulang lagi".
Kisah di atas merupakan satu peringatan yang cukup mengesani jiwa para du'at. Jika diteliti, dalam setahun kita mempunyai banyak cuti yang memakan masa beberapa hari seperti cuti Aidilfitri dan Aidiladha. Adakah cuti-cuti yang panjang ini kita gunakan sebaiknya untuk mengkhatam Al Quran? Marilah kita bertekad untuk memulakannya sedaya yang mampu.
"Dan aku (Nabi Hud) tidak meminta imbalan kepadamu atas ajakan itu. Imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam" (As- Syu'ara : 127)
No comments:
Post a Comment